Sunday, June 13, 2010

PERBAHASAN SEKADAR KUTUK UMNO,BN

Daripada BERITA MINGGU

MASIH belum ada tawaran menarik daripada PAS kepada rakyat bagi menunjukkan parti itu boleh membentuk kerajaan yang ampuh seperti Barisan Nasional (BN) walaupun Muktamar Tahunan ke-56 parti itu sudah masuk hari yang terakhir hari ini.

Malah perbahasan ketiga-tiga sayap parti itu, Dewan Ulama, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat hambar tanpa sebarang kritikan daripada perwakilan dan kalau ada pun hanya seorang dua perwakilan yang lantang serta berani menegur kesilapan pemimpin mereka.

Ketika PAS sibuk untuk meraih sokongan bukan Islam bagi merealisasikan impian untuk ke Putrajaya tercapai sehinggakan Kelab Penyokong PAS dinaik taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP), ia tidak lebih sekadar gimik untuk meraih sokongan bukan Melayu.

Dalam kalangan perwakilan parti itu, mereka melihat keghairahan PAS menarik sokongan bukan Islam sehingga mengabaikan pengundi tradisi boleh membawa kepada kejatuhan parti itu. Mereka menyifatkan pengundi tradisi terutama umat Islam adalah teras sebenar kekuatan parti itu, bukannya pengundi bukan Islam yang hadir secara bermusim.

Bagi perwakilan, pengundi Melayu yang dikatakan lebih memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini perlu diberi perhatian serius oleh kepemimpinan parti untuk meraih sokongan mereka, bukannya memberi tumpuan kepada pengundi bukan Islam sehingga melupakan pengundi asalnya.

Tindakan PAS yang membuka ruang kepada bukan Islam untuk bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya umum akan datang, juga menimbulkan pelbagai persoalan kepada akar umbi. Tanda tanya timbul adakah calon bukan Islam akan terus setia bersama PAS atau meninggalkan parti itu jika berdepan masalah seperti dialami rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sehingga kini rekod PAS masih cemerlang tanpa sebarang tindakan melompat parti dalam kalangan wakil rakyatnya, malah kerajaan PAS Kelantan yang pada satu ketika hanya berbeza satu kerusi dengan BN juga masih mampu mempertahankan kerajaan mereka, tetapi dibimbangi rekod itu akan rosak apabila calon bukan Islam bertanding, kerana bukan Islam tidak boleh berbaiah seperti mana wakil rakyat Islam.

Malah tindakan PAS yang sanggup menerima bukan Islam sebagai calon parti itu juga menimbulkan pelbagai tanggapan kurang menyenangkan sama ada parti itu mahu mengorbankan prinsip yang didukung sebelum ini atau PAS sudah tiada bezanya dengan parti lain dalam pakatan pembangkang seperti PKR.

Keterbukaan PAS itu juga mungkin menimbulkan rasa kurang senang rakan sekutu mereka iaitu DAP. Apakah PAS sudah hilang keyakinan terhadap kepemimpinan DAP atau sekadar 'bersama' untuk mencari peluang keemasan dan akan meninggalkan pakatan pembangkang selepas sokongan rakyat pelbagai kaum diraih.

Dengan kata lain akar umbi masih belum bersedia untuk membuka ruang kepada bukan Islam menjadi calon parti itu kerana bimbang ia akan merosakkan dasar perjuangan PAS. PAS masih dianggap parti eksklusif orang Islam kerana kekuatan parti itu ditunjangi oleh orang Melayu beragama Islam sejak dari asal penubuhannya.

Ketika PAS sedang menanam impian melangkah ke Putrajaya, masih ada dalam kalangan perwakilan yang menyifatkan impian itu tidak akan tercapai jika tunjang kepada kekuatan UMNO dan BN masih gagal ditawan parti itu terutama pengundi kawasan FELDA yang tetap setia bersama BN.

Perwakilan juga mengkritik PAS kerana tidak memberi tumpuan kepada pengundi Felda dan hanya menemui pengundi teras kepada kekuatan BN itu apabila tiba pilihan raya. Lebih daripada itu pemimpin PAS yang masuk ke kawasan FELDA hanya bercakap isu nasional dan antarabangsa, bukannya usaha membela nasib warga FELDA.

Bagi penyokong PAS, jika Pahang yang memiliki kawasan FELDA paling banyak di negara ini gagal dikuasai pembangkang, PAS tidak perlu menaruh harapan untuk membentuk kerajaan baru pada pilihan raya umum akan datang. Ia masih jauh dan banyak lagi perlu diperbaiki.

Walaupun PAS dikatakan sedang melalui proses transformasi untuk menuju ke Putrajaya, hakikatnya perkara itu masih kabur dan parti itu kini dilihat tanpa hala tuju jelas.

Agak mengecewakan tahap perbahasan dalam kalangan perwakilan masih pada takuk lama, hanya sekadar menjadikan muktamar sebagai medan untuk mengkritik UMNO dan BN.

Tiada perbincangan khusus dengan lontaran idea bernas dikemukakan ahli dan kepemimpinan parti itu untuk membawa parti melangkah jauh ke depan. PAS kini cuba meniru gaya kepemimpinan PKR yang asyik memasang impian ke Putrajaya dengan beretorik.