Saturday, January 22, 2011

APABILA ADUN PAS MINTA BANTUAN MENTERI UMNO

Entri tiga bahagian Kicikdefella (15,16 dan 22 Januari 2011) Yang Dicantumkan.

Bila Mustapa Mohamed kata dia sudah bersedia, nampaknya ada ADUN veteran PAS segera bertemu Mustapa Mohamed. Apa sudah berlaku?

ADUN Perupok hampir tiga dekad, Dato’ Haji Omar dilihat semalam mengadakan temujanji dan bertemu Mustapa Mohamed di Hotel Sutera Inn Kota Bharu. Pertemuan yang berlangsung selepas Zohor dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu tidak disertai oleh wakil lain dari PAS.

Apakah ADUN Perupok itu membawa amanat dari Menteri Besar Kelantan? Atau beliau bertemu atas kapasiti beliau sendiri untuk menyelamatkan dirinya seandainya benar Kelantan akan tumbang kepada Barisan Nasional pada PRU ke 13?

Apapun yang dibincangkan oleh ahli politik veteran PAS dengan pimpinan UMNO Kelantan itu sudah tentu ‘sesuatu’ yang menarik.

Haji Omar adalah seorang ahli politik licik.

Di dalam pertemuan tersebut, dilaporkan bahawa Haji Omar meminta jasa baik Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan supaya membantu membangunkan kemudahan infrastruktur di dalam DUN Perupok dan jajahan Bachok yang diwakili tokoh PAS tersebut. Di antaranya ialah agar kemudahan jalan kampung dan prasarana lain dapat diadakan.

Syabas kepada Haji Omar kerana sedar bahawa didalam soal-soal pembangunan, bahkan di dalam soal-soal kemudahan asas sekalipun ianya hanya akan diperolehi menerusi usaha wakil-wakil Barisan Nasional di dalam Kerajaan Pusat.

Saya yakin sebelum ini Haji Omar sudah tentu berkali-kali menemui Exco Kerajaan PAS Kelantan untuk Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar. Lantaran sudah tentu Exco PAS itu sendiri tidak berupaya melayan permintaan Haji Omar walaupun setiap tahun Kerajaan Barisan Nasional di Peringkat Persekutuan memberi terus kepada potfolia Exco itu Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri.

Di antara 2006 hingga 2010 Kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan telah memberikan terus kepada Kerajaan Kelantan sejumlah RM327 juta untuk mengurus, menaiktaraf dan menyelenggara jalan-jalan negeri.

Begitu juga dengan Majlis Daerah Bachok yang sepertimana Majlis-Majlis Daerah lain yang menerima geran persekutuan dalam bentuk,

• Geran Tahunan Berasaskan Kaedah Keseimbangan (PBT)
• Bantuan Bayaran Bil Lampu Jalan & Lampu Isyarat PBT


Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan menerima sejumlah lebih RM100 juta sepanjang lima tahun yang lalu daripada Kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan.

Disebalik peruntukan-peruntukan yang besar yang disalur terus oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada Kerajaan PAS Kelantan, nampaknya veteran PAS Dato’ Haji Omar masih terpaksa menjatuhkan air mukanya dan bertemu dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk membangunkan DUN dan jajahannya.

Maka sudah tentulah Haji Omar sendiri tidak percaya Mustapa Mohamed menyekat Kerajaan Pusat daripada membangunkan Kelantan. Kalau benar Mustapa Mohamed begitu, sudah tentu dia tidak akan meminta jasa baik Menteri MITI itu.

Saya suka melihat lebih ramai ADUN PAS Kelantan bertemu dengan Mustapa Mohamed. Atau mungkin Mustapa Mohamed boleh melapangkan masa untuk mengadakan sessi dialog dengan ADUN-ADUN PAS Kelantan untuk mendengar tuntutan pembangunan yang mereka inginkan untuk DUN-DUN mereka.

Namun pertemuan Omar-Mustapa ini tidak berakhir di situ. Dato’ Omar telah memberitahu Mustapa bahawa Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Senator Awang Adek Hussin berpeluang cerah menawan semula kerusi Parlimen Bachok daripada Timbalan Presiden PAS.

Menurut Omar, Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa telah tidak menunaikan tanggungjawabnya seperti yang diharapkan oleh penduduk di Bachok. Ini menyebabkan timbul keraguan PAS mampu memenangi semula kerusi yang dirampas dari Dato’ Awang pada PRU ke 12 lalu.

Berkat sokongan dan usaha Mustapa membawa pembangunan ke DUN Perupok, bukan sahaja akan dapat membantu Omar dari PAS memenangi semula kerusi itu tetapi juga memberi harapan cerah kepada pengundi di Perupok yang merupakan satu dari tiga DUN dalam Parlimen Bachok memberi undi kepada Dato’ Awang.

Ini adalah ‘Win – Win Situation’ buat Omar dari PAS dan buat UMNO Kelantan di Peringkat Pusat.

Bukan itu sahaja, yang paling utama ia juga memenangkan rakyat!

Isu Bazar Tok Guru: Hanya Kerajaan Negeri Boleh Selesaikan

Isu melibatkan perpindahan 415 peniaga dari Pasar Arked Lambok Uda ke Bazar Tok Guru hanya boleh diselesaikan kerajaan Kelantan, kata Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun katanya, beliau akan berusaha membantu termasuk meminta pemilik Pasar Arked Lambok Uda menangguhkan perpindahan atau menyediakan tapak berniaga sementara.

"Hakikatnya ini masalah yang dibuat oleh kerajaan negeri pimpinan PAS. Ia hanya boleh diselesaikan oleh Kerajaan Negeri. Saya hanya boleh membantu peniaga sahaja setakat yang boleh," katanya pada sidang media, di Kota Bharu, kelmarin.

Beliau sebelum itu bertemu dengan Persatuan Peniaga Pasar Besar Lama Arked Majlis Perbandaran Kota Baharu yang memohon bantuan Mustapa untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau akan menulis surat kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta agar isu itu diselesaikan segera.

Sementara itu Pengerusi persatuan Ab. Salim Ahmad mengakui perkara itu sukar diselesaikan kerana tidak ada perjanjian secara hitam putih di antara peniaga dan kerajaan negeri.

"Dulu kerajaan negeri kata tidak perlu pun hitam putih sebab kata-kata Tok Guru (Nik Abdul Aziz) itu benar dan dia akan buat. Jadi kami percaya dan terima sahaja janji dia tetapi tidak sangka sampai begini janjinya," katanya.

Isu tersebut timbul apabila peniaga berkenaan dijanjikan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) untuk menyediakan lot kedai berkeluasan 3.04 x 3.65 meter persegi dengan harga RM40,000 di Bazar Tok Guru.

Bagaimanapun keluasan sebenar lot yang diberikan hanya 1.82 x 2.4 meter persegi dan harga yang ditawarkan pula ialah antara RM80,000 dan RM90,000.

PMBK yang pada awalnya merancang membangunkan sendiri bazar itu mendakwa mereka menanggung kerugian kerana terpaksa menebus balik bazar tersebut daripada sebuah syarikat swasta.

Rancangan Makanan Tambahan - Kerajaan PAS KelaNtan Tidak Pernah Sediakan

"Bersyukur dan berterima kasihlah kepada kerajaan yang mengambil berat soal kebajikan murid miskin yang bukan sahaja dalam aspek pemakanan tetapi melibatkan pembangunan kesihatan, pakaian dan wang saku sekolah.

"Semua ini tidak pernah disediakan oleh kerajaan Kelantan pimpinan Pas walaupun dipilih dan diberi mandat untuk mentadbir Kelantan sejak sekian lama," demikian luahan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman.

Menurutnya, langkah kerajaan menyediakan peruntukan RM247 juta bagi melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada lebih 691,000 murid sekolah rendah di seluruh negara sepanjang tahun ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keluarga miskin.

berkata, ia sudah tentu melegakan banyak pihak terutama golongan miskin yang anak-anak mereka mengharapkan bantuan tersebut untuk mendapatkan makanan berzat.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat jelas bersikap telus untuk mengagihkan bantuan tanpa mengira perbezaan fahaman politik memandangkan RMT amat diperlukan oleh murid-murid miskin tanpa mengira latar belakang keluarga mereka.

"Baru-baru ini Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menubuhkan satu gabungan dalam mencari kesepakatan meminta kerajaan mengkaji semula pemberian bantuan RMT menggunakan senarai e-Kasih menyebabkan ramai pelajar yang miskin tersisih.

"Satu memorandum daripada gabungan PIBG dihantar kepada kepimpinan Kerajaan Pusat menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) baru-baru ini dan hasilnya kerajaan akur dengan tuntutan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Kursus Pembangunan Insan dan Teknikal Program Pembangunan Pembasmian Kemiskinan Parlimen Pasir Puteh Kelmarin.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberitahu kerajaan memperuntukkan RM247 juta bagi melaksanakan RMT kepada lebih 691,000 murid sekolah rendah di seluruh negara sepanjang tahun ini.

RMT yang bermula 16 Januari lalu membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM194 juta, berbanding bajet asal hanya RM53 juta.

Zawawi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh berkata, salinan memorendum berkenaan turut dihantar kepada beliau dan hasil kajian semula mendapati ramai anak petani dan nelayan miskin di daerah ini tidak menerima agihan makanan itu.

Usah Pertikai Pelantikan Abu Bakar Sebagai Hakim Syarie Kelantan

Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Mohamad mengingatkan pihak tertentu jangan mempertikaikan pelantikan Abu Bakar Abdullah Kutty sebagai hakim Mahkamah Tinggi Syariah kerana ia telah diputuskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

"Tidak ada pihak yang boleh mempersoalkan keputusan yang dibuat kerana pelantikan itu dibuat berdasarkan syarat-syarat perjawatan dalam SPN dan diperkenankan oleh Sultan," katanya.

Ada bantahan daripada Persatuan Peguam Syarie Malaysia cawangan terhadap pelantikan itu dengan alasan Abu Bakar tidak mempunyai pengalaman sebagai hakim sebelum ini.

Penyelaras persatuan itu, Che Rosmah Mohd Zain berkata, pihaknya meminta agar calon yang dicadangkan persatuan itu iaitu Hakim Mahkamah Rendah Syariah sekarang, Che Hashim Deraman, dilantik bagi mengisi kekosongan itu.

Daud berkata pengalaman sebagai hakim di mana-mana mahkamah bukan menjadi syarat pelantikan sebagai hakim kerana jawatan Abu Bakar sebelum ini sebagai Ketua Pendakwa dan Ketua Pendaftar setaraf dengan kedudukan seorang Hakim Syarie.

Malahan, katanya, mana-mana penjawat awam yang dilantik sebagai pegawai syarie di Kelantan layak menjadi hakim mana-mana mahkamah walaupun tidak pernah menjadi hakim.

"Jadi tidak timbul soal beliau (Abu Bakar) tidak layak menjadi hakim Mahkamah Tinggi kerana tidak pernah memegang jawatan hakim mana-mana mahkamah. Ini kerana kedudukan pegawai syarie adalah setaraf dengan hakim kerana ia terletak di bawah Jabatan Kehakiman yang baru diwujudkan di Kelantan," katanya.

Daud berkata kemungkinan pihak yang mempertikaikan keputusan SPN itu tidak faham mengenai kedudukan perjawatan pentadbiran Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun ada antara mereka adalah peguam syarie.

Katanya beliau menerima surat bantahan yang disampaikan wakil persatuan itu pada 16 Jan lepas, tarikh yang sama dengan penguatkuasaan pelantikan Abu Bakar sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan menggantikan Mohd Yusoff Awang kerana tamat kontrak.

Menurutnya Abu Bakar kini mengikuti kursus di Riyadh, Arab Saudi, dalam bidang kehakiman sebelum memulakan tugas rasmi tidak lama lagi.

Beliau menafikan kenyataan persatuan itu bahawa 300 kes tertunggak di Mahkamah Syariah kerana kekurangan hakim untuk mengendalikan kes di mahkamah itu.

"Saya hairan dari mana angka kes tertunggak itu diambil sedangkan Jabatan Kehakimanan Syariah tidak mempunyai rekod itu," katanya.

Kelantan Tidak Tunjuk Minat Sertai ETP

Kerajaan PAS Kelantan dilihat tidak menunjukkan minat untuk menyertai Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri dan menambah baik pendapatan setiap lapisan rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ini, kata beliau berdasarkan kurangnya usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan ekonomi negeri dan pelaburan.

"Selagi Kelantan tidak menjadi sebahagian ETP ini selama itulah pemandu teksi, kereta sewa dan lain-lain tidak mendapat pendapatan setimpal dengan usaha mereka," katanya selepas pertemuan bersama pemandu kereta sewa di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Sejak pelancaran ETP pada 25 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 18 projek permulaan dan perkembangan berkaitan untuk menjayakan agenda transformasi negara ini.

Mustapa berkata tiada jalan pintas untuk sesebuah negeri meningkatkan ekonomi masing-masing selain menambah pelaburan dan menggalakkan kemasukkan lebih ramai pelabur.

Katanya dengan langkah sebegini barulah ekonomi sesebuah negeri menjadi makmur dan rakyat dapat merasai perolehan peningkatan ekonomi kesan kerancakan pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk peluang pekerjaan baru.

"Untuk itu pembangunan negeri hendaklah digerakkan dengan lebih pantas lagi. Negeri Kelantan hendaklah dimajukan tetapi pada masa ini nampaknya tidaklah sebanyak mana walau pun ada kemajuan tetapi tidak seperti negeri-negeri lain," katanya.