Monday, November 2, 2015

Tidak Amanah - Caruman, Potongan Gaji Guru YIK RM14.6 Juta ‘Terbang Ke Mana’?


Tidak amanah. Hancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan PAS Kelantan.

Bagaimana sebuah  kerajaan yang mendakwa mentadbir cara Islam boleh melakukan kesalahan sebegini?

Isunya bukan menunggu peruntukan tambahan yang diperlukan tetapi potongan dan caruman yang sudah dibuat itu ‘terbang ke mana’?

Hari ini secara rasmi kerajaan Negeri Kelantan mengakui tidak membayar potongan gaji dan caruman guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) membabitkan tunggakan berjumlah RM14.6 juta.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi DatukDr Mohamed Fadzli Hassan berkata tunggakan tersebut berlaku sejak 2001 kerana beberapa faktor namun semakin meningkat bermula tahun lepas.

Beliau berkata potongan gaji dan caruman itu sepatutnya dihantar ke beberapa agensi seperti Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)dan Koperasi Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

"Tunggakan sehingga September tahun ini sahaja. Ia sebanyak RM14.6 juta kerana YIK perlu menyusun kembali bayaran selepas berlakunya pelarasan gaji di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) yang bermula pada tahun lepas," katanya.


Beliau menyatakannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri  (DUN) Kota Bharu, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk
Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang bertanyakan mengenai masalah guru YIK yang mendakwa berlakunya tunggakan caruman kepada agensi pencarum.

Md Alwi ketika ditemui di luar dewan berkata alasan dikemukakan oleh kerajaan negeri adalah meragukan kerana kerajaan Persekutuan sentiasa memberi bantuan terhadap Kelantan terutama dari segi belanja mengurus.

"Alasan yang diberi itu agak meragukan saya kerana dia kata duit pembangunan tiba-tiba jadi tinggi, kemudian kerana pelaburan tak menjadi.

"Sudah 10 tahun kerajaan Persekutuan beri bantuan kepada Kelantan untuk belanja mengurus. Tahun ini sahaja sebanyak RM85 juta (untuk belanja mengurus)," katanya.

Beliau turut menyarankan agar kesemua 16 sekolah agama di bawah seliaan YIK didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan bagi mengurangkan beban yang ditanggung kerajaan negeri, sekaligus membela nasib guru di sekolah berkenaan.

Dr Mohamed Fadzli  pula ketika menjelaskan  perkara itu di persidangan DUNberkenaan berkata kerajaan negeri telah mempunyai beberapa pelan bagi mengatasi masalah tunggakan itu, namun setakat ini masih gagal dilaksanakan.

"Kerajaan negeri masih belum menerima keuntungan pelaburan sebanyak RM10 juta daripada anak syarikat milik kerajaan negeri, namun kami telah ambil tindakan terhadap pihak yang bekerjsama dengan kita itu.

"Selain itu, kerajaan negeri telah membuat bayaran sebanyak RM2 juta kepada pihak berkaitan bagi mengurangkan jumlah tunggakan," katanya.

Amat nyata kini, kerajaan negeri semakin kelam kabut sehinggakan wang potongan dan caruman pekerja YIK pun ‘dipendamkan begitu sahaja’.

Tidak cukupkah lagi dengan bantuan Kerajaan Pusat seperti yang dikatakan oleh Md Alwi?

Walau sukar mana sekali pun, janganlah kepercayaan pekerja atau kakitangan YIK digunakan untuk kepentingan kerajaan negeri.

Setelah dipotongan dan dicarumkan pekerja sewajarnya mendapat ganjaran bukan alasan-alasan yang memalukan seperti ini.

Di manakah amalan dan tadbir urus cara Islam yang dilaung-laungkan oleh kerajaan PAS Kelantan selama ini?

Mangsa Banjir Enggan Pindah Antara Faktor Pembinaan Rumah Kekal Baharu Lambat Disiapkan


Keengganan mangsa banjir untuk berpindah ke penempatan baharu yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan antara punca kelewatan pembinaan rumah kekal baharu (RKB) untuk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata Jawatankuasa Pasca Banjir Kelantan kini sedang giat mengenal pasti mangsa banjir yang kehilangan rumah dalam kejadian banjir besar tahun lepas itu untuk dipindahkan.

"Setakat ini, kira-kira 300 mangsa di Kuala Nal dan Guchil di Kuala Krai yang tidak mempunyai tanah sendiri, telah bersetuju untuk dipindahkan ke penempatan baharu di Kampung Telekong.

"Mangsa yang lain pula enggan berpindah ke tempat baharu kerana alasan utama mereka adalah akan hilang punca pendapatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan jawatankuasa itu di Kota Darul Naim di Kota Bharu, semalam.


Hadir sama Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua Unit Pemulihan Pasca Banjir (UPPB) Pejabat Perdana Menteri Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Sementara itu, Mustapa berkata berikutan kekangan persetujuan untuk berpindah itu menyebabkan pembinaan RKB akan hanya dapat diselesaikan pada Mac tahun hadapan.

Bagaimanapun beliau berkata setakat ini, sebanyak 822 rumah sedang dalam proses pembinaan, manakala 183 rumah telah siap dibina oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri pula telah menyiapkan 177 daripada 636 rumah yang dijanjikan mereka sebelum ini," katanya.

Jawatankuasa itu sebelum ini mengumumkan hanya 1,729 RKB akan dibina berbanding 1,827 RKB selepas semakan dilakukan.


Sumber - Bernama