Monday, November 23, 2009

Lawan Umno tapi fikrah sendiri bonsai

Oleh Hishamuddin Rais

Ramai aktivis politik dalam negara kita ini tidak memiliki pandangan politik yang tepat. Ia berlaku kerana tidak wujudnya budaya pemikiran kritikal yang ampuh. Keadaan ini bertambah hodoh apabila bercampur dengan budaya malas membaca.

Budaya malas membaca, malas mengkaji dan malas mentelaah ini telah dilahirkan oleh budaya suka mendengar. Mendengar bukan satu kesalahan, mendengar bukan satu jenayah. Kita semua mendengar. Ketika kita kecil, kita dididik untuk mendegar. Kita itu tidak digalakkan untuk berfikir.

Bayangkan berapa juta pembohongan dan kelentongan hantu dan polong yang telah dihamburkan kepada kita semasa kita membesar. Cerita makhluk halus hantu dan puaka semuanya didodoikan kepada anak kecil. Tidak cukup dengan ini, kita ditakut-takutkan. Bermula dengan hantu, kemudian dengan polis dan akhir sekali dengan api neraka.

Anak kecil tidak memiliki peluang untuk mencerna pemikiran.


Kalau anak kecil banyak bertanya, dia akan dianggap kasar – kurang ajar dan tidak sopan. Sebenarnya mendengar tanpa bertanya adalah permulaan proses pembodohan yang ingin disebatikan ke dalam susuk jiwa kita.

Memang tepat - ketika itu kita masih kanak-kanak. Maka, apa yang kita dengar, kita terima sebagai fakta. Apabila telah bersunat, bersekolah, boleh membaca dan sudah pandai berasmara dan berinternet, maka seharusnya timbul nilai wajib berusaha untuk mencerahkan fikrah daripada pandangan karut-marut yang didengari ketika membesar.

Membuang dan membakulsampahkan segala karut-marut yang bersidai dalam otak kita.

Mendewasa ertinya meninggalkan budaya suka mendengar yang kita terima semasa kanak-kanak. Mendewasa ertinya memulakan budaya suka membaca dan menyelidik. Melopong mendengar – masuk lalat, keluar langau - tanpa melakukan pembacaan, rujukan dan kajian akan menjadikan fikrah seseorang bonsai.

Bonsai fikrah ini adalah satu penyakit yang tidak berkuman, tidak berjangkit tetapi boleh diubati.

Dalam suasana politik kita, budaya melopong mendengar ini telah diperkuatkan pula dengan budaya ceramah yang telah menjadi darah daging budaya politik tanah air kita. Ceramah sebenarnya proses monolog – jalan sehala – apabila si pendengar tidak ada peluang untuk bertanya kembali.

Pelbagai sumpah seranah masuk ke telinga kita. Sama seperti kita di zaman kanak-kanak - tidak ada langsung peluang untuk
menapis atau bertanya.

Sayugia diingatkan, ceramah ini hanya boleh berfungsi dengan baik sebagai satu senjata untuk memanaskan rapat dengan pidato yang hebat. Pidato bertujuan untuk menaikan semangat, untuk melanggar musuh. Ceramah dan pidato berperanan untuk membakar semangat. Ceramah tidak menjanjikan penemuan ilmu atau pengembangan akal.

Justeru ceramah satu hala amat berbahaya kerana berkemungkinan ia menjadi ejen pembodohan. Tidak kira siapa si penceramah – berjubah atau berdastar – monolog sehala tidak mengasah fikrah. Beribu-ribu rakyat yang datang melopong mendengar labun si penceramah tidak mungkin akan melahirkan pemula atau perobek bingkai budaya yang mengongkong.

Lihat bagaimana monolog televisyen sehala yang telah terbukti bekerja sebagai ejen pembodohan.

Hasil daripada budaya mendengar ini, ramai warga terlali dan terlalai daripada membaca dan mencari sumber pengetahuan. Otak semakin jarang digunakan - akhirnya lembab dan mamai. Justeru jangan hairan kenapa ramai yang menjadi pelupa dan nyanyok.

Perangai lupa dan nyanyok lahir daripada susuk yang tidak lagi menggerakkan otak mereka. Perhatikan orang pencen dan berumur – kerana mereka tidak lagi menggunakan fikrah, maka mamai akan menyerang. Gejala ini tidak menghairankan.

Tetapi apabila aktivis politik yang masih muda menjadi mamai, maka ada sesuatu yang tidak kena dalam badan politik tanah air kita ini.

Dalam gerombolan United Malays National Organistion, bonsai fikrah adalah syarat utama untuk diterima sebagai ahli – jadi kita tidak perlu hairan. Apa yang menakjubkan, bonsai fikrah ini juga wujud dalam kelompok aktivis yang ingin melawan gerombolan.

Ciri utama yang dapat membuktikan betapa bonsainya fikrah aktivis politik kita hari ini ialah kegagalan mereka untuk mengenali siapa musuh utama dan siapa kawan. Siapa kawan utama dan siapa pula kawan sampingan. Siapa kawan sepanjang perjuangan dan siapa kawan sementara. Siapa musuh dan seteru abadi dan siapa pula musuh sementara.

Mengenal musuh dan mengenal kawan adalah wajib dalam ilmu politik. Asas ilmu politik juga mewajibkan kita mengenal kontradiksi sosial. Mengenal kontradiksi sosial manusia adalah ilmu awal wahid sebelum membuat apa-apa kerja politik.

Gagal mengenal kontradisi sosial, maka segala kerja politik adalah kerja mencurahkan teh tarik ke batu nesan.

Kontradiksi adalah pertembungan atau pertentangan dua unsur untuk melahirkan unsur ketiga. Kontradiksi adalah ibu segala-galanya dalam dunia ini. Dunia ini berputar dan bergerak kerana kontradiksi. Manusia wujud kerana kontradiksi. Politik wujud kerana kontradiksi. Wujud tidak akan wujud kalau tidak wujud kontradiksi.

Kerja politik ialah kerja untuk mengenal, mengurus dan menyelesaikan kontradiksi. Justeru dalam kerja politik, wajib diketahui apa dia kontradiksi utama dan apa dia kontradiksi sampingan. Mana yang primer dan mana yang sekunder.

Kecelaruan – tidak dapat mengenal musuh dan tidak dapat mengenal kontradiksi - muncul kerana fikrah tidak terdidik untuk berfikir secara tersusun rapi. Sampa-larau dan porak-peranda – raba sana, pekik sini - memperlihatkan daya fikrah yang tidak terurus.

Kecelaruan ini juga lahir kerana otak mereka tidak dilatih untuk berfikir secara kritikal. Otak - sama seperti program komputer - hanya akan mengeluarkan kembali apa yang telah dirakam. Perakaman yang tepat bukan dengan mendengar surah dan labon tetapi dengan membaca dan mengkaji.

Ilmu pengetahuan yang telah dikaji dan dibaca akan disimpan dalam template dan program otak. Jika program itu tidak wujud, berapa ratus kali pun diklik, yang muncul hanya angka 404. Inilah dunia ilmiah – yang berasaskan ilmu pengetahuan yang dikumpul melalui kajian, ujikaji di bilik makmal dan penulisan pengalaman terkumpul.

Ilmu pengetahuan yang ilmiah ini bukan datang daripada mimpi atau angan-angan.

Hari ini musuh utama rakyat satu Malaysia ialah gerombolan United Malays National Organisation. Musuh sampingan rakyat satu Malaysia ialah Barisan Nasional. Malah dalam gerombolan itu sendiri tidak semuanya perlu dianggap musuh utama.

Begitu juga Barisan Nasional - bukan semua mereka musuh utama kita, banyak juga sering tidak sebulu dengan gerombolan United Malays National Organistion – ini kerana ada kontradiksi antara sesama mereka.

Contohnya, rakyat Sabah dan Sarawak ingin bebas daripada cengakaman United Malays National Organisation. Parti Gerakan ingin menjadi lebih demokratik. MCA ingin lebih banyak mendapat projek. Semua ini kontradiksi di kalangan Barisan Nasional sendiri yang wajib kita eksploit untuk menguntungkan orang ramai.

Sekarang mari kita fahami siapa pula musuh utama rakyat dunia. Jawapnya tidak lain dan tidak bukan ialah kaum imperialis Anglo-Amerika. Kuasa ekonomi Anglo-Amerika inilah yang sedang mengancam rakyat dunia. Kuasa ekonomi Anglo-Amerika sedang
mendominasi ekonomi negara-negara dalam dunia ini. Inilah kontradiksi induk. Inilah punca segala masalah yang sedang menghuru-harakan dunia.

Satu ketika nanti jika gerombolan United Malays National Organistion bangun menentang kepentingan ekonomi kaum imperial Anglo-Amerika kerana kepentingan ekonomi mereka terdesak, maka kita patut bersama menyokong. Musuh kita yang menjadi musuh kepada musuh utama kita adalah kawan sampingan.

Semua ini adalah asas taktik dan strategi politik yang paling minimum.

Inilah pentingnya memahami kontradiksi. Inilah pentingnya membaca dan mengkaji, bukan hanya mendengar surah dan labon. Justeru apabila Thunderbirds tim tentera tentera udara Amerika datang membuat pertunjukan mereka di Kuala Lumpur – tim ini wajib dicap sebagai musuh utama.

Air Force America adalah pendukung utama kuasa Anglo-Amerika. Manakala Beyonce seorang penyanyi adalah manifestasi budaya dari sistem ekonomi kapitalis Anglo-Amerika, bukan pendukung utama. Dalam politik, yang wajib kita tentang dan lawan bukan manifestasinya tetapi punca yang melahirkan manifestasi itu.

Sistem eknomi kapitalis melahirkan banyak manifestasi budaya. Adalah bangang untuk melawan manifestasinya. Kita juga akan dilihat sepuluh kali bangang dan bodoh politik jika berjuang menuntut agar kedai toto di Jalan Yap Kwang Teng ditutup.

Ini kerana perjudian adalah manifestasi utama daripada sistem ekonomi kapitalis. Malah bursa saham itu sendiri adalah sarang perjudian utama. Justeru apa yang harus digodam bukan manifestasi kapitalis tapi sistem kapitalis itu sendiri.

Salah satu daripada kejayaan manifestasi budaya kapitalis ini ialah melahirkan warga yang tumpul akal dan bonsai fikrah hinggakan tidak dapat mengenal yang mana kontradiksi utama dan yang mana kontradiksi sampingan - tidak berupaya untuk mengenal apa manifestasi dan apa yang melahirkan manifestasi itu.

Akhirnya muncul perjuangan menuntut pengharaman penjualan burger kerana terdengar cerita adanya gelatin tidak halal dalam burger. Tetapi tidak berjuang untuk melupuskan MacDonald dan Burger King. Inilah tanda awal bahawa fikrah yang bonsai tidak kesampaian untuk berfikir.

Saturday, November 14, 2009

ANWAR SEMBUNYIKAN PERTEMUAN DENGAN PAUL WOLFOWITZ DI JAKARTA

Entah apa sebabnya. Anwar sengaja menyembunyikan kehadiran beliau di dalam satu Forum Antarabangsa yang bertajuk "Democracy as a Regional Strategic Agenda" atau pun dalam bahasa melayu "Demokrasi Sebagai Agenda Strategik Wilayah (Asia Tenggara)" anjuran Habibie Center.

Di dalam blognya Anwar hanya menulis tentang kehadiran beliau secara umum di acara "Memantapkan Konsolidasi Demokrasi dan Mengakhiri Masa Transisi: Agenda Bangsa 2009-2014". Anwar juga turut menyebutkan di blognya beberapa acara yang dihadirinya pada ketika iaitu pertandingan debat mahasiswa, expo dan pertunjukkan seni serta majlis penyerahan Anugerah Habibie (Habibie Award). Tetapi beliau langsung tidak menyebut mengenai forum penting yang dihadiri beliau iaitu "Democracy as a Regional Strategic Agenda".

Seperti ingin melawan dan menunjuk-nunjuk kepada Perdana Menteri yang dikunjungi Presiden Indonesia semalam. Anwar sengaja menulis di dalam blognya tentang kemesraan beliau bersama Naib Presiden Indonesia,Boediono di majlis berkenaan. Walaupun sebenarnya beliau sanggup menunggu berjam-jam lamanya semata-mata untuk menemui naib Presiden Indonesia itu. Ini dibuktikan apabila beliau boleh pulang awal ke tanah air kerana majlis yang melibatkan beliau berakhir pada pukul 12 tengahari dan majlis yang melibatkan Boediono pula adalah pada sebelah malam. Lihat jadual di sini.

Cerita tentang Anwar tidak berakhir di situ, apabila siasatan Kumbang dan rakan-rakan akhirnya menemui sesuatu. Iaitu kenapa dan mengapa Anwar menyembunyikan kehadiran beliau di Forum Antarabangsa ""Democracy as a Regional Strategic Agenda"?

Persoalan ini terjawab apabila sebenarnya Anwar tidak mahu rakyat Malaysia tahu bahawa forum ini juga disertai oleh 2 orang Yahudi terkemuka yang juga menjadi rakan karib Anwar iaitu Paul Wolfowitz bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat dan Professor Bridget Welsh rakan pensyarah Anwar dari Universiti John Hopkins Amerika Syarikat yang sememangnya pengkaji Asia Tenggara di universiti yahudi itu.Klik sini untuk melihat bukti kehadiran Paul Wolfowitz dan Bridget Welsh.

Seperti Anwar tahu bahawa isu Iluminati dan Mata Satu serta yahudi kini hangat dikaitkan dengan beliau. Anwar memilih jalan selamat untuk tidak memberitahu rakyat tentang kehadiran dan forum yang melibatkan 2 orang yahudi ini untuk mengaburi mata rakyat.

Dalam pada itu forum yang bertajuk "Democracy as a Regional Strategic Agenda" atau pun dalam bahasa melayu "Demokrasi Sebagai Agenda Strategik Wilayah (Asia Tenggara)" ini menimbulkan persoalan tentang apakah yang sebenar dibincangkan Anwar dan rakan-rakan yahudi beliau itu. Apa yang Kumbang faham forum ini membincangkan tentang Indonesia sebagai contoh demokrasi dan hak asasi manusia di Asia Tenggara. Strategik agenda membawa maksud agenda yang terancang ke arah itu iaitu menjadikan semua negara di Asia Tenggara mencontohi Indonesia dari aspek demokrasi dan hak asasi manusia.

Jika difikirkan semula, adakah ini bermaksud Anwar dan Paul Wolfowitz ingin menjadikan Malaysia seperti negara Indonesia iaitu sebuah negara Republik,tanpa pemerintahan raja berpelembagaan serta demokrasinya kini ala Amerika?

Kumbang persilakan pembaca untuk menilai perkara-perkara ini.

Jika Anwar benar, kenapa main sembunyi-sembunyi?
Jika Anwar berani dan telus beliau boleh tayangkan video forum ini tanpa tapisan di blog beliau.

Itu jika Anwar berani..

Saturday, November 7, 2009

ULAMA SESAT, WAKIL-WAKIL RAKYAT BODOH YANG MEMALUKAN ISLAM

Ab Jalil Backer (myKMU.net)

Sejak tahun lalu saya dimaklumkan bahawa wakil rakyat PAS semuanya bersumpah cerai taklik bertalak tiga ke atas isteri mereka jika mereka keluar dari PAS. Saya anggap ini cerita-cerita karut yang sekadar cuba memburukkan PAS.

Namun apabila ia disahkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, dan khabarnya turut diakui oleh Timbalan Presiden PAS maka ia merupakan saat yang sangat menyedihkan kepada gerakan Islam di Malaysia keseluruhannya.

Mereka yang rakyat anggap sebagai ulama, tok guru dan yang berpengetahuan dalam ilmu agama menjadi talak sebagai bahan mainan politik. PAS mengarahkan wakil rakyatnya bersumpah jatuh talak tiga ke atas isteri mereka jika keluar parti. Apakah PAS lebih besar daripada Allah dan Rasul yang amat membenci penceraian?

Dengan menuntut sumpah cerai taklik talak tiga PAS mengesahkan bahawa mereka sanggup mepergunakan Allah, Rasul dan agama sehingga ke tahap apa pun demi menjaga kepentingan duniawi dan harta benda.

Sejarah negara sudah menyaksikan bagaimana sekumpulan penyokong PAS di Memali, Kedah menggunakan senjata menentang arahan Polis kerana percaya kepada ajaran PAS menentang kerajaan Barisan Nasional adalah jihad.

Suatu ketika dahulu kita juga sudah menyaksikan bahawa pernah berlaku penceraian, pernikahan dua kali, sembelihan yang diharamkan makan kerana dilakukan oleh ahli UMNO dan juga solat dua imam.

Kemudian kita juga mendengar fatwa Nik Aziz bahawa kita juga boleh mencarut dan memaki hamun kerana Allah juga melakukan dalam al-Quran. Ini dilakukan bagi mempertahankan beberapa orang penceramah PAS yang sukar mencarut, maki hamun dan bercakap kasar dalam ceramah mereka.

Sah lagi bahawa PAS sanggup menyamakan hak manusia dengan Allah hanya untuk kepentingan dunia.

Namun apabila PAS menyertai DAP dan PKR pada alaf baru kita beranggapan segala ajaran sesat, menyeleweng serta bersifat mempergunakan agama untuk kedudukan dunia akan ditinggalkan.

Rupanya yang berubah hanyalah kulit, isi masih sama.

Allah dan Rasul amat membenci penceraian. Penceraian hanyalah jalan terakhir sekiranya rumah tangga tersebut tidak dapat diselamatkan lagi. Itu hanya talak satu. Ini pula talak tiga yang dilakukan secara taklik untuk kepentingan kuasa dan kedudukan.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya, "Dalam banyak yang halal, penceraian merupakan sesuatu yang halal tetapi dibenci Allah." (Riwayat Abu Dawud).

Seorang Sarjana Islam membuat kesimpulan yang sangat tepat mengenai mereka yang bercerai talak tiga ini,

Those Muslims who utter three divorce pronouncements at one time or in one statement are rebels against Allah's law and are deviating from the straight path of Islam. Once the Prophet (peace and blessings be upon him) was informed about a man who had pronounced three divorces at one time, he got up in anger, saying: "Is sport being made of the Book of Allah while I am (yet) among you?" As a result, a man stood up and said, "O Messenger of Allah, shall I not kill him?" (Reported by an-Nasa'i)"

Islam jenis apa yang berada di dalam PAS ini? Ini bukan ajaran Islam. Ini ajaran sesat yang bertopengkan Islam.

Khalid Samad berhujah Rasulullah dan para sahabat juga ada membuat sumpah. Memang benar tapi tunjukkan bukti rasulullah dan para sahabat pernah talak taklik terhadap Isteri kerana hal membabitkan pemerintahan dan pentadbiran atau apa sahaja hal yang di luar kisah hubungan suami-isteri.

Talak adalah isu perundangan keluarga yang sejak zaman rasulullah sehingga kini tidak pernah dijadikan sandaran untuk politik.

Ketika berlaku perselisihan dan peperangan antara puak saidina Ali dan Muawiyah pun tidak pernah sesiapa antara sahabat nabi ini yang menjadikan isteri sebagai alat sandaran sokongan untuk perjuangan mereka.

PAS mencatatkan sejarah kumpulan politik Islam yang terkeji pernah lahir di muka bumi ini kerana menjadi isteri dan keluarga sebagai galang ganti sokongan politik.

Untuk wakil rakyat PAS yang percaya sumpah tersebut akan menyebabkan jatuh talak tiga ke atas isteri mereka cepat-cepatlah beristighfar dan memohon keampunan Allah.

Mereka bukan sahaja mempermainkan hukum Allah malah memperjudikan isteri mereka kepada pemimpin politik. Apa akan terjadi kepada mereka jika esok PAS membuat keputusan yang merugikan Islam? Mereka terpaksa terus kekal dalam PAS kerana sumpah tersebut. Bukankah ini menyesatkan dan tidak selari dengan kehendak Islam?

Sumpah cerai taklik PAS sebenarnya bukan sahaja tidak sah malah menjurus ke arah kufur. Ini berdasarkan tulisan Sheikh Sayyed Sabiq dalam kitabnya, Fiqh As-Sunnah,

"Muslim scholars maintain that the one who divorces his wife three times in one occasion has committed a sin. It is reported that the Prophet (peace and blessings be upon him) became very angry when he was informed that a man had divorced his wife by pronouncing it three times on one occasion."

Ini bermakna cerai taklik PAS tersebut tidak sah dan haram sifatnya. Bagaimanakan PAS boleh mengadakan sumpah cerai taklik talak tiga sedangkan talak tiga itu dibenci oleh rasulullah s.a.w.?

Taklik yang bertentangan dengan ajaran Islam juga dianggap batal dan tidak sah oleh jumhur ulama. Justeru apakah taklik yang dilafazkan oleh pemimpin PAS ini dak bertentangan dengan ajaran Islam?

Ini kerana nikah, cerai dan taklik merupakan kontrak antara suami dan isteri bukannya ditentukan oleh pihak ketiga seperti yang berlaku di dalam PAS.

Jika masih ada wakil rakyat yang masih percaya kepada ajaran sesat PAS ini mereka masih boleh meninggalkan parti tersebut kerana bukan semua ulama berpedapat lafaz cerai talak tiga sekaligus bermakna jatuh tiga talak dan tidak boleh kembali lagi.

Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim membawa pandangan bahawa lafaz talak tiga sekaligus sepatutnya dianggap satu talak sahaja.

[Ibn Taymiyyah, Ibn al-Qayyim are of the opinion that it should be counted as only one pronouncement of divorce. This is also reported by Ibn al-Munzir from `Ata', Tawus, Ibn Dinar. Ibn Mughith also reported this opinion of `Ali ibn Abi Talib, Ibn Mas`ud, `Abdur-Rahman ibn `Awf, Az-Zubayr from among the Companions of the Prophet (peace and blessings be upon him).

They quote the following hadith in support of their view: “Ibn `Abbas (may Allah be pleased with him) reports that the (pronouncement) of three divorces during the lifetime of Allah's Messenger (peace and blessings be upon him) and that of Abu Bakr (may Allah be pleased with him) and two years of the caliphate of `Umar ibn Al-Khattab (may Allah be pleased with him) was treated as once. But `Umar ibn Al-Khattab (may Allah be pleased with him) said: "Verily the people have begun to hasten in the matter in which they are required to observe respite. So if we had imposed this upon them (i.e. regard the divorce pronounced three times in succession as irrevocable divorce, it would have deterred them from doing so)!" So he regarded it as such. This latter view is believed to be the most correct." ]


Malahan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya, The Lawful and the Prohibited in Islam, menyatakan:

"The Muslim is allowed three chances, that is to say, three pronouncements or acts of divorce on three different occasions provided that each divorce is pronounced during the time when the wife is in the period of purity and he has had no intercourse with her."

Jika masih ada wakil rakyat yang masih kekal di dalam PAS selePAS diminta bersumpah taklik atas keluarga mereka memanglah mereka ini jenis manusia yang dayus dan mempermainkan hukum hakam Allah. Layakkah mereka terus menjadi wakil rakyat dan pemimpin umat Islam?


Wallahualam.