Monday, November 8, 2010

ADUN PAS MAHU KERAJAAN KELANTAN HENTI SALAHKAN KERAJAAN PUSAT

Kerajaan negeri pimpinan PAS hari ini diminta menghentikan sikap menyalahkan Kerajaan Pusat berhubung masalah yang tidak dapat diselesaikannya termasuk isu pembinaan dan membaiki jalan, kata Datuk Omar Mohamed (PAS-Perupok).

Beliau berkata, sudah 20 tahun kerajaan PAS memerintah Kelantan dan seharusnya sikap menyalahkan Kerajaan Pusat tidak timbul kerana menjadi tanggungjawab kerajaan negeri mencari ikhtiar untuk mendapatkan peruntukan bagi membaiki atau membina jalan.

Beliau yang telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama enam penggal menasihatkan pemimpin PAS agar tidak lagi menggunakan alasan seumpama itu kerana rakyat sudah jemu mendengar alasan begitu yang diulang-ulang selama 20 tahun sejak PAS mengambil alih pentadbiran Kelantan pada 1990.

"Apa-apa yang perlu dibuat jangan asyik bicara menyalahkan Kerajaan Pusat. Tidak boleh baiki jalan sebab bawah Kerajaan Pusat. Itu sudah tidak boleh dipakai.

"Jalan ada yang dinamakan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan kampung, jadi ini semua terletak di bawah kerajaan negeri, kalau perlukan peruntukan untuk jalan kenalah ikhtiar untuk berunding dengan Kerajaan Pusat. Apa yang penting pembinaan jalan itu untuk rakyat," katanya ketika membahaskan usul ucapan terima kasih atas titah Sultan Muhammad Kelima pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan penggal ketiga, di Kota Bharu hari ini.

Omar turut mengingatkan kerajaan negeri supaya mengambil tindakan pro-aktif dalam menyelesaikan masalah rakyat seperti membaiki jambatan yang runtuh kerana ia di bawah bidang kuasa negeri.

Beliau berkata, kerajaan PAS Kelantan perlu melaksanakan keperluan rakyat jika tidak mereka akan menolak PAS seperti keputusan Pilihan raya kecil DUN Galas, Khamis lepas apabila calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff menang majoriti 1,190 undi mengalahkan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lepas. Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim menang dengan majoriti 646 undi.

KERAJAAN PAS DISKRIMINASI PENEROKA FELCRA

Sikap diskriminasi kerajaan PAS Kelantan dalam memberi kelulusan tanah di Panggung Lalat, Gua Musang, telah mendatangkan kesan yang buruk kepada peneroka Felcra di kawasan itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan diberitahu hari ini.

Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) berkata, beliau kesal sikap kerajaan negeri yang lambat menyelesaikan isu pemilikan kepada peneroka Felcra di kawasan itu sehingga tanah berkenaan dirampas oleh kerajaan negeri untuk dimajukan bagi projek Ladang Rakyat.

"Peneroka Felcra di Panggung Lalat telah memohon kepada Pejabat Tanah sejak 1989 namun sehingga kini Pejabat Tanah tidak memberikan sebarang penyelesaian dan tanah pula dirampas atas hasil usaha peneroka yang menanam getah di sana.

"Secara umumnya, Felcra membantu bangunkan kawasan pertanian, melalui persetujuan kerajaan negeri, dengan mencari rakyat Kelantan yang miskin dijadikan peneroka. Peneroka usahakan tanah serta mengisi borang permohonan dan membayar deposit," katanya ketika membahaskan titah Sultan Muhamed Kelima.

Disebabkan faktor terlalu lama, Nozula mempersoalkan kenapa jabatan tanah yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, lambat meluluskan tanah peneroka berkenaan yang diusahakan oleh mereka sejak 21 tahun lalu.

Berikutan dakwaan Nozula itu, sidang dewan menjadi hangat apabila Wan Yusoff Wan Mustafa (PAS-Gual Ipoh) mencelah bahawa tanah yang mereka duduki itu adalah tanah "haram" kerana ianya milik kerajaan negeri dan bukannya Felcra.

Wan Yusoff menjelaskan terdapat peserta Felcra di Tanah Merah yang tidak dibayar hasil tanaman mereka oleh agensi itu.

Nozula berkata, Wan Yusoff memberi tafsiran yang silap kerana bahawa tanah yang diusahakan peneroka itu adalah haram kerana peserta Felcra Panggung Lalat telah membayar wang deposit permohonan untuk kelulusan tanah namun tiada penyelesaian diberi oleh Pejabat Tanah Gua Musang.

"Itu kenyataan bingung. Orang yang bertanyakan soalan itu tidak bingung tetapi kenyataan yang dibuatnya itu bingung," katanya.

Ini menyebabkan Wan Yusoff meminta Speaker Datuk Mohd Nasuruddin Daud menggesa Nozula supaya menarik balik kenyataannya itu.

Bagaimanapun Nozula meneruskan bahasnya bahawa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata kepada umum bahawa jika tanah itu dicangkul dengan sekali cangkul, maka ianya menjadi hak milik si pencangkul itu.

Justeru katanya, tiada asas bagi sesiapa menuduh peneroka Felcra Panggung Lalat mengusahakan tanaman mereka di tanah secara haram kerana mereka mengusahakannya sendiri sekaligus tanah itu menjadi milik mereka.

DINAR - KELANTAN SEDIA KERJASAMA DENGAN PERAK

Kerajaan negeri Kelantan sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak bagi memperkembangkan penggunaan dinar emas dan dirham perak.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata pihaknya sedia menjalinkan kerjasama dengan Perak kerana negeri itu pernah mengumumkan untuk melaksanakan penggunaan dinar dan dirham sebelum ini.

"Kita akan bekerjasama jika dinar emas dan dirham perak yang akan dilaksanakan negeri itu nanti melaksanakan dinar yang betul (menepati piawaian antarabangsa yang sah)," katanya menjawab soalan Hanifa Ahmad (PAS-Pengkalan Pasir) di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Malahan Husam berkata, pihaknya akan memperluaskan penjualan dinar dan dirham yang dikeluarkan di Kelantan ke Selangor dan Terengganu dengan menggunakan ejen swasta yang disyaratkan perlu mempunyai modal RM500,000 bagi menjadi ejen.

Beliau berkata setakat ini bekalan dinar emas di Kelantan tidak mencukupi disebabkan permintaan yang menggalakkan dan pihaknya sentiasa mengalukan pelaburan daripada luar untuk memperluaskan pelaksanaan dinar emas dan dirham perak.

Husam berkata kerajaan negeri sedang menunggu satu pelaburan daripada luar yang akan membuat pelaburan RM5 juta bagi membolehkan dinar emas dikeluarkan.

"Kita juga merancang untuk menubuhkan sebuah institusi simpanan atau wadiah yang bertujuan untuk menyimpan dinar kerana buat masa ini kita tidak mempunyai wadiah yang rasmi," katanya.

Jika institusi simpanan itu dapat ditubuhkan, Husam berkata kerajaan negeri akan mengeluarkan kad yang dinamakan kad e-dinar yang boleh digunakan oleh pengguna untuk melakukan transaksi dinar dan dirham di seluruh dunia.

Katanya kerajaan negeri yakin terhadap kekukuhan emas dan perak berbanding penggunaan mata wang kertas kerana tiada mana-mana negara dapat memanipulasikan turun naik harga komoditi emas berbanding nilai mata wang sedia ada yang boleh dimanipulasikan sehingga boleh menjejaskan ekonomi sesebuah negara.

Husam berkata dari aspek keselamatan, Kelantan menggunakan ciri-ciri keselamatan canggih termasuk menggunakan hologram untuk memastikan dinar dan dirham tidak dipalsukan.

KERAJAAN PAS UCAP TERIMA KASIH KERANA TAMAN HALAL HAB

Kerajaan PAS Kelantan hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana membiayai sepenuhnya peruntukan bagi merealisasikan pembangunan Taman Halal Hab di Pasir Mas yang bernilai RM63.16 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Pembangunan Masyarakat negeri Datuk Anuar Tan Abdullah berkata pembinaan taman di atas tanah seluas 43.4 hektar di Mukim Apam, Pasir Mas itu dibangunkan bersama oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Projek Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).

"Kerajaan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana membiayai sepenuhnya pembinaan Taman Halal Hab ini.

"Pembangunan taman ini akan dimulakan pada awal tahun 2011 dan dijangka beroperasi sepenuhnya dua tahun selepas itu iaitu pada 2013," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sistem kad e-nikah yang diperkenalkan di negeri itu sejak 2007 berjaya membantu menjana ekonomi tambahan kepada negeri.

"Bermula 2008 sehingga kini, sebanyak 97,262 kad e-nikah telah dikeluarkan di negeri ini.

"Hasil perolehan pada 2008 dan 2009 sekitar RM3.3 juta setahun berbanding RM2 juta setahun pada 2006 dan 2007 sebelum kad e-nikah diperkenalkan," katanya menjawab soalan Dr Nik Mazian Nik Mohamed (PAS-Gaal).

SUDAHKAH POLIS SIASAT LAPORAN NOR DERIS?


Mohd Nor Deris menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Nilam Puri, Kota Bharu, semalam.

Apakah polis sudah menyiasat laporan ugutan terhadap Bekas Pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Mohd. Nor Deris.

Kelmarin beliau membuat laporan polis selepas menerima ugutan dalam laman sosial Facebook dan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ekoran tersiarnya rakaman video pertengkaran beliau dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Internet baru-baru ini.

Mohd. Nor membuat laporan itu di Balai Polis Nilam Puri kira-kira pukul 3.30 petang kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya serta berharap pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas mereka yang membuat ugutan tersebut.

Beliau berkata, ancaman itu jelas menunjukkan Pas mengamalkan budaya samseng sedangkan ia amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Ini (ugutan) menunjukkan budaya Pas ala samseng, Islam di mana? Perangai samseng, Nik Aziz sendiri pun pernah terjemah Allah pun samseng, ini contoh yang diberikan oleh pemimpin Pas kepada ahli-ahlinya.

"Saya tidak buat apa-apa pun pada Nik Aziz, saya cuma mahu dia jelaskan kenapa bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), jadi kenapa ancam keselamatan saya," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia kelmarin.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan pertemuan secara kebetulan bekas 'rakan satu parti' itu meledakkan segala kemarahan yang sekian lama terpendam.

Ia bermula apabila kedua-dua ulama itu bertembung semasa menziarahi rumah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Omar Mohamad ketika kempen pilihan raya kecil DUN itu beberapa hari lalu.

Rakaman video pertikaman lidah hampir empat minit di rumah Omar itu berkisar mengenai rasa tidak puas hati Mohd. Nor terhadap tindakan Pas bekerjasama dengan DAP dan mengkafirkan UMNO, telah tersebar luas melalui laman sosial Facebook dan Youtube.

Sementara itu, Mohd. Nor yang juga bekas Ahli Dewan Ulama Pas berkata, perjuangan Pas telah berubah berbanding asas penubuhannya yang mencari keredaan Allah kepada perjuangan untuk kemenangan pada pilihan raya.

Perjuangan Pas sekarang hanya mengejar pangkat dan harta, bertopengkan Islam, berkubukan demokrasi supaya mencapai hasrat nafsunya dan sanggup melakukan apa sahaja walaupun bercanggah dengan ajaran Islam," katanya.

Disebabkan itu, jelasnya, pakatan Pas dengan mana-mana parti tidak kekal lama kerana ia hanya mahu mencapai kemenangan dalam pilihan raya dan bukannya menegakkan Islam berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tunjang dan wujud perjanjian seperti Piagam Madinah.

"MCA dan MIC sudah buat perjanjian dengan UMNO iaitu menerusi kontrak sosial, malah UMNO menjadi pemimpin dalam pakatan itu dari dulu sehingga sekarang. Tidak seperti pakatan pembangkang yang tidak tahu siapa ketuanya tetapi Pas lebih banyak ikut cakap DAP," katanya.