Tidak kiralah siapa pun, dakwa sahaja mereka jika ada bukti kukuh.
Sindiket sebegini bukan sahaja tamak tetapi memusnahkan hutan simpan kekal yang mengawal ekosistem untuk rakyat di Kelantan dan Malaysia amnya.
Semalam Jabatan Perhutanan Kelantan mendapati 7,284 hektar tanah
Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket
sebelum tanah terbabit dijual secara lot kepada orang ramai.
Pengarahnya Zahari Ibrahim berkata daerah yang terjejas teruk adalah di Gua Musang melibatkan keluasan 3,840 hektar dengan 404 hektar daripadanya adalah HSK Ulu Galas dan HSK Batu Papan.
Bernama melaporkan, dalam operasi dilakukan sepasukan 34 anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Kelantan semalam, mendapati penerokaan dua kawasan HSK terbabit didalangi sindiket yang diketuai individu berasal dari Pahang dan Terengganu, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Zahari berkata sindiket itu menipu orang ramai dengan mendakwa penerokaan kawasan terbabit mendapat kelulusan daripada pihak Istana Kelantan.
Zahari berkata dalam operasi terbabit pihaknya menyita jentera dan peralatan untuk membuka kebun, ladang getah dan kelapa sawit secara haram serta menahan tiga penduduk tempatan yang berada di kawasan HSK Ulu Galas.
Kesemua suspek terbabit akan didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) dan mereka juga didapati melanggar Enakmen Perhutanan Negeri Kelantan.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan penjara sehingga lima tahun, katanya.
Zahari berkata operasi berkenaan adalah antara beberapa siri penguatkuasaan jabatan itu yang dirancang khusus untuk membanteras aktiviti pencerobohan hutan simpan yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Operasi kali ini menyasarkan kawasan `hotspot' yang dipercayai bergiat aktif menggunakan nama pihak istana bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan orang ramai, katanya.
"Hasil siasatan, kita dapati Pejabat Hutan Kelantan Selatan Gua Musang sudah beberapa kali membuat serbuan tetapi modus operandi peneroka haram sentiasa berubah bagi mengelak dicekup serta masih berdegil meskipun sudah beberapa kali ditahan dan peralatan disita," katanya.
Katanya pihaknya dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan sindiket berkenaan.
Sementara itu, Zahari mengingatkan orang ramai bahawa HSK adalah kawasan tertutup dan orang ramai dilarang menerokainya.