Friday, April 19, 2013

BN Persoal Kerajaan Kelantan Rancang Bina Rumah Rakyat Selepas 23 Tahun


Barisan Nasional (BN) mempersoalkan hasrat kerajaan negeri Kelantan yang hendak membina perumahan kos sederhana untuk rakyat di sini hanya selepas pemerintahan di bawah pimpinan PAS selama 23 tahun.

Calon Parlimen BN-Kota Baru, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata, kerajaan negeri dikatakan akan membuat perumahan untuk rakyat dengan kos RM160,000 seunit yang dijual pada harga RM70,000 dengan subsidi RM90,000.

Kenapa (kerajaan negeri) baru sekarang nak buat (rumah rakyat)? Adakah mereka baru jadi kerajaan, berapa lama dah jadi kerajaan?

"Kalau betul-betul ini kerajaan yang prihatin untuk kesejahteraan rakyat, sepatutnya di awal pemerintahan lagi mereka sudah membangunkan perumahan untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Guru Cakna Rakyat Bersama Pemimpin dan Masyarakat di Dewan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail Petra 4 di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir ialah calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Emas bagi BN, Kanidy Omar.

Pengumuman mengenai projek perumahan rakyat yang membabitkan 400 unit di sini oleh kerajaan negeri dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan pada ceramahnya di Kampung Baru, Wakaf Mek Zainab dekat  malam Khamis.

Takiyuddin merupakan pencabar kepada Mohd Fatmi bagi merebut kerusi Parlimen Kota Baru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Mohd Fatmi yang menjadikan contoh BN yang mengambil alih pemerintahan negeri Kelantan pada 1978 berkata, satu perumahan pangsa di negeri itu sudah pun disiapkan selepas tiga tahun pada 1981.

"Siap dalam masa tiga tahun, bukannya (baru) mulakan pembinaan. Sudah pun siap untuk diduduki. Ini contoh Barisan Nasional," katanya.

Beliau menambah, jika PAS mengambil tampuk pemerintahan pada 1990, yang baru sekarang mahu merancang untuk membina perumahan dan bukannya siap untuk diduduki oleh rakyat.

"Maknanya kalau tiga tahun lagi (tempoh pembinaan), sudah jadi 26 tahun pemerintahan (PAS) barulah rakyat dapat rasa. "Ini tidak patut.

Oleh itu, saya seru rakyat tukar kerajaan Kelantan kepada Barisan Nasional," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Mac lalu mengumumkan untuk membina 1,000 unit rumah rakyat di sini.

Pengumuman Najib yang juga Pengerusi BN itu melibatkan kos RM160,000 seunit, yang akan dijual pada harga hanya RM35,000 dengan subsidi RM125,000.

Ku Li Tak Makan Pujukan Pembangkang, Terus Dalam UMNO Bela Rakyat

"Rakyat sudah merasai pelbagai pembaharuan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan menerusi khidmat wakil rakyat BN terbabit. Kita juga boleh meneruskan agenda pembangunan yang dirancangkan apabila terus kekal mendapat mandat rakyat."
- Tengku Razaleigh Hamzah

Daripada www.teganukini.blogspot.com

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan terus berjuang dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan janjinya untuk membela rakyat tercapai.

Beliau menolak spekulasi yang menuduh beliau akan menyertai pembangkang khususnya Pas menjelang pilihan raya umum Ke-13, pada 5 Mei depan.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah menyimpan hasrat untuk menyertai parti pembangkang khususnya Pas dan akan tetap bersama Umno dan BN sepanjang masa kerana parti itu sudah sebati dalam hidup saya

 "Perjuangan saya dalam parti ini bukan baru, malah sejak saya muda lagi sampai ke tua hari ini masih tetap bersama Umno," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Wangi di Gua Musang hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd Arshad Ismail dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof.

Tengku Razaleigh yang diumumkan calon BN mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang berkata, niatnya berjuang dalam Umno dan BN adalah ikhlas untuk membela nasib hidup rakyat tanpa mengejar jawatan.

"Saya menerima untuk dicalonkan semula bertanding kerusi BN Parlimen Gua Musang kerana saya masih mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat serta keadaan diri saya masih sihat," katanya.

Semalam. beliau menyatakan yakin dapat mempertahankan kerusi kawasan Parlimen Gua Musang berikutan rakyat masih menyokongnya serta kepercayaan yang diberikan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana Menteri mahu saya terus kekal menjadi calon di Parlimen Gua Musang, dengan harapan saya menggunakan pengaruh saya bagi memastikan kemenangan BN di Kelantan," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Star di Gua Musang semalam.

Tengku Razaleigh, 76, yang juga Pengerusi BN Gua Musang berkata pada mulanya beliau merasa mahu menarik diri daripada menjadi calon kerana menganggap usianya sudah tua dan hanya beliau seorang sahaja pemimpin veteran Umno yang bertanding.

Bagaimanapun disebabkan permintaan Perdana Menteri, beliau akan terus memikul tanggungjawab dengan harapan rakyat di Gua Musang terus memberi sokongan kuat kepadanya, katanya.

"Bukan saya sahaja, tetapi juga untuk tiga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Paloh dan Galas.

"Mereka (rakyat) sudah merasai pelbagai pembaharuan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan menerusi khidmat wakil rakyat BN terbabit. Kita juga boleh meneruskan agenda pembangunan yang dirancangkan apabila terus kekal mendapat mandat rakyat," katanya.

Pada majlis hari ini, Tengku Razaleigh berkata rakyat di kawasan itu masih memberi sokongan kuat kepadanya untuk terus memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada pilihan raya umum ini dan berjanji akan memberi khidmat lebih terbaik bagi kemajuan rakyat.

"Terserahlah kepada penduduk sendiri untuk membuat penilaian mengenai segala khidmat yang dicurahkan selama ini dan mungkin selepas ini akan banyak lagi perubahan akan dilakukan untuk mencapai hasrat menjadikan Gua Musang bandar maju," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Tengku Razaleigh menang dengan majoriti 4,394 undi mengalahkan calon Pas Zulkefli Mohamed.

Ahli Parlimen Gua Musang itu yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya kini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Tengku Razaleigh berkata, beliau turut menjangkakan yang positif terhadap tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gua Musang untuk membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Mengenai kempen pada PRU-13, beliau seperti biasa akan menggunakan pendekatan sama yang digunakannya dalam pilihan raya-pilihan raya terdahulu.

"Saya akan bertemu dengan rakyat berdasarkan pemahaman dan keperluan," katanya ketika ditemui di sini, Khamis. Tengku Razaleigh berkata, beliau mempunyai jentera parti BN yang kuat dalam bersama-sama mengadakan kempen pada PRU-13.

"Orang-orang saya (jentera parti) akan turut sama menyertai mereka," katanya mengenai corak kempen beliau yang memperlihat kekuatan sepasukan bagi memenangi hati pengundi sekali gus membantu menyumbang kepada kemenangan BN.

Nyata fokus dan cara berhemah dalam berkempen oleh Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat sebagai wakil rakyat mulai 1969 menerima sokongan kuat rakyat terhadap corak kepimpinan di Parlimen Gua Musang.

Malah ketokohan Tengku Razaleigh sebagai pencetus pembangunan Gua Musang merupakan antara faktor utama kemenangan BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas.