Saturday, September 14, 2013

Keberanian Najib Angkat Agenda Bumiputera Ke Tahap Lebih Tinggi Wajar DiSokong


"Bumiputera yang mewakili 67.9 peratus warganegara Malaysia seramai 27.4 juta orang, perlu menjadi teras kepada agenda nasional dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.,,Sesungguhnya, sebarang prakarsa (inisiatif) bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama."
 - Datuk Seri Najib Tun Razak 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, sekali lagi mengangkat Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional dengan menempatkannya di tahap yang lebih tinggi.

Beliau mengumumkan lima strategi utama bagi memperkasa Ekonomi Bumiputera, meliputi modal insan, pemilikan ekuiti, pemilikan aset bukan kewangan, keusahawanan dan penyampaian perkhidmatan.


"Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama," katanya.

Menjiwai pentingnya perjuangan Bumiputera, Najib memetik Tujuh Wasiat oleh Sembilan Raja-Raja Melayu sebagai sesuatu yang sangat jelas dan tidak boleh dipertikaikan.

Katanya Raja-Raja Melayu yang memperkenan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah Persekutuan. Najib Tun Razak menyifatkan "Wasiat ini sangat terang lagi bersuluh."

Presiden Umno itu pada pelancaran agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera hari ini dengan lantang menyebut wasiat itu yang berbunyi: “Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain."

Najib berkata Wasiat itu telah menyatakan tentang ekuiti dan pemilikan orang Melayu dan kemudiannya diperluaskan kepada Bumiputera, melalui penyertaan Sabah dan Sarawak apabila Malaysia dibentuk 50 tahun lepas.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata, Bumiputera yang mewakili 67.9 peratus warganegara Malaysia seramai 27.4 juta orang, perlu menjadi teras kepada agenda nasional dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

"Sesungguhnya, sebarang prakarsa (inisiatif) bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama," katanya.

Sejak Merdeka, kata Perdana Menteri, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut.

Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara kita terdahulu.

"Mereka dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui "Perkara 153, Perkara 160 kurungan 2, Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan a. Juga Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan b," kata Najib.

Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus, manakala Bumiputera Bukan Islam pula 7.6 peratus daripada jumlah rakyat keseluruhannya.

Unjuran terkini setakat 2012 juga menganggarkan warganegara Malaysia seramai 27.4 juta orang, dengan Bumiputera seramai 18.6 juta atau 67.9 peratus, katanya.

Pada 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus daripada penduduk, dengan Melayu terdiri daripada sembilan suku kaum utama, Orang Asli pula terbahagi kepada 18 kategori, Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku, manakala di Sarawak terdapat sejumlah 60 etnik.

Oleh itu, beliau berkata perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak bahawa "kita sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional." 


"Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020," kata Perdana Menteri.

Mengimbas sejarah, Najib berkata telah dibuktikan dalam pembangunan ekonomi negara, terutama sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. 

"Jelasnya, ini kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baharu dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.

Katanya Tawarikh (sejarah) dunia juga telah menunjukkan bagaimana jika sesebuah Kerajaan itu gagal memainkan peranan proaktif sebagai pengimbang sosioekonomi secara adil dan saksama, antara mereka yang memiliki dan tidak memiliki, antara pemodal dan pekerja, antara tuan punya tanah dan penyewa, antara pekerja kolar putih dan kolar biru, telah dan sedang membawa malapetaka.

DEB diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein bagi menangani isu ketidakseimbangan sosioekonomi antara etnik dan pembasmian kemiskinan berikutan tragedi 13 Mei, 1969.

Ekonomi Bumiputera diperkukuh melalui DEB yang telah dilaksanakan dari 1971 hingga 1990, di samping 10 Rancangan Malaysia, tiga Rancangan Jangka Panjang, yang dilaksanakan sepanjang tempoh 1965 hingga 2010.

Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000 diikuti Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010.

Najib juga turut melancarkan Dasar Transformasi Nasional, semasa membentangkan Belanjawan 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020.

Sejak Merdeka, Najib berkata Kerajaan telah mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi untuk kelangsungan hidup Melayu dan Bumiputera, termasuk Bank Bumiputera, Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA, FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH dan KESEDAR.
Mengenang usaha pemimpin terdahulu, Najib berkata Perdana Menteri Ketiga Tun Hussein Onn telah menubuhkan Permodalan Nasional Bhd dan melancarkan Skim Amanah Saham Nasional.

"Kepentingan Bumiputera telah diperkukuhkan lagi oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Dasar Penswastaan dan Wawasan 2020, yang menjadi landasan perjalanan negara kini. 

"Perdana Menteri Kelima pula, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan pembangunan ekonomi wilayah," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan, melancarkan Model Baru Ekonomi (MEB), yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi, dengan pertumbuhan yang saksama, dan menyaksikan masyarakat Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain apabila fajar negara maju menyingsing kira-kira tujuh tahun lagi.

MEB memperkenal pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan, bagi memastikan semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi dan kekayaan negara, kata Presiden Umno itu.

Melihat ke hadapan, Najib berkata Rancangan Malaysia Ke-10 bermula 2011 hingga 2015, bertujuan menyediakan peluang yang adil kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat sama dalam semua aktiviti ekonomi.

"Ini adalah berasaskan kepada prinsip mesra pasaran, berasaskan keperluan, telus dan meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi yang kita maksudkan di sini adalah persaingan dalam kalangan Bumiputera," katanya. 

Kerajaan juga telah memperkenal Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi bagi membentuk ekosistem pembangunan ekonomi negara yang teguh dan berdaya tahan. Hasil pelaksanaan program transformasi, pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam situasi ekonomi global tidak menentu.

Dari tahun 2011 hingga 2012, kadar pertumbuhan ekonomi negara berkembang masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6 peratus. "Pertumbuhan secara berterusan begini amat penting disebabkan pertumbuhan ini akan membolehkan agihan kekayaan negara dapat disalurkan kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata melalui perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana, taraf hidup Bumiputera juga telah meningkat. Ia dibuktikan dengan pendapatan purata bulanan isi rumah Bumiputera naik daripada RM172 pada tahun 1970-an kepada RM4,457 pada 2012 atau hampir 2,500 peratus dalam jangka masa 42 tahun, kata Najib.

Kadar kemiskinan Bumiputera pula telah berkurangan daripada 64.8 peratus pada tahun 1970-an kepada 2.2 peratus pada 2012, katanya. Menurut Najib pemilikan ekuiti syarikat korporat Bumiputera juga telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus pada tahun 1970-an kepada 23.5 peratus pada 2011.

Perdana Menteri juga berkata kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga tertentu, bilangan tenaga kerja Bumiputera dalam kategori profesional, terutama golongan bertauliah seperti doktor perubatan, jurutera dan peguam, sudah menghampiri peratusan komposisi kaum.

Ini membuktikan, DEB, sebagai langkah awal berjaya menangani jurang antara kaum dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat Bumiputera. "Jelasnya, sepanjang lebih empat dekad, masyarakat Bumiputera telah melalui Fasa Pertama Transformasi," katanya.

Namun begitu, Najib berkata Kerajaan sedia maklum bahawa masih wujud jurang ketidaksaksamaan pendapatan antara etnik, dengan tahun 2012, pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi berbanding Bumiputera pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda.

"Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, kita masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. "Keberkesanan kawal kita ke atas syarikat korporat kini hanyalah pada sekitar 10 peratus," katanya.

Namun, kerajaan memahami bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera dalam aktiviti keusahawanan masih tidak signifikan dan majoritinya hanya berada pada tahap usahawan kecil dan mikro, kata Najib.

Pada majlis itu, Najib sekali lagi merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara. Penghargaan diberikan Presiden Umno itu terutama kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang beliau sifatkan telah "menunjang, mandat serta kepercayaan" kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Yang lebih mengharukan ialah Umno sebagai parti tonggak kepada Barisan Nasional, berjaya menambah kerusi Parlimennya, daripada 79 kepada 88," katanya.

"Ini membuktikan, walau apa pun rintangan, sekali apa pun tohmahan, Kepimpinan Transformatif Umno, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, bagi tempoh lima tahun akan datang, demi meneruskan agenda Melayu dan Bumiputera di tanah air tercinta ini," kata Najib.

Presiden UMNO itu menegaskan, setelah selesai PRU lepas, "kita mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa depan dan hala tuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah darah kita."

"Sememangnya, kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut nadi serta resah gulana tuan-tuan dan puan-puan..., Ya... sesungguhnya!!!... kami mendengar (suara) anda... kami dapat mendengar dengan terang dan jelas," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet, ahli perniagaan Bumiputera, ahli akademik, dan ribuan penuntut di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk UiTM, di Shah Alam.

Sumber - Bernama