Sunday, December 14, 2008

PERTELINGKAHAN KUMPULAN ERDOGAN, HADI TERSERLAH

Kijang dah agak dah. Akan berlaku pertelingkahan puak-puak dalam PAS.

Dulu bila cakap orang tidak percaya terutamanya puak-puak dalam PAS sendiri.

Kini Setiausaha presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berdepan dengan tuduhan liar di internet apabila didakwa memainkan "peranan subversif" untuk menyingkirkan "kumpulan Erdogan" di Selangor.

Bagaimanapun Roslan Shahir Mohd Shahir, yang dilantik ketua penerangan PAS negeri baru-baru ini, enggan mengulas lanjut tuduhan serius itu di Malaysia Waves, blog yang mendedahkan pergeseran dalam parti itu.

Berbeza dengan Anti Husam yang menentang "kumpulan Erdogan", blog yang ditulis aktivis muda parti - yang dikenali Tulang Besi - membela kumpulan tersebut dan menjadikan kumpulan promuzakarah dengan Umno sebagai sasarannya.

"Saya tidak mahu memanjangkan isu ini, biarkan kepada Tulang Besi.

"Saya dinasihatkan oleh Datuk Seri Hadi agar tidak memberi respons (dakwaan di blog itu)," kata Roslan kelamrin.

"Kalau saya respons, ia membuatkan dia rasa 'saya besar'. Dia tidak ada jawatan dalam parti. Buang masa sahaja respons.

"Tuduhan itu liar dan jahat."

Tulang Besi dalam beberapa tulisannya mencabar Roslan menafikan terlibat berkempen untuk menyingkirkan "kumpulan Erdogan", antaranya Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, khususnya selepas mendapat jawatan barunya itu.

"... kumpulan Erdogan wajib dibersihkan daripada PAS secepat mungkin dan tidak perlu menunggu muktamar yang akan datang," tulis penulis blog 3 November lalu.

Tulang Besi mendakwa kenyataan itu disampaikan oleh Roslan dalam mesyuarat di kawasannya Kelana Jaya.

Diminta menjelaskan faktor pendorong sehingga Dewan Harian PAS Selangor dipanggil ke lajnah politik seperti pendedahan Malaysia Waves – lokasi pertembungan hangat Khalid dengan ketuanya Dr Hasan Ali – Roslan berkata:

"Ia masalah dalaman parti dan ia sangat sulit."

Blog Anti Husam turut menamakan setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, bendaharinya Dr Hatta Ramli dan anggota biro lajnah politik Khalid Samad sebagai sebahagian "kumpulan Erdogan."

Khalid, yang juga ahli parlimen Shah Alam, digugurkan sebagai timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor bulan lepas.

Mengulas dakwaan wujud laporan "100 peratus negatif" terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang dibuat oleh Dr Hasan di permukiman PAS di Langkawi awal November, seperti coretan blog tersebut, Roslan berkata:

"Saya tidak tahu. Saya belum pegang jawatan ketua penerangan. Tanyalah dengan setiausaha badan perhubungan."

Selain menegaskan kembali tiada krisis dalam PAS Selangor, Roslan juga menafikan PAS negeri mempunyai masalah parti-parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

"Kita sudah selesa dalam Pakatan. Kita buat keputusan secara kolektif," katanya.

Dihubungi Malaysiakini semalam, Khalid berkata pembentangan Dr Hasan di Langkawi dan lajnah politik adalah satu "laporan yang sulit berhubung prestasi PAS Selangor".

"Ia tidak perlu diketahui umum," tambahnya.

Khalid, yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam, menjelaskan jawatannya sebagai pengerusi Perancang Strategik dan Kajian Dasar (Paskad) PAS negeri turut tergugur apabila tidak lagi menyandang jawatan kanan tersebut.

Paskad, satu jawatankuasa kecil yang diselia oleh Dewan Harian PAS Selangor dan dianggotai lebih 10 anggota, untuk merangka strategi dan dasar PAS negeri terutama dalam pilihanraya.