Saturday, October 9, 2010

JANJI MANEK URAI SEDANG DITUNAIKAN - KESEDAR

Sengaja putar belit. Kerja PAS menuduh dan memperkecilkan pihak lain. Itu saja yang ia mampu. Sedangkan ia sendiri tidak melaksanakan apa pun!

PAS semakin lantang dengan pembohongannya!

Beberapa pemimpinnya menuduh Kerajaan Pusat gagal melaksana dan menyiapkan projek yang dijanjikan pada pilihan raya kecil Manek Urai yang dimemangi PAS tahun lalu.

Sedangkan hakikatnya, Kerajaan Pusat tidak pernah melanggar janji yang dibuat ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai tahun lalu - malah semuanya telah dilaksanakan.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd. Arshad Ismail berkata, empat janji yang dibuat pada pilihan raya kecil tersebut kini dalam proses pelaksanaan termasuk pembinaan jambatan yang menelan belanja RM17 juta.

Beliau berkata, pihaknya bertanggungjawab untuk membina dan memperbaiki rumah miskin tegar serta pembinaan kompleks sukan di Manjor dan pada masa yang sama Kesedar juga berperanan sebagai agensi pemantau ke atas semua projek yang dilaksanakan itu bersama dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK).

“Sebagai agensi pelaksana, saya dapat mengesahkan semua projek pembangunan yang dijanjikan oleh Kerajaan Pusat pada pilihan raya Kecil itu telah dilaksanakan meskipun berlaku sedikit kelewatan kerana masalah teknikal.

“Agensi kerajaan amat komited dalam menjalankan tugas seperti projek membina dan memperbaiki 500 rumah miskin tegar dan miskin yang membabitkan peruntukan RM1.5 juta dan berjaya diselesaikan dalam tempoh empat bulan,” katanya dihubungi Utusan Malaysia, di Kota Bharu semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali bahawa parti itu akan secara konsisten membangkitkan isu tuntutan royalti minyak pada kempen pilihan raya kecil di Galas nanti.

Menurut Mustafa lagi, Pas juga akan membangkitkan janji-janji BN sewaktu Pilihan Raya Kecil Manek Urai yang masih belum dikotakan termasuk pembinaan Jambatan Manek Urai yang didakwanya masih tergantung statusnya sehingga kini.

Antara projek yang dijanjikan oleh BN ketika berkempen di Manek Urai ialah pembinaan jambatan di Kampung Manek Urai, Masjid Temalir bernilai RM600,000, membaik pulih rumah (RM1.5 juta) dan membina kompleks sukan di Kampung Manjor (RM300,000).

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan ekoran kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima dari Pas pada 27 September lalu kerana barah paru-paru.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pilihan raya kecil di Galas pada 4 November nanti sementara penamaan calon pada 26 Oktober.

Mohd. Arshad berkata, berlaku sedikit kelewatan bagi projek pembinaan jambatan di Kampung Manek Urai disebabkan proses kajian tanah tetapi kontraknya telah pun diberikan kepada sebuah syarikat.

“Syarikat ini telah memulakan kerja-kerja di tapak bagaimanapun berdasarkan penilaian semula kos projek ini meningkat daripada perancangan awal.

“Kos asal projek ini adalah sebanyak RM8 juta tetapi selepas kajian semula, ia meningkat kepada RM17 juta tetapi tidak ada sebarang masalah kerana projek ini sudah berjalan,” katanya.

Menurut Mohd. Arshad, pembinaan kompleks sukan di Manjor pula ketika ini siap kira-kira 20 peratus disebabkan timbul masalah ketika pengambilalihan tanah yang melibatkan individu serta jabatan penilaian.

Tambahnya, kerja-kerja pengubahsuaian Masjid Temalir juga sedang dilaksanakan dengan 35 peratus daripadanya telah pun disiapkan.

“Kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin tertentu tidak benar sama sekali kerana kesemua projek terbabit telah dilaksanakan dengan lancar, bagi saya ia lebih kepada retorik politik semata-mata,” katanya.

DUN GALAS : UMNO KELANTAN TAPIS PENCERAMAH

UMNO Kelantan akan membuat tapisan barisan penceramahnya pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi memastikan hanya penceramah berwibawa sahaja dibenarkan berkempen.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Dali Hussin, berkata ia bagi mengelakkan ada penceramah yang dipertikaikan kebolehan dan tidak mampu memberikan hujah bertepatan dengan isu semasa.

"Sebab itu penceramah yang akan berkempen nanti perlu bersesuaian dan mampu memberikan impak dengan hujah-hujah yang bernas dan diterima pengundi di DUN Galas itu nanti. "Kita akan susun jentera penerangan ini agar menepati kehendak pengundi dan bukan ceramah sahaja yang akan ditekankan tetapi ada kaedah kempen lain akan kita gunakan untuk mematah serangan lawan," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Pertandingan Futsal 1Belia Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa hari ini.

Dali yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa itu berkata tidak semua modul pilihan raya kecil DUN Manik Urai yang diadakan pada Julai tahun lalu sesuai untuk digunakan di Galas nanti.

"Keadaan di Galas mungkin berbeza dan kehendak rakyat tidak akan sama seperti di Manik Urai dan sebab itu tidak semua modul dan pendekatan di Manik Urai boleh digunakan di Galas nanti," katanya.

Beliau berkata jentera penerangan Umno Kelantan yang diketuainya kini sudah bersiap sedia untuk berkempen di Galas dan menunggu lampu hijau daripada ibu pejabat parti untuk bergerak.

Dali berkata selain itu pihaknya juga akan mendekati kira-kira 2,000 pengundi Cina di DUN itu dan yakin isu perkauman yang sering dijadikan ''senjata'' oleh pembangkang tidak berkesan kali ini.

"Pengundi Cina sudah memahami keadaan politik semasa dan yakin akan menerima semula BN menerusi konsep 1Malaysia serta pengaruh Pengarah Jentera Pilihan raya BN, Tengku Razaleigh Hamzah," katanya.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyat dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu akan diadakan pada 26 Oktober ini dan jika ada pertandingan tarikh pilihan raya ditetapkan pada 4 November.

KU LI TERIMA PERLANTIKAN PENGARAH P'RAYA DUN GALAS

Spin puak yang mahu melihat Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah 'bergaduh' dengan UMNO tak menjadi.

Meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri.

Ku Li hari ini secara rasmi mengumumkan menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Beliau berkata ia merupakan tanggungjawab sebagai anggota Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun, selain anggota Parlimen kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, persoalan sama ada dilantik sebagai calon tidak timbul kerana beliau perlu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta bermesyuarat mengenai perkara itu Isnin depan.

"Kita belum mengadakan mesyuarat pun. Kita bincang tadi, mungkin saya akan jumpa Perdana Menteri pada hari Isnin depan.

"Selepas itu, kita akan mengadakan mesyuarat, dan selepas mesyuarat, kita akan mengadakan sidang media, memaklumkan apa yang kita bincangkan dalam mesyuarat itu," katanya kepada pemberita sebaik tiba dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Pelantikan Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akhir bulan lepas, kerana yakin dengan kepimpinan beliau yang amat berpengalaman, berpengaruh serta dihormati pengundi di kawasan itu.

Semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Ku Li merupakan calon paling layak bertanding di DUN Galas berdasarkan kewibawaan beliau, khususnya di Gua Musang, selain dalam arena politik di peringkat nasional.

Mengenai dakwaan Pas bahawa cadangan menamakan beliau sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu adalah tidak wajar selain merendahkan darjatnya, Ku Li berkata beliau menghormati pandangan parti pembangkang itu.

Bagaimanapun, katanya, pandangan Umno juga perlu dihormati parti pembangkang berkenaan.

Berhubung cubaan PAS memutarbelitkan isu royalti minyak, Ku Li berkata ia adalah isu nasional dan perkara itu tidak boleh ditimbulkan kerana kerajaan Pas telah membawanya ke mahkamah.

Katanya, tindakan membincangkan perkara itu adalah "sub judice" kerana kes tersebut belum didengar oleh mahkamah.

Berhubung keyakinan Pas bahawa mereka akan terus menguasai kerusi DUN Galas itu, Ku Li berkata, "Kita tengoklah pada 4 November nanti".

NIK AZIZ MAIN POLITIK DALAM SEGALA PERKARA

Nik Aziz tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan membidas SPR kerana senario seumpama itu turut dialami oleh kerajaan BN apabila pilihan raya kecil sama ada peringkat Parlimen dan DUN diadakan...apa yang perlu dilakukan oleh Mursyidul Am Pas itu ialah mengurus masa dengan sebaik-baiknya, tanpa perlu mencari pelbagai alasan. -Mohd Alwi Che Ahmad

Hakikatnya Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang bermain politik untuk menarik simpati rakyat agar PAS terus mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas. Itu saja.

Dia akan menyebut apa sahaja dan bertindak apa sahaja. Yang penting bagi Nik Aziz ialah PAS menang, biarpun sampai menuduh orang lain dengan tuduhan berat.

Tindakannya menyelar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tarikh membuang undi Pilihan Raya Kecil DUN Galas itu hanya membuktikan sikap buruk sangka beliau terhadap UMNO.

Nik Abdul Aziz menyelar SPR yang mengumumkan 4 November ini sebagai tarikh membuang undi Pilihan Raya Kecil DUN Galas kerana ia diadakan tiga hari sebelum sidang DUN.

"SPR tidak fikir langsung cerita orang lain, dia fikir cerita UMNO dia sahaja. Saya sebut ini terang-terang, kita sudah tetapkan sidang DUN yang perlu dihormati. Itulah bendanya. Ini menimbulkan kebencian masyarakat Kelantan terhadap SPR," kata Nik Abdul Aziz.

Sedangkan persidangan yang dijadualkan selama seminggu mulai 1 November, boleh ditangguhkan pada hari pembuangan undi pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November itu.

Speakernya, Datuk Mohd Nasuruddin Daud menjelaskan penangguhan itu bagi membolehkan anggota dewan negeri itu, sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang menumpukan perhatian kepada suasana pilihan raya itu.

Katanya walaupun Speaker mempunyai kuasa menangguhkan jadual persidangan yang ditetapkan dari 1 hingga 7 November itu, tetapi pihaknya tidak akan meminda tarikh berkenaan yang telah diwartakan mengikut peraturan Dewan.

"Kita akan teruskan juga.... Kita hanya mengambil keputusan untuk tidak mengadakan persidangan sehari pada hari pembuangan undi pilihan raya kecil DUN Galas itu bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak (penyokong kerajaan dan pembangkang)," katanya semalam.

Jadi apa masalahnya?

Hakikatnya, Nasuruddin mengakui pihak Dewan tidak memberitahu SPR berhubung tarikh persidangan dewan itu dan beranggapan "sepatutnya SPRlah yang perlu merujuk (perkara itu) kepada kerajaan negeri."

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat Pas kawasan itu, Chek Hashim Che Sulaima, 46, akibat barah usus, 27 September lepas.

Berikutan tindakan Nik Aziz menyelar SPR itu, Setiausaha Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata Nik Aziz tidak perlu marah mengenai tarikh tersebut kerana ia turut melibatkan wakil rakyat BN yang perlu menghadiri sidang DUN menjelang pilihan raya kecil berkenaan.

"Dia selalu ambil sikap buruk sangka. Nik Aziz hanya baik sangka dengan kawan-kawan dia dalam DAP.

"Sebagai contoh, jika semua papan iklan di Kelantan mewajibkan wanita bertudung, tetapi wakil rakyat DAP boleh pula masuk masjid tanpa bertudung. Begitu juga dengan skandal video lucah wakil rakyat PKR (Parti Keadilan Rakyat) Elizabeth Wong yang disifatkannya masalah peribadi.

"Nampaknya, dia (Nik Aziz) semakin celaru. Kalau dia celaru seorang sahaja tak apa, tetapi dia mencelarukan orang lain juga," katanya kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu semalam.

Mengulas perkara tersebut, Md. Alwi yang juga Ketua Pembangkang di DUN Kelantan berkata, Nik Aziz tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan tersebut kerana senario seumpama itu turut dialami oleh kerajaan BN apabila pilihan raya kecil sama ada peringkat Parlimen dan DUN diadakan.

Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan oleh Mursyidul Am Pas itu ialah mengurus masa dengan sebaik-baiknya, tanpa perlu mencari pelbagai alasan.

"Tak perlu sidang DUN dijadikan alasan sebab ia turut melibatkan wakil rakyat BN. Janganlah pula nak paksa SPR buat apa yang Menteri Besar nak.

"Keputusan SPR itu menunjukkan ia sebagai sebuah badan yang bebas. Sebagai Menteri Besar, terserahlah kepada Nik Aziz sama ada untuk memberi cuti kepada kakitangan awam di negeri ini atau sebaliknya semasa hari pengundian," katanya.

Md. Alwi berkata, apa yang berlaku sebenarnya menunjukkan sikap Nik Aziz yang hidup dengan penuh dendam terhadap UMNO dan BN sehingga bersikap buruk sangka terhadap apa sahaja yang dibuat oleh parti itu.

Katanya, Nik Aziz juga sengaja hendak mencari alasan untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap UMNO dan kerajaan seperti dalam soal royalti minyak apabila fakta-fakta yang salah disogokkan kepada rakyat.

"Dia lebih kepada kempen membenci sedangkan Islam tidak ajar semua itu," katanya.
Dalam keriuhan itu, Nik Aziz berkata beliau kemungkinan akan mengisytiharkan cuti peristiwa pada 4 Nov untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Beliau berkata perkara itu sedang dipertimbangkan disebabkan tarikh tersebut jatuh pada hari Khamis yang merupakan hari bekerja.

Hasratnya ialah untuk memudahkan pengundi keluar mengundi terutama bagi penduduk di kawasan terpencil.

Beliau turut kesal dengan tarikh itu yang jatuh pada hari bekerja dan sepatutnya SPR berbincang dengan kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan kerana ia membabitkan hari bekerja dan urusan dengan orang ramai.terhadap kerajaan," katanya semalam.

"Tindakan yang dibuat oleh SPR itu boleh menambahkan lagi kemarahan rakyat, “ katanya.

Inilah hakikat sebenar, kenyataan-kenyataan Nik Aziz itu sebenarnya untuk menaikkan kemarahan rakyat.

Sedangkan bukan seluruh Kelantan yang mengundi, hanya di Galas, iaitu satu daripada DUN dalam kawasan Parlimen Gua Musang.

PAS RAMAL 48 PERATUS PELUANG DI GALAS

Pas meramalkan 48 peratus peluang baginya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas di Gua Musang berbanding 52 peratus bagi Barisan Nasional pada pilihan raya kecil yang ditetapkan pada 4 Nov depan.

Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata Pas tidak memandang ringan pertandingan bagi pilihan raya kecil itu kerana menganggap kawasan itu sebagai kubu kuat Umno.

"Kita tidak melihat mudah (pilihan raya ini) kerana kita penyandang. Sebab itu kalau kita kalah tentulah ada sikit terjejas walaupun dia tidak mengubah kerajaan," katanya pada sidang akhbar di pejabat PAS Pusat di sini.

Mengenai Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil itu, beliau percaya pemimpin itu tidak akan menerima tawaran berkenaan.

"Saya tak fikir dia akan terima jadi calon sebab dia Anggota Parlimen. Buat apa nak jadi calon ADUN. Kalau menang jadi ADUN biasa. Saya rasa dia ada pertimbangan sendiri," katanya.

Mengenai calon PAS pula, beliau berkata parti itu dijangka bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan perkara itu selepas menerima senarai calon daripada PAS Kelantan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata solat istikharah mungkin menjadi pemutus dalam menentukan calon PAS pada pilihan raya kecil DUN itu.

Katanya, ini kerana terlalu ramai calon yang berkelayakan dan seimbang yang dicadangkan PAS di peringkat akar umbi sebelum diperhalusi oleh pimpinan tertinggi parti itu.

"Kita percaya solat istikharah yang akan dibuat oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan menjadi kata pemutus untuk menentukan calon PAS pada pilihan raya kecil itu," katanya ketika melawat kawasan pilihan raya itu semalam.

Abdul Fatah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, mengikut amalan biasa yang dinyatakan oleh bekas Ketua Dewan Ulama PAS Negeri, Yahya Othman, parti itu menerima calon yang mempunyai kriteria tidak pernah melakukan dosa besar, seperti zina dan membunuh serta sanggup meninggalkan dosa-dosa kecil, termasuk merokok.

Beliau juga menyokong kenyataan anggota Exco Kerajaan Negeri, bahawa PAS sedia menimbangkan untuk meletakkan Orang Asli sebagai calon pada pilihan raya akan datang termasuk pada pilihan raya kecil Galas.

"Ini semua tidak mustahil boleh terjadi, kerana masyarakat Orang Asli sekarang berbeza dengan sebelum ini kerana mereka kini berpelajaran tinggi dan tidak mudah menerima pandangan orang lain kerana boleh berfikir sendiri," katanaya.

Beliau yang juga anggota DUN Bukit Tuku berkata, pemilihan calon sebenarnya bukan menjadi agenda penting PAS, tetapi lebih besar dari itu untuk menegakkan perjuangan berasaskan prinsip Islam.

"Justeri itu PAS tidak merasakan sesuatu yang sukar dan "pelik" dalam menentukan calon pada semua pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil DUN Galas ini," katanya sambil menyatakan keyakinan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan menerima jika beliau dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 26 Okt ini dan jika ada pertandingan pengundian akan diadakan pada 4 Nov.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kekosongan DUN itu berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46 akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

KAMPUNG MAMBONG DI KUALA KRAI TAPAK PRODUK TANAH LIAT

Perbadanan Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan akan mengkaji kemungkinan menjadikan Kampung Mambong di Kuala Krai sebagai tapak kekal warisan kraftangan berasaskan tanah liat.

Pengarahnya Khamis Yasim berkata ini kerana sumber tanah liat di kawasan itu mengandungi bahan logam istimewa seperti partikel halus yang bersinar-sinar keemasan.

"Kawasan itu dikenali sebagai lokasi pengeluaran kraftangan yang diusahakan secara turun temurun sejak beratus tahun lepas," katanya di Kota Bharu, semalam.

Pada masa ini, 200 orang penduduk di situ mengusahakan industri itu secara tradisi.

Khamis berkata kraf seramik mempunyai ruang untuk terus dipromosi secara lebih meluas di seluruh negara.

Katanya ia akan mencerahkan peluang masa depan perusahaan kraf seramik Mambong terutama dalam kalangan anak muda yang ramai berhijrah ke luar daerah dan negeri untuk mencari pekerjaan.

Kementerian Pelancongan melalui agensinya serta Pejabat Daerah Kuala Krai dan beberapa agensi lain pernah mengadakan program jualan hasil kraf kampung berkenaan.