Saturday, November 27, 2010

PENGANGGURAN - KERAJAAN KELANTAN JANGAN LEPAS TANGAN!

"Sebagai anak Kelantan jati, saya berhasrat mahu bekerja di negeri sendiri supaya dekat dengan ibu bapa yang semakin tua dan uzur tetapi bila balik ke kampung halaman, berbulan-bulan, tidak ada kerja untuk dipohon. Kalau ada pun kerja, hanyalah di pasar-pasar raya yang gajinya di bawah RM800 sebulan dengan tugas yang diberikan pula tidak sama dengan kemahiran yang dimiliki. "

Cukupkah sekadar mendengar ceramah?

Soal pengangguran di Kelantan bukan masalah baru.

Ia menjadi tradisi, malah sejak akhir-akhir ini semakin teruk. Kebimbangan ibu bapa perlu diambil kira oleh Kerajaan PAS Negeri Kelantan. Namun sejauh ini ia bagaikan 'pekak badak'.

Setiap kali diajukan pertanyaan, Kerajaan PAS Kelantan akan menyalahkan kerajaan Pusat kerana tidak ada pembangunan di Kelantan.

Walaupun kerajaan PAS Kelantan terus degil, rakyat tetap menyuarakan kebimbangan mereka terhadap isu pe ngangguran ini selain mencadangkan kerajaan negeri bertindak sesuatu.

Baca dua surat ini:

Surat Pertama:

Kerajaan Kelantan kena ambil peduli kesan pengangguran
Utusan Malaysia 26 November 2010

SEBAGAI anak Kelantan, saya amat bersimpati dengan nasib 25,733 rakan-rakan senegeri yang menganggur bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Jumlah itu saya rasa terlalu kecil dan berdasarkan perangkaan yang ada dalam rekod Jabatan Tenaga Kerja Kelantan, jumlah sebenar mungkin jauh lebih besar kerana bukan semua penganggur mendaftar dengan jabatan berkenaan untuk dapatkan pekerjaan.

Sebagai anak Kelantan jati, saya berhasrat mahu bekerja di negeri sendiri supaya dekat dengan ibu bapa yang semakin tua dan uzur tetapi bila balik ke kampung halaman, berbulan-bulan, tidak ada kerja untuk dipohon.

Kalau ada pun kerja, hanyalah di pasar-pasar raya yang gajinya di bawah RM800 sebulan dengan tugas yang diberikan pula tidak sama dengan kemahiran yang dimiliki.

Saya berkemahiran dalam bidang komputer, kerja yang pernah saya dapat di sebuah pasar raya adalah cat mengecat.

Mahu tidak mahu saya terpaksa kembali merantau ke Singapura dengan bayaran gaji S$90 sehari dan bayaran lebih masa pula pada kadar S$20 sejam. Soalnya sampai bila saya kena merantau?

Bagi saya, bertambahnya jumlah pengangguran kerana kegagalan kerajaan negeri membuka peluang-peluang pekerjaan dengan gaji wajar berdasarkan kemahiran, bukannya dibayar gaji sekadar lepas makan minum diri sendiri setiap hari.

Sebagai anak, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu ibu bapa yang semakin tua dan uzur tetapi dengan pendapatan RM620 sebulan, macam mana mahu bantu ibu bapa, untuk tanggung keperluan sendiri pun belum tentu cukup.

Saya juga pernah bekerja di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bharu. Ramai anak Kelantan termasuk para gadis yang bekerja di bandar-bandar berkenaan mengalami kejutan budaya dan menjalani hidup songsang, terutama mereka yang berasal dari desa.

Keadaan itu berlaku kerana mereka berada jauh dari pemerhatian ibu bapa dan saudara mara dan disedari apa pun yang dilakukan, tidak akan ada siapa pun tahu. Bila mengandung kerana terlanjur, anak atau janim dibuang.

Atas faktor itu, bagi saya kerajaan negeri berfardu kifayah mengadakan sebanyak mungkin peluang pekerjaan supaya anak-anak gadis umpamanya dapat bekerja dalam negeri dan dekat dengan ibu bapa supaya kegiatan mereka dapat dipantau.

Kecuali bidang pekerjaan profesional, kalau sekadar untuk bekerja kilang, menjadi pelayan kedai makan atau jurujual di gedung-gendung perniagaan, anak-anak gadis tidak sepatutnya berhijrah kerana bila berada di kota yang memerlukan sara hdup yang tinggi, macam-macam boleh berlaku untuk dapatkan wang mudah.

Walaupun barangkali dosa yang dilakukan oleh seseorang adalah tanggungan sendiri, namun pihak yang menjadi faktor penyumbang kepada sesorang itu terpaksa melakukan dosa bagi menampung keperluan hidup, akan turut sama berdosa.

Dalam konteks kes pengangguran di Kelantan, yang turut sama berdosa adalah kerajaan dan pimpinan kerajaan yang gagal membuka peluang pekerjaan.

Kalau ada peluang kerja di negeri sendiri, anak-anak gadis Kelantan tidak mungkin berhijrah keluar dan tidak akan sanggup melakukan kerja antaranya sebagai teman sosial, pelayan bar dan pusat perjudian sedangkan antara adalah lepasan sekolah Yayaysan Islam Kelantan (YIK).

SYUKRILFIRDAUS RAMLI
Tanjung Pagar, Singapura.


Kerajaan Kelantan tiada pelan bantu rakyat dapat pekerjaan
Berita Harian 2010/11/26

KURANGNYA peluang pekerjaan di Kelantan menyebabkan pengangguran meningkat kepada lebih 25,000 orang bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding kira-kira 24,000 untuk tempoh sama tahun lalu.

Kenyataan Penolong Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Kelantan, Mohamad Yaacob, yang disiarkan dalam akhbar arus perdana menyebut kurangnya peluang pekerjaan menjadi penyumbang utama pengangguran di samping faktor memilih kerja dan enggan berhijrah ke tempat lain di Malaysia.

Sementara itu, kira-kira setengah juta tenaga kerja terdiri daripada rakyat Kelantan mencari rezeki di luar serta tertumpu di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Ini dapat disaksikan apabila tiba musim perayaan, jalan Gua Musang-Kota Bharu mahupun lebuh raya Gerik-Jeli-Kota Bharu menjadi sesak dengan perantau yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing.

Persoalan penghijrahan rakyat Kelantan mencari rezeki di tempat orang tidak timbul kerana mereka diperlukan atas kelayakan, pengetahuan, kemahiran dan
kepakaran teknikal serta profesional di samping perniagaan.

Kerajaan PAS Kelantan bukan saja gagal mewujudkan peluang pekerjaan baru dan menarik pelabur asing malah, tidak mempunyai pelan jangka panjang untuk membantu golongan muda serta graduan mendapat pekerjaan.

Mereka hanya mengutamakan kuasa daripada kualiti hidup dan keadilan kepada rakyat Kelantan. Slogan dan janji kebajikan tidak cukup jika prinsip asas kepemimpinan melalui program pembangunan sumber tenaga dan sumber alam dipinggirkan.

Kurangnya kualiti hidup menyebabkan kemiskinan membelenggu, kemajuan minda dan taraf hidup tidak dapat dipertingkatkan. Malah, dasar diputuskan pemimpin gagal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

Ekonomi diri dan negeri hanya akan mantap apabila wujud perubahan pemikiran dan anjakan paradigma mitos kepada metodologi.

DR ZULKEFLEE YAACOB,
UPSI, Tanjung Malim, Perak.

MAHKAMAH PERSEKUTUAN TOLAK PETISYEN BEKAS SULTAN KELANTAN

Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam memutuskan bahawa Tengku Mahkota Kelantan berkuasa penuh sebagai sultan apabila Sultan negeri itu mengalami ketidakupayaan seperti yang peruntukkan oleh Perlembagaan Negeri Kelantan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata Perlembagaan Negeri Kelantan juga memperuntukkan bahawa Tengku Mahkota boleh melaksanakan tugas Sultan walaupun Sultan tidak mengalami ketidakupayaan.

"Kami berpendapat hanya seorang individu patut menguruskan hal ehwal Negeri Kelantan pada satu-satu masa," kata beliau.

Oleh itu, kata, Zulkefli, Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra tidak mempunyai kedudukan daripada segi undang-undang untuk meminta Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tentang persoalan berkaitan kuasa dan kewibawaan Tengku Mahkota itu ketika Sultan mengalami ketidakupayaan.
Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Md Raus Sharif dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong, sebulat suara menolak petisyen Tuanku Ismail Petra setelah membenarkan bantahan awal peguam Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili responden, Sultan Muhammad V (Tuanku Muhammad Faris Petra), bahawa ayahanda baginda tidak mempunyai bidang kuasa untuk merujuk persoalan tersebut kepada mahkamah berkenaan.

Tuanku Ismail Petra, yang memfailkan petisyen berkenaan pada 5 Mei dan 22 Jun tahun ini, menamakan Sultan Muhammad V dan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden.

Dalam petisyen itu, Tuanku Ismail Petra memohon Mahkamah Persekutan membuat keputusan tentang beberapa persoalan undang-undang sama ada Sultan Muhammad V, yang memangku jawatan Tengku Mahkota ketika itu, mempunyai kuasa untuk memecat atau melantik anggota Majlis Perajaan.

Satu lagi persoalan yang Tuanku Ismail Petra minta Mahkamah Persekutuan pertimbangkan ialah sama ada Sultan Muhammad V, yang menjadi Tengku Mahkota ketika itu, mempunyai kuasa untuk mengehadkan pergerakan Tuanku Ismail Petra hanya di dalam Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kelantan.

Sultan Muhammad V (Tuanku Muhammad Faris Petra) dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 24 Mei tahun lepas oleh Majlis Perajaan atas alasan ayahanda baginda gering.

Pada 13 Sept, Sultan Muhammad V dilantik sebagai Sultan Kelantan oleh Majlis Perajaan. Tuanku Ismail Petra mengalami ketidakupayaan sejak Mei tahun lepas.

Dalam penghakiman setebal 33 muka surat, Zulkefli berkata Tuanku Ismail Petra tidak boleh melaksanakan kuasa sebagai Sultan mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan, selagi Tengku Mahkota menyandang jawatan ketika baginda mengalami ketidakupayaan.

"Ini kerana, disebabkan ketidakupayaan pemetisyen (Tuanku Ismail Petra) sebagai Sultan Kelantan ketika itu, Tengku Mahkota Kelantanlah dan hanya Tengku Mahkota Kelantan sahaja yang akan melaksanakan kuasa yang diberi kepada 'Sultan' mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan," kata beliau.

Katanya Tuanku Ismail Petra hanya boleh melaksanakan kuasa itu setelah kembali semula ke Kelantan dan menyandang jawatan sebagai Sultan Kelantan.

"Mengikut fakta yang ada di hadapan kami, pemetisyen tidak berbuat demikian sebaik saja pulang ke Kelantan pada atau kira-kira pada Mac 2010. Malah, pemetisyen terus berada dalam keadaan tidak berupaya, manakala responden pertama (Sultan Muhammad V) terus menjadi Tengku Mahkota Kelantaan.

"Berlandaskan alasan di atas, pemetisyen tidak boleh melaksanakan sebarang kuasa yang diperuntukkan kepada 'Sultan' selagi ada Tengku Mahkota.

"Pemetisyen, yang mengalami ketidakupayaan, tidak boleh melaksanakan kuasa itu, melainkan beliau pulih daripada ketidakupayaan yang dialaminya," kata beliau.

Zulkefli berkata tiada bezanya antara kuasa yang dilaksanakan Sultan Muhammad V ketika baginda menjadi Tengku Mahkota Kelantan dan kuasa yang dilaksanakan seorang Sultan yang memerintah, tanpa mengira sama ada Sultan Muhammad V dilantik oleh Majlis Perajaan atau oleh Sultan kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra.

PEJABAT KERAJAAN TIDAK MILIKI CIRI KESELAMATAN

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan mengesan segelintir premis lama yang disewa oleh agensi kerajaan negeri dan pusat untuk dijadikan pejabat tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan sepenuhnya.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, bangunan berkenaan dikesan menerusi operasi yang dilakukan jabatan tersebut ke atas 50 premis kerajaan termasuk sekolah bermula pada 8 November lalu sehingga kelmarin.

Beliau berkata, menerusi operasi tersebut pihaknya mendapati aspek keselamatan untuk mencegah kebakaran di bangunan terbabit tidak begitu memuaskan dan pihak pengurusan perlu segera melakukan penyelenggaraan secepat mungkin.

Katanya, kebanyakan bangunan tersebut tidak diselenggara dengan baik terutama sistem keselamatan kebakaran seperti panel penggera yang tidak berfungsi dan boleh menyebabkan pam gelung hos tidak dapat digunakan.

"Jika sistem itu tidak berfungsi dengan baik terutama membabitkan panel penggera kebakaran, ia boleh menyebabkan keadaan lebih rumit apabila berlaku kebakaran.

"Justeru, pihak berkenaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bangunan masing-masing dalam keadaan selamat bagi memastikan tiada kerugian membabitkan harta kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah premis kerajaan di Kota Bharu, kelmarin.

Operasi tersebut melibatkan lapan pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran Bangunan Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan.

Ahmad Fakaruddin berkata, setakat ini pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap premis kerajaan sebaliknya memberi khidmat nasihat dengan memberi surat cadangan supaya ia dibaik pulih terutama bagi sistem keselamatan kebakaran.

"Sekiranya premis kerajaan dikesan masih berulang tanpa membaik pulihnya, notis akan dikeluarkan dan jika masih gagal boleh dikenakan tindakan mahkamah," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesyorkan supaya pihak pengurusan premis kerajaan lebih peka dengan membaik pulih sistem keselamatan kebakaran di bangunan masing-masing.

Beliau juga tidak menafikan, mungkin ada di kalangan pihak pengurusan premis itu terlepas pandang berkaitan keselamatan kebakaran termasuk stor, pintu rintangan api dan alat pemadam api yang tidak diselenggara dengan baik.

Tambahnya, pemeriksaan di premis kerajaan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan sistem berkaitan dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah apabila berlaku kebakaran.

PENGANGGURAN DI KELANTAN MENINGKAT

Jumlah penganggur di Kelantan meningkat kepada 25,733 orang bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding 24,336 orang untuk tempoh sama tahun lalu.

Penolong Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Kelantan, Mohamad Yaacob, berkata antara penyumbang utama kepada pertambahan itu ialah kurangnya pekerjaan di negeri itu.

Beliau berkata, faktor lain ialah sikap rakyat Kelantan yang memilih pekerjaan atau enggan berhijrah ke tempat lain kerana mahu bekerja di negeri itu.

Mohamad berkata jabatan itu sedang meningkatkan kesedaran dalam kalangan penganggur dan lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi menerusi Program Penempatan Pekerjaan (3P) Azam Kerja Peringkat Negeri 2010 yang akan diadakan di Kota Bharu hari ini dan esok.

Katanya, melalui program itu sebanyak 2,124 peluang pekerjaan akan ditawarkan yang merangkumi dalam bidang profesional dan teknikal (107); pengurusan (398); perkeranian (20); tenaga mahir dan separuh mahir (440) serta am/buruh/operator pengeluaran (1,159).

Mohamad berkata, peserta program akan diberi elaun RM100 dan tambang percuma sepanjang dua hari itu.

RELA SEDIA HADAPI BANJIR BESAR

Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mengarahkan 141,966 anggotanya di negeri ini supaya bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka melanda Kelantan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni berkata, kesemua anggota terbabit bersedia untuk digerakkan melalui Platun Bantuan Khidmat Rela (PBKR) bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Beliau berkata, pihaknya juga mungkin akan menggunakan khidmat pasukan Rela dari Terengganu dan Perak bagi membantu sekiranya keadaan memerlukan.

"Melalui PBKR, kita bukan sahaja akan menggerakkan anggota di negeri ini malah boleh menggunakan kekuatan lebih dua juta anggota di seluruh negara bagi menghulurkan bantuan.

"Misalnya di Kedah baru-baru ini, kita telah hantar ratusan anggota Rela bagi membantu mencuci rumah, dewan, masjid dan sebagainya. Pasukan kita bersedia 24 jam untuk bekerjasama dengan polis dan tentera menghadapi musim banjir," katanya selepas Majlis Pelancaran Kempen Penambahan Anggota Rela peringkat negeri ini sebuah hotel di Kota Bharu, semalam.

Hadir merasmikan majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong. Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Makhtar Mustapha dan Pemangku Pengarah Rela Negeri, Mohd. Rawi Mohamad.

Sebelum ini akhbar melaporkan, beberapa negeri di Pantai Timur termasuk bahagian Timur Johor serta Sabah dan Sarawak dijangka mengalami banjir besar berikutan peningkatan taburan hujan dengan sesetengah tempat diramal melebihi 40 peratus berbanding paras biasa.

Fenomena itu berlaku ekoran perubahan cuaca musim Monsun Timur Laut bermula awal bulan ini dan dijangka berterusan hingga awal Mac depan.

Zaidon berkata, platun pasukan itu berada di setiap daerah di negeri ini dan bersedia untuk digerakkan secara automatik sekiranya bencana itu melanda.

"Kalau daerah Tumpat misalnya dilanda banjir, kita akan hantar pasukan dari Pasir Mas dan Kuala Krai untuk membantu," katanya.

Dalam pada itu, Zaidon berkata, anggota Rela seramai 2.1 juta orang mempunyai tahap disiplin yang tinggi dengan bilangan yang dikenakan tindakan akibat masalah disiplin adalah amat terpencil.

"Kita akui ada yang dibuang dan digantung keahlian tetapi jumlahnya amat kecil sekali, setiap permohonan untuk masuk menjadi sebahagian anggota Rela kita tapis terlebih dahulu rekod mereka dengan polis," katanya.