Saturday, April 3, 2010

SERAMAI 68 PERATUS RAKYAT PUAS HATI NAJIB SEBAGAI PM

Daripada Malaysiakini

Datuk Seri Najib Razak dikatakan kini di kedudukan yang lebih mantap berbanding 12 bulan yang lalu ketika dilantik sebagai Perdana Menteri keenam Malaysia.

Menurut Merdeka Center, 68 peratus rakyat di negara ini berpuas hati dengan kepemimpinan beliau sebagai Perdana Menteri berbanding hanya 44 peratus yang menyokongnya ketika mengambilkan tampuk pemerintahan negara daripada Tun Abdullah April tahun lalu.

Keputusan itu berdasarkan kajian dan tinjauan yang dijalankan ke atas 883 pengundi berdaftar di Semenanjung Malaysia sekitar 11 Mac hingga 27 Mac lalu.

Langkah drastik, berani

Sementara itu Bernama melaporkan sepanjang setahun menerajui negara, Najib berjaya memperkenal pelbagai langkah drastik dan berani untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan menggerakkan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Kepimpinan beliau yang diuji dengan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku, selain kisah politik dalaman, dalam banyak cara meningkatkan profil negara di kalangan pelabur tempatan dan asing, terutama menerusi gagasan 1Malaysia.

Menurut Bernama, Malaysia berjaya menarik pelaburan asing yang besar - RM22.1 bilion tahun lalu dalam persekitaran yang sangat kompetitif, selain mencatatkan pertumbuhan
yang diluar jangkaan dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.6 peratus pada suku keempat 2009, hasil daripada pakej rangsangan berjumlah RM67 bilion.

Peringkat pertama pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB) pada Selasa lalus, diterima baik oleh pelbagai pihak walaupuun ada bidang berkepentingan tertentu, memerlukan penjelasan lanjut, yang dijangka lebih jelas semasa peringkat kedua pengumuman yang dijangkakan Jun ini.

MEP akan digabungkan dengan Rancangan Malaysia Ke-10.

“Pelabur mungkin mengambil sikap tunggu dan lihat hasil MEB memandangkan pengumuman peringkat kedua akan dibuat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata MEB menyediakan langkah yang lebih jelas dalam transformasi ekonomi kepada pengurus dana pada persidangan Invest Malaysia 2010 yang baru berlalu.

Malaysia bersungguh-sungguh

"Ia memberikan mereka lebih keyakinan dan menunjukkan kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh merealisasikan perancangannya," katanya.

Yusli berharap pelabur tidak lagi mempunyai pandangan skeptikal selepas pelaksanaan fasa MEB yang seterusnya.

“Pelaksanaan pakej rangsangan kedua dan siri reformasi dasar ekonomi dan pelan transformasi, meningkatkan persepsi umum dan tahap kejayaan di kalangan komuniti perniagaan semasa krisis,” kata Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng (kanan).

Usaha menggerakkan pasaran modal dan liberalisasi sektor kewangan merupakan antara langkah pertama, terutama Kewangan Islam dan industri Parbankan, yang diterima baik oleh pelabur," kata Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance Bank, Datuk Mohamed Azahari Kamil.

“Kami melihat perkembangan dan minat asing yang besar untuk membangunkan perniagaan mereka dan menggunakan Kuala Lumpur sebagai hab Kewangan Islam," katanya.
Pengumuman yang dibuat sejak setahun lepas, terutama perubahan yang dibuat terhadap Jawatankuasa Pelaburan Asing, sangat positif untuk pasaran modal, kata Yusli.

Pengurangan saham bumiputera

“Pengurangan saham Bumiputera bagi syarikat untuk penyenaraian dan struktur baharu lembaga pengarah, telah membantu menjadikan pasaran lebih cekap dan memudahkan syarikat mengumpul wang dan membuat penawaran awam permulaan (IPO)," katanya.

Walaupun banyak inisiatif disediakan semasa krisis, baru kini syarikat lebih bersedia mengumpul lebih banyak tunai dan modal dan oleh itu "kami menjangkakan lebih banyak dana akan dikumpul sekarang bersesuaian dengan kerangka kerja yang sudah tersedia."

Ketua

Penyelidik Jupiter Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata walaupun impak sepenuhnya langkah liberalisasi belum dapat dilihat kerana baru setahun dilaksanakan, namun ia sudah menunjukkan kemajuan.

”Kita perlu tunggu kerana inisiatif ini tidak membuahkan hasil semalaman tetapi mengambil masa dalam tempoh beberapa tahun," katanya.

Presiden Coca-Cola Company Pacific Group, Glenn Jordan, berkata syarikat multinasional itu sangat yakin terhadap kemajuan negara dan perniagaannya di Kuala Lumpur.

"Pelaburan RM1 bilion membuktikan komitmen kukuh Coca-Cola terhadap Malaysia dan pelanggannya dalam menawarkan pilihan minuman segar, mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu membangunkan komuniti yang baik.

Selain gagasan 1Malaysia, yang bermatlamat merapatkan hubungan sesama masyarakat, Najib juga menggariskan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang jelas berbanding Indeks Prestasi Utama (KPI), yang akan membantu menyediakan penanda aras untuk bersaing di peringkat dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd, Michael Lai.

“Perbadanan seperti kita sentiasa mempunyai objektif dan KPI yang jelas setiap tahun. Saya berpendapat ia sangat baik dari segi sejauh mana seriusnya PM kita untuk mencapai objektif dan matlamat dalam menggerakkan negara ke tahap yang lebih tinggi, dan mencapai Wawasan 2020 dalam tempoh 10 tahun yang akan datang," katanya.

Najib ada Facebook, twitter

Najib yang juga Menteri Kewangan, ialah Perdana Menteri yang terlibat secara langsung dalam medium sosial, selari dengan inisiatif jalur lebar.

Perdana Menteri mempunyai Facebook -- rangkaian sosial, akaun twitter serta blognya sendiri.
Penggunaan dunia digital sebagai satu platform penglibatan, sangat kritikal memandangkan dunia hari ini tidak lagi mengenai perhubungan satu sama satu malah sama rata di ruang siber, yang melibatkan semua pihak, termasuk generasi muda,yang kehidupan mereka kini banyak berkait rapat dengan media digital," kata Lai.

Kejayaan memacu negara keluar daripada kemelesetan, beliau bagaimanapun menghadapi cabaran yang lebih besar - mengangkat ekonomi negara yang bergantung kepada pekerja asing, keluar daripada negara berpendapatan sederhana dan merealisasikan gagasan 1Malaysia serta aspirasi negara berpendapatan tinggi, kata Yeah.

"Cabaran ini dijangka membuktikan bakat kemahiran kepimpinan pengurusan dan politik Perdana Menteri,” katanya.

Yusli berkata tumpuan berterusan perlu diberikan terhadap pembangunan modal insan yang tepat dari sistem sekolah hingga pendidikan tinggi memandangkan tumpuan adalah terhadap industri berpendapatan dan bernilai tambah yang tinggi.

Pong berkata pelaksanaan Model Ekonomi Baru merupakan langkah penting oleh Perdana Menteri dalam memastikan arah tuju ekonomi Malaysia yang lebih jelas.

Mengikut sektor, beliau berkata negara perlu membuat pelaburan yang lebih banyak dalam sektor tenaga boleh diperbaharui serta farmaseutikal, terutama dalam peneylidikan dan pembangunan modal insan.

Pasaran khusus

Negara memerlukan produk yang mampu menjadi pasaran khusus, dan dapat mewujudkan kekayaan. Inilah antara bidang baharu pertumbuhan terutama dari segi pembuatan, katanya.

Sektor awam mesti bekerjasama dengan sektor swasta bagi merealisasikan program yang dibentangkan oleh Najib dalam Model Ekonomi Baru, kata Pengerusi Perbadanan Hak Harta Intelektual Malaysia, Datuk Dr Mohd Ariffin Aton.

“Beliau memerlukan sokongan padu daripada rakyat, yang akan menjayakan program seperti Model Ekonomi Baru, terutama sektor awam,” katanya.