Sunday, January 26, 2014

Pelajar Kesal, Malu Demonstrasi Pijak Bendera Jepun Oleh Penyokong Anwar


Pelajar-pelajar Malaysia di Jepun kesal dan malu dengan demonstrasi penyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memijak dan membakar bendera Jepun di kedutaan negara itu di sini, Selasa lepas.

Perbuatan mereka ekoran Anwar dilarang memasuki Jepun selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada Ahad lepas dan diarah untuk pulang segera atau diusir keluar.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) Zed Al Habshee Syed Abdul Hamid berkata berikutan demonstrasi itu, mereka yang berada di negara matahari terbit itu malu untuk bersua dengan penduduk setempat.

"Kami sebagai rakyat Malaysia yang berada di Jepun berasa malu untuk bersua muka dengan penduduk setempat, apatah lagi memulakan bicara atau bertanyakan tentang isu itu kepada mereka.

"Ironinya, selepas insiden itu, kami masih dilayan baik, tidak menerima apa-apa tekanan atau kesan negatif yang secara langsung daripada guru-guru, rakan-rakan mahupun orang Jepun yang lain.

"Malah, stesen televisyen di sini juga masih menyiarkan rancangan tentang tempat-tempat percutian menarik di Malaysia pada minggu sama insiden itu berlaku. Itu yang menyebabkan kami malu," katanya dalam e-mel kepada Bernama di Kuala Lumpur, Ahad.

Zed Al Habshee berkata layanan baik itu menunjukkan rakyat Jepun lebih berfikiran matang dan sentiasa mahu menjaga erat hubungan diplomatik yang dijalinkan dengan Malaysia.

"Dalam masa sama, mereka juga yakin terhadap Malaysia. Itu sebab mereka tenang meskipun tahu ada rakyat kita memijak dan membakar bendera mereka," katanya.

Pada masa ini, kira-kira 3,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di Jepun terutamanya di Kanto (Tokyo) dan Kansai (Osaka) selain Hokkaido, Tohoku, Shikoku dan Kyushu.

Kebanyakan mereka mengambil jurusan kejuruteraan. Zed Al Habshee berkata tindakan penyokong Anwar adalah kerana mengikut emosi tanpa memikirkan akibatnya kepada masyarakat dan negara.

"Tidakkah mereka fikir usaha 'Dasar Pandang ke Timur' yang dilakukan oleh (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad yang melebihi 30 tahun kini, boleh rosak dan musnah dek kerana tindakan mereka? 

"Lagipun, perlakuan sesetengah pihak walaupun hanya segelintir, akan sekaligus melambangkan identiti keseluruhan rakyat di sesebuah negara itu," katanya.

Dalam insiden itu, kira-kira 30 penyokong Anwar berhimpun di luar Kedutaan Jepun bagi membantah tindakan Jepun menghalang Anwar memasuki negara itu kerana pernah disabitkan kes rasuah pada 1999 seperti yang terkandung dalam Perkara 5.1 Kawalan Imigresen Jepun dan Akta Pengiktirafan Pelarian.

Pertikai Titah Agong: Perkasa Kelantan Buat Laporan Polis

KOTA BHARU (24 Januari 2014) - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan Jumaat membuat laporan polis terhadap kenyataan seorang peguam berhubung titah Yang di-Pertuan Agong tentang hak eksklusif penggunaan kalimah Allah untuk penganut agama Islam.

Ketua Wira Perkasa Kelantan Azman Yazid bersama 50 anggota pertubuhan itu membuat laporan di Balai Polis Kota Baharu, di sini bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap peguam Edmund Bon berhubung kenyataan itu.

Ahad lepas, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah kalimah Allah merupakan hak eksklusif umat Islam dan penggunaannya dilarang dalam kalangan penganut agama lain. 

Sebagai reaksi kepada titah itu, Bon mengeluarkan kenyataan di portal bahawa Malaysia merupakan sebuah negara sekular dan bukan Islam dan oleh itu, negara ini tidak perlu mematuhi mana-mana titah dikeluarkan pemerintah negeri atau fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Azman turut memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak mencabar dan memperlekehkan kedudukan yang melibatkan kepentingan Melayu, Islam serta kemuliaan Raja-Raja Melayu.

Turut hadir ketika laporan dibuat ialah Yang Dipertua Perkasa negeri, Fauzi Mohamad dan Pengerusi Pertubuhan Barisan Darul Naim (Badar) Kamarudin Kassim.

Sementara itu, Kamarudin berkata tindakan peguam terbabit boleh mencetuskan kemarahan umat Islam serta mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

"Tindakan mengeluarkan kenyataan bahawa bukan Islam tidak perlu patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong merupakan tindakan halus yang dilakukan untuk menggambarkan bahawa selepas ini mereka tidak perlu hormat atau mendengar titah ketua negara itu," katanya.