Tuesday, November 2, 2010

KU LI - DAKWAAN KHIANATI ORANG ASLI TIDAK BENAR!

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, menafikan dakwaan PAS yang mengatakan beliau mengkhianati Orang Asli di negeri ini.

Tengku Razaleigh berkata, dakwaan bahawa beliau melarikan fail mengandungi permohonan tanah golongan itu semasa membawa Semangat 46 keluar daripada Angkatan Perpaduan Ummah dan menyertai UMNO adalah tidak benar sama sekali.

Malah fail yang dikatakan itu juga sebenarnya tidak wujud.

"Benda ni tak betul... saya pun hairan mengapa orang yang mewakili parti Islam membuat pembohongan semacam itu," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pengundi Cina di Kampung Sungai Buru, Tanah Putih di Gua Musang malam tadi.

Beliau berkata, ketika itu terdapat ramai Orang Asli di Gua Musang dan beliau dipertanggungjawab untuk menjaga kebajikan masyarakat itu oleh Angkatan Perpaduan Ummah yang ketika itu disertai PAS dan Semangat 46.

Tengku Razaleigh bersalaman dengan masyarakat Orang Asli di Pos Hau ketika membantu calon BN berkempen, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, katanya, soal kebajikan Orang Asli termasuk soal pemberian tanah tidak pernah dibincangkan oleh jawatankuasa tertinggi gabungan parti itu yang turut disertai beliau dan Presiden PAS ketika itu Datuk Fadzil Noor.

Tengku Razaleigh berkata, walaupun jentera PAS dilihat mula menyerang peribadinya, beliau tidak akan melakukan perkara yang sama terhadap calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad, yang juga Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang.

"Jika PAS nak serang (peribadi) itu mereka punya hal...dia tanggunglah (dosa)...kita hanya akan tetap menerangkan mengenai dasar kerajaan dan apa yang akan kita lakukan untuk kebajikan rakyat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak menghadapi masalah untuk menyelesaikan isu hak milik tanah khususnya membabitkan Orang Asli.

Sebaliknya, kata beliau, dakwaan ketiadaan fail atau dokumen berkaitan Orang Asli sehingga menyukarkan kerajaan negeri menyelesaikan isu berkenaan adalah tidak benar.

"Kita tak ada masalah seperti itu, tak timbul masalah yang mengatakan kita tak ada fail-fail yang berkaitan.

"Kerajaan negeri boleh dan sedang teruskan prosesnya (pemberian tanah), ia cuma ambil masa kerana perlu lalui proses tertentu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke perkampungan masyarakat Orang Asli Kampung Sendrod, Lojing di semalam.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi punca kepada masalah hak milik tanah yang membelenggu masyarakat Orang Asli.

Wan Abdul Rahim turut menegaskan Tengku Razaleigh 'menghilangkan' semua fail yang berkaitan dengan hal ehwal Orang Asli bersamanya selepas membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno pada 1996 hingga kerajaan PAS Kelantan gagal menangani isu-isu berkaitan kaum terbabit.

Dakwaan berkenaan juga merupakan serangan peribadi yang pertama daripada PAS terhadap Tengku Razaleigh walaupun terdapatnya arahan dan persetujuan supaya Ketua Umno Bahagian Gua Musang tidak 'disentuh' sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Ahmad berkata semua pihak perlu mengamalkan budaya politik yang lebih matang tanpa menyerang peribadi pihak lawan.

"Setiap parti boleh kemukakan dasar masing-masing, biar rakyat lihat dasar mana yang mereka mahukan, (serang) peribadi saya tak setuju.

"Kita perlu profesional dan matang dalam politik," katanya.

Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas Khamis ini menyaksikan pertandingan antara calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed, 44, dan calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusof, 49.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, daripada PAS akibat barah usus pada 27 September lalu.

FELDA KALAH KERANA PEGUAM, FIRMA GUAMAN

Tunggu masanya.

Felda berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam dan firma guaman yang menyebabkan ia terpaksa membayar sejumlah wang yang besar kepada peneroka di Kemahang 3, disamping menjejaskan imej Felda.

Pada 26 Ogos lepas, Felda diperintah membayar ganti rugi RM11 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah Kelantan selepas agensi tersebut gagal dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan.

Ia gara-gara peguam yang sepatutnya mewakili Felda dalam kes tuntutan 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Kelantan di Mahkamah Tinggi Kota Baharu yang bukannya menarik diri daripada kes berkenaan, sebaliknya telah berhenti kerja di firma guaman yang dilantik agensi itu semasa perbicaraan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata peguam berkenaan juga tidak mencatatkan tarikh perbicaraan kes itu dalam diari firma guaman tersebut sebelum berhenti berkhidmat.

"Di Mahkamah Tinggi Kota Baharu, peguam Felda tidak hadir dan kes dijalankan dengan memanggil saksi-saksi, seterusnya penghakiman direkodkan.

"Jika benar ada notis seminggu peguam menarik diri, sudah tentu Felda akan minta supaya penangguhan dibuat, dalam hal ini saya rasakan mungkin Felda tidak tahu peguam berkenaan menarik diri, sebab itu pada hari mahkamah bersidang wakil Felda juga tidak hadir," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu etika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di pada hari Isnin.

Mohamed Nazri berkata sekiranya peguam yang mewakili Felda hadir, sudah pasti Felda dapat membela diri dan akan membuktikan tidak terdapat sebarang penipuan bagaimana buah kelapa sawit digredkan dan perahan minyaknya.

Sehubungan itu, Mohamed Nazri berkata Felda berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap firma guaman berkenaan kerana menyebabkan ia terpaksa membayar sejumlah wang yang besar kepada peneroka disamping menjejaskan imej Felda.

Pada 26 Ogos lepas, Felda diperintah membayar ganti rugi RM11 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah Kelantan selepas agensi tersebut gagal dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Mohamed Nazri berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu pula tidak menunjukkan Felda telah melakukan penipuan dalam aktiviti perahan minyak dan penggredan buah kelapa sawit peneroka berkenaan.

"Rayuan berkenaan ditolak kerana Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman yang dibuat Felda. Dengan keputusan tersebut, bermakna penghakiman di Mahkamah Tinggi Kota Baharu terpakai," katanya.

RASUAH – PAS HALALKAN JIKA IA HANYA SEBAGAI MEDIUM

Daripada hambali1

Nak heran apa Tok Pa Oiii...Rasuah dalam PAS dan PAS rasuah sudah lama.

Bagi PAS, rasuah itu hanya berlaku jika pemberi itu parti atau orang PAS. Kalau orang tengah, penaja atau NGO yang berikan bagi pihak PAS, itu tidak rasuah. Kerana apa? PAS hanya jadi medium atau perantara.

Hebat dan tabik kepada cara dan fatwa PAS ini!

Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed – Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan) semacam terpinga-pinga mengetahui PAS secara terang-terangan cuba membeli undi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas agar pulang mengundi pada 4 November ini .

Pas tawar habuan sehingga RM250 kepada 1,557 pengundi luar yang berdaftar dan kembali mengundi di Galas Khamis ini.


"Ini adalah terang-terangngan satu rasuah untuk mendapat undi, kalau dulunya mereka menghentam kita bermacam-macam (tuduhan), tapi sekarang mereka yang mengamalkannya.

"Mereka sudah banyak berubah, mereka adalah sebuah parti yang tidak konsisten, jadi rakyat Kelantan amat mengenali PAS," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Kampung Baru Hulu di Gua Musang semalam.

Tok Pa bekata, PAS merupakan parti yang tidak konsisten dalam perjuangannya kerana kini parti itu secara terang-terangan mengamalkan rasuah.

PAS bukan mengamalkan rasuah dalam bentuk wang sahaja. Ia juga menawarkan syurga kepada orang tua.

PAS tidak akan boleh diubah. Lihatlah, walaupun menerima kecaman pelbagai pihak, PAS tetap mahu menawarkan habuan sehingga RM250 kepada 1,557 pengundi luar agar pulang mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Khamis ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menegaskan PAS hanya menjadi 'orang tengah' bagi menguruskan pemberian habuan berkenaan.

Jelasnya, peruntukan sumber kewangan yang akan diberikan itu adalah hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)sebagai insentif galakkan supaya pengundi luar pulang mengundi.

"Bukan PAS yang bagi wang itu sebaliknya disumbangkan NGO tertentu yang tak boleh saya nyatakan. Kita akan bagi juga kerana pemberian habuan berkenaan tidak menggunakan wang tabung atau dana parti PAS secara langsung...PAS hanya jadi medium untuk salurkan wang itu sahaja," katanya ketika
dihubungi mStar Online malam semalam.

Selain itu Abdul Halim berkata, pemberian wang berkenaan hanya akan dilakukan selepas pengundi-pengundi berkenaan selesai membuang undi.

"Kita hanya bayar selepas mereka selesai mengundi, tindakan itu bukan bermakna kita beli undi kerana kita sendiri pun tak tahu parti mana yang mereka pangkah (undi).

Mungkin kalau kita beri wang itu sebelum mengundi boleh disifatkan sebagai kesalahan, tapi apa yang akan kita lakukan adalah sebaliknya...lagipun wang itu hanya pembayaran kepada servis kenderaan mereka," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata habuan itu merupakan perbuatan sogokan dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana pemberian wang berkenaan boleh disifatkan sebagai pemberian sogokan bagi tujuan membeli undi.

Bagi Tok Pa, beliau menyerahkan kepada pihak bekuasa termasuk Suruhanjaya Pecegahan Rasuan Malaysia (SPRM) untuk bertindak. Ini kerana di pihak BN kata Mustapa: "Saya tak tahu (ada tawaran), tak ada tawaran apa-apa."

Itu hal duit. Bagaimana pula taktik taktik kotor diadakan semula oleh PAS yang cuba mempengaruhi pengundi warga emas di sesetengah kawasan dengan mendakwa undi PAS masuk syurga.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman kelmarin ketika pihaknya mengadakan kempen rumah ke rumah di beberapa buah kampung sejak lima hari lalu.

Ekoran itu beliau berkata, Wanita UMNO terpaksa memberi penjelasan kepada kumpulan pengundi terbabit bahawa penentuan syurga atau neraka merupakan hak Allah dan bukannya PAS.

''Saya tidak sangka yang PAS masih lagi memainkan isu pangkah Pas masuk syurga terutama di kalangan pengundi-pengundi warga emas. Kami terpaksa memberi penjelasan supaya mereka sedar kempen yang dijalankan oleh jentera Pas itu tidak benar.

Akhirnya mereka faham penentuan syurga dan neraka adalah hak Allah. Apa yang kami lakukan ini bukan setakat berkempen malah turut memberi kesedaran kepada penduduk setempat mengenai perbezaan antara Islam dan PAS."

Bagi saya kedua-dua perkara ini tidak mengejutkan kalau sebut PAS. Ini kerana dalam apa juga pilihan raya, PAS akan menghalalkan apa saja cara – yang penting seperti saya ulang banyak kali – PAS hanya mahu menang pilihan raya!

LADANG RAKYAT - PAS TIDAK AMAL ISLAM SEBENAR?

Ladang rakyat yang tidak pernah menjadi kenyataan

Kejadian penduduk tertipu dengan penubuhan Ladang Rakyat tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan Pas Kelantan benar-benar jujur dalam menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, bagi menjadikan projek itu satu kenyataan Pas sanggup memperdaya penduduk dengan pelbagai janji tanpa mengambil kira kemampuan untuk menunaikannya walaupun sedar ia jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang kononnya diamalkan parti itu.

"Memang tak patut berlaku. Sepatutnya kes-kes menipu rakyat tak boleh berlaku. Seharusnya Pas menjadi contoh...Islam ini bukan sekadar diucap tetapi perlu dipraktikkan apa yang diucapkan. Kita, BN (Barisan Nasional) tak cakap soal Islam secara lebih tetapi kita melaksanakannya," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis penyerahan hadiah kempen deposit Agrobank di Gua Musang, semalam.

Noh berkata demikian mengulas isu Ladang Rakyat di Hulu Kelantan yang kononnya dilaksanakan untuk kebaikan 400 Orang Asli mula dipersoalkan kerana terdapat peserta mendakwa diperdaya apabila tanah yang diusahakan sejak sekian lama diambil kerajaan negeri untuk diusahakan pihak luar.

Beliau berkata, rakyat perlu menjadikan isu itu sebagai panduan dalam menilai kejujuran kerajaan Pas dan BN membantu rakyat kerana sememangnya mudah untuk berjanji tetapi sejauh mana janji itu mampu ditunaikan perlu juga diberi perhatian.

Menjadikan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dilaksanakan kementerian sebagai contoh Noh berkata, kejayaan projek berkeluasan 7,000 hektar yang disertai lebih 2,000 peserta di seluruh negara itu tidak bersandarkan janji semata-mata sebaliknya kerajaan merangka dan menyediakan peruntukan RM150 juta bagi memastikan perancangan yang dibuat terlaksana.

"Tanah yang diusahakan ada antaranya disediakan oleh kerajaan negeri dan juga tanah milik kementerian. Tetapi apabila kita kata nak tolong rakyat kita bagi peruntukan. Bagi TKPM, kementerian sediakan peruntukan kira-kira RM20,000 untuk sehektar.

"Inilah kelebihan kerajaan BN, dengan dasar yang disusun berserta peruntukan yang disediakan maka hari ini kita lihat negara kita kalau dibandingkan dengan negara-negara lain yang menikmati kemerdekaan pada masa yang sama, negara kita lebih maju dalam bidang pertanian daripada mereka," katanya.

Beliau berkata, apabila rakyat mempersoalkan mengenai janji-janji pembangunan yang dibuat, kerajaan negeri akan mengalihkan kesalahan tersebut kepada kerajaan BN dengan mendakwa tiada peruntukan diberikan.

"Kita nak minta rakyat menilai janji-janji kerajaan pembangkang sebab yang paling mudah sekali adalah berjanji, janji tak perlu modal dan nak janji pada rakyat hanya pakai air liur dengan lidah," katanya.