Friday, September 18, 2015

PAS Bimbang 10 Wakil Rakyatnya Di Kelantan Sertai Amanah...


PAS Kelantan yakin 10 wakil rakyatnya di negeri itu tidak akan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang sedang dalam proses pendaftaran.

ia menyifatkan dakwaan untuk melompat parti hanya khabar angin atau gerak saraf daripada pihak lawan.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semalam, parti itu (Amanah) pun tak ada lagi, sekarang yang ada Parti Pekerja-Pekerja Malaysia.

"Kita kena tengok dulu. Dia (Amanah) kena pastikan ia wujud terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan pengerusi Amanah negeri ini Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang dilapor sebagai berkata 10 wakil rakyat PAS di negeri ini akan menyertai Amanah pada Januari tahun depan.

Sebelum ini, selain kenyataan Wan Abdul Rahim mengenai ADUN PAS, dikatakan kerajaan Kelantan turut membuat pemeriksaan terhadap kakitangan kerajaan sekiranya ada yangmenyokong Amanah.

Menurut sebuah blog, dengan tajuk "Pimpinan Ahmad Taakub Sudah Tidak Diyakini?" beberapa hari lalu tersebar sekeping surat perkeliling yang dikeluarkan oleh pejabat MB Kelantan yang mengarahkan ketua-ketua jabatan di negeri itu agar membuat semakan dan pemeriksaan terhadap kaki tangan masing-masing yang terlibat dengan sebarang kegiatan yang bercanggah dengan dasar kerajaan dan terlibat dengan parti Amanah.

Yidak diketahui sejauh mana benar laporan berkenaan.

Antara jabatan yang terlibat dengan pekeliling itu ialah, Pusat Kajian Strategi yang merupakan badan kajian politik untuk Pas, Tabung Amanah Tok Kenali, merupakan tabung pendidikan, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Urusan Belia dan Sukan dan Urusan Pembangunan Wanita, Keluaraga dan Kebajikan, Urusetia Penghulu dan Institiut Pemikiran Tokguru.

Surat arahan itu bertarikh 9 September 2015 dan arahan itu perlu diselesaikan pada 23 September 2015. Yang menanda tangan surat pekeliling itu ialah Setiausaha Politik MB, bernama Wan Mohd Roslan Wan Mamat.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata wakil rakyat PAS masih setia dengan parti dan tidak mudah untuk melompat parti kerana terikat dengan bai'ah dan lafaz taklik cerai talak tiga yang dikenakan PAS kepada semua wakil rakyatnya di Kelantan.

Beliau berkata kesemua mereka yang didakwa terlibat juga tidak perlu dipanggil untuk menjalani siasatan.

"Saya percaya dengan rakan-rakan saya di Kelantan, tak perlu panggil sebab kita kenal semua mereka dan kita tahu mereka akan kekal bersama kita," katanya.

"Kita tak pasti Amanah wujud atau tak sebab ia (penubuhannya) melibatkan soal undang-undang dan kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).