Saturday, June 20, 2009

KONTRAKTOR ‘KRONI’ LEWATKAN LPT FASA 2

Oleh SM Noor (buletinonline.net)
Friday, 19 June 2009 01:05

KUALA TERENGGANU - Dua kontraktor melaksanakan kerja-kerja pembinaan Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) telah menarik diri menyebabkan ia akan hanya dijangka siap pada 2012.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said berkata seorang kontraktor sudah menghantar surat menarik diri, manakala seorang lagi dalam proses berbuat demikian.

Katanya kontraktor itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.

“Harga bitumen yang tinggi menyebabkan kontraktor itu menarik diri kerana tidak mampu. Jika mereka teruskan juga kerja-kerja itu, mereka akan mengalami kerugian yang besar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini kelmarin.

Bagaimanapun sumber dalaman Buletinonline memberitahu, kedua-dua kontraktor yang menarik diri itu adalah kontraktor ‘kroni’ yang tidak mampu meneruskan pembinaan tersebut kerana hanya mengharapkan sokongan dan bantuan kerajaan.

Beliau yang turut terlibat dengan pembinaan lebuhraya itu berkata, kontraktor berkenaan dianggap istimewa kerana bukan hanya mendapat satu pakej, sebaliknya telah dianugerahkan 2 pakej projek lebuhraya yang pertama ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya itu.

”GPQ/Bukit Puteri JV mendapat pakej mendapat pakej 1C dan pakej 11 manakala Arah Jitu Sdn Bhd mendapat pakej 8 dan pakej 9B,”katanya ketika dihubungi Buletinonline semalam.

Semakan Buletinonline mendapati GPQ merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang beralamat di Tingkat 2, Menara Permint, Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu.

GPQ/ Bukit Puteri JV adalah syarikat usahasama yang ditubuhkan untuk mendapatkan tender pembinaan LPT2 bagi tujuan mengagih-agihkan konrak tersebut kepada beberapa kroni dizaman pemerintahan Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pakej 1C adalah kontrak membina lebuhraya sepanjang 6.2 km dari Sungai Jabur ke Ladang Bukit Sah di Kemaman dan Pakej 11 sepanjang 5.9 km dari Bukit Petiti ke Telemong di Hulu Terengganu.

Selepas mendapat tender pakej 11 pada tahun 2005, dua tahun kemudian, GPQ/Bukit Puteri dianugerahkan pula pakej 1C pada tahun 2007.

Melalui kedua-dua tender anugerah itu, GPQ/Bukit Puteri JV meraih projek bernilai hampir RM 150 juta dengan pakej 1C bernilai RM90,000,000.00 dan pakej 11 bernilai RM57,961,710.50.

GPQ/ Bukit Puteri JV menarik diri dari membina pakej 1C kerana sehingga April, 2009 syarikat tersebut gagal mencapai sasaran dan hanya melaksanakan 3.7% kerja dari sasaran 15.1% sebagaimana jadual (dibawah).

Syarikat kedua, Arah Jitu Sdn Bhd. pula beralamat di 343E Bangunan Umno, Kuala Terengganu 21700, Terengganu dan, atau No. 47, Jalan 2/27 F Seksyen 5, Pusat Bandar Wangsa Maju (KLSE), 53300 Kuala Lumpur.

Arah Jitu Sdn Bhd mendapat pakej 8 sepanjang 6.8 km dari Felda Kerteh 6 ke Hutan Simpan Santong, dan pakej 9B sepanjang 5.2km di lokasi Hutan Simpan Bukit Bauk dan Ladang Ternak Genetik, Dungun.

Dengan dianugerahkan kedua-dua tender tersebut, Arah Jitu Sdn Bhd sepatutnya mendapat perolehan sebanyak RM 110 juta dengan tender pakej 8 yang bernilai RM50,823,220.00 manakala pakej 9B bernilai RM59,215,000.00.

Arah Jitu Sdn Bhd mungkin menarik diri dari pembinaan pakej 9B kerana syarikat tersebut hanya mampu melaksanakan 14.6% dari sasaran 26.7% mengikut jadual.

Sumber tersebut memberitahu, kegagalan kerajaan UMNO/BN menyiapkan LPT2 pada tempoh sebagaimana yang dijadualkan adalah disebabkan oleh dasar kerajaan sendiri.

Katanya harga bitumen yang melambung disebabkan oleh kerajaan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menaikkan harga minyak secara tergesa-gesa dan melampau pada Jun 2008.

Walaupun kini, harga minyak telah turun, namun kebanyakkan harga barang dan perkhidmatan tidak turun kerana kerajaan telah hilang kawalan terhadap pemborong dan pembekal.

”Bitumen adalah bahan yang berasaskan minyak, sepatutnya harga bitumen turun sekiranya harga minyak turun,

”Namun hingga kini, harga bitumen tidak turun, walaupun harga minyak telah lama diturunkan,”jelasnya.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu bertanggungjawab keatas kenaikkan kos yang berlaku keatas pembinaan lebuhraya berkenaan.

Namun begitu, pendedahan yang dibuat Ahmad Said tentang kelewatan pembinaan LPT2 kepada umum dilihat mempunyai kaitannya dengan perbalahan kumpulan yang menyokongnya dengan kumpulan Idris Jusoh.

”Ahmad mendedahkan masalah pembinaan LPT2 yang terlewat selepas runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan,

”ia akan memberikan impak negatif berganda kepada kegagalan Idris mentadbir negeri Terengganu kerana kedua-dua projek mega itu dilaksanakan pada zaman Idris,”tambahnya

.