Wednesday, December 31, 2008

APA SUDAH JADI DENGAN PKR?

sumber: mstar.com

Lebih 50 pemimpin India mengugut akan keluar daripada Pakatan Rakyat dan tubuh parti sendiri.

Pemimpin India peringkat nasional dalam Pakatan Rakyat bertemu di Kuala Lumpur hari ini - pertemuan terbesar sejak pilihan raya umum Mac lalu - bagi menentukan hala tuju kedudukan dan sokongan mereka dalam ikatan pembangkang itu.

Pertemuan yang dilihat sebagai “amat penting” akan membincangkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan ekoran dakwaan bahawa masyarakat India juga terus ‘didiskriminasi dan dipinggirkan’ oleh kepimpinan ikatan pembangkang itu.

Forum hari ini yang berpusatkan isu Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam, yang telah mengumumkan hasrat untuk keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan membincangkan beberapa opsyen.

Antara opsyen ialah keluar beramai-ramai daripada Pakatan Rakyat dan menubuhkan parti sendiri yang bagi mewakili kepentingan masyarakat India ataupun kekal dalam Pakatan Rakyat dengan terus mendesak agar tuntutan masyarakat India dibela dengan adil dan lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pertemuan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat India.Ketika dihubungi mStar Online lewat petang kelmarin, Pengerusinya, P. Jenapala berkata, “kami mengadakan pertemuan ini untuk mencapai satu pendirian kukuh sama ada mahu kekal dalam PKR, Pakatan ataupun sebaliknya.”

“Jika mahu kekal, kami akan kekal bersama dan jika mahu keluar, kami akan keluar bersama,” kata beliau sambil menegaskan, pertemuan esok sebagai adalah amat penting bagi menentukan nasib masyarakat India selepas sembilan bulan pilihan raya umum ke-12 berlalu.

Jenapala merupakan Timbalan Setiausaha Agung PKR dan telah menyatakan hasrat untuk keluar PKR minggu lalu.Sambil mengakui sudah wujud perasaan tidak puas hati di kalangan sebahagian besar ahli dan pemimpin India dalam Pakatan Rakyat, Jenapala memberitahu, pihaknya mahu mengambil satu pendirian bersama diambil bagi memastikan kepentingan masyarakat India di negara ini terus dipertahankan dalam Pakatan Rakyat.

“Sejak kebelakangan ini banyak pemimpin dan wakil rakyat India dalam Pakatan Rakyat menyatakan pendirian masing-masing, satu persatu satu tentang rasa tidak puas hati mereka.”Jadi kami hendak mendengar semua pandangan bersama dan membuat satu pendirian bersama,” kata beliau.

Beliau menambah, ramai di kalangan pemimpin India dalam Pakatan Rakyat khususnya dalam PKR menyedari bahawa “mereka tidak boleh kembali kepada Barisan Nasional.”

“Kami mahu tubuhkan satu badan di bawah satu payung iaitu mempunyai satu parti sendiri,” katanya.

Justeru, katanya, perlu membuat pendirian tegas untuk menentukan hala tuju masa depan dengan kemungkinan memikirkan menubuhkan sebuah parti baru bagi masyarakat India.
Jelas beliau, rasa tidak puas hati timbul sekitar isu pelantikan pemimpin India untuk memegang jawatan sebagai ahli majlis kerajaan tempatan serta memegang jawatan dalam agensi-agensi hubung kait kerajaan (GLC) dan dalam jawatankuasa kampung.

Pertemuan itu diadakan lima hari selepas Manikavasagam menyatakan hasrat untuk keluar PKR, yang dijadual diumumkan Rabu ini.

Pendirian Manikavasagam itu juga berkisar pada perkembangan dalam Pakatan Rakyat dan juga PKR, salah satu komponen ikatan pembangkang itu.Pakatan Rakyat dibentuk selepas prestasi pembangkang dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.Manikavasagam juga dijadual mengumumkan pendiriannya selepas pertemuan tersebut.

Dianggarkan 150,000 ahli parti komponen Pakatan Rakyat merupakan masyarakat India.
Malah hari ini, mesyuarat Biro Politik iaitu badan tertinggi penentu dasar politik parti itu akan membincangkan semua perkara yang berkaitan dan mencari penyelesaian.

Ia akan dipengerusikan oleh Syed Husin sendiri memandangkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar ibu negara sehingga 6 Januari ini.PKR adalah anggota komponen Pakatan Rakyat yang memerintah lima negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Sunday, December 21, 2008

ALAHAI MAT SABU...

Mohamad Sabu (Mat Sabu) tidak berputus asa.

Dia tahu sebelah kakinya kini sudah berada dalam kelompok calon PAS yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu, 17 Januari nanti.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berharap parti itu terus mengekalkan Mat Sabu sebagai calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Nik Aziz yakin Naib Presiden Pas itu mampu membawa kemenangan kepada parti. Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.

Mat Sabu, calon yang kalah dalam pilihan raya umum lalu bagi kerusi berkenaan yang juga Naib Presiden berkata pada 11 Disember lalu , beliau akan tetap memberi sokongan kepada siapa sahaja calon yang dipilih parti itu untuk bertanding pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

"Saya akan tetap sokong siapa jua calon yang dipilih oleh parti," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani yang mahukan bakal calon PAS terdiri daripada anak tempatan.

Mat Sabu sebagai veteran PAS berkata perkara tersebut biasa berlaku dalam parti dan sesiapa sahaja boleh mengemukakan pandangan dalam isu berkenaan.

Kijang kesian kat Mat Sabu kerana dia sudah pun mendapat sokongan padu Musyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namun, nampak gayanya, Mat Sabu akan melopong kerana PAS Terengganu akan veto pandangan ‘Tok Guru’ itu.

Selain Nik Aziz, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin juga ada pandangan tersendiri selepas berbincang dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali mengenai perkara iu.

Kedua-dua mereka memberikan ceramah di Masjid Rusila baru-baru ini dan perkara itu dikatakan turut dibincangkan.

Ikuti kisah ‘Kasihan Mat Sabu... ‘
mesintaipburuk.blogspot.com(9 december 2008)

Selain mangsa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, aku turut bersimpati dengan nasib Naib Presiden Pas, Mat Sabu. Mana taknya, dialah pemimpin tertinggi parti itu yang tidak dapat menikmati elaun wakil rakyat selepas gelombang tsunami politik pada PRU-12. Mat Sabu, ya Mat Sabu(t) umpama lebai malang...

Mat Sabu cukup terkenal di kalangan puak2 Pas sebab dia adalah penglipur lara Pas. Setiap kali beri ceramah ramai yang terbahak2 gelak dengan cerita2 yang dibawa, sama ada benar atau rekaan semata-mata tak penting. Yang penting orang seronok. Seronok belum tentu setuju dan menyokong. Ya, Mat Sabu... Mat Sabu yang pernah ditangkap berkhalwat dengan isteri orang tetapi "terlepas" selepas mendapat pembelaan dari peguam seorang bekas Ketua Hakim Negara.

Setahu aku Mat Sabu orang Kedah tetapi (kesihan) setiap kali PRU dia terpaksa mencari kawasan diluar Kedah untuk bertanding. Seingat aku PRU tahun 1999 dia bertanding di Kuala Kedah dan menang tetapi pada 2004 dia kalah. Dia pernah bertanding di Kelantan. Pada PRU-12 dia mahu bertanding di Pulau Pinang sebab yakin selamat tetapi akur dengan keputusan Pas pusat yang meletaknya di Kuala Terengganu.

Aku percaya Mat Sabu paling menyesal sebab kalau dia bertanding di Pulau Pinang sudah pasti dia menang dan mungkin dah jadi Timbalan Ketua Menteri tetapi dia memilih Terengganu tepatnya Parlimen Kuala Terengganu dan dia kalah kepada Datuk Razali Ismail. Mungkin yakin Pas dapat merampas kembali Terengganu maka dia bersedia bertanding di negeri keropok lekor itu.

Nyata ramalannya silap sebab dia kalah di sana. Selepas ditolak oleh pengundi di Kuala Terengganu, dia cuba nasib untuk mengalahkan Razali melalui mahkamah dengan mengemukakan petisyen tetapi ditolak. Kesian...

Dan ketika harapannya untuk bergelar wakil rakyat dimusnahkan oleh mahkamah maka peluangnya datang kembali selepas Razali meninggal dunia secara mengejut baru-baru ini. Maka pilihan raya kecil (PRK) Kuala Terengganu bakal diadakan bulan depan. A'hah... inilah peluang beliau untuk kembali bertanding di sana dan Tok Guru Nik Aziz pun dah bagi "green light" supaya Mat Sabut bertanding semula di Kuala Terengganu.

Tetapi nyatalah nasib Mat Sabu umpama lebai malang apabila puak2 Pas Terengganu menolak Mat Sabu untuk bertanding di sana dengan alasan Mat Sabu orang luar, orang Kedah bukan orang Terengganu. Mungkin sebab Mat Sabu bercakap tak cukup "g" berbanding orang Terengganu yang terlebih "g" maka pencalonan Mat Sabu ditolak oleh orangnya sendiri.

Maka kini Mat Sabu hanya menggigit jari ketika rakan2 lain dalam Pas menikmati elaun ADUN atau Parlimen dan bergelar wakil rakyat. Maka harapan Mat Sabu, Naib Presiden Pas musnah dan kini terpaksa meneruskan kerjayanya selaku tukang karut parti.

Mat Sabu kena tunggu lagi PRU-13, dan aku syorkan pada pilihan raya akan datang dia bertanding di Sabah atau Sarawak sebab dua negeri itu akan ditakluk oleh pembangkang sepertimana angan2 Anwar Ibrahim. Macam mana Mat Sabu?

Inilah pandangan orang tua2 untung sabut timbul, untung batu tenggelam tetapi Mat Sabu(t) sentiasa tenggelam...! Kasihan...

Bagi Mat Sabu mudah saja, iaitu hak menentukan calon terletak di tangan pucuk pimpinan parti itu. "Siapa jua calon tidak penting kerana semuanya tertakluk kepada keputusan PAS Pusat. "Saya akan terima apa jua keputusan parti. Apa pun kita tunggu keputusan parti mengenai calon kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 21 Disember ini," katanya.
Tambahnya, beliau akan tetap turun berkempen biarpun jika dirinya tidak terpilih sebagai calon bagi memastikan kemenangan calon PAS nanti.

Friday, December 19, 2008

TV3 MINTALAH MAAF

Siapa tak marah. Laporan sedemikian banyak kesan negatifnya.

Kerana itu menurut Berita Harian, hari ini gan Negeri (DUN) Terengganu panas seketika semalam, apabila Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mendakwa TV3 cuba menjatuhkannya dengan melaporkan fakta yang salah mengenai beberapa anak syarikat kerajaan negeri yang mengalami kerugian dalam slot Buletin Utama kelmarin.

Beliau berkata, Buletin Utama yang melaporkan kenyataan bahawa tiga anak syarikat kerajaan negeri iaitu Golden Pharos Bhd, Permint Sutera Semai Sdn Bhd dan Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn Bhd akan ditutup adalah tidak benar.

"Ini syarikat ada kepentingan awam, saya tak mahu ulas panjang. Tetapi, semalam (kelmarin) TV3 salah lapor, kata saya nak tutup Golden Pharos... saya sedih. TV3 memang nak buat saya sokmo (selalu).. dari dulu lagi ada agenda.

"Saya ingin jelaskan di dalam dewan ini, TV3 mempunyai niat jahat terhadap saya, termasuk ketika krisis pelantikan saya sebagai Menteri Besar (MB) dulu, keluar berita Badan Pencegah Rasuah (BPR) siasat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal. Apabila Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kata Ahmad dipilih sebagai MB, keluar pula berita Adun Kijal disiasat BPR.

"Kemudian, apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno mengesahkan Ahmad Said sebagai MB, keluar lagi saya warning (beri amaran) dia (TV3), kalau keluar lagi saya saman, sedangkan BPR tak pernah siasat saya berkenaan kes itu (enam projek termasuk tiga projek menambak tanah di Kemaman)," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan DUN di sini, semalam.

Serentak itu, Yang Dipertua DUN, Datuk Tengku Putera Awang mengesahkan bahawa laporan dikeluarkan TV3 mengenai kedudukan anak syarikat kerajaan negeri itu mengelirukan serta tidak selaras dengan kenyataan Ahmad dan meminta pihak media mengambil perhatian serius.
Sambil menyatakan kekesalan dengan kesilapan laporan dan fakta mengenai isu terbabit, Ahmad menjelaskan, beliau cuma menyebut beberapa contoh anak syarikat yang mengalami kerugian dan menyatakan kemungkinan anak syarikat yang tidak menghasilkan keuntungan untuk jangka masa terlalu lama akan ditutup.

Bagaimanapun katanya, sebelum tindakan itu dilaksanakan, langkah pemulihan akan dilakukan dengan meletakkan semua entiti perniagaan milik kerajaan negeri di bawah 'Management Holding Company', iaitu Terengganu Incorporated (TI) serta menstruktur semula sistem pengurusan, garis panduan, dasar, mekanisme pemantauan dan kaedah yang selaras bagi menjana keuntungan kepada rakyat.

Ahmad berkata, walaupun jumlah terkumpul untung rugi anak syarikat terbabit menunjukkan kerugian, jumlahnya semakin berkurangan dan ia adalah satu perkembangan baik apabila jumlah untung bersih diperoleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari 2004 hingga 2007 meningkat 17.68 peratus atau RM27.4 juta.

Tuesday, December 16, 2008

AGENSI PROPAGANDA MELAYU GAGAL?

Kijang tertarik dengan sebuah posting bertajuk Agensi-agensi gerak saraf Melayu gagal, disiaran melalui laman Mummy Rokiah (mummyrokiah.blogspot.com) 8 December 8, 2008 kerana ia mengajak kita berfikir secara terbuka.

Kata Mummy Rokiah:

“Semalam kawan Mummy ajak keluar dinner di salah sebuah restauran lima bintang di Kuala Lumpur. Temujanjaji yang sudah seminggu tertangguh terpaksa Mummy penuhi bukan kerana memilih tempat tetapi atas kehendak sahabat tersebut yang ingin “privacy”. Lagipun Mummy baru baru balik dari “outstation”.

Katanya apabila kita menyentuh isu ketuanan Melayu, Islam dan Majlis Fatwa, Raja-raja Melayu dan kontrak social jangan dipersalahkan parti-parti politik sahaja. Kita harus bongkar peranan-peranan agensi-agensi propaganda dan gerak saraf Melayu yang sudah lapuk dan gagal memainkan peranan mereka. Banyak Negara-negara bekas penjajahan British serba sedikit masih mewarisi strategi-strategi gerak saraf British yang sudah lapuk. “Our early warning system failed” kata rakan Mummy.

Contoh yang terbaru ialah Mumbai Attack di India. Pihak keselamatan India langsung tidak dapat menghidu pergerakkan terrorist. Begitu juga insiden London Bombers di London satu ketika dahulu. Begitu juga dalam negara kita apabila golongan minority iaitu Hindraf yang tak pernah kita sangka telah bangun dengan anggkuh menunjuk perasaan mereka dan menuntut perkara-perkara yang tidak masuk akal.


Pengajaran yang paling parah dan terbukti ialah PRU12 yang lepas apabila gerak saraf BN langsung gagal mengidu pergerakkan pembangkang dan mengalami trauma Tsunami politik yang sampai sekarang masih terasa bahananya. Samada kita sedar atau tidak sedar ada beberapa agensi propadanga dan gerak saraf yang ditubuhkan kerajaan Melayu untuk memainkan peranan physwar dan psy op mempertahankan Ketuanan Melayu tetapi gagal.

Agensi-agensi ini seperti Kemas, JASA, Jabatan Penerangan, Kementrian Penerangan, Kementerian Dalam negeri, GPMS dan banyak lagi yang disembunyikan.
Mereka yang tahu sahaja mengetahui entah berapa banyak peruntukan disalurkan kepada agensi-agensi ini untuk bergerak dengan bijak dan bermuslihat untuk menegakkan ketuanan Melayu tetapi lumpuh samasekali.

Pegawai-pegawai mereka yang “government oriented”, buta IT, selesa dalam pejabat dan tidak hands on, tua dan kuno, tidak menerima idea-idea baru dari orang muda, pekat birokrasi, berlegar-berlegar dengan redtape dan berbagai-bagai lagi yang tidak praktikal.


Akibatnya mereka disapu bersih oleh propaganda-propaganda baru melalui internet dan serangan cyber yang lebih cepat dan efektif.
Kegagalan mereka mungkin dari beberapa sebab. Yang ketara ialah Pengarah-pengarah mereka sudah kolot dan ketinggalan zaman.

Pengarah-pengarah ini diletakan sekadar memberi pekerjaan selepas pencen bukan nya untuk bekerja.
Strategi mereka telah lapuk tidak “up to date” dan ditelan mentah-mentah oleh media-media baru seperti bloggers dan laman-laman web yang terancang.

Banyak aktiviti mereka lebih kepada “syiok sendiri” dan berpolitiking serta memihak kepada pemimpin-pemimpin individu dari perjuangan untuk Melayu.
Sebagai contoh peranan Kemas lebih kepada kempen untuk Mat Taib yang dah lapuk.

Peranan JASA lebih kepada bekas menteri mereka Zahid Hamidi dan mana-mana pemimpin yang boleh mereka berpaut untuk jadi wakil rakyat. Kementerian Penerangan berkiblat kepada menteri mereka. Apabila berbangkit isu mencabar ketuanan Melayu, Social Kontrak dan Majlis Fatwa mereka lambat bertindak. Langsung lesu, mandom dan lumpuh. Laporan lebih kepada laporan di atas kertas tidak ada apa hasil dan tindakan.

Laporan mereka lebih selalu “bias” hanya membodek dan harapan dinaikan pangkat. Maklumat-maklumat yang sepatutnya sulit boleh dibeli dengan sepinggan nasi kandaq.
Menurut sahabat Mummy mereka ada juga “planted” bloggers-bloggers mereka tetapi semuanya tidak cerdik.

Lebih kepada politicking budak mentah tidak strategik dan cetek fakta mereka.
Seharusnya Najib membuat satu rombakan yang holistic berhubung strategi geraksaraf ini seperti yang Najib selalu raung-raungkan seperti dalam buku bacaannya “Blue Ocean Strategy”, make your competitors irrelevant.

Kijang setuju 100 peratus!

Sunday, December 14, 2008

PERTELINGKAHAN KUMPULAN ERDOGAN, HADI TERSERLAH

Kijang dah agak dah. Akan berlaku pertelingkahan puak-puak dalam PAS.

Dulu bila cakap orang tidak percaya terutamanya puak-puak dalam PAS sendiri.

Kini Setiausaha presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berdepan dengan tuduhan liar di internet apabila didakwa memainkan "peranan subversif" untuk menyingkirkan "kumpulan Erdogan" di Selangor.

Bagaimanapun Roslan Shahir Mohd Shahir, yang dilantik ketua penerangan PAS negeri baru-baru ini, enggan mengulas lanjut tuduhan serius itu di Malaysia Waves, blog yang mendedahkan pergeseran dalam parti itu.

Berbeza dengan Anti Husam yang menentang "kumpulan Erdogan", blog yang ditulis aktivis muda parti - yang dikenali Tulang Besi - membela kumpulan tersebut dan menjadikan kumpulan promuzakarah dengan Umno sebagai sasarannya.

"Saya tidak mahu memanjangkan isu ini, biarkan kepada Tulang Besi.

"Saya dinasihatkan oleh Datuk Seri Hadi agar tidak memberi respons (dakwaan di blog itu)," kata Roslan kelamrin.

"Kalau saya respons, ia membuatkan dia rasa 'saya besar'. Dia tidak ada jawatan dalam parti. Buang masa sahaja respons.

"Tuduhan itu liar dan jahat."

Tulang Besi dalam beberapa tulisannya mencabar Roslan menafikan terlibat berkempen untuk menyingkirkan "kumpulan Erdogan", antaranya Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, khususnya selepas mendapat jawatan barunya itu.

"... kumpulan Erdogan wajib dibersihkan daripada PAS secepat mungkin dan tidak perlu menunggu muktamar yang akan datang," tulis penulis blog 3 November lalu.

Tulang Besi mendakwa kenyataan itu disampaikan oleh Roslan dalam mesyuarat di kawasannya Kelana Jaya.

Diminta menjelaskan faktor pendorong sehingga Dewan Harian PAS Selangor dipanggil ke lajnah politik seperti pendedahan Malaysia Waves – lokasi pertembungan hangat Khalid dengan ketuanya Dr Hasan Ali – Roslan berkata:

"Ia masalah dalaman parti dan ia sangat sulit."

Blog Anti Husam turut menamakan setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, bendaharinya Dr Hatta Ramli dan anggota biro lajnah politik Khalid Samad sebagai sebahagian "kumpulan Erdogan."

Khalid, yang juga ahli parlimen Shah Alam, digugurkan sebagai timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor bulan lepas.

Mengulas dakwaan wujud laporan "100 peratus negatif" terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang dibuat oleh Dr Hasan di permukiman PAS di Langkawi awal November, seperti coretan blog tersebut, Roslan berkata:

"Saya tidak tahu. Saya belum pegang jawatan ketua penerangan. Tanyalah dengan setiausaha badan perhubungan."

Selain menegaskan kembali tiada krisis dalam PAS Selangor, Roslan juga menafikan PAS negeri mempunyai masalah parti-parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

"Kita sudah selesa dalam Pakatan. Kita buat keputusan secara kolektif," katanya.

Dihubungi Malaysiakini semalam, Khalid berkata pembentangan Dr Hasan di Langkawi dan lajnah politik adalah satu "laporan yang sulit berhubung prestasi PAS Selangor".

"Ia tidak perlu diketahui umum," tambahnya.

Khalid, yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam, menjelaskan jawatannya sebagai pengerusi Perancang Strategik dan Kajian Dasar (Paskad) PAS negeri turut tergugur apabila tidak lagi menyandang jawatan kanan tersebut.

Paskad, satu jawatankuasa kecil yang diselia oleh Dewan Harian PAS Selangor dan dianggotai lebih 10 anggota, untuk merangka strategi dan dasar PAS negeri terutama dalam pilihanraya.

Friday, December 12, 2008

TETAP BERTEGAS TEBANG BALAK

Ini cerita Kijang tak sedap nak dengar. Delinga berdengung dan mahu telan air lior pun tersangkut dekat halkum.

Semalan Kerajaan Negeri Kedah tetap bertegas dengan pendiriannya untuk menebang balak di kawasan Hutan Simpanan Kerajaan di Hulu Muda sekiranya kerajaan Persekutuan gagal membayar pampasan RM100 juta untuk khidmat alam sekitar (PES) pada masa akan datang.

Kerajaan Kedah dikatakan akan memperoleh hasil balak sebanyak RM35 juta pada 2009 menerusi sistem tender terbuka kepada syarikat-syarikat pembalakan.

Pada pertengahan Jun lalu, kerajaan negeri itu berkata ia akan menebang pokok balak di kawasan tadahan air sekiranya kerajaan Pusat tidak membayar pampasan ekoran sumber hutan di kawasan berkenaan tidak boleh diambil.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam pula berkata, pampasan tersebut merupakan janji daripada kerajaan Persekutuan untuk diberikan kepada kerajaan negeri kerana tidak menebang balak di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, kata beliau, setakat ini, penebangan balak tidak akan dijalankan di kawasan berkenaan tetapi kerajaan negeri mungkin terpaksa berbuat demikian sekiranya sumber kewangan negeri terjejas.

''Sekarang kita tak tebang lagi, kalau kita dah tidak ada duit, barulah tebang," katanya kepada pemberita pada majlis Himpunan Pelajar dan Mahasiswa Negeri Kedah di Kediaman Menteri Besar, Sri Mentaloon di Alor Setar.

Azizan dipetik Utusan Malaysia berkata demikian menjawab soalan mengenai isu pembalakan di negeri Kedah yang sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana dikatakan boleh menjejaskan alam sekitar memandangkan ia dijalankan di kawasan tadahan air.

''Ramai yang tidak faham, sebenarnya ia bukan kawasan tadahan air tetapi Hutan Simpanan Kerajaan, cuma ia dikelilingi oleh tasik. Jadi kenalah bezakan antara hutan simpan dengan kawasan tadahan air," tambahnya.

Pada 25 Jun lalu, beberapa ahli Parlimen membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat ketika membahaskan Rang Undang-Undang Geologi dengan mendesak cadangan itu dibatalkan.

Dr. Mohd. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) berkata langkah itu bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti alam sekitar tetapi juga bekalan air untuk sektor pertanian di negeri tersebut serta ke negeri Pulau Pinang dan Perlis.

''Kerajaan Kedah sepatutnya mengambilkira pandangan semua pihak termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga tidak bersetuju dengan cadangan membalak di kawasan tadahan itu," katanya.
Menurutnya, kerajaan Kedah tidak sewajarnya menjadikan ketiadaan dana sebagai alasan untuk mereka membalak di kawasan tadahan tersebut yang juga dikhuatiri boleh menjejaskan pertanian padi di negeri itu.

Tian Chua (PKR-Batu) yang mencelah ketika perbahasan itu turut melahirkan kekesalan terhadap cadangan kerajaan negeri Kedah tersebut kerana isu alam sekitar adalah masalah bersama.

Beliau berkata, semua pihak bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar dan langkah menyekat kemusnahan alam sekitar perlu dilakukan termasuk kerajaan Pusat memberi dana kepada kerajaan negeri Kedah agar mereka tidak melakukan penebangan balak itu.

Puad memberitahu, kerajaan Pusat dan Kedah wajar berbincang tentang dana berkenaan tetapi ia bukan alasan untuk pembalakan itu diteruskan sebagai satu sumber pendapatan negeri.

Sementara itu, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pula berkata, penguatkuasaan agensi berkenaan dalam pembalakan hutan tidak menjadi masalah besar bagi pengusaha kerana mereka mempunyai kemampuan untuk menyelesaikannya termasuk menawarkan sogokan yang boleh mendorong pihak penguat kuasa menerima rasuah.

Thursday, December 11, 2008

MALAYSIA TETAP PILIHAN PELABUR

Ada orang mengatakan ekonomi Malaysia menghadapi zaman suram kalau Barisan Nasional (BN) terus memenrintah.

Kijang mahu tunjukkan betapa pendapat sedemikian silap.

Kesatuan Eropah (EU) tetap percaya negara ini masih merupakan destinasi terbaik untuk melabur dan berdagang walaupun dunia dijangka mengalami kemelesetan pada tahun depan.

Duta Perancis ke negara ini, Marc Baretty berkata, ia disebabkan langkah Malaysia yang membuat persedian rapi bagi menghadapi kemelesetan dan kebolehan negara ini untuk menghadapinya.

Beliau berkata, keupayaan Malaysia diyakini oleh negara-negara EU dan masyarakat pedagang benua itu yang berminat untuk menjalankan perniagaan dengan negara ini disebabkan pendekatannya yang mesra pelabur.

"Banyak perkara perlu dilakukan di seluruh dunia untuk menghadapi kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun depan.

"Tetapi Malaysia telah membuat persediaan terbaik untuk menghadapinya dan negara ini adalah tempat terbaik untuk melabur dan berdagang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai kunjungan hormat duta negara-negara EU ke atas kerajaan negeri di Kota Darulnaim di Kota Bharu semalam.

Delegasi tersebut disertai seramai 18 orang duta semalam. Perancis mengetuai negara-negara EU di Malaysia dalam tempoh enam bulan sebelum ia digantikan oleh negara Eropah yang lain.

Utusan Malaysia memetik Baretty sebagai berkata, EU menjadi negara pengeksport utama Malaysia pada bulan Februari lalu, sekali gus mengatasi eksport Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama.

"Biarpun dalam siri lawatan ini kami tidak membincangkan mengenai ekonomi tetapi kami tetap akan melihat peluang ekonomi, perdagangan dan pelaburan. Kami memerlukan sebuah unit perancangan ekonomi dalam masa terdekat, baru isu ini akan dibincangkan.

"Negara Eropah adalah penyumbang utama eksport negara ini dan ia akan terus berkembang di masa akan datang," katanya.

Selain itu, sikap dedikasi dan kesetiaan yang tinggi terhadap kerjaya di kalangan pekerja tempatan telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi syarikat asing.

Ketua Pasaran bagi Malaysia dan Singapura, Towers Perrin, Michael Drawhorn berkata, faktor itu membantu para pekerja akan memiliki kadar motivasi, kreativiti dan pengetahuan yang tinggi dalam kerjaya masing-masing.
Malah, kata Drawhorn, mereka sanggup meluangkan lebih masa untuk memastikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dilaksanakan dengan baik.

Sehubungan itu, kata beliau, ia dilihat sebagai penyumbang positif kepada operasi perniagaan dan keputusan kewangan syarikat berkenaan.

''Berdasarkan kepada faktor tersebut, pasaran Malaysia kini lebih kompetitif untuk menarik pelaburan terus asing," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Drawhorn berkata, keputusan itu diperoleh hasil kajian Tower Perrin Global Workforce Study 2007/2008 yang kini diedarkan kepada umum.

Kajian yang dimulakan pada akhir tahun lalu itu adalah projek penyelidikan pengurusan sumber manusia global terbesar yang membabitkan 90,000 responden dari 21 buah negara termasuk 800 kakitangan dari Malaysia yang meliputi pelbagai sektor.

Mengulas lanjut, Drawhorn menerangkan bahawa, antara faktor yang menyebabkan pekerja tempatan setia kepada syarikatnya adalah kerana peluang kerjaya yang lebih baik bakal ditawarkan pada masa depan.

''Bagaimanapun, mereka masih akan mencari peluang pekerjaan baru sekiranya peluang peningkatan kerjaya itu adalah terhad,'' ujarnya.

Katanya, penyumbang lain pula ialah pekerja tersebut mengetahui mengenai hala tuju perniagaan syarikat masing-masing dan mengetahui mengenai komitmen pihak pengurusan untuk mengukuhkan kedudukan syarikat termasuk prestasi kewangannya.

''Ini sekali gus akan memberi kesan kepada pembayaran gaji dan pelbagai insentif kepada mereka,'' katanya.

Tambah beliau, pekerja yang berdedikasi ini akan setia kepada organisasi masing-masing sekiranya pihak pengurusan sentiasa berusaha menyediakan latihan dan pelbagai program ilmiah kepada pekerja untuk meningkatkan prestasi kerja mereka.

''Kesungguhan syarikat dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat juga adalah salah satu faktor yang turut diambil kira bagi menentukan kesetiaan pekerja kepada syarikat,'' terangnya.

Tower Perrin adalah firma global yang terkemuka dalam bidang pengurusan pembangunan sumber manusia yang menyediakan perkhidmatan profesional global.
Firma tersebut membantu organisasi meningkatkan prestasi perniagaan masing-masing melalui pengurusan kakitangan yang efektif, kawalan risiko serta pengurusan kewangan.