Tuesday, February 22, 2011

Kelantan 'Juara' Hamil Luar Nikah, Rogol Pelajar Sekolah?


Baru-baru ini kecoh berita wujudnya rumah pelacuran di Kota Bharu.

Semalam, sebuah blog mendedahkan, rakyat Kelantan Juara No. 1 hamil luar nikah.

Blog tersebut membuat dakwaan itu berdasarkan bilangan pelajar di Sekolah Harapan Jasin apabila daripada 31 pelajar, 15 daripadanya adalah rakyat negeri Kelantan Darul Naim.

Dakwaan ini sebenarnya mencabar kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya menafikan perkara ini.

Turut mengejutkan ialah apabila Polis Kelantan semalam menyatakan kebimbangan mereka mengenai kes rogol yang melibatkan pasangan berumur 18 hingga 28 tahun termasuk pelajar sekolah di negeri itu.

Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Mazlan Lazim, berkata apa yang lebih membimbangkan lagi ialah mereka yang menjadi mangsa jenayah seksual itu terdiri daripada kanak-kanak berumur serendah 12 tahun.

Berdasarkan perangkaan, sebanyak 41 kes rogol termasuk 38 kes melibatkan remaja bawah umur 17 tahun berlaku di seluruh negeri dari bulan lepas hingga semalam.

Jumlah ini meningkat 7.89 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (38 kes) dan ia agak membimbangkan kita, katanya ketika merasmikan Majlis Pelantikan Badan Wakil Pelajar dan Lembaga Disiplin Pelajar Sesi 2011 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumboh, Kota B haru, semalam.

Beliau berkata, kejadian itu bermula daripada pergaulan bebas pasangan terbabit, terutama melalui laman sosial seperti "facebook" dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Sehubungan itu, katanya polis sedang memperhebatkan gerakan turun padang ke sekolah-sekolah untuk mendekatkan polis dengan warga pendidik dalam usaha membendung gejala itu.

Berbalik kepada masalah hamil luar nikah, Kelantan dikatakan ‘juara’ berdasarkan faktor berikut:

1. Cadangan Kerajaan Negeri Melaka untuk membuka sebuah sekolah khas untuk remaja yang mengandung luar nikah mendapat tentangan dan penghinaan dari pelbagai pihak terutamanya dari pembangkang.

2. Pelbagai tomahan dan tuduhan liar dilemparkan kepada Kerajaan Negeri Melaka. Ada yang menuduh sekolah ini diwujudkan untuk menggalakan maksiat dan hanya akan memperbanyakkan lagi kes buang bayi.

3. Nik Aziz contohnya, membidas dengan penuh perasaan jahatnya mengatakan Sekolah Harapan ini adalah tempat mengumpulkan maksiat dan penzina.

4. Tujuan utama Sekolah Harapan ini adalah untuk memberi peluang kepada remaja yang telah terlanjur untuk terus mendapatkan pendidikan. Walaupun mereka telah melakukan kesilapan dalam hidup mereka, ini tidak bermakna peluang mereka untuk mendapatkan pendidikan dinafikan.

5. HARI INI, SEKOLAH HARAPAN JASIN MEMPUNYAI 31 ORANG PELAJAR. 15 ORANG DARINYA TERDIRI DARI PADA RAKYAT NEGERI KELANTAN DARUL NAIM YANG MENTERI BESARNYA ADALAH NIK AZIZ KLUK KLEK WALI SELIPAR!!!

6. Jumlah pelajar hamil luar nikah yang paling ramai datangnya dari Negeri Kelantan Serambi Mekah!!! Oleh yang demikian ada beberapa kesimpulan boleh dibuat tentang perkara di atas.

7. Negeri Kelantan di bawah pentadbiran Nik Aziz Wali Selipar terkenal dalam beberapa perkara. Kelantan terkenal sebagai negeri yang paling tinggi sumbang mahrah dan buang bayi. Kelantan juga merupakan negeri yang paling ramai penghidap HIV.

8. Kesimpulannya, Kerajaan Negeri Melaka memberikan bantuan kepada mereka yang sepatutnya dibantu dan dibela. Selain itu, buang bayi juga dapat dikurangkan bilangnya.

9. Oleh kerana kerajaan Negeri Kelantan tidak mampu atau tidak mahu membantu rakyatnya yang memerlukan bantuan, Negeri Melaka sedia melaksanakannya.

Kerajaan Kelantan perlu menafikan dakwaan ini jika benar untuk membuktikan bahawa dasar pemerintahan Islam cara PAS mampu membendung gejala ini.

Jika tidak ternyata bahawa Islam Cara PAS sebenarnya juga gagal dan tidak wajar PAS menuduh gejala yang juga berlaku di negeri lain kerana pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional yang bagi Pas 'tidak Islamik'.

Kerajaan Pusat Belanja RM3.8 Bilion Setahun Untuk Kakitangan Awam Di Kelantan

Kerajaan persekutuan membelanjakan RM3.8 bilion setahun untuk perbelanjaan mengurus 74,800 kakitangan awam di Kelantan, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Yahya Mamat.

Beliau berkata jumlah peruntukan itu atau kira-kira RM300 juta sebulan adalah untuk memastikan kakitangan awam di Kelantan mampu memberi perkhidmatan cemerlang seterusnya membantu meningkatkan pembangunan di negeri ini.

"Peruntukan yang disalurkan itu lebih banyak, berganda-ganda daripada hasil perolehan negeri setiap tahun iaitu RM300 sehingga RM400 juta setahun," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Taklimat Keselamatan dan Isu-Isu Semasa di Kota Bharu, kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Penceramah pada majlis yang dihadiri kira-kira 117 agensi di Kelantan ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Urus Setia Ibu Pejabat Polis Bukit Aman SAC Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Selain peruntukan mengurus kakitangan awam, Yahya berkata kerajaan turut meluluskan sebanyak RM2.4 bilion dalam tempoh dua tahun pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk melaksanakan 346 projek di negeri ini.

PAS Perlu Minta Maaf Kafirkan UMNO

PAS perlu meminta maaf kepada Umno terlebih dahulu sebelum mendakwa parti itu sebenarnya turut memperjuangkan nasib orang Melayu, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Mohd Fatmi berkata kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa parti itu turut memperjuangkan orang Melayu sudah agak terlambat setelah begitu lama isu mengkafirkan penyokong Umno yang sebahagian besarnya adalah bangsa Melayu masih tidak ditangani oleh parti itu.

"Sudah lama bangsa Melayu yang berada dalam Umno terguris hati dan perkara itu masih berlarutan sehingga ada yang masih melakukan sembahyang dua imam.

"Kenyataan Nik Aziz mengenai Melayu sudah tidak membawa apa-apa makna. Minta maaf dulu kepada Umno mengenai isu kafir mengkafir ini dan biar bangsa Melayu menentukan sikapnya selepas itu," katanya kepada pemberita selepas selepas menyampaikan bantuan yuran murid pra-sekolah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Kementerian Pelajaran di Kota Bharu, semalam.

Seramai 641 pelajar daripada 55 tadika swasta dari Parlimen Kota Baharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa menerima bantuan sebanyak RM450 setiap seorang. Turut hadir Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang.

Menteri Besar Kelantan ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada Sabtu lepas, berkata perjuangan terhadap masyarakat orang Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai peribumi di negara ini.

Kenyataan Nik Aziz itu dibidas beberapa pemimpin Umno semalam yang menyifatkan ia hanya untuk memancing undi selepas sokongan bangsa Melayu terhadap PAS semakin berkurangan.

Mohd Fatmi yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Baharu berkata Nik Aziz sebenarnya tidak mempunyai pendirian jelas dalam sesuatu perkara, dan suka berdolak dalik selepas membuat kenyataan dan kemudian menyalahkan pihak lain.

Sementara itu, Mohd Fatmi berkata kerajaan Pusat tahun ini memperuntukkan RM1 juta sebagai galakan lebih banyak individu di negeri ini membuka tadika swasta.

"Kita sasarkan sebanyak 100 tadika baru dibuka pada tahun ini di Kelantan, dan sehingga kini Jabatan Pelajaran baru menerima 25 permohonan dengan setiap mereka boleh menerima geran bantuan sebanyak RM10,000," katanya.

Kerajaan Bina 479 Buah Rumah Bagi Orang Asli Tahun Ini - Shafie Apdal

Kerajaan akan membina 479 buah rumah bagi masyarakat Orang Asli tahun ini sebagai usaha menaik taraf kehidupan masyarakat berkenaan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata rumah-rumah itu akan dibina dengan kerjasama Kementerian Pertahanan di bawah program Bantuan Rumah Untuk Masyarakat Orang Asli dengan kos RM33,000 seunit.

Pembinaannya akan dilaksanakan di negeri-negeri Semenanjung dengan harapan dapat mengatasi masalah perumahan di kalangan masyarakat Orang Asli dan peruntukan untuk tujuan itu telah pun disalurkan kepada Kementerian Pertahanan, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli di Putrajaya semalam.

Di bawah program tersebut, sebanyak 87 buah rumah akan dibina di Perak, 85 di Pahang, 76 di Kelantan dan bakinya di negeri-negeri lain.

Sementara itu, Shafie berkata bilangan anak-anak Orang Asli yang memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta bagi kursus diploma terus meningkat setiap tahun, misalnya seramai 67 pelajar memasuki ke IPTA pada 2010 berbanding 43 pelajar pada tahun 2009.

"Pada tahun ini, kita juga akan menghantar tujuh pelajar Orang Asli ke luar negara seperti United Kingdom, Australia, Jepun untuk mengikuti pelbagai jurusan profesional," katanya.

Beliau berkata kerajaan terus merangka pelbagai program sosio-ekonomi dan kebudayaan bagi menaik taraf kehidupan masyarakat Orang Asli di negara ini.

PAS Kelantan Perlu Perjelas Penyelewengan Ladang Rakyat Babitkan RM12 Juta

Kerajaan PAS Kelantan perlu menjelaskan mengenai penjualan tanah Ladang Rakyat kepada syarikat bukan bumiputera bernilai RM12.75 juta di Dabong, Kuala Krai berikutan penjualan itu menimbulkan keraguan bahawa ada pihak cuba mengambil untung melalui program itu.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata pendedahan itu dibuat oleh sebuah laman blog www.kelatekito.net bahawa program Ladang Rakyat melibatkan pengambil alihan syarikat yang telah diberikan kebenaran untuk membangunkan tanah seluas 1,185.2 hektar di Mukim Kandek, Dabong.

"Berdasarkan pendedahan itu, jelas menunjukkan kerajaan PAS Kelantan menggunakan nama Ladang Rakyat untuk menghalalkan pemberian tanah itu kepada bukan bumiputera dan pemimpin PAS negeri memperalatkan rakyat dengan nama-nama program yang hebat untuk kepentingan peribadi mereka.

"Saya rasa pimpinan negeri termasuk menteri besar atau mana-mana Exco perlu menjawab dakwaan blog ini. Mengikut cerita blog ini, kita nampak kerajaan negeri bersandiwara kononnya buat Ladang Rakyat tetapi akhirnya hanya perlu untuk memberikan kelulusan lebih 1,000 hektar kepada sebuah syarikat dan jual dengan untung besar," katanya kepada pemberita di sini, hari Isnin.

Semalam, blog itu mendakwa wujudnya perjanjian 'ali baba' dalam pemberian tanah seluas 1,185.2 hektar kepada sebuah syarikat milik bumiputera yang dimiliki dua beradik pada 2006 untuk fasa kedua pembangunan Ladang Rakyat di Mukim Kandek, Dabong.

Perjanjian pemberian tanah itu dibuat pada 23 Mac 2006 dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewakili Kerajaan PAS Kelantan manakala pasangan dua beradik itu mewakili sebuah syarikat perladangan dan ternakan.

Hasil keuntungan ladang itu dikatakan akan memberi manfaat kepada hampir 4,500 pesertanya yang menerima dividen sebanyak RM200 sehingga RM300 selepas beberapa bulan perjanjian itu dimeterai.

Bagaimanapun kira-kira tiga tahun selepas itu, syarikat berkenaan diambil alih oleh sebuah syarikat bukan bumiputera yang membabitkan penjualan saham sebanyak RM12.75 juta.

Mohd Fatmi yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Baharu berkata pemberian tanah itu hanyalah laluan untuk membolehkan syarikat terbabit menjualnya dan mendapatkan keuntungan segera.

Monday, February 21, 2011

Orang Asli Dakwa Hilang Pendapatan Akibat 'Ladang Rakyat'

Penduduk Orang Asli di Pos Balar dekat sini berkata mereka kehilangan punca pendapatan setelah ladang getah seluas 100 hektar didakwa ditebang oleh syarikat yang dilantik oleh kerajaan PAS Kelantan bagi membangunkan "Ladang Rakyat".

Sugi Alang, 26, berkata kebanyakan tanah yang diusahakan oleh penduduk Orang Asli sejak 20 tahun lepas ditanam dengan getah dan tanaman lain tetapi syarikat yang membangunkan Ladang Rakyat telah menebang pokok getah mereka.

Beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya campur tangan menyelesaikan isu tanah di situ daripada mengutamakan kepentingan syarikat asing.

Seorang lagi penduduk, Samri Talib, 30, berkata beliau bimbang kerana kawasan tadahan air bukit di situ musnah selepas kesemua hutan ditebang untuk tujuan berkenaan.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Galas, Abdul Aziz Yusoff, berkata beliau menerima banyak aduan daripada Orang Asli mengenai kejadian serupa di kawasan Lojing, Pos Brooke, Bihai, Pulat, Pasik dan Kuala Betis.

Katanya beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat Umno bahagian supaya Tengku Razaleigh Hamzah selaku ketuanya boleh mengambil tindakan seterusnya.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pengambilan tanah itu berlaku disebabkan tidak ada batu sempadan dan kerajaan negeri pula meluluskan permohonan syarikat berkenaan kerana beranggapan tanah itu tidak mempunyai pemilik.

Kerajaan Kelantan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat masalah yang berlaku, katanya.

Ketua Eksekutif Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi, pula berkata projek Ladang Rakyat yang dijalankan di Gua Musang tidak melibatkan kawasan penempatan Orang Asli.

Tabung Darah Semua Hospital di Kelantan Kritikal

Orang ramai termasuk pelbagai badan sukarela perlu tampil menderma darah bagi mengisi tabung darah di semua hospital di Kelantan yang dalam keadaan kritikal kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusoff berkata, keperluan itu penting bagi menyelamatkan nyawa mereka yang menghidapi penyakit kronik dan memerlukan bekalan darah.

Beliau mahu setiap penduduk mengambil perhatian serius terhadap keperluan tabung darah kerana bimbang sekiranya tidak mencukupi akan memudaratkan mereka yang memerlukan.

“Mereka yang menderma juga tidak perlu bimbang dengan kesihatan diri kerana mereka akan bertambah sihat,” katanya pada majlis Kempen Kesihatan dan Menderma Darah mengisi Tabung Darah Hospital Kuala Krai (HKK) di Kesedar Inn, kelamrin.

Pada majlis itu, Ab Aziz turut menderma darah sebagai menggalakkan orang ramai yang berkunjung ke situ berbuat demikian untuk kebaikan pesakit.

Bagaimanapun, menurut Ab Aziz, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada mereka yang berulang kali menderma darah hingga ada yang melebihi 40 kali.

Beliau berkata, mereka yang sudah biasa menderma darah itu sudah tentu rasa sihat selepas berbuat demikian dan kadang kala tidak sabar menderma hingga sanggup datang ke mana-mana hospital.

“Amalan seumpama itu yang kita mahu kerana mereka yang menderma sudah tentu mendapat ganjaran dari Allah berikutan darahnya digunakan bagi menyelamatkan nyawa Manusia yang menghidap penyakit kronik,” katanya.

Penurunan Undi Melayu Kepada Pas Kerana Manipulasi Media - Nik Aziz

Pas mendakwa penurunan undi kaum Melayu terhadap parti itu sejak beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang lalu berpunca daripada manipulasi dan laporan berat sebelah media yang dikuasai UMNO-Barisan Nasional (BN).

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pembangkang di negara ini tidak mendapat tempat untuk menjelaskan sesuatu isu di media arus perdana, sekali gus menyebabkan rakyat tidak memperoleh maklumat yang tepat.

Menurutnya, sekatan tersebut menyebabkan Pas terjejas kerana konon-kononnya media terbabit mempengaruhi minda orang Melayu dengan menonjolkan berita bahawa kuasa politik Melayu terhakis jika menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, ia adalah tidak adil kepada PR kerana sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar demokrasi, kerajaan BN seharusnya tidak menyalahgunakan media perdana, sebaliknya memberi peluang kepada pembangkang menjelaskan isu-isu tertentu.

“Pas menyeru orang Melayu, sokonglah PR tidak kira calon dari PKR atau DAP kerana dalam PR itu ada Pas, ada Islam.

“Pada zaman Nabi Muhammad SAW, baginda membawa agama kepada seluruh umat manusia, baginda bukan bawa ideologi kebangsaan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Selain itu, Nik Aziz turut menegur sebuah akhbar bahasa Melayu semalam yang menunjukkan laporan muka depan bertajuk ‘Nik Aziz Ubah Nada’ yang didakwa sebagai satu usaha menjejaskan kredibilitinya.

“Saya tidak pernah ubah nada saya, ini adalah bohong. Apa yang saya cuba sampaikan adalah orang Melayu perlu diutamakan dalam agenda Pas kerana Melayu adalah kaum pertama di Tanah Melayu yang memeluk Islam.

“Kalau Pas mahu memperjuangkan Islam, siapa yang perlu diutamakan jika tidak orang Melayu yang juga kaum majoriti di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan Pas sekarang sudah mula mengutamakan perjuangan Melayu berbanding Islam, Nik Aziz menegaskan bahawa Pas akan tetap melebihkan Islam daripada perkara lain.

“Tugas menjaga orang Melayu memang perlu bukan sahaja kepada UMNO, tetapi kepada Pas dan semua parti lain di negara ini,” katanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut menegur Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (Bebas), Zulkifli Nordin yang meminta beliau kembali kepada ajaran Rasulullah SAW dalam mengutamakan orang Islam.

“Zulkifli orang yang sudah tidak siuman. Beliau mengkhianati pengundi di kawasannya dan sekarang beliau mengkhianati saya pula,” katanya.

Dalam blognya, Zulkifli menceritakan bagaimana Rasulullah SAW dalam Surah ‘Abasa ditegur Allah SWT kerana berpaling muka dan bermasam muka terhadap orang Muslim lain.

Antara Nik Aziz dan Tun Mahathir

Seperti mana Pas juga yang dicipta dan diasaskan oleh manusia yang 'kecewa dan marah' pada 1951, sudah tentu pemimpin dan penyokong Pas juga tidak terkecuali melakukan perbagai kesilapan. Namun jika UMNO boleh mengakuinya kenapa Pas pula tidak boleh? Maksum sangatkah Pas hingga penyokongnya sendiri takut untuk menegur kepimpinan. Sedangkan Saidina Umar pun minta ditegur apabila dilantik sebagai khalifah.

Oleh HJ. LUKMAN BIN MOIDIN(Penceramah, Motivasi & Kaunselor, KEDAH)
Utusan Malaysia (Forum) 18 Feb 2011


Saya tertarik mengulas jawapan balas Mursidul Am Pas, Datuk Nik Aziz dalam akhbar Harakah bil 1612 tentang Isu Nasionalisme: Jawapan saya untuk Tun Mahathir. Jawapan balas dan persoalan ini saya kemukakan bagi penilaian kita atau sesiapa sahaja yang masih mahu berfikir secara rasional berasaskan fakta.

Seperti biasa Nik Aziz begitu 'berdendam' dan banyak mempersoalkan 'keIslaman' UMNO dan Tun Mahathir. Antara ayat yang mungkin menarik perhatian ialah beliau (Nik Aziz) telah 'bertanggungjawab menyebarkan Islam' melalui Pas dan menganggap di hari kebangkitan beliau akan 'berasa selamat' di hadapan Allah SWT dengan mengatakan tugas tarbiah terhadap UMNO dan Tun Mahahir telah beliau laksanakan dan akhirnya UMNO dan Tun Mahathir tetap menolak Islam yang dibawa oleh Pas.

Beliau lupa bahawa parti yang beliau 'anuti' itu ditubuhkan pada tahun 1951 melalui 'kelulusan' kerajaan Nasrani British. Tentunya ketika UMNO sudah wujud sebagai parti penyatu umat Islam Melayu, golongan Yahudi dan Nasrani yang mempelopori sistem demokrasi mencari kaedah paling halus dan licik untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam adalah membenarkan Pas ditubuhkan.

Apakah benar Islam itu Pas, dan Pas itu Islam? Persoalan ini perlu difikirkan oleh kita kerana ketika Nik Aziz menjadi ahli Pas, Nik Aziz atau mungkin ayah beliau masih tidak mengenali atau menganut fahaman Pas. Apakah pula jawapan Nik Aziz di hari kebangkitan jika kaum keluarga Nik Aziz juga tidak menganuti fahaman Pas?

Malah ramai dari kita khususnya yang bukan dilahirkan di Kelantan belajar dan faham agama dari sekolah-sekolah yang diasaskan oleh UMNO/BN. Ramai dari kita hanya sedar kewujudan Pas apabila DSAI dipecat.

Ketika itu berduyun-duyun orang Islam mulai mendapat 'hidayah' dan menyokong Pas termasuklah penulis. Apakah nasib-nasib kami yang pernah menyokong Pas dan akhirnya 'keluar' atau 'murtad' dari menyokong Pas. Bagaimana pula hukuman Nik Aziz terhadap Ketua Umum PKR dan kepimpinan PKR yang tidak menyertai Pas?

Saya tidak menganggap UMNO itu betul 100 peratus kerana ia adalah parti ciptaan manusia dan diuruskan oleh manusia. Seperti mana dakwaan Nik Aziz bahawa 'banyak kepincangan' dilakukan oleh UMNO (sebenarnya pemimpin UMNO). Begitu juga yang dilihat berlaku dalam Pas.

Seperti mana Pas juga yang dicipta dan diasaskan oleh manusia yang 'kecewa dan marah' pada 1951, sudah tentu pemimpin dan penyokong Pas juga tidak terkecuali melakukan perbagai kesilapan.

Namun jika UMNO boleh mengakuinya kenapa Pas pula tidak boleh? Maksum sangatkah Pas hingga penyokongnya sendiri takut untuk menegur kepimpinan. Sedangkan Saidina Umar pun minta ditegur apabila dilantik sebagai khalifah.

Besar sangatkah dosa UMNO dan besar sangatkah jasa Nik Aziz kepada Kelantan sepanjang 20 tahun mentadbir? Jika Nik Aziz mengatakan Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam, maka izinkan saya memetik kuliah mingguan beliau di Kota Bharu yang mengatakan kebanggaan beliau terhadap sistem kewangan Islam. Memetik kata-kata beliau seperti yang dilaporkan "Begitu juga kewangan Islam, dahulu orang kata mana boleh berniaga tanpa riba, zaman sekarang kewangan Islam, bank Islam jadi rebutan, orang Barat pun pakai".

Ia merupakan fakta yang terlalu jelas, usaha mewujudkan sistem kewangan Islam seperti perbankan Islam, takaful, pajak gadai Islam, pinjaman Islam dan sebagainya adalah idea dan kehendak Tun Mahathir yang juga Presiden UMNO ketika itu (1982) untuk membawa perubahan dan kejayaan ekonomi kepada negara kita.

Mahathir melihat keperluan ini kerana tahu bahawa hanya negara yang 'kaya' dan 'kuat kuasa ekonominya' sahaja akan digeruni oleh lawan. Paling hampir yang terkesan dengan apa yang kita lakukan ialah Singapura. Kerana itu mereka 'mendekati' Nik Aziz dan menggunakan DAP bagi memusnahkan sistem kewangan ini apabila peluang ini diperolehi.

Janganlah Nik Aziz lupa bahawa sistem kewangan Islam yang diasaskan oleh pimpinan UMNO inilah yang menyelamatkan ekonomi negara serta dijadikan model oleh negara Barat hari ini seperti yang diakui oleh Nik Aziz. Justeru kita patut bertanya, besar mana sumbangan idea Nik Aziz dalam sistem kewangan Islam sejak beliau mentadbir Kelantan?

Siapakah pula yang telah membuka idea penggunaan Dinar Emas yang tidak pernah difikir atau dibahaskan oleh mana-mana pemimpin negara Islam tetapi akhirnya mula membuka mata masyarakat dunia kalau bukan Tun Mahathir.

Lucunya sempat pula Nik Aziz 'menceduk' idea 'syiling emas' untuk mendapatkan 'laba' politik tanpa merancang penggunaanya dengan bijaksana.

Besar sungguh jasa Nik Aziz yang menyebabkan penghijrahan rakyat Kelantan ke merata tempat seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan negeri ditadbir BN untuk mencari rezeki yang halal.

Bodoh sangatkah kita untuk melihat jutaan pendatang asing yang turut masuk secara sah atau haram mencari rezeki di negara ini atas kebijaksanaan pentadbiran UMNO dan BN ketika era Tun Mahathir ?

Nik Aziz juga sempat meminta Tun Mahathir menyatakan 'kesalahan' beliau sebagai MB Kelantan jika ada. Tanpa perlu Tun Mahathir membuang masa biar penulis sebutkan di sini beberapa perkara yang boleh dinilaikan:

* Banyak manakah 'berhala besar' yang lebih tinggi dan besar dari menara masjid atau kubah didirikan sepanjang Nik Aziz menjadi Menteri Besar.

* Tidak malukah Nik Aziz mengisytihar Kelantan sebagai 'Serambi Mekah' sedangkan ketika Nabi Ibrahim dilantik sebagai Rasul, baginda telah memecahkan semua patung berhala di sekitar Kaabah.

* Jika Nik Aziz pertikai kesungguhan UMNO/BN mendirikan masjid kita mahu pula melihat kesungguhan Pas dalam isu pembinaan masjid baru selama 20 tahun memegang kuasa.

* Pengalaman berkunjung ke Kelantan pada Disember 2010 selama tiga hari membuktikan kepada penulis tentang 'tong kosong' yang dipalu oleh Pas Kelantan. Sudah terang lagi bersuluh, kebersihan yang menjadi asas keimanan pun tidak mampu dijaga oleh Nik Aziz sebagai pemimpin Islam, maka usahkan bercerita perkara lebih besar dari itu seperti hudud yang entah hilang laungannya.

* Semasa berada di Kota Bharu, penulis sempat solat subuh, Jumaat, maghrib dan isyak di beberapa masjid. Pemandangannya hampir sama seperti mana kita melihat jemaah di masjid-masjid di negeri yang ditadbir BN. Malah semasa solat Jumaat di Masjid Muhammadi, masih ramai yang merokok dan berbual hingga ketika solat hendak didirikan.

* Penulis turut 'melawat' setiap tandas masjid yang hampir kesemuanya cukup jijik dan kotor.

Malah di sebuah masjid yang tersergam indah di Kubang Kerian, tandasnya juga amat kotor dan tidak terurus.

Besar sangatkah jasa Nik Aziz hingga asas keimanan tentang kebersihan ini pun tidak mampu diserapkan kepada rakyat di bawah kepimpinan ulamak selama 20 tahun.

Mungkin segelintir kita tidak memahami dan dapat membaca pemikiran Islam Tun Mahathir kerana 'kesilapan' beliau yang belajar dalam 'bidang kedoktoran' dan bukannya 'bidang keagamaan', juga Tun tidak memakai kupiah atau jubah dan tidak bercakap isu hudud sepanjang mentadbir negara.

Nik Aziz Anggaup Zulkifli Noordin Pengkhianat

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak saranan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang memintanya merujuk Surah Abasa berhubung kerjasama antara Islam dengan bukan Islam.

Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya menyifatkan Zulkifli sebagai seorang pengkhianat dan tidak layak memintanya berbuat demikian.

"Kalau saranan itu daripada orang lain, saya mungkin boleh terima tetapi bukan Zulkifli yang hanya pandai membuat kacau-bilau termasuklah kepada kawasannya. Dia juga khianat kepada saya.

"Oleh itu, dia bukanlah Yang Berhormat kerana mengikut pepatah Mesir, orang seperti Zulkifli itu mempunyai ulat dalam otaknya," katanya pada sidang akhbar di Rumah Sri Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.

Nik Abdul Aziz mengulas saranan Zulkifli yang mahukan Menteri Besar Kelantan itu merujuk surah tersebut terlebih dahulu yang meminta supaya mendahulukan seorang Muslim berbanding penganut agama lain dalam kerjasama.

Nik Abdul Aziz berkata, saranan Zulkifli itu boleh menjejaskan sokongan bukan Islam terhadap perjuangan Pas selama ini.

"Saya bimbang sokongan bukan Islam terhadap Pas akan merosot apatah lagi kami kini mempunyai kelab penyokong daripada mereka.

"Kenyataan sebenar saya adalah orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana mereka merupakan bangsa terawal di Tanah Melayu yang menerima Islam," katanya.

Mengulas kemungkinan Pas akan mengalami kekalahan kali keempat berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau bulan depan, beliau berkata:

"Saya meminta orang Melayu sokong pembangkang kerana dalamnya ada Pas yang berjuang untuk Islam.

"Jika Pas hilang sokongan orang Melayu, ini adalah kerana UMNO yang menyalahgunakan demokrasi," katanya.

Menurutnya, pembangkang hanya berpeluang mengadakan kempen sewaktu pilihan raya sedangkan UMNO mendominasi media setiap hari dan tindakan itu tidak adil.

"UMNO salah dunia dan akhirat kerana mereka menyalahgunakan demokrasi dan tidak mustahil apa yang menimpa Mesir akan berlaku di Malaysia ekoran perbuatan UMNO ," katanya.

Sumbangan RM100,000 Kerajaan Pusat Untuk Kuil Ladang Kerilla

Lebih 2,000 penduduk kaum India di Ladang Kerilla, dekat Tanah Merah, gembira dengan peruntukan RM100,000 daripada Kerajaan Pusat bagi membesarkan dewan kuil Sri Maha Mariamman demi memenuhi keperluan jumlah pengunjung yang meningkat setiap tahun.

Setiausaha Kerja Persatuan Integrasi Belia, G. Maran berkata kuil itu dibina sejak 1926 ketika penempatan awal masyarakat India di situ.

Beliau berkata sejak kuil berkenaan dibina, ramai penganut agama Hindu mengunjunginya bagi perayaan khas setiap bulan Jun dan pada tahun lepas seramai 15,000 orang dari seluruh negara datang ke kuil itu.

"Kuil itu siap dibina lebih awal daripada ladang getah yang dibuka pada 1932. Pada awal penempatan, Ladang Kerilla hanyalah sebuah perkampungan kecil yang mengusahakan tanaman getah. Kini ladang kami adalah penempatan kaum India terbesar di Kelantan," katanya kepada Bernama.

Maran berkata disebabkan kuil itu tidak lagi mampu menampung jumlah pengunjung, pihaknya menyerahkan surat meminta peruntukan ketika lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Tanah Merah tahun lepas.

Maran, 37, berkata usaha mendapatkan peruntukan itu dibantu Ketua Umno Bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

"Sumbangan itu merupakan jumlah terbesar diterima penduduk Ladang Kerilla sejak merdeka. Kami sangat berterima kasih," kata anak kelahiran Ladang Kerilla generasi keempat itu.

Beliau berkata pemberian peruntukan itu membuktikan kerajaan pusat memberi perhatian terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan menghormati kebebasan amalan beragama kaum lain biarpun agama rasmi negara adalah Islam.

Katanya satu majlis penyerahan cek akan diadakan pada Sabtu ini, di Ladang Kerilla oleh Ikmal Hisham kepada masyarakat India.

Monday, February 14, 2011

Mi Che Lah dan Lui Ah Mad:Sesuatu Yang Tidak Boleh Dilupakan

Oleh Sayuti Omar (Merah Tinta)
10 Feb 2011


PADA pagi yang mulia lagi ceria ini saya nak bersyarah sedikit fasal politik Kelantan tertuju istimewa buat Umno. Pada saat ini Umno Kelantan sedang berkonvensyen di Tok Bali, Bachok Kelantan. Konvensyen kali ini tidak membentangkan gagasan dan membincang hala tuju pembangunan yang bakal dibawa Umno di Kelantan, sekiranya mereka menang seperti lazimnya.

Menurut seorang timbalan ketua bahagian, konvenysen kali ini lebih kepada pengarahan mengaturkan gerak kerja dan tindakan. Melaksana bukan merancang. Mustapa Mohamed katanya mengambil pendekatan mendekati rakyat dan bukan mencipta slogan atau beretorik seperti mana ketua perhubungan sebelum ini, Annuar Musa. Pendekatan Mustapa lebih praktikal dan ringkas... berkerja dan bertindak.

Mungkin Mustapa ada pendekatan sendiri berpandukan kepada pengalamannya. Kejayaanya meletakkan Jeli sebagai kawasan paling selamat di Kelantan bagi Umno akan dijadikan modal dan juga contoh. Kalau semua pemimpin bahagian di Kelantan berkerja, sanggup bermuka-muka (munafik) dan sanggup melakukan apa saja kepada rakyat mungkin Umno boleh menang.

Mustapa tidak ada apa-apa masalah di Jeli. Beliau tidak perlu bimbang. Orang Pas sendiri sudah angkat tangan kepada Mustapa. Seekor kambing akan diletakkan di Jeli untuk di jadi korban dalam pilihan raya akan datang untuk menjadi habuan ratahan Mustapa. Orang Pas awal-awal lagi sudah melupuskan kerusi Parlimen Jeli!

Yang dipertua Pas Jeli, Apandi Mohammad yang pernah muncul menjadi the giant killer, katanya sedang melilau mencari kawasan baru. Beliau sudah tidak termampu untuk berdepan dengan Mustapa lagi. Kalau Apandi sudah kecut perut untuk berdepan dengan Mustapa kenapa harus mencari kawasan lain, elok 'pensiun' sajalah dari menjadi ahli politik dan tumpukan kepada kerja-kerja ukur mengukur bumi dan laut.

Mustapa dikenali sebagai orang berjurus bukan soleh. Orang Jeli tidak mengukur keupayaan Mustapa sebagai pemimpin Kelantan, tetapi mengukur kejayaan Mustapa hanya di repbulik Jeli saja. Mustapa kalau di banding dengan pemimpin Umno lain seperti Adhan Awang Kecil, Abdul Aziz Derasid dan lain, kata orang panggil tidak dengar.

Mereka ini juga pengecut, dan mudah lemah semangat. Pernah meletus khabar mengatakan satu revolusi kepimpinan akan dilakukan di Jeli - untuk menentang Mustapa, tetapi bila Mustapa panggil orang-orang ini dan tepuk bahu, bagi permit atau AP semuanya jadi hancur luluh dan idea revolusi itu hanyut terus ke sungai Pergau.

Dalam konteks Kelantan Mustapa hanya Tok Empat Umno Kelantan tetapi di Jeli dia adalah presiden Umno yang sama taraf dengan kedudukan bekas presiden sebelum ini yang bernama Mahathir Mohamed. Mustapa adalah presiden Jeli. Bijak atau tidak Mustapa kata Yusuf Comel sampai beruk dan kera di Jeli pun pandai bercakap Inggeris!

Kenapa tidak, apa yang beliau tidak bawa ke Jeli. Pembangunan di Jeli hari ini dari segi peratus dan nisbahnya mengatasi pembangunan di Kota Bharu. Kerancakan pembangunan di Jeli mengatasi daerah-daerah lain di Kelantan. Mungkin orang Bachok sendiri merasa berdosa dan bersalah kerana 'membuang' Mustapa ke Jeli... kalau tidak pembangunan yang ada di Jeli kini adalah milik Bachok.

Biarlah saya tidak mahu membicarakan fasal Mustapa yang katanya buat rumah berjuta ringgit di Shah Alam tetapi tidak berani untuk duduk kerana takut dikatakan kaya. Saya akan biarkan soal ini di lain Jumaat.

Yang saya nak bicarakan di sini ialah siapakah bakal menjadi MB Kelantan kalau Umno ditakdirkan menang dalam pilihan raya akan datang. Topik ini menarik dan ia sesuatu yang tidak boleh diketepikan. Sosok yang akan saya perkatakan ini kena diperhatikan dan ditinjau apakah mereka berkebolehan, sesuai dan merupakan calon terbaik. Jangan bandingkan mereka dengan Tokguru Nik Aziz... kalau dibandingkan dengan Nik Aziz di dalam Pas sendiri tidak ada yang boleh bertanding dengan beliau. Nik Aziz hanya dilahirkan Allah untuk Kelantan dalam tempoh satu abad.

Kini yang menjadi fokus sekiranya Umno menang di Kelantan MB ialah Mustapa Mohamed. Selain itu bekas bakal MB Awang Adek Hussein. Tetapi Awang Adek katanya lebih memberi tumpuan kepada parlimen Bachok dan lebih seronok kalau dilantik menjadi MB. Kekalahan dua kosong di Bachok dalam pilihan raya umum lalu menjadi Awang Adek lebih cermat dan kekalahan itu benar-benar memeritkannya. Sesudah kalah baru Awang Adek tersedar dari ulikan mimpi yang beliau dijerat oleh Annuar Musa pada pilihan raya itu. Kekalahan Awang Adek kerana bertanding dua kerusi adalah tektik dan strategi Annuar untuk membunuh kawan sekolahnya itu.

Selain dua nama itu ada dua nama lain yang dikira layak dan mungkin akan ditonjolkan untuk menjadi MB Kelantan. Dua nama ini tidak pernah ada dalam peta minda orang politik Kelantan termasuk juga orang Umno. Mereka yang saya maksudkan ialah Mohd Fatmi Che Salleh (Mi Che Lah) dan Mohd Alwi Che Amat atau Lui Ah Mad. Kedua mereka bukan Cina, tetapi kedua-duanya Melayu tulen yang mana salah seorangnya diputrakan di tanah haram - Makkah.

Kedua mereka ada kelayakan dari segi status. Mi Che Lah waktu ini adalah Ketua Umno Kota Bharu. Walaupun kalah lebih sekali dalam pilihan raya namun reputasinya masih molek lagi. Kedudukan beliau sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri pada masa kini boleh melonjakkan markah politiknya di Kota Bharu. Kedudukan itu juga sekiranya beliau dapat mengolahkan dirinya ia boleh menjadi satu tarikan, jawatan itu ada kuasa magnetik.

Untuk tujuan itu Mi Che Lah akan turun bertanding di Dun semula dalam pilihan raya akan datang. Sudah ada riak risik dari Najib untuk membawa anak buahnya ke Dun. Jika ini benar bermakna Mi Che Lah telah diangan-angankan untuk menjadi MB Kelantan. Kerusi yang bakal ditanding Me Che Lah ialah Bunut Payung di mana beliau akan bertukar kerusi dengan Rosmadi Ismail yang akan berpindah ke Parlimen Kota Bharu.

Demikian juga dengan Lui Ah Mad... kedudukannya kini sebagai ketua pembangkang di Dun Kelantan menjadikan beliau ada kelebihan, berbanding dengan yang lain. Di peringkat bahagian dia adalah timbalan ketua Umno Ketereh. Hakikatnya Lui Ah Mad adalah ketua bahagian Ketereh pada masa ini kerana ketuanya Annuar Musa lebih sibuk dengan bola sepak. Segala gerak kerja dan pembangunan parti waktu ini dilakukan Lui Ah Mad, tidak lagi Annuar Musa. Apakah ini juga termasuk mengenepikan Sobree Shafii sehinggakan tokoh 'agitator' Umno Ketereh itu kini sudah meninggalkan parti?

Inilah dua nampak yang boleh difikirkan oleh Umno dan juga rakyat Kelantan. Rakyat dan Umno Kelantan bolehlah membuat perhitungan serta menimbang sejauh mana kemampuan dan munasabah hal ini.

Kedua mereka juga dilihat belum ada penyakit, baik di Kelantan maupun di pusat. Misalnya Fatmi tidak ada apa-apa skandal, seorang yang berlemah lembut dan berdiplomasi tinggi dan senang didekati. Stail politiknya jauh dan berbeza dengan stail politik bekas Ketua Umno di seberang Sungai Kelantan. Tidak pernah terloncat dimulut beliau kata-kata nesta dan buruk mengenai pemimpin Pas.

Demikian juga dengan Alwi... walaupun nampak kelam kabut, 'bolon...' (kuat melawak) tetapi bersih dari skandal yang kebanyakan dihadapi oleh pemimpin Umno lain. Hujah dan pandangan yang diberikan bersandarkan fakta dan kebenaran Quran dan Hadith. Bagi saya satu-satunya pemimpin peringkat bahagian di Kelantan yang hafal lebih 40 hadith (Muslim dan Bukhari) dan ayat-ayat Quran mengenai hukum dan maslahat perjuangan hanya Lui Ah Mad seorang. Jika ini satu kelebihan ia memang satu kelebihan.

Kenapa Abdullah Badawi memilih Lui untuk menjadi Setiausaha Politiknya satu masa dulu ialah kerana kelebihan Lui di dalam hal ini yang tidak ada kepada pemimpin pelapis lain termasuk Mustapa maupun Awang Adek.

Selain kelebihan itu waima Alwi maupun Fatmi mereka tidak hisap ceruk berharga RM1,200 sebatang ataupun memiliki rumah di Tropicana ataupun di Shah Alam. Kedua mereka juga tidak mengamalkan poligami! Kedua mereka masih maksum dalam konteks Umno. Jadi kepada Pas dan rakyat Kelantan jangan tergaru kepala kalau Umno menonjolkan kedua mereka ini. Untuk masa depan juga selepas Mustapa, Awang Adek dan Annuar Musa yang sudah luruh bulu sampai ke bulu ekor merekalah menjadi tunggak utama Umno. Masa depan Umno akan terletak di tangan mereka.

Posted by mso.im at 10:15:00 AM 0 comments