Thursday, November 11, 2010

TUNGGULAH BEKALAN AIR BERSIH 17 TAHUN LAGI

Kesian dengan rakyat Kelantan!

Mereka perlu menunggu sehingga 2027 atau 17 tahun lagi untuk membolehkan seluruh kawasan negeri itu dapat menikmati bekalan air bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti Dan Alam Sekitar Negeri Mej (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman berkata kerajaan negeri melalui Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd sehingga tempoh itu akan berusaha meningkatkan kualiti bekalan air bersih secara berperingkat.

"InsyaAllah pada 2027 seluruh Kelantan akan mendapat bekalan air bersih sepenuhnya," katanya ketika menjawab soalan Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darul Naim di Kota Bharu semalam.

Abdul Halim dalam soalannya bertanyakan bila kerajaan negeri akan dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih tersebut.

Ketika menjawab soalan Muhamad Mustafa (PAS-Demit), Md Anizam berkata pihaknya memperuntukkan RM10 juta pada setiap tahun untuk membaiki prasarana seperti pembaikan jalan kampung di Kelantan.

Beliau berkata wakil pembangkang di DUN itu juga berhak membuat permohonan dari kerajaan negeri untuk tujuan itu.

BAJET DEFISIT - KELANTAN TANGGUNG TERTINGGI RM63.4 JUTA

Kerajaan Negeri Kelantan dijangka mengalami bajet defisit RM53.24 juta pada tahun depan dengan perbelanjaan mengurusnya dianggarkan berjumlah RM464.13 juta berbanding anggaran hasil RM410.89 juta.

Defisit itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun pentadbiran kerajaan Pas Kelantan kerana pada tahun 2010 defisitnya berjumlah RM29.50 juta manakala defisit bajet 2009 berjumlah RM20.20 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata bajet 2011 bertemakan "Bajet Penyayang" dengan anggaran hasil RM410.89 juta telah menunjukkan peningkatan berbanding anggaran hasil tahun 2010 yang berjumlah RM387.38 juta.

"Namun kenaikan berkenaan masih tidak dapat menampung kenaikan perbelanjaan mengurus dan telah menyebabkan peningkatan defisit berbanding tahun 2010," katanya ketika membentangkan bajet negeri tahun 2011 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan penggal ketiga, di Kota Bharu, kelmarin (Selasa).

Pembentangan bajet itu sepatutnya dibuat oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi digantikan oleh Husam.

Husam berkata anggaran hasil tahun 2011 itu meliputi hasil cukai sebanyak RM86.64 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM217.49 juta, sementara terimaan bukan hasil sebanyak RM106.76 juta.

Beliau berkata hasil tanah akan menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM107.21 juta atau 35.10 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil. Perhutanan menyumbang sejumlah RM144.21 juta atau 26.09 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.

Husam berkata kerajaan akan memperuntukkan RM4 juta untuk mengadakan paip sambungan bekalan air dari saluran utama ke kampung-kampung yang memerlukan bekalan air bersih selain melaksanakan sistem tender terbuka bagi peruntukan kerajaan persekutuan dalam meningkatkan bekalan air bersih yang bernilai RM445 juta sejak 2001 lagi.

Beliau berkata dalam mengurangkan gejala sosial seperti berzina dan buang bayi, kerajaan menyediakan RM1.5 juta untuk pasangan yang kurang pendapatan agar dapat berkahwin melalui "gerbang Az-Ziwaaj".

Katanya sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk Skim Al-Itt'aam untuk menyediakan bantuan makanan ruji berupa beras kepada kumpulan masyarakat daif dan miskin.

Husam berkata kerajaan negeri juga merangka tiga strategi dalam bajet tahun depan iaitu penjanaan ekonomi untuk semua rakyat; pembinaan insan yang berteras Islam; dan pembelaan golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, armalah atau ibu tunggal, warga emas dan wanita.

AIR - GANGGUAN BEKALAN LAGI

Beberapa kawasan di daerah Tanah Merah akan mengalami gangguan bekalan air esok (Jumaat).

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan berkata gangguan itu berikutan kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan pam baru di Loji Rawatan Air Bukit Remah.

"Antara kawasan yang terlibat ialah Bandar Tanah Merah, Jalan Jedok, Jalan Klinik, Manal, Padang Siam, Lubuk Rotan, Bukit Panau, Belimbing, Jalan Lubok, Bukit Gading, Bechah Laut, Jerangau, Temangan dan beberapa kawasan sekitarnya," katanya kepada Bernama pada hari Rabu.

Beliau berkata gangguan berkenaan akan bermula dari jam 8 malam sehingga 5 pagi keesokannya.

Hazwan berkata bekalan dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh tujuh hari selepas kerja-kerja siap dilaksanakan.

AKSB menasihatkan pengguna agar menyimpan air mencukupi untuk mengelakkan sebarang kesulitan.

Untuk pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi PINTAS di talian 1300-88-2572.

BAPA TUJUH ANAK DIHUKUM MATI

Mahkamah Tinggi Kota Bharu , semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang bapa kepada tujuh anak selepas didapati bersalah mengedar 68.72 gram dadah jenis methamphetamine kira-kira tiga tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Marzuki Ismail, 42, selepas berpuas hati terhadap kes dikemukakan pihak pendakwaan tanpa sebarang keraguan munasabah. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rehan Mohd Aris.

Mengikut pertuduhan, Marzuki bersama seorang lelaki yang sudah meninggal dunia, didakwa mengedar 68.72 gram dadah bersamaan 3,940 pil methamphetamine kira-kira jam 11 pagi di sebelah sebuah restoran tomyam dekat Jalan Pasir Mas-Salor, pada 16 Mac 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Sebaik hukuman itu dijatuhkan, tertuduh yang juga seorang peniaga, hanya menundukkan kepala sejurus mendengar keputusan mahkamah, manakala beberapa wanita dipercayai ahli keluarga terdekat yang berada di galeri awam kelihatan menangis teresak-esak.

Sebelum itu, Marzuki menerusi peguam bela dilantik mahkamah, Tara Singh, merayu kepada mahkamah agar mengetepikan hukuman terbabit dengan alasan anak guamnya itu mempunyai dua isteri dengan salah seorang daripadanya sudah meninggal dunia, mempunyai tujuh anak di bawah tanggungannya.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, mahkamah tidak mempunyai cara lain untuk menggantikan hukuman atas kesalahan dilakukan tertuduh, melainkan digantung sampai mati.

“Pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata dan dalam kes yang melibatkan dadah, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa kesalahan dilakukan oleh tertuduh adalah serius dan turut mengambil kira kepentingan awam melangkaui kepentingan peribadi,” hujahnya.