Friday, September 16, 2011

Rumah: Kelantan Tidak Serius Kebajikan Rakyat

"Sebab itu kita telah menyatakan keazaman jika Barisan Nasional kembali memerintah, masalah ini sudah tentu akan menjadi sebahagian daripada agenda utama kerajaan dalam membela nasib rakyat," - Mohd Fatmi Che Salleh

Kerajaan Pas Kelantan jelas gagal memenuhi keperluan asas rakyat dan ini sangat memalukan sebagai sebuah negeri yang ditadbir parti Islam.

Apa yang diperjuangkan PAS dalam konteks kebajikan memang hamPAS kerana amat jelas, selain masalah membekalkan air bersih kepada rakyat, Kerajaan Kelantan gagal menyediakan rumah kepada rakyatnya.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kelantan menyebut kajian oleh pihaknya mendapati 400,000 rakyat Kelantan yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan masih tidak mampu membeli rumah.

Kedudukan ini dianggap sebagai sesuatu yang serius dan perlu dilakukan sesuatu bagi menanganinya.

Pengerusi REHDA Datuk Sekarnor Che Omar berkata, ini berikutan faktor kos pembinaan yang tinggi menyebabkan pemaju di Kelantan tidak dapat menyediakan rumah mampu milik, dan hanya membina rumah berharga RM150,000 ke atas.

Keadaan ini menyebabkan rumah berkenaan tidak mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi membina lebih banyak rumah mampu milik berharga RM80,000 ke bawah, serta mensasarkan 100,000 unit setahun bagi mengatasi masalah perumahan di Kelantan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Persoalannya, kenapa di Kelantan tidak ada syarikat yang mahu membina rumah mampu milik.

Apa peranan kerajaan negeri?

Kerana itu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh mendeak dilakukan kajian terperinci bagi memastikan kira-kira 400,000 rakyat di negeri ini memiliki rumah sendiri.

Masalah ini amat serius kerana ia adalah keperluan asas yang seharusnya dimiliki oleh rakyat negeri ini.

Beliau berkata, situasi ini jelas menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri di bawah pemerintahan PAS gagal menyediakan keperluan tersebut kepada rakyatnya biarpun telah memerintah selama 20 tahun.

"Kerajaan negeri sepatutnya melihat dengan serius perkara ini. Jumlah 400,000 itu sangat tinggi jika dinisbah dengan populasi penduduk rakyatnya yang hanya sejuta lebih.

"Kalau diambil kira dari segi peratus ini bermakna 40 peratus rakyat negeri ini masih belum mempunyai rumah sendiri. Ini amat mendukacitakan," katanya di Kota Bharu, malam semalam.

Mohamad Fatmi yang juga Ketua UMNO bahagian Kota Bharu mendakwa, kerajaan Pas Kelantan dilihat lebih mementingkan pembinaan rumah-rumah mewah dengan nilai ratusan ribu diusaha secara bekerjasama dengan agensi swasta.

Katanya, nilai tersebut tidak mampu bagi membantu rakyat negeri ini yang sebilangan besarnya berpendapatan rendah antara RM1,000 hingga RM2,000.

Beliau berkata, sekiranya benar kenyataan tersebut adalah hasil dari kajian REHDA, beliau percaya ia adalah tepat memandangkan persatuan itu mewakili hampir semua pemaju-pemaju perumahan dan mempunyai data lengkap.

"Ini kajian yang semestinya tepat oleh REHDA, tidak boleh dinafikan kerajaan Pas Kelantan dan ini sesuatu kajian yang serius," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri tidak sepatutnya melihat situasi ini sebagai perkara kecil dalam menjaga kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

Berikutan itu, rakyat perlu menilai kembali masalah itu kerana jumlah yang dinyatakan oleh REHDA itu begitu tinggi dan jika ia berterusan sudah tentu sebahagian besar rakyat Kelantan selamanya tidak akan mampu membeli rumah sendiri.

"Sebab itu kita telah menyatakan keazaman jika Barisan Nasional kembali memerintah, masalah ini sudah tentu akan menjadi sebahagian daripada agenda utama kerajaan dalam membela nasib rakyat," katanya.

Monday, September 12, 2011

Fatwa Nik Aziz Semakin Jelak & Mengelirukan...

"Kita berjuang untuk agama bangsa dan negara. Jangan jadi angkuh kerana ingat kita seorang saja yang berjuang untuk Islam. Kita kena terima hakikat bahawa setiap orang menyumbang kepada Islam dan negara melalui cara masing-masing. Cuma, tidak semua perjuangan itu ada sama kaedahnya..." - Mustapa Mohamed

Kalau ia pun ‘berfatwa ala PAS’, biarlah berpada-pada.

Nanti bukan orang Islam yang rasa pelik dan jelak tetapi orang bukan Islam turut tergelak.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Jumaat lalu menyifatkan usaha UMNO Kelantan untuk menawan negeri ini daripada PAS tidak akan mendapat balasan yang baik di akhirat.

Sebabnya? Kata Nik Aziz, ini kerana ia tidak selari dengan kehendak Islam.

Nik Aziz yang nampak bimbang dengan perkembangan UMNO di Kelantan berkata UMNO boleh meletakkan apa sahaja sasaran kerusi untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tetapi usaha mereka itu tidak berfaedah di mata agama.

Malah beliau yang juga Mursyidul Am PAS secara sinis berkata, jika UMNO yakin boleh menang 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mendapat kerusi majoriti di Kelantan, maka PAS pula akan menang 60 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan bersama pakatan pembangkang di peringkat pusat.

“Kita hendak menang Parlimen 60 kerusi, (segala usaha) langsung tidak ada faedah untuk akhirat melainkan dengan Islam, UMNO kena faham duduk atas dunia ini bukan manusia buat, tapi Allah Taala buat.

“Allah Taala menetapkan bahawa hujung dunia ini ada pembalasan di akhirat, syurga dan neraka, yang kena dengan kehendak al-Quran dapat syurga, yang tidak kena neraka, orang Arab pun kalau tidak kena dengan al-Quran akan masuk neraka, inikan pula orang Melayu,” kata Nik Aziz.

Berikutan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam mengingatkan PAS jangan mudah memperkecilkan sumbangan UMNO terhadap agama, bangsa dan negara sejak 54 tahun negara merdeka.

Beliau berkata, banyak perubahan sudah dialami negara hasil sumbangan UMNO bersama Barisan Nasional (BN) dalam memartabatkan Islam serta rakyatnya di mata dunia.

UMNO ingin memenangi Kelantan demi menguruskan negeri itu ke arah yang lebih baik dan menyerahkan kepada rakyat Kelantan yang menilai prestasi UMNO dan menentukannya dalam pilihan raya umum nanti.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menasihati Nik Aziz agar tidak mudah menjadi angkuh dengan memperlekehkan sumbangan dan perjuangan UMNO terhadap Islam.

"Kita berjuang untuk agama bangsa dan negara. Jangan jadi angkuh kerana ingat kita seorang saja yang berjuang untuk Islam. Kita kena terima hakikat bahawa setiap orang menyumbang kepada Islam dan negara melalui cara masing-masing. Cuma, tidak semua perjuangan itu ada sama kaedahnya," katanya di Kota Bharu, semalam.

Adalah lebih wajar PAS melihat sumbangan UMNO daripada aspek memartabatkan Islam melalui pembangunan dan kemajuan pengetahuan rakyat di negara ini.

"Kalau dulu sebelum merdeka orang Melayu terkenal dengan sifat malunya. Tetapi setelah 54 tahun merdeka, Melayu sudah berubah dengan membawa pelbagai perubahan dan kemajuan. Semua ini terima kasih atas sumbangan pemimpin Umno terdahulu dalam menubuhkan pelbagai dasar seperti Dasar Ekonomi Baru, Majlis Amanah Rakyat serta universiti untuk kemajuan rakyat khususnya umat Islam," katanya.

Kelmarin, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa secara sinis mempersoal sejak bila Nik Aziz 'menerima wahyu' sehingga Mursyidul Am PAS itu boleh mengeluarkan 'fatwa' bahawa usaha UMNO untuk menawan Kelantan tidak akan mendapat balasan baik di akhirat kelak.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, jika benar Nik Aziz dimuliakan sehingga melayakkan beliau menjadi orang Melayu pertama 'menerima wahyu' daripada Allah, Mursyidul Am PAS itu perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat negara ini nama malaikat yang ditugas untuk menjalankan amanah tersebut.

“Pada Nik Abdul Aziz, semua yang berkait dengan UMNO berdosa. Apa yang tidak berdosa pada pemikiran beliau hanya bersubahat dengan DAP walaupun akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang Melayu beragama Islam," katanya.

Ibrahim tidak sedikit pun setuju dan percaya dengan 'fatwa' karut Mursyidul Am PAS itu kerana yakin jika UMNO berjaya menawan kembali Kelantan yang sudah diperintah selama 21 tahun oleh PAS, rakyat negeri itu akan menikmati kehidupan lebih senang.

JIka Barisan Nasional menang, rakyat Kelantan tidak lagi akan dibelenggu dengan masalah air iaitu salah satu keperluan asas yang tidak mampu disediakan oleh Kerajaan PAS Kelantan walaupun sudah lebih dua dekad memerintah kerana pemimpinnya lebih sibuk berceramah berbanding memikirkan cara menyelesaikan masalah rakyat.

Bagi Ibrahim, pemimpin PAS Kelantan yang diketuai Nik Abdul Aziz langsung tiada inovasi dalam pentadbiran meskipun untuk menyelesai masalah yang paling asas.

Air bersih adalah keperluan asas, tapi apa yang PAS buat selePAS 21 tahun?

Mereka hanya pandai menuduh dan memburukkan orang lain dalam ceramah sahaja!

Episod-episod pembohongan Pas & Mengkafirkan Orang Yang Sudah Islam

Oleh DATUK DR MASHITAH IBRAHIM (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Bagi menutup malu Pas kerana terhimpit dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja 3 Ogos lalu, Datuk Mustafa Ali cuba mengalih pandangan dan menuduh UMNO sebagai dalang di sebalik isu itu.

Bagi UMNO Selangor, ini satu pembohongan, dan sudahpun memulakan proses menyaman Setiausaha Agung Pas itu.

Dalam pada itu, seorang pemimpin Pas, Dr. Che Rosli Che Mat menyelar Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kerana banyak mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai projek pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng.

Che Rosli, seorang pakar sains nuklear, mendapati Fuziah menggunakan fakta palsu.

Che Rosli juga mengkritik Harakah kerana menyiarkan laporan tidak benar. Tapi Penerangan Pas Pusat dan kalangan pemimpin Pas tidak senang dengan tindakan Ahli Parlimen Pas Hulu Langat ini. Ini semua bermaksud apa? Pas lebih senang rakyat terus dibohongi dengan maklumat palsu daripada diberikan fakta sebenar.

Terbaru, Jamilah Abu Bakar, yang melihat ibu bapa dan adiknya ditembak komunis 61 tahun lalu, memberitahu bahawa Naib Yang Dipertua Pas Pulai, Zaaba Ibrahim, telah memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai kerajaan semasa melawat ke rumahnya Ahad lalu bagi pihak Mat Sabu.

Jirannya, Mokhtar Jalok, 72, berkata pemimpin Pas itu berbohong kerana dia kenal Zaaba bukan kakitangan awam tapi peniaga besi buruk.

Jamilah dan keluarganya tidak mahu berjumpa Mat Sabu kerana sakit hati dengan pembohongan Timbalan Presiden Pas itu mengenai peranan dan jasa pahlawan Melayu yang menentang komunis. Mat Sabu berkeras mengatakan komunis adalah wira, seolah-olah polis dan tentera adalah tali barut British.

Sebelum ini, Mat Sabu terbabit dalam kontroversi pasca-Bersih. Dia mendakwa cedera dilanggar kereta polis. Rakaman polis yang ditonton jutaan penduduk Malaysia menerusi TV menunjukkan beliau tidak dilanggar kereta polis, malah jatuh longkang kerana motornya terbabas. Dia menafikan versi polis tapi ramai percaya dia berbohong.

UMNO tidak perlu berbuat apa sebenarnya. Sejak akhir-akhir ini, pemimpin Pas seperti Mat Sabu dan parti pembangkang lain bagaikan menggali kubur sendiri atas percakapan dan tindakan yang menyakiti hati rakyat. Episod terbaru ini pasti menyebabkan Pas kehilangan banyak sokongan dan undi orang Melayu.

Padahal Pas beria-ia benar mahu menggantikan UMNO sebagai parti tunggal orang Melayu dan pernah menguar-uarkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai bakal Perdana Menteri. Ini sekadar mimpi kerana Pas sudah menjadi parti terkecil dalam Pakatan Rakyat. Hakikatnya, populariti UMNO semakin melonjak dan Pas pula merudum.

Hari ini, UMNO mempunyai 79 kerusi di Parlimen, Pas hanya ada 24 sahaja. UMNO juga memenangi empat pilihan raya kecil berturut-turut, mengalahkan calon Pas di Galas (4 November 2010), Tenang (30 Jan. 2011), Merlimau (6 Mac 2011), dan Kerdau (6 Mac 2011). Undi yang Pas perolehi di DUN-DUN bermajoriti Melayu dalam Pilihan Raya Kecil 2010 dan 2011 semuanya semakin menguncup berbanding yang diperolehinya pada 2008.

Bilangan kerusi Pas di Parlimen adalah paling sedikit. Apabila bersekongkol dengan DAP dan PKR bermakna Pas tidak mungkin lagi dapat bertanding kerusi Parlimen yang mencukupi dalam pilihan raya untuk membolehkannya menjadi parti terbesar di Dewan Rakyat. Ini juga bermakna sampai bila-bila pun Pas tidak boleh menubuhkan negara berkebajikan. Inilah realiti yang harus disedari semua ahli dan penyokong Pas.

Ramai berkata, punca populariti Pas menjunam sekarang adalah kerana kerjasama politiknya dengan PKR dan DAP. Pemimpin Pas pernah menyatakan kesanggupan bekerjasama dengan sesiapa saja, waima syaitan, untuk menjatuhkan UMNO. Belum sempat berpakat dengan syaitan, baru dengan PKR dan DAP pun, Pas sudah longlai dan tidak konsisten dalam perjuangannya. Kerana mahu ambil hati kawan, Pas sanggup gadai prinsip perjuangan.

Kerana ingin mengecap sedikit kuasa, Pas tidak lagi mempertahankan konsep Negara Islam, tidak bercakap mengenai hukum hudud, malah bersekongkol dalam soal penjualan arak, judi dan rumah urut di Selangor. Untuk pilihan raya umum 2004 dan 2008, Pas tidak lagi mengangkat Dokumen Negara Islam seperti 1999, tapi menjunjung pula Buku Jingga, yang sarat dengan janji palsu yang tidak tertunai.

Janji palsu terbesarnya ialah hudud. Pas menentang UMNO di Kelantan pada 1990 dan Terengganu pada 1999 kerana tidak melaksanakan undang-undang Islam. Bila dapat memerintah, Pas memberi pelbagai alasan kenapa tidak melaksanakan hudud. Antaranya, sekatan Kerajaan Persekutuan, mahu memberi masa kepada rakyat terutama bukan Islam memahami konsepnya dan tidak cukup pelaksana seperti peguam dan hakim.

Sebagai Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi pernah berkata hudud tidak penting untuk dilaksanakan kerana ia cuma 0.00001 peratus daripada syariah Islam. Di muktamar Pas ke-57 lalu, dia baru sedar negara Islam tidak disebut dalam al-Quran. Dalam keadaan sekarang, kerana bersekongkol dengan PKR dan DAP yang sememangnya menolak undang-undang syariah, maka janji Pas ini tidak akan tertunai sampai bila-bila.

Dan dalam keadaan beginilah, bagaikan orang mabuk baru bangun tidur, Pas membuat kenyataan mahu kembali mempertahankan hak orang Melayu meskipun selama ini menolak perjuangan berasaskan bangsa. Dulu, Pas menolak hak keistimewaan orang Melayu.

Pas juga menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang banyak menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi orang Melayu. Adakah Pas sudah berubah sikap dan pendirian mengenai kedua-dua perkara ini?

Bolehkah orang Melayu mempercayai Pas lagi? Pemimpin Pas kutuk bangsa sendiri, malu jadi Melayu kononnya. Pas anggap orang Melayu yang tidak menyokong calonnya sebagai jahiliah. Sejak 1950an lagi orang Melayu dikafirkan, dan masyarakat Melayu berpecah-belah kerana fatwa yang songsang. Mat Sabu pula menghina pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak serta anggota keselamatan, yang sebahagian besarnya Melayu, menentang komunis untuk mencapai kemerdekaan.

Kenapa tiba-tiba Pas mahu jadi jaguh perjuang orang Melayu? Jika benarlah Pas sungguh-sungguh hendak menjadi parti mewakili Melayu, kenapa Pas tidak memperjuangkan hak orang Melayu di Pulau Pinang, yang dilayan bagaikan orang Melayu di Singapura, dan di negeri-negeri lain? Kenapa pemimpin Pas sanggup 'bisu dan pekak' walaupun DAP sering mengganggu gugat urusan agama Islam?

Malah, dalam kertas kerjanya di Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa - Jaminan Pas pada 19 Februari lalu, Abdul Hadi sangat kabur dalam penjelasannya mengenai pengupayaan bangsa Melayu. Tiada saranan khusus bagaimana meningkatkan keupayaan dan penguasaan orang Melayu. Dia cuma berkata perjuangan Pas untuk memakmurkan "seluruh penghuni bumi termasuk binatang dan alam sekitar."

Pas jelas adalah sebuah parti oportunis, dan hanya gilakan kuasa. Dulu Pas mahu lelong Putrajaya, sekarang mahu menguasai Putrajaya pula. Tapi Pas tahu bahawa ia akan kehilangan kira-kira 34 kerusi Parlimen jika gagal mendapat semula sokongan pengundi Melayu dalam PRU-13 nanti. Kerana itulah ia mahu kembali menjadikan pengundi Melayu sebagai 'power base'nya.

Pada 2008, hampir semua kawasan yang Pas berjaya catat prestasi baik adalah di kawasan majoriti bukan Melayu. Oleh itu, bila nak undi orang Cina dan India, dia kata tidak bangga jadi Melayu.

Bila nak undi Melayu, dia sebut Ketuanan Islam pula. Kononnya pemimpin UMNO tidak Islamik, kepimpinan negara mewarisi pemikiran penjajah dan akan menerima nasib yang sama seperti pemimpin Mesir dan Tunisia.

Pemimpin Pas apabila bercakap, sering merujuk diri dan kerja mereka dengan apa yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW. Kelantan pula disebut sebagai Serambi Mekah, dan Kota Bharu pula sebagai Kota Islam. Ini adalah strategi melengkapkan gambaran Islamik kepada pemimpin Pas dan negeri yang mereka perintah.

Tapi di manakah Islamiknya pemimpin Pas jika suka berbohong dan cakap berbelit-belit? Apakah merit parti yang menggunakan nama 'Islam' tapi memberi janji palsu, memberi gelaran buruk dan hina Muslimin lain?

Ingatlah, Nabi Muhammad menggunakan agama untuk mengislamkan orang-orang kafir. Tapi Nik Aziz dan Abdul Hadi menggunakan agama untuk mengkafirkan orang yang sudah Islam. Itu bezanya.

Monday, September 5, 2011

UMNO Kelantan Lantik Pengarah, Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya

Empat belas Ketua Bahagian UMNO di Kelantan semalam masing-masing dilantik sebagai pengarah jentera pilihan raya bagi setiap kawasan parlimen di negeri itu.

Setiap Ketua Bahagian UMNO pula akan memilih di kalangan ahli UMNO di bahagian masing-masing sebagai timbalan pengarah pilihan raya untuk "menjaga" setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kelantan mempunyai 14 kawasan Parlimen dan 45 DUN.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pelantikan pengarah dan timbalan pengarah jentera pilihan raya adalah untuk menggerakkan parti dengan program-program bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN).

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata mereka yang menjadi pengarah dan timbalan pengarah jentera parti tidak semestinya akan dilantik sebagai calon pilihan raya umum.

"Mereka diberikan amanah untuk meyakinkan rakyat supaya menyokong kepada BN. Soal calon adalah berbeza dan kepimpinan menetapkan hanya calon yang boleh menang akan dipilih," katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Perhubungan UMNO Negeri di sini, hari ini.

Kira-kira 10,000 warga Kota Bharu hadir pada majlis rumah terbuka itu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan kepimpinan kanan UMNO.

Mustapa berkata, kesemua Ketua Bahagian UMNO di Kelantan juga berjanji dan bersetuju supaya tidak akan menimbulkan kemelut dalaman parti demi menjaga nama baik parti.

Beliau berkata, tumpuan kini diberikan dalam memperjuangkan nasib rakyat Kelantan yang mahukan perubahan pembangunan selepas 21 tahun PAS dilihat gagal membawa perubahan dalam aspek pembangunan ekonomi.

Katanya, antara isu yang sekian lama menghantui kerajaan PAS Kelantan ialah isu bekalan air yang tidak memuaskan kepada rakyat, pembinaan lebuh raya dan pemberian projek ladang rakyat yang didakwa telah merampas tanah rakyat.

Beliau berkata, pelantikan pengarah jentera itu juga mengukuhkan kedudukan UMNO di Kelantan setelah pelancaran tema perjuangan parti itu untuk membawa perubahan dengan konsep Gelombang Merah pada Febuari lepas, serta lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan pada Jun lalu.