Sunday, December 26, 2010

PROJEK PUSAT RM35j DI DUN GALAS, MANEK URAI UNTUK RAKYAT

Angkat tangan tanda menang, juga 'surrender' tidak dapat memenuhi permintaan rakyat - ini perkara biasa bagi wakil rakyat PAS Kelantan.

Apakah yang dilakukan oleh PAS selepas menang di Dewan Undangan Negeri Manek Urai?

Apakah pembangunan dan kemudahan yang dilakukan oleh mereka? Apakah wakil rakyat PAS DUN itu peka dengan kehendak rakyat?

Tidak seperti di Galas, ADUN yang menang, Abdul Aziz Yusoff sedang melaksanakan pelbagai program untuk rakyat dan terbaru mengimarahkan masjid dan surau membabitkan perbelanjaan RM300,000.

Apakah wakil rakyat DUN Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah yang menang tipis, 65 undi seperti wakil rakyat PAS lain menyandarkan kepada tiada peruntukan menyebabkan tiada projek?

Apakah habuan Kerajaan PAS Kelantan terhadap kemenangannya? Apakah rakyat Manek Urai tidak ‘dihadiahkan sesuatu’ selepas kemenangannya? Sekadar angkat tangan dan terima kasih?

Di pihak Barisan Nasional (BN), janji pilihanraya kecil ditunaikan, sama ada di DUN yang mereka kalah apalagi di DUN yang menang.

Pelaksanaan projek- projek kerajaan persekutuan bernilai lebih RM35 juta di Manek Urai, Kuala Krai dan Gua Musang akan memberi banyak faedah kepada rakyat negeri ini.

Dengan sendirinya projek itu akan membangunkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri Kelantan – DUN Galas dan Manek Urai - dijangka siap hujung bulan ini atau selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustafa, berkata pelaksanaan pelbagai projek pembangunan itu juga membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin terhadap keperluan prasarana di kalangan rakyat tempatan.

Beliau berkata, antara projek yang sedang dijalankan adalah pembinaan jambatan menghubungkan Manek Urai baru dan Manek Urai lama melibatkan peruntukan sebanyak RM17 juta, dijangka siap pada akhir tahun hadapan.

Menurutnya, jambatan itu akan memberi kemudahan kepada penduduk tempatan untuk berulang-alik antara kedua-dua destinasi dengan mementingkan ciri-ciri keselamatan berbanding sebelumnya.

Selain itu, katanya, kerja membaiki dan menaik taraf Masjid Kampung Temali dengan peruntukan sebanyak RM300,000 juga akan siap pada akhir Januari tahun hadapan.

"Bagi meningkatkan semangat kesukanan di kalangan masyarakat luar bandar, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk membangunkan pusat sukan di Kampung Manjor yang akan siap sepenuhnya akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan latihan dan ujian menembak anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) negeri di Lapang Sasar Gunung Bachok baru-baru ini.

Makhtar yang juga Kolonel Kehormat Rela negeri berkata, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, projek menaik taraf rangkaian jalan di sekitar rumah ibadat kaum India dan sekitar Sekolah Kebangsaan Seri Wangi sudah dilaksanakan mengikut jadual.

Pembinaan tokong dan jalan di Kampung Pulai bernilai RM400,000 di DUN Galas dan membaiki masjid di Kampung Temalir sebanyak RM600,000.

Beliau berkata, pembangunan landskap termasuk pembinaan jambatan gantung dengan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi mengindahkan perkampungan Pulai akan turut dilaksanakan, sekali gus merancakkan sektor agro-pelancongan kawasan berkenaan.

Menurutnya, Jabatan Perumahan Negara (JPN) turut menyediakan pelan dan perancangan untuk membina dan membaiki rumah bagi memberi keselesaan kepada masyarakat Orang Asli di Hulu Kelantan.

Antara projek besar yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan 200 rumah di enam perkampungan Orang Asli di kawasan DUN Galas bernilai RM18.5 juta.

"Pembinaan itu kini berjalan lancar dan dijangka siap hujung bulan ini," katanya.
Makhtar berkata mereka yang bakal tinggal di situ terdiri daripada penduduk perkampungan Pos Blau, Pos Putat, Pos Handrop, Pos Brooke, Pos Tuel dan Pos Sandway.

"Kerajaan akan terus membela kepentingan Orang Asli termasuk menyediakan kemudahan prasarana yang diperlukan," katanya.

SAIDI - SAYA TERIMA HUKUMAN POLITIK...

"Saya tidak pernah menuduh ADUN berkenaan berzina. Ia tidak keluar daripada mulut saya. Apa yang saya dedahkan kepada umum adalah saya pernah menangkap ADUN berkenaan berkhalwat dalam koc VIP kereta api dengan menyatakan nama-nama saksi yang ada bersama. Tuduhan berzina itu hanya paparan blog tertentu yang menghangatkan isu berkenaan," - Saidi Husin

Bekas anggota bahagian keselamatan Pas Pasir Puteh, Saidi Husin mendakwa dia sudah menerima 'hukuman politik' berikutan tindakannya mededahkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas ditangkap khalwat.

Katanya, kejadian keretanya dirempuh kenderaan lain di Kampung Dalam Ru dan diserang oleh orang yang tidak dikenali di rumahnya malam kelmarin mungkin amaran awal supaya dia tidak meneruskan pendedahan berkaitan.



"Orang yang melakukan tindakan sedemikian adalah tidak rasional kerana membelakangi perundangan. Kalau saya membuat fitnah, samanlah di mahkamah dan biarkan pihak berkenaan menghukumnya.

"Saya memang mengesyaki kejadian yang berlaku ini ekoran tindakan saya yang berucap dalam beberapa siri ceramah berkaitan isu berkenaan.
"Tindakan dan hukuman sudah diambil terhadap saya tetapi tidak mengikut undang-undang. Ini tindakan jahiliah, tidak profesional dan sedikit pun tidak mengikut tuntutan Islam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Gali semalam.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan dakwaan Saidi dia diserang oleh sekumpulan lelaki di rumahnya kira-kira pukul 11.30 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, Saidi yang kini Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) tanpa mukim mendakwa dia tidak mengalami kecederaan namun bajunya terkoyak akibat libasan yang dilakukan tiga lelaki.
Saidi bagaimanapun tidak menamakan mana-mana pihak atau mengaitkan dengan politik dalam aduan polis berkaitan kejadian dia diserang kerana memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan penyiasatan.

"Saya juga tidak membuat laporan polis apabila kereta saya dirempuh kerana menganggap ia boleh diselesaikan di luar mahkamah. Namun, sehingga hari ini orang yang melanggar kereta saya tidak pun kelihatan ataupun membuat aduan kemalangan di mana-mana balai polis," katanya.

Menurutnya, ekoran paparan laman blog berkaitan pendedahan isu khalwat yang didedahkan itu, menyebabkan dia sentiasa berwaspada untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dapat diduga sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

"Saya tidak pernah menuduh ADUN berkenaan berzina. Ia tidak keluar daripada mulut saya. Apa yang saya dedahkan kepada umum adalah saya pernah menangkap ADUN berkenaan berkhalwat dalam koc VIP kereta api dengan menyatakan nama-nama saksi yang ada bersama.

"Tuduhan berzina itu hanya paparan blog tertentu yang menghangatkan isu berkenaan," katanya. Beliau dukacita dengan kenyataan ADUN berkenaan yang membuat penafian bahawa orang yang membuat fitnah berzina dosanya sama dengan orang yang berzina.

"Saya tidak membuat fitnah kes zina. Apa yang saya cakap adalah kebenaran yang membabitkan kes khalwat dan menyatakan kes tangkapan itu diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tindakan lanjut.

"Itu sahaja dan saya tahu dosa dan hukuman memfitnah di sisi agama dan undang-undang," katanya.

Tambahnya, pihak tertentu tidak sepatutnya mengaitkan laporan yang disiarkan dalam blog tertentu sebagaimana 'ayat' yang diucapkan dalam ceramah sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar batas perundangan terhadap dirinya.

ANNUAR MUSA DITIKAM OLEH ANAK DIDIKNYA DI KETEREH?

'GERAKAN ANTI ANUAR MUSA' yang dicetuskan oleh kalangan yang rapat dengan Haji Alwi dan beberapa orang jawatankuasa Bahagian yang tidak senang hati cara Anuar Musa mentadbir UMNO Bahagian sekarang ini kerana kuasa tidak diperturunkan kepada Haji Alwi sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan juga kepada Ketua wanita, Ketua Pemuda hatta kepada Ketua Puteri. UMNO Ketereh sekarang seperti ditadbir oleh tiga orang manusia saja iaitu Anuar Musa, Cik Gu Sharifuddin dan Azmi Ishak .

Di Indonesia sebelum tsunami melanda Aceh dan meranapkan keseluruhan bumi disekitar masjid Al'RAHMAN, penduduknya berjuang untuk mendapat kemerdekaan melalui gerakan yang dikenali dengan 'GAM' iaitu Gerakan Aceh Merdeka yang akhirnya penduduk Aceh mendapat kuasa autonomi.

Lain pula di Ketereh, Kelantan kerana tidak puas hati apa yang berlaku dalam kepimpinan UMNO Bahagian Ketereh yang dipimpin oleh Tan Sri Anuar Musa yang mana sudah lebih 25tahun Anuar Musa jadi Ketua Bahagian kini ujud satu fenomena baru.

Gerakan yang telah dimulakan oleh kumpulan yang mahu supaya jawatan Ketua Bahagian ditukar kepada YB. Haji Alwi Che Mat (gambar kanan) iaitu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh sekarang sedang giat diperkatakan oleh ahli-ahli UMNO Cawangan. Usaha secara senyap sedang dilakukan supaya Anuar Musa melepaskan jawatan Ketua Bahagian secara sukarela.

Gerakan ini timbul secara bersungguh-sungguh setelah UMNO Malaysia membuat pengumuman supaya persidangan dan pemilihan dalam UMNO ditangguhkan selama 18bulan bagi UMNO menghadapi pilihanraya umum ke 13. Kecewa dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Ibu Pejabat UMNO itulah timbul satu gerakan yang dipanggil 'GAAM'.

GAAM yang dimaksudkan itu ialah 'GERAKAN ANTI ANUAR MUSA' yang telah dicetuskan oleh kalangan yang rapat dengan Haji Alwi dan beberapa orang jawatankuasa Bahagian yang tidak senang hati cara Anuar Musa mentadbir UMNO Bahagian sekarang ini kerana banyak kuasa diberi kepada Cik Gu Sharifuddin Ab.Rahman yang memangnya tidak disukai oleh banyak ketua-ketua cawangan.

Sehingga kuasa tidak diperturunkan kepada Haji Alwi sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan juga kepada Ketua wanita, Ketua Pemuda hatta kepada Ketua Puteri. UMNO Ketereh sekarang seperti ditadbir oleh tiga orang manusia saja iaitu Anuar Musa, Cik Gu Sharifuddin dan Azmi Ishak (Setiausaha Bahagian).

Itulah keluhan dan berita yang disampaikan kepada saya oleh orang-orang yang berpengaruh didalam UMNO Bahagaian Ketereh, ceritanya lagi sejak Anuar Musa menumpukan masa kepada Persatuan Bolesepak Kelantan (KAFA) masa untuk mengurus UMNO Bahagian tidak diutamakan hanya melepaskan tanggongjawab kepada Cik Gu Sharipuddin yang mana Cik Gu Shaarifuddin dilihat lebih berkuasa daripada Haji Alwi.

Apa yang saya difahamkan Gerakan Anti Anuar Musa (GAAM) di Ketereh itu akan berterusan sehingga pilihanraya umum, apabila Haji Alwi tidak dicalunkan sebagai Ahli Parlimen, mereka yang secara diam sekarang ini melobi supaya Anuar Musa tidak dicalunkan semula sebagai calun Perlimen Ketereh akan bangkit menentang secara terbuka. Katanya apa nak jadi, jadilah kerana sekiranya diberi kepada Anuar Musa jadi calun pun UMNO akan kalah juga.

Hebat nampaknya perancangan Haji Alwi untuk mengambil alih tempat Anuar Musa sebagai Ketua Bahagian, peluang untuk menjadi Ketua Bahagian dengan cara tidak bertanding dimainkan secara halus. Perlu diingat Haji Alwi tidak akan dapat menjadi Ketua UMNO Bahagian Ketereh melalui pertandingan kerana Haji Alwi takut untuk melawan Anuar Musa bekas taukehnya.

Sejak nama Anuar Musa muncul sebagai taukeh Bolasepak Kelantan, bukan saja Haji Alwi yang bercita-cita untuk menjadi Ketua Bahagian malah ada juga Gerakan Anti Anuar Musa dipertingkat UMNO Negeri yang tidak mahu Anuar Musa diberi tempat mengambil alih UMNO Perhubungan Negeri. Rata-rata berpendapat eloklah Anuar Musa terus memberi masa untuk menjaga bolasepak dan lupakan soal politik. sudah sampai masanya Anuar Musa bersara dari politik kerana Anuar Musa sudah ada segala-galanya, ada rumah besar, ada kereta besar dan mewah, hidup pun dah kaya raya, apa lagi yang Anuar Musa tak ada didunia ini, semuanya ada dan semuanya yang beliau mahu dah dapat.

Anuar Musa tahu semua itu, tapi sebagai orang politik yang berpengalaman dia tidak mudah melatah dan dia suka melihat kerana Anuar Musa tahu dimana kuncinya untuk melemahkan Gerakan tersebut.dan Anuar Musa juga tahu bahawa UMNO Ketereh adalah kepunyaannya tidak ada siapa yang boleh mengambil jawatan Ketua UMNO Bahagian Ketereh dari tangan beliau melalui sistem demokerasi ala UMNO kecuali UMNO Malaysia mematikan proses demokerasi di Kelantan seperti mana Tun Mahathir lakukan disatu masa dulu.

Tun Mahathir telah tidak mengikut lunas-lunas demokerasi terhadap UMNO Kelantan dimasa itu hanya semata-mata mahu mengekalkan Anuar Musa sebagai Ketua UMNO Bahagian Ketereh kerana arus untuk mengalahkan Anuar Musa sebagai Ketua UMNO Bahagian Ketereh amat kuat dimana saya dan Dato' zainal Abidin serta Cik Gu Mat Yani dan Ariffin Yaacob (Abg. Pin Burung) secara terbuka melawan Anuar Musa.

Nasib Anuar Musa terselamat kerana adanya Tun Mahathir.

Daripada http://newkk.blogspot.com/

JKM PERTIMBANG BANTUAN REMAJA BUTA TERKENA SERPIHAN PELURU

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Kelantan akan mempertimbangkan pemberian bantuan segera kepada Muhammad Huzaifah Mohd Nor, 20, yang buta sebelah mata kanan dipercayai akibat terkena kelongsong peluru gas pemedih mata ketika rusuhan perlawanan bola sepak di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, pada 7 April tahun lalu.

Pengarah JKM negeri, Md Noor Chik, berkata beliau memahami kos yang terpaksa ditanggung Muhammad Huzaifah antara RM100 hingga RM150 sebulan khusus untuk ubat bagi penjagaan matanya.

"Pegawai kita akan berjumpa Muhammad Huzaifah untuk memberi bantuan segera tetapi tindakan selanjutnya perlu dibincangkan dengan pengurusan," katanya yang menyatakan keprihatinannya terhadap Muhammad Huzaifah baru-baru ini.

Akhbar melaporkan seorang mekanik terpaksa menggunakan mata palsu selepas cedera dipercayai terkena serpihan objek daripada gas pemedih mata ketika rusuhan bola sepak di Kelantan, tahun lalu.

Akhbar juga melaporkan Muhammad Huzaifah meluahkan rasa kesal dan keliru terhadap tindakan JKM yang tidak meluluskan permohonan untuk mendapatkan elaun memandangkan dirinya mempunyai kad OKU sejak tahun lalu, selain mempunyai pekerjaan dengan pendapatan RM650 sebulan.

Selain itu, Md Noor berkata, JKM akan mengkaji semula status orang kurang upaya (OKU) Muhammad Huzaifah selaras dengan penyusunan semula kategori OKU sejak Januari tahun ini yang menyatakan bahawa kecacatan sebelah mata tidak termasuk sebagai OKU.

"Isu sekarang ini ialah dia kecewa kerana permohonan mendapatkan elaun pekerja cacat berjumlah RM300 sebulan itu ditolak, bagaimanapun kita prihatin terhadap masalah Muhammad Huzaifah," katanya.

RM300,000 BAGI IMARAHKAN MASJID, SURAU DI DUN GALAS

Janji Kerajaan Pusat tidak pernah bohong. Ia melakukannya bukan sekadar menabur harapan kosong.

Kerajaan memperuntukkan lebih RM300,000 bagi menjalankan pelbagai program dalam usaha mengimarahkan lima masjid dan 27 surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Anggota DUN (ADUN) Galas Abdul Aziz Yusoff berkata ia susulan janji beliau pada pilihan raya kecil 4 Nov lepas bagi menjadikan masjid sebagai tempat mengembangkan syiar Islam di kalangan penduduk setempat.

Sehubungan itu, beliau meminta setiap sumbangan yang disalurkan digunakan dengan baik, selain mengatur pelbagai program berdasarkan persetujuan anggota jawatankuasa masjid dan surau terbabit.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Masjid Kampung Lepan Jaya kelmarin, Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno bahagian Gua Musang, berkata beliau tidak mahu peruntukan itu digunakan bagi tujuan lain, termasuk membaiki kemudahan.

"Ini kerana peruntukan yang disediakan itu khusus bagi menjalankan pelbagai program untuk mengimarahkan masjid, termasuk kursus fardhu ain, pertandingan membaca Al-Quran atau kursus pengurusan jenazah," katanya.

Beliau berkata sumbangan itu juga bukan bertujuan menonjolkan kemegahannya selepas memenangi kerusi DUN Galas dan mampu berbuat apa sahaja bagi faedah penduduk.

Sebaliknya, Abdul Aziz berkata ia bagi mengembangkan syiar Islam sesuai dengan fungsi masjid sebagai tempat beribadah kepada Allah dan mengerjakan amalan yang dituntut agama sepanjang masa.

"Kita perlu buktikan bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai program untuk mengimarahkan masjid, dan kita mampu melaksanakannya sebagai yang saya janjikan sebelum ini.

"Nampaknya, penduduk menerima perkara itu dengan hati terbuka kerana akan membawa banyak kebaikan kepada penduduk tempatan, terutama menarik generasi muda ke masjid dan surau," katanya.

Beliau juga berjanji terus memantau setiap perkembangan program di masjid dan surau terbabit supaya penduduk dapat berkumpul serta menimba lebih banyak ilmu keagamaan.

69,000 PENGGUNA KELANTAN DAPAT REBET BIL ELEKTRIK TAHUN DEPAN

Seramai 1,068,000 pengguna domestik, termasuk 66,000 di Kelantan akan mendapat manfaat rebet bil elektrik dengan anggaran kos berjumlah RM138.48 juta tahun depan.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Noriah Kasnon berkata langkah itu diharap dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan mengurangkan perbelanjaan bulanan mereka.

Beliau berkata Selangor mencatat bilangan pengguna tertinggi menerima rebet tersebut iaitu 150,000 pengguna, diikuti Johor (126,000), Perak (114,000), Kedah (99,000) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (94,000).

Selain itu, Kelantan pula mencatatkan 69,000 pengguna, Sarawak (69,000), Pulau Pinang (68,000), Pahang (63,000), Sabah (62,000), Negeri Sembilan (53,000), Terengganu (50,000), Melaka (36,000), Perlis (11,000) serta Putrajaya dan Cyberjaya (4,000)," katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Fatimah Hamat di Dewan Negara pada Rabu.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, Noriah berkata kerajaan membelanjakan RM116.24 juta bagi menampung rebet kepada pengguna.

Katanya rebet tersebut hanya akan diberi kepada pengguna yang bil elektrik kurang daripada RM20 sebulan.

KADA TERUS BANTU PETANI MISKIN MENERUSI PELBAGAI PROJEK

Petani miskin di kawasan operasi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terus mendapat pembelaan Kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai program ekonomi dan keusahawanan menerusi pelaksanaan agenda membasmi kemiskinan tegar.

Anggota Lembaga Pengarah KADA, Datuk Dr. Ilias Hussin berkata, bermula September lepas peruntukan sebanyak RM4 juta diluluskan bagi membangunkan projek ekonomi berasaskan industri kecil dan sederhana di empat jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Ketereh dan Bachok.

Menurutnya, matlamat utama ialah melahirkan 100 usahawan pertanian yang berdaya maju dan mampu berdikari bagi setiap kawasan yang dipilih dengan melaksanakan tiga tanaman iaitu cendawan, cili fertigasi dan itik telur.

"Usaha yang dijalankan ini membolehkan mereka (petani) memperoleh hasil pendapatan di antara RM750 sehingga RM1,000 sebulan untuk melepasi garis pendapatan miskin tegar," katanya selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah di Sekolah Kebangsaan Keting kelmarin.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meluluskan peruntukan lebih RM273,000 untuk membekalkan beg dan pakaian seragam sekolah kepada 1,826 pelajar sekolah rendah dan menengah di jajahan ini.

Kelmarin, 670 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol, SMK Seri Gunung, SMK Jelawat, SMK Kubang Telaga, Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, SK Kuchelong, SK Kubang Telaga, SK Bakong, SK Alor Bakat, SK Telaga Ara dan SK Keting menerima bantuan berkenaan.

Ilias yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok berkata, sebelum ini kebanyakan petani KADA yang dipilih menyertai program berkenaan hanya berpendapatan di antara RM300 hingga RM500 sebulan.

Katanya, projek menanam cendawan di daerah itu diberi fokus utama kerana hasil tanaman itu dibeli dalam kuantiti yang banyak oleh Koperasi Bela Rakyat DUN Jelawat untuk dipasarkan ke beberapa pasar raya besar di ibu negara, Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau berkata, koperasi itu memerlukan sebanyak lapan tan metrik cendawan sehari bernilai RM8,000 yang turut dilanggan secara tetap oleh 100 pemborong bagi pasaran dalam negeri.

Selain itu jelasnya, seramai 24 petani KADA di daerah ini turut terpilih sebagai peserta Program Satu Azam Akhiri Zaman Kemiskinan yang mendapat peruntukan sebanyak RM10,000 setiap orang untuk melaksanakan projek pemprosesan makanan berasaskan hasil pertanian dan perniagaan yang berkaitan dengan industri asas tani.

Atasi Segera Masalah Penduduk Kuala Renggil

Bertarung nyawa!

Lebih 20 keluarga Orang Asli di Kampung Kuala Renggil, Lojing, tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa menggadai nyawa setiap kali melalui titian buluh yang dibina sendiri selepas jambatan gantung di kawasan berkenaan runtuh, lima tahun lalu.

Tinjauan Berita Harian di kampung berkenaan mendapati, penduduk menyatakan kegusaran masing-masing dengan kekukuhan titian buluh itu terutama ketika hujan lebat dan aliran arus deras sungai di Sungai Hulu Brooke.

Penduduk bimbang berlaku kejadian tidak diingini termasuk dihanyutkan arus deras apabila ditakdirkan titian buluh itu runtuh secara tiba-tiba sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jiwa.

Penduduk, Riang Ujang, 35, berkata masalah perhubungan bagi penduduk di kampung pedalaman dekat Pos Brooke Lama itu sentiasa menjadi isu yang tidak berkesudahan.

Beliau juga bimbang dengan keselamatan ahli keluarga terutama kanak-kanak yang kerap menggunakan titian buluh untuk menyeberang sungai berkenaan terutama pada musim hujan.

“Kita terpaksa membina sendiri titian buluh itu bagi mengelakkan masalah terputus hubungan ke kawasan seberang berikutan jambatan gantung yang pernah dibina Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) runtuh selepas dihanyutkan arus deras lima tahun lalu.

“Kami sudah tak sanggup mengharungi sungai setiap hari, sebab itu kami mengadakan gotong-royong membina jambatan buluh bagi kemudahan penduduk berulang alik dari kampung itu ke Pos Brooke setiap hari,” katanya.

Kasim Malu, 52, berkata kebanyakan kampung yang menjadi penempatan asal masyarakat Orang Asli di kawasan itu masih ketinggalan daripada menikmati arus kemajuan terutama jalan perhubungan yang selesa.

“Kebanyakan kampung terbabit masih menggunakan jalan yang digunakan lori balak, penduduk tidak mempunyai pilihan lain memandangkan mereka tidak mempunyai jalan perhubungan yang selesa," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap kerajaan segera mengambil perhatian serius untuk meningkatkan taraf hidup penduduk Orang Asli terutama di luar bandar dengan menyediakan jalan perhubungan yang selesa.

Saidi Diserang Kerana Isu Skandal Khalwat?

Saidi Husin menunjukkan keretanya yang remuk akibat dilanggar oleh kenderaan Toyota Avanza ketika perjalanan ke rumah rakannya di Jalan Dalam Rhu, Selasa lalu.

Bekas anggota bahagian keselamatan Pas Pasir Puteh, Saidi Husin yang membuat pendedahan mengenai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang ditangkap khalwat mendakwa dia diserang oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh dekat sini malam kelmarin.

Saidi mendakwa, dalam kejadian itu dia tidak mengalami kecederaan namun bajunya terkoyak akibat tetakan yang dilakukan tiga lelaki kira-kira pukul 11.30 malam.

Beliau yang kini Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) tanpa mukim bagaimanapun tidak menolak kemungkinan serangan itu berpunca daripada pendedahan mengenai skandal khalwat tersebut dalam beberapa siri ceramahnya di sekitar kawasan Pasir Puteh baru-baru ini.
“Ketika itu saya baru pulang ke rumah dan semasa mahu menaiki tangga, saya diserang dari arah belakang. Saya terus menjerit dan ketika itu isteri saya membuka pintu rumah dan melihat tiga lelaki telah melarikan diri.

“Saya bernasib baik kerana tidak terkena tetakan itu, hanya bahagian belakang dan lengan baju terkoyak, baju itu telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan, bagaimanapun saya tidak mengetahui motif sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di kelmarin.

Sebelum ini, beberapa buah laman blog termasuk Papa Gomo mendedahkan mengenai seorang ADUN Pas dari kawasan Selising telah ditangkap khalwat dalam koc VIP kereta api beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan ADUN tersebut, Drs. Saipul Bahrin Mohamad menyifatkan dakwaan perlakuan zina membabitkan dirinya dengan isteri seorang guru dalam blog Papa Gomo merupakan perbuatan khianat dan fitnah besar untuk menamatkan karier politiknya.

Saidi yang keluar daripada Pas pada Oktober lalu berkata, sebelum itu, keretanya telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza secara tiba-tiba dalam perjalanan ke rumah rakannya di Jalan Dalam Rhu, Selasa lalu.

“Dalam perjalanan itu, saya telah melihat sebuah Toyota Avanza yang mengekori saya, tetapi saya tidak endahkan kerana sejak pendedahan isu itu, saya telah menjangkakan akan diekori.

“Ketika saya membuat pusingan U dan secara tiba-tiba kenderaan itu telah melanggar saya dengan kuat di bahagian hadapan sisi kanan tempat duduk sehingga menyebabkan saya terhantuk sebelum pemandu kenderaan itu melarikan diri.

“Saya tidak tahu apa motifnya, tetapi saya percaya mungkin disebabkan perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk meninggalkan Pas dibuat kerana kecewa dengan parti tersebut yang tidak melaksanakan apa yang dikatakannya.

“Terlalu banyak contoh untuk dikemukakan, dulu kata hiburan tidak dibenarkan di Kelantan tetapi sekarang pelbagai konsert diadakan di negeri ini malah kita boleh lihat dengan jelas berhala dapat dibina sewenang-wenangnya di negeri ini,” katanya.

Kelantan Bina Kilang Pelupusan Sisa Pepejal RM20 Juta

Kerajaan Kelantan dengan usaha sama sebuah syarikat swasta luar negara akan membina sebuah kilang pelupusan sisa pepejal termoden bernilai RM20 juta untuk digunakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kilang itu akan dibina di kawasan tapak pelupusan sampah di Kampung Telong, Kandis, dekat Bachok, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

"Kita akan mula melaksanakan kerja membina kilang itu dengan sebuah syarikat dari China tahun depan," katanya kepada di Kota Bharu, kelmarin.

Beliau berkata dengan adanya kilang itu, 60 peratus sampah yang dipungut oleh PBT di seluruh negeri akan dihantar ke situ untuk diproses.

"Keistimewaan kilang ini ialah iaboleh memproses sisa buangan sampah jenis organik untuk dijadikan baja tanaman yang akan memberi pulangan pendapatan kepada kerajaan," kata Takiyuddin.

Hujan, Ribut Petir Di Kelantan, Terengganu, Pahang Dan Johor

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang serta Kulai Krai) dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun serta Kemaman) mulai malam esok (Isnin)hingga Khamis pagi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan terletak berhampiran tebing sungai.

Selain Kelantan dan Terengganu, Pahang (Kuantan, Maran, Temerloh, Pekan serta Rompin) dan Johor (Mersing) juga dijangka mengalami keadaan cuaca yang serupa.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter yang dijangka berlaku di perairan Codore Reef North, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur, Sarawak (Miri), Labuan, Sabah (Pantai Barat, Pedalaman serta Kudat), selatan Samui, Pulau Tioman, Pulau Layang-Layang dan Palawan mulai Ahad ini hingga Jumaat.

Keadaan ini berbahaya kepada bot kecil, kegiatan rekreasi dan sukan laut.