Oleh Hishamuddin Rais
Ramai aktivis politik dalam negara kita ini tidak memiliki pandangan politik yang tepat. Ia berlaku kerana tidak wujudnya budaya pemikiran kritikal yang ampuh. Keadaan ini bertambah hodoh apabila bercampur dengan budaya malas membaca.
Budaya malas membaca, malas mengkaji dan malas mentelaah ini telah dilahirkan oleh budaya suka mendengar. Mendengar bukan satu kesalahan, mendengar bukan satu jenayah. Kita semua mendengar. Ketika kita kecil, kita dididik untuk mendegar. Kita itu tidak digalakkan untuk berfikir.
Bayangkan berapa juta pembohongan dan kelentongan hantu dan polong yang telah dihamburkan kepada kita semasa kita membesar. Cerita makhluk halus hantu dan puaka semuanya didodoikan kepada anak kecil. Tidak cukup dengan ini, kita ditakut-takutkan. Bermula dengan hantu, kemudian dengan polis dan akhir sekali dengan api neraka.
Anak kecil tidak memiliki peluang untuk mencerna pemikiran.
Kalau anak kecil banyak bertanya, dia akan dianggap kasar – kurang ajar dan tidak sopan. Sebenarnya mendengar tanpa bertanya adalah permulaan proses pembodohan yang ingin disebatikan ke dalam susuk jiwa kita.
Memang tepat - ketika itu kita masih kanak-kanak. Maka, apa yang kita dengar, kita terima sebagai fakta. Apabila telah bersunat, bersekolah, boleh membaca dan sudah pandai berasmara dan berinternet, maka seharusnya timbul nilai wajib berusaha untuk mencerahkan fikrah daripada pandangan karut-marut yang didengari ketika membesar.
Membuang dan membakulsampahkan segala karut-marut yang bersidai dalam otak kita.
Mendewasa ertinya meninggalkan budaya suka mendengar yang kita terima semasa kanak-kanak. Mendewasa ertinya memulakan budaya suka membaca dan menyelidik. Melopong mendengar – masuk lalat, keluar langau - tanpa melakukan pembacaan, rujukan dan kajian akan menjadikan fikrah seseorang bonsai.
Bonsai fikrah ini adalah satu penyakit yang tidak berkuman, tidak berjangkit tetapi boleh diubati.
Dalam suasana politik kita, budaya melopong mendengar ini telah diperkuatkan pula dengan budaya ceramah yang telah menjadi darah daging budaya politik tanah air kita. Ceramah sebenarnya proses monolog – jalan sehala – apabila si pendengar tidak ada peluang untuk bertanya kembali.
Pelbagai sumpah seranah masuk ke telinga kita. Sama seperti kita di zaman kanak-kanak - tidak ada langsung peluang untuk
menapis atau bertanya.
Sayugia diingatkan, ceramah ini hanya boleh berfungsi dengan baik sebagai satu senjata untuk memanaskan rapat dengan pidato yang hebat. Pidato bertujuan untuk menaikan semangat, untuk melanggar musuh. Ceramah dan pidato berperanan untuk membakar semangat. Ceramah tidak menjanjikan penemuan ilmu atau pengembangan akal.
Justeru ceramah satu hala amat berbahaya kerana berkemungkinan ia menjadi ejen pembodohan. Tidak kira siapa si penceramah – berjubah atau berdastar – monolog sehala tidak mengasah fikrah. Beribu-ribu rakyat yang datang melopong mendengar labun si penceramah tidak mungkin akan melahirkan pemula atau perobek bingkai budaya yang mengongkong.
Lihat bagaimana monolog televisyen sehala yang telah terbukti bekerja sebagai ejen pembodohan.
Hasil daripada budaya mendengar ini, ramai warga terlali dan terlalai daripada membaca dan mencari sumber pengetahuan. Otak semakin jarang digunakan - akhirnya lembab dan mamai. Justeru jangan hairan kenapa ramai yang menjadi pelupa dan nyanyok.
Perangai lupa dan nyanyok lahir daripada susuk yang tidak lagi menggerakkan otak mereka. Perhatikan orang pencen dan berumur – kerana mereka tidak lagi menggunakan fikrah, maka mamai akan menyerang. Gejala ini tidak menghairankan.
Tetapi apabila aktivis politik yang masih muda menjadi mamai, maka ada sesuatu yang tidak kena dalam badan politik tanah air kita ini.
Dalam gerombolan United Malays National Organistion, bonsai fikrah adalah syarat utama untuk diterima sebagai ahli – jadi kita tidak perlu hairan. Apa yang menakjubkan, bonsai fikrah ini juga wujud dalam kelompok aktivis yang ingin melawan gerombolan.
Ciri utama yang dapat membuktikan betapa bonsainya fikrah aktivis politik kita hari ini ialah kegagalan mereka untuk mengenali siapa musuh utama dan siapa kawan. Siapa kawan utama dan siapa pula kawan sampingan. Siapa kawan sepanjang perjuangan dan siapa kawan sementara. Siapa musuh dan seteru abadi dan siapa pula musuh sementara.
Mengenal musuh dan mengenal kawan adalah wajib dalam ilmu politik. Asas ilmu politik juga mewajibkan kita mengenal kontradiksi sosial. Mengenal kontradiksi sosial manusia adalah ilmu awal wahid sebelum membuat apa-apa kerja politik.
Gagal mengenal kontradisi sosial, maka segala kerja politik adalah kerja mencurahkan teh tarik ke batu nesan.
Kontradiksi adalah pertembungan atau pertentangan dua unsur untuk melahirkan unsur ketiga. Kontradiksi adalah ibu segala-galanya dalam dunia ini. Dunia ini berputar dan bergerak kerana kontradiksi. Manusia wujud kerana kontradiksi. Politik wujud kerana kontradiksi. Wujud tidak akan wujud kalau tidak wujud kontradiksi.
Kerja politik ialah kerja untuk mengenal, mengurus dan menyelesaikan kontradiksi. Justeru dalam kerja politik, wajib diketahui apa dia kontradiksi utama dan apa dia kontradiksi sampingan. Mana yang primer dan mana yang sekunder.
Kecelaruan – tidak dapat mengenal musuh dan tidak dapat mengenal kontradiksi - muncul kerana fikrah tidak terdidik untuk berfikir secara tersusun rapi. Sampa-larau dan porak-peranda – raba sana, pekik sini - memperlihatkan daya fikrah yang tidak terurus.
Kecelaruan ini juga lahir kerana otak mereka tidak dilatih untuk berfikir secara kritikal. Otak - sama seperti program komputer - hanya akan mengeluarkan kembali apa yang telah dirakam. Perakaman yang tepat bukan dengan mendengar surah dan labon tetapi dengan membaca dan mengkaji.
Ilmu pengetahuan yang telah dikaji dan dibaca akan disimpan dalam template dan program otak. Jika program itu tidak wujud, berapa ratus kali pun diklik, yang muncul hanya angka 404. Inilah dunia ilmiah – yang berasaskan ilmu pengetahuan yang dikumpul melalui kajian, ujikaji di bilik makmal dan penulisan pengalaman terkumpul.
Ilmu pengetahuan yang ilmiah ini bukan datang daripada mimpi atau angan-angan.
Hari ini musuh utama rakyat satu Malaysia ialah gerombolan United Malays National Organisation. Musuh sampingan rakyat satu Malaysia ialah Barisan Nasional. Malah dalam gerombolan itu sendiri tidak semuanya perlu dianggap musuh utama.
Begitu juga Barisan Nasional - bukan semua mereka musuh utama kita, banyak juga sering tidak sebulu dengan gerombolan United Malays National Organistion – ini kerana ada kontradiksi antara sesama mereka.
Contohnya, rakyat Sabah dan Sarawak ingin bebas daripada cengakaman United Malays National Organisation. Parti Gerakan ingin menjadi lebih demokratik. MCA ingin lebih banyak mendapat projek. Semua ini kontradiksi di kalangan Barisan Nasional sendiri yang wajib kita eksploit untuk menguntungkan orang ramai.
Sekarang mari kita fahami siapa pula musuh utama rakyat dunia. Jawapnya tidak lain dan tidak bukan ialah kaum imperialis Anglo-Amerika. Kuasa ekonomi Anglo-Amerika inilah yang sedang mengancam rakyat dunia. Kuasa ekonomi Anglo-Amerika sedang
mendominasi ekonomi negara-negara dalam dunia ini. Inilah kontradiksi induk. Inilah punca segala masalah yang sedang menghuru-harakan dunia.
Satu ketika nanti jika gerombolan United Malays National Organistion bangun menentang kepentingan ekonomi kaum imperial Anglo-Amerika kerana kepentingan ekonomi mereka terdesak, maka kita patut bersama menyokong. Musuh kita yang menjadi musuh kepada musuh utama kita adalah kawan sampingan.
Semua ini adalah asas taktik dan strategi politik yang paling minimum.
Inilah pentingnya memahami kontradiksi. Inilah pentingnya membaca dan mengkaji, bukan hanya mendengar surah dan labon. Justeru apabila Thunderbirds tim tentera tentera udara Amerika datang membuat pertunjukan mereka di Kuala Lumpur – tim ini wajib dicap sebagai musuh utama.
Air Force America adalah pendukung utama kuasa Anglo-Amerika. Manakala Beyonce seorang penyanyi adalah manifestasi budaya dari sistem ekonomi kapitalis Anglo-Amerika, bukan pendukung utama. Dalam politik, yang wajib kita tentang dan lawan bukan manifestasinya tetapi punca yang melahirkan manifestasi itu.
Sistem eknomi kapitalis melahirkan banyak manifestasi budaya. Adalah bangang untuk melawan manifestasinya. Kita juga akan dilihat sepuluh kali bangang dan bodoh politik jika berjuang menuntut agar kedai toto di Jalan Yap Kwang Teng ditutup.
Ini kerana perjudian adalah manifestasi utama daripada sistem ekonomi kapitalis. Malah bursa saham itu sendiri adalah sarang perjudian utama. Justeru apa yang harus digodam bukan manifestasi kapitalis tapi sistem kapitalis itu sendiri.
Salah satu daripada kejayaan manifestasi budaya kapitalis ini ialah melahirkan warga yang tumpul akal dan bonsai fikrah hinggakan tidak dapat mengenal yang mana kontradiksi utama dan yang mana kontradiksi sampingan - tidak berupaya untuk mengenal apa manifestasi dan apa yang melahirkan manifestasi itu.
Akhirnya muncul perjuangan menuntut pengharaman penjualan burger kerana terdengar cerita adanya gelatin tidak halal dalam burger. Tetapi tidak berjuang untuk melupuskan MacDonald dan Burger King. Inilah tanda awal bahawa fikrah yang bonsai tidak kesampaian untuk berfikir.