Monday, October 18, 2010

2 DAKWAAN PALSU OLEH PAS


Dua dakwaan PAS terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) serta Tengku Razaleigh Hamzah tidak benar sama sekali.

Kedua-dua dakwaan itu menyimpang jauh!

Dakwaan pembangkang kononnya Kerajaan Pusat meminggirkan Kelantan dalam pembentangan Bajet 2011 tidak benar bahkan negeri ini turut mendapat pelbagai projek pembangunan sepanjang tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata ini termasuk bantuan sekolah agama rakyat, subsidi pertanian dan projek pembinaan jalan kampung yang membabitkan peruntukan RM696 juta di seluruh Semenanjung.

"Daripada jumlah itu Kelantan dijangka mendapat peruntukan terbesar berasaskan keperluan berbanding dengan negeri lain," katanya kepada pemberita ketika mengetuai kerja gotong royong membaik pulih rumah warga emas Ghani Hussin, 75, di Kampung Teluk di Bachok semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekecewaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar yang mendakwa pembentangan bajet itu langsung tidak menyentuh peruntukan bagi Kelantan.

Kamarudin berkata ini termasuk pembinaan jalan kampung, jalan lebuh raya, pangkalan, lapangan terbang atau pun laluan kereta api tiada satu pun memberi nikmat kepada rakyat Kelantan.

Awang Adek yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok berkata ini tidak termasuk Kelantan turut mendapat faedah dalam projek membaik pulih 12,000 unit rumah golongan miskin dan miskin tegar di seluruh negara yang membabitkan peruntukan berjumlah RM300 juta.

Mengenai pembinaan jalan lebuh raya, beliau berkata peruntukan bagi Kelantan mungkin dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
"Kamarudin mungkin keliru dan tidak faham antara pembentangan Bajet 2011 hanya dalam tempoh satu tahun dengan pembentangan Bajet RMK-10 yang mengambil masa lima tahun," katanya.

Sementara itu Ghani berkata beliau tidak menyangka keprihatinan Kerajaan Pusat memberikan RM5,000 bagi tujuan membaik pulih rumahnya yang hampir roboh.

Beliau berkata tanpa bantuan itu beliau bersama isterinya Bidah Daud, 85, yang sedang uzur terpaksa berpijak pada lantai yang hampir reput dan jika tersalah langkah mungkin terjatuh.

"Sudahlah makan minum setiap hari pun belas ihsan jiran-jiran yang turut membantu," katanya.

Juga tidak benar ialah dakwaan PAS bahawa Umno telah membuat janji 'projek segera' di Galas kerana Projek Perumahan Rakyat yang diumumkan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini sudah lama diluluskan kerajaan pusat.

Ketua Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata PAS seharusnya menyelidik terlebih dahulu sebelum menuduh Umno sudah mula memancing undi untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tersebut.

"Tunggulah pengumuman Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengenai projek perumahan itu di Galas pada 24 Okt ini. Tidak semua yang kita umumkan itu adalah segera dan mungkin apa yang kita umumkan itu sudah lama dalam perancangan atau sudah diluluskan.

"Apa yang PAS buat sebab dia tak ada isu dan rakyat perlu faham mengenai perkara itu," kata Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kepada pemberita, di sini.

Beliau yang sebelum itu mengadakan dialog bersama lebih 30 pekilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa mengulas dakwaan PAS bahawa Umno kini mula membeli undi pemilih DUN Galas dengan mengumumkan 'projek segera'.

Jumaat lepas, Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Galas ketika melawat Kampung Baru, Gua Musang berkata kerajaan telah menilai keperluan rakyat di situ apabila meluluskan Projek Perumahan Rakyat bernilai RM300 juta.

Tengku Razaleigh ketika memaklumkan mengenai projek berkata ia sebenarnya sudah lama diluluskan kerajaan pusat dan secara kebetulan berlaku kematian anggota DUN Galas, Che Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Penamaan calon untuk DUN itu ditetapkan pada 26 Okt dan tarikh pengundian pada 4 Nov.

KU LI YAKIN BN MAMPU RAMPAS KEMBALI GALAS

Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berdasarkan kepada jentera pilihan raya yang tersusun selain peningkatan sokongan rakyat terhadap BN.

Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi DUN itu, Tengku Razaleigh Hamzah berkata dengan petunjuk itu beliau yakin BN boleh memenangi DUN itu dengan majoriti yang besar.

"Gerak kerja nampak semakin kuat hingga ke akar umbi dan ini sangat menggembirakan.

"Melihat perubahan yang semakin kuat berlaku berikutan sokongan rakyat kepada BN dengan jelas kita akan mendapat kemenangan," katanya pada majlis perjumpaan dengan bekas tentera di Bukit Chekati, di Gua Musang.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Suruhan Pilihanraya (SPR) menetapkan 26 Okt ini sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 4 Nov.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, gerak kerja yang diatur sejak beberapa hari lepas tidak menampakkan sebarang masalah, malah semua jentera komited untuk meraih sokongan pengundi.

Anggota Parlimen Gua Musang itu juga berkata BN kini mendapat banyak bantuan sama ada dari dalam bahagian itu dan juga jentera luar yang dianggap mampu mengembalikan maruah BN di Galas.

"Kita mengakui sebelum ini imej BN terjejas kerana kita di DUN Galas tidak pernah kalah kepada parti lawan tetapi pilihan raya umum lepas tewas dengan majoriti yang kecil sahaja.

"Oleh itu, kita rasa tidak menghadapi sebarang rintangan untuk meraih kemenangan lebih besar dan bersejarah dalam pilihan raya kecil DUN Galas kali ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan jentera BN supaya tidak menimbulkan sesuatu perkara yang boleh menyinggung perasaan pengundi, sebaliknya memastikan setiap pergerakan di semua tempat dapat diterima dengan baik.

"Kita juga mengharapkan bekas tentera supaya menyokong BN dalam pilihan raya kecil itu kerana hanya BN sahaja yang boleh membantu dalam segala keperluan," katanya.

LELAKI DISERANG KANSER PAYUDARA ALAMI IMPLIKASI LEBIH TERUK BERBANDING WANITA

Golongan lelaki di negara ini diingatkan supaya tidak memandang remeh penyakit kanser payudara kerana mereka juga berisiko diserang penyakit itu bahkan implikasinya lebih teruk berbanding wanita.

Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payudara Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Nik Munirah Nik Mahdi berkata kanser payudara yang menyerang golongan lelaki adalah lebih berbahaya kerana sel kanser itu lebih agresif berbanding sel kanser yang menyerang golongan wanita.

"Beranggapan kanser payudara hanya menyerang wanita menyebabkan ramai lelaki yang masih memandang remeh perkara ini sedangkan mereka juga sebenarnya berisiko diserang penyakit yang sama.

"Mengikut kajian Majlis Kanser Nasional, dari 1999 hingga 2006 bagi negeri ini, seramai enam lelaki telah meninggal dunia akibat penyakit itu bahkan kebanyakan kanser payudara yang menyerang lelaki kesannya jauh lebih buruk kerana kanser berkenaan akan menular kepada organ lain dengan cepat sehingga membawa kematian," katanya.

Beliau menyatakannya selepas majlis pelancaran laman blog bagi Pusat Sumber Kanser Payudara oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USM Prof Emeritus Datuk Dr M.Zawawi Ismail semalam.

Selain itu, katanya, pada tahun lalu satu lagi kematian dicatatkan di negeri ini membabitkan lelaki menghidap penyakit kanser payudara.

Justeru, katanya, sebagaimana wanita, lelaki juga perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengesan keganjilan seumpama benjolan terutama di puting payudara atau pembesaran sebelah payudara secara tiba-tiba.

Dr Nik Munirah yang juga Pakar Radiologi berkata lelaki di Kelantan bertuah kerana mempunyai tempat khas untuk membuat rujukan mengenai penyakit itu iaitu dengan mengunjungi Pusat Sumber Kanser Payudara di HUSM.

Katanya pusat sumber itu yang dilancarkan pada Februari lalu diwujudkan untuk kedua-dua golongan iaitu wanita dan lelaki.

"Pusat Sumber Kanser Payudara adalah untuk semua golongan, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan mahupun kaunseling mengenai penyakit itu boleh hadir pada bila-bila masa waktu bekerja," katanya.

Katanya sehingga kini pusat berkenaan mendapat sambutan memberangsangkan tetapi masih ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan pusat berkenaan yang bersifat mesra pesakit.

Pusat sumber berkenaan yang dapat dimanfaatkan pesakit kanser payudara dan keluarga pesakit di seluruh Pantai Timur dan Semenanjung Malaysia itu selain membantu memberi rawatan dan penjagaan selepas pembedahan, ia juga dilengkapi dengan beberapa unit komputer dengan kemudahan capaian jalur lebar untuk kemudahan pesakit mencari maklumat tentang kanser itu.

Selain itu turut disediakan mini perpustakaan yang memuatkan buku ilmuan mengenai kanser payudara.

Dr Nik Munirah berkata maklumat lanjut mengenai pusat sumber berkenaan boleh dilayari melalui blog http://ps1husm.blogspot.com.

DUA TONGGAK KEDAH TIDAK BERAKSI

Kedah tidak dapat menurunkan dua tonggak utamanya, Mohd Khairul Helmi Johari dan Mohd Sabre Mat Abu, akibat tindakan disiplin, pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia, menentang Kelantan, di Stadium Darulaman, di Alor Setar, lusa (Rabu).

Ketua jurulatih Kedah, Ahmad Yusof (gambar kiri), bagaimanapun, berkata kehilangan khidmat dua pemain itu tidak akan mematahkan semangat rakan sepasukan lain untuk terus memburu kejayaan pada perlawanan itu.

Beliau yakin pemain gantian bagi dua pemain itu dapat memikul tanggungjawab dengan baik bagi memastikan Kedah dapat melangkah ke perlawanan akhir nanti.

Kedah melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 5-2 selepas menewaskan Terengganu 3-0 pada perlawanan timbal balik kedua suku akhir di Staium Darulaman malam tadi.

"Memang berlaku sedikit kecacatan apabila Mohd Sabre dan Mohd Khairul Helmi tidak dapat bermain tetapi ia tidak mematahkan semangat pasukan," kata Ahmad Yusof ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada perlawanan semalam, Mohd Sabre menerima kad kuning ke tiga selepas mengasari pihak lawan manakala Mohd Khairul Helmi dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning, dua minit sebelum tamat perlawanan.

Ahmad Yusof berkata pada edisi Piala Malaysia musim ini dua pemain Kedah, Mohd Fazliata Taib dan V. Thirumurugan juga tidak beraksi akibat kecederaan dan masih dalam proses pemulihan.

KELANTAN PERLU BANTU ATASI MASALAH PELABUR

Kerajaan Kelantan perlu memberi tumpuan khusus bagi membantu menangani masalah pelabur sedia ada kerana jika tidak, ia mampu menjejaskan produktiviti syarikat terbabit, yang akhirnya akan merugikan negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jika Kelantan gagal berbuat demikian, dikhuatiri pelabur enggan melabur di negeri itu pada masa depan, dan ini sudah tentu akan merugikan semua pihak.

"Saya minta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar menangani rungutan terhadap permasalahan kemudahan asas seperti masalah air, sampah dan elektrik, seperti di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa.

"Sebanyak 150 syarikat beroperasi di kawasan ini, dan dalam pertemuan dengan mereka hari ini, mereka mahukan perhatian yang lebih daripada kerajaan negeri dalam meningkatkan kemudahan asas di sini," katanya.

Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM14.5 juta bagi meningkatkan prasarana "mesra pelabur" di Kelantan, termasuk pembinaan jalan dan pemasangan lampu jalan.

"Sebab itu, bagi saya, kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dalam usaha membantu pelabur terus kekal, dan paling penting, bagaimana keadaan ini mampu menarik lebih ramai lagi pelabur untuk datang membuat pelaburan," katanya.

Mustapa berkata syarikat utiliti iaitu Tenaga Nasional Berhad dalam pertemuan itu, telah memberi jaminan meningkatkan kualiti pembekalan tenaga elektrik ke kawasan perindustrian berkenaan tidak lama lagi.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan negeri melonggarkan syarat pemilikan tanah terhadap pelabur yang mahu membina kilang.

TURUNKAN KADAR LESEN SARANG BURUNG...

Persatuan Pengusaha Industri Sarang Burung Kelantan mahu kerajaan negeri menimbangkan cadangan menurunkan kadar bayaran lesen tahunan ternakan burung layang-layang atau burung walit di negeri ini.

Pengerusinya Tan Choon Hwa berkata anggota persatuannya menganggapkan kadar bayaran lesen yang dikenakan ke atas pengusaha burung itu tidak berpatutan berbanding dengan tahap pencapaian hasil dalam industri itu.

"Kita mahu kerajaan negeri, melalui pihak berkuasa tempatan mengkaji semula kadar lesen yang dikenakan ke atas anggota persatuan yang mengusahakan sarang burung itu," katanya di Kota Bharu, semalam.

Tan yang juga anggota jawatankuasa pengusaha industri sarang burung walit peringkat kebangsaan berkata walaupun pengusaha sarang burung ini mempunyai masa depan yang cerah, tetapi segala kemudahan yang disediakan kerajaan kepada mereka ketika ini belum mencapai tahap memuaskan.

Katanya ketika ini pengusaha industri sarang burung dikenakan bayaran RM1,090 setahun, termasuk RM90 untuk bayaran kerja-kerja pembersihan sarang oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau juga meminta kerajaan negeri mengekalkan lesen sementara kepada pengusaha yang sedia ada di kawasan bandar di samping menambahkan pengeluaran lesen baru di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, beliau juga mengalu-alukan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menyediakan peruntukan RM135 juta bagi penyediaan prasarana asas dalam kegiatan pertanian bernilai tinggi seperti industri burung walit, akuakultur, rumpai laut, ikan hiasan, herba dan rempah ratus.

TEKANAN ADALAH KEPADA PEMBANGKANG

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan yang diadakan serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah, akan memberi tekanan kepada parti pembangkang dalam membentuk strategi kempennya sepanjang pilihan raya itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata ini juga akan mengurangkan kehadiran penyokong parti pembangkang berbanding jika pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan itu diadakan berasingan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Jumaat lalu mengumumkan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi akan diadakan serentak dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas iaitu hari penamaan calon pada 26 Okt manakala hari pengundian ialah pada 4 Nov.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, keputusan itu diambil berdasarkan faktor undang-undang tidak melarang berbuat demikian dan pengalaman SPR sebelum ini mengadakan pilihan raya kecil serentak di tiga kawasan iaitu di Bukit Gantang, Perak, Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai, Sarawak.

Pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat Galas, Chek Hashim Sulaima, 46 daripada PAS kerana barah usus pada 27 Sept lepas sementara bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, ia diadakan berikutan juga kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54 daripada Barisan Nasional (BN) akibat kemalangan jalan raya di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah Sabtu lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan bola sepak Bachok kelmarin, Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pilihan raya diadakan serentak itu juga membolehkan jentera BN dapat memberikan tumpuan sepenuhnya tanpa diganggu gugat penyokong parti pembangkang yang datang dari luar sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata jentera BN kini sudah siap sedia menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas termasuk menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengarah Jentera Pilihan Raya (BN), Tengku Razaleigh Hamzah.

PEMBUNUH UTAMA WANITA AKTIF DI PEDALAMAN KELANTAN

Kanser payudara, pembunuh utama golongan wanita kini dikenal pasti aktif menyerang golongan itu yang tinggal di kawasan pedalaman Kelantan.

Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Datuk Dr Zaidun Kamari (gambar kiri) mberkata statistik mencatatkan hampir 70 peratus kes barah payudara menyerang wanita di luar bandar atau pedalaman negeri itu.

"Meskipun begitu ramai belum menyedari kepentingan untuk mendapatkan rawatan segera di hospital kerana takut terhadap pelbagai risiko dan stigma negatif yang diterima daripada individu yang tidak berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laman Blog Bagi Pusat Sumber Kanser Payudara, semalam.

Katanya ada pada kalangan penghidap hanya menerima rawatan separuh jalan kerana terpengaruh dengan kepercayaan karut apabila mengetahui harus menjalani prosedur pengambilan sampel air tulang belakang.

"Mereka terlalu takut sebagai contohnya apabila doktor mahu mengambil air tulang belakang atau mengambil darah untuk pemeriksaan, mereka risau akan lumpuh bahkan ada yang beranggapan tindakan itu akan menyebabkan mereka menjadi seorang individu yang bodoh, selain itu sikap gemar menemui bomoh juga menjadi satu faktor," katanya.

Beliau berkata perkara tersebut merupakan antara cabaran kepada pihak hospital dan pakar perubatan menyebabkan pihaknya kini mencari beberapa inisiatif baru untuk mengenal pasti wanita penghidap kanser payudara.

Antara inisiatif berkenaan ialah mendapatkan kerjasama imam dan penghulu kampung di seluruh Kelantan yang dilihat memainkan peranan penting termasuk sebagai 'pembuat keputusan' dalam sesebuah komuniti, katanya.

"Sebenarnya kanser payudara ini jumlahnya adalah banyak tetapi kebanyakannya tidak dilaporkan terutama di kawasan luar bandar dan untuk sampaikan maklumat ke luar bandar adalah menjadi satu cabaran buat kita.

"Justeru kita akan pergi kepada penghulu kampung, imam-imam masjid dan juga pergi dari rumah ke rumah di pedalaman untuk mencari dan mengenal pasti golongan wanita yang berisiko ini agar dapat diberi maklumat dan bantuan awal untuk menyelamatkan nyawa mereka," katanya.