Thursday, September 3, 2009

AKIBAT BANTAHAN MASYARAKAT ISLAM DIABAIKAN

Oleh HALI HARON (Shah Alam, Selangor), Forum Utusan Malaysia

MINGGU ini masalah kepala lembu menjadi tajuk utama dan isu negara. Maka ramailah yang membuat komen tanpa mengetahui secara khusus kenapa ia berlaku. Memang mudah menyalahkan orang. Tanpa sebab besar tidak akan berlaku tindakan sedemikian.

Artikel yang ditulis oleh Abdullah Bukahri Abdul Rahim, meminta langkah drastik diambil oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk segera mencuci tahi yang telah dipalitkan oleh kumpulan yang membawa kepala lembu.

Saya ingin menyatakan, tindakan penduduk Seksyen 23 Shah Alam adalah kerana bantahan mereka tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa. Kami yang tinggal di Seksyen 19 juga menghadapi masalah yang sama berhubung kuil yang telah berlarutan begitu lama.

Masalah di Seksyen 19 sudah memakan masa 21 tahun masih belum selesai hingga ke hari ini. Aduan, bantahan, perjumpaan telah dibuat oleh persatuan penduduk dan individu tetapi tidak mendapat tindakan yang sewajarnya.

Setiap kali kuil itu diarahkan berpindah pasti ada campur tangan pemimpin politik yang akan melewatkan proses itu. Campur tangan inilah yang menyukarkan pihak berkuasa untuk bertindak. Kuil itu yang pada mulanya kecil makin lama makin membesar tanpa pelan dan permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selepas bekalan air dan elektrik dimasukkan, aktiviti mereka semakin hebat. Kuil itu hanya di seberang jalan rumah penduduk Islam Seksyen 19. Apa perasaan pembaca apabila setiap hari kami terpaksa mendengar lagu-lagu Hindu yang membingitkan telinga?

Bila mereka mengadakan keramaian mereka buat perarakan di hadapan rumah penduduk Islam. Gangguan bergendang keramaian berjam-jam lamanya. Terlalu banyak masalah sampingan yang terpaksa kami hadapi jika hendak disenaraikan di sini.

Aduan terpaksa dihantar dari semasa ke semasa kepada pihak-pihak atasan. Namun bila ada campur tangan politik perkara ini sering terbantut. Gangguan bising yang dihadapi semakin teruk apabila Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor.

Sikap toleransi pemimpin Selangor telah menyebabkan gangguan yang dihadapi semakin teruk. Mereka bergendang hingga ke tengah malam mengganggu ketenteraman penduduk tempatan.

Mereka hampir semuanya datang dari luar kawasan kami. Mereka berani mengugut jika ada penduduk yang menegur mereka. Botol-botol arak bersepah di merata-rata kawasan berhampiran Jalan 19/28. Gangguan bising pemuda India mengganggu kehidupan kami.

Kami merayu bantuan dan membuat aduan kepada pelbagai pihak tetapi tiada tindak balas. Ketika keadaan sudah menjadi kronik penduduk merayu bantuan NGO Islam. Tindakan drastik yang diambil oleh NGO Islam untuk membantu penduduk menyebabkan ada sedikit perubahan apabila gangguan bising berkurangan.

Pada 29 Disember 2007 maklumat yang diterima daripada Jabatan Perancang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan kuil akan dipindahkan ke Seksyen 22.

Apabila Pakatan Rakyat berkuasa selepas Mac 2008, kuil itu hendak dipindahkan pula ke Seksyen 23, kawasan majoriti penduduk Islam. Penduduk Seksyen 23 sudah maklum apa yang dialami oleh penduduk Islam Seksyen 19, sebab itu mereka membantah. Malangnya bantahan mereka tidak diambil berat oleh kerajaan negeri dan diminta bertolak ansur. Jadi siapakah yang bersalah?

Apabila kepala lembu diusung sebagai tanda protes semua buka mata. Pelbagai bantahan kita dengar. Tetapi apabila masalah gangguan berlaku kepada orang Islam, SABARLAH!