Sunday, January 23, 2011

5,000 Penduduk Gesa Nik Aziz Baiki Jalan Di DUN Chempaka

"Bukan kami berdiam diri, kami berusaha berjumpa dengan pihak berkaitan tetapi tetap tidak ada tindakan sewajarnya yang diambil. Ini bukan soal politik, kami hanya mahu kebajikan kami terbela, kami mahu Nik Aziz yang memegang kawasan ini turun dan ambil tindakan sewajarnya selesaikan masalah penduduk," - Pengerusi JKKK

Penduduk di lima buah kampung dalam DUN Cempaka, semalam mengadakan perhimpunan secara aman mendesak Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)Cempaka yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikan masalah kerosakan jalan di kawasan itu.

Demonstrasi secara aman yang disertai 50 orang wakil penduduk kampung itu berlangsung kira-kira 20 minit di Kampung Pantai Sabak iaitu kawasan yang terletak dalam DUN berkenaan.

Dakwa penduduk, mereka kini tiada daya kerana masalah kerosakan jalan telah berlanjutan hampir tujuh tahun dengan pelbagai aduan telah dipanjangkan kepada pihak terbabit namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian.

"Setiap kali aduan dibuat kepada kerajaan negeri, mereka akan datang dan tabur pelbagai janji kemudian terus senyap..apa lagi yang boleh kami buat kerana kami hanya penduduk kampung yang mengharapkan kebajikan kami dibela," kata Syukri Mokhtar, 50, seorang penduduk Kampung Pantai Sabak.

Syukri berkata laluan tersebut merupakan laluan utama bagi 5,000 penduduk dari lima buah kampung iaitu Kampung Pantai Sabak, Pulau Gajah, Tanjung Kuala, Kemeruk dan Limau Purut selain turut menjadi laluan pelancong untuk ke Pantai Sabak dan ke kampung-kampung berdekatan.

Seorang penduduk Pulau Gajah, Latifah Rani, 40, pula berkata keadaan jalan yang teruk itu membahayakan pengguna kerana keadaan jalannya yang berlubang.

"Pernah suami dan anak saya tergolek di atas jalan apabila motosikal yang dinaiki terjatuh akibat melanggar lubang besar sehinggakan anak saya terpaksa dirawat di hospital. Bayangkanlah, sudahlah cedera, motosikal pula perlu dibaiki kerana rosak," katanya kesal.

Bagi Che Azam Ibrahim, 48, pula, berkata mereka yang memiliki kenderaan juga terpaksa menanggung kerugian kerana jalan yang rosak teruk itu menyebabkan tayar kenderaan sering pancit selain bumper dan rim pecah dan bengkok.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Sabak Em Ahmad Rasydan berkata masalah itu telah beberapa kali diadukan kepada pihak kerajaan negeri tetapi akhirnya ia seperti mencurah air ke daun keladi.

"Bukan kami berdiam diri, kami berusaha berjumpa dengan pihak berkaitan tetapi tetap tidak ada tindakan sewajarnya yang diambil. Ini bukan soal politik, kami hanya mahu kebajikan kami terbela, kami mahu Nik Aziz yang memegang kawasan ini turun dan ambil tindakan sewajarnya selesaikan masalah penduduk," katanya.