Abdul Rahman (tengah) menunjukkan bungkusan pil kuda yang dirampas dalam dua serbuan berasingan kepada media 25 September lalu.
|
Isu dadah di Kelantan bukan perkara kecil.
Jika isu air dijadikan tajuk utama di media, keberanian
politik juga diperlukan untuk membanteras gejala dadah di negeri ‘Serambi
Mekah’ itu.
Tidak kiralah apa isu yang diungkitkan ketika ini, sama
ada ‘Durian Kunyit’, Restorasi, Gelek Punggung atau ancaman AMANAH kepada PAS
tetapi gejala ancaman dadah kepada masyarakat ini sangat penting dititikberatkan.
Ia perlu diberikan perhatian oleh semua pihak, khususnya
orang politik dan perlu ada kesungguhan politik untuk membanterasnya.
Pemimpin politik sama ada daripada UMNO, PAS, PKR atau
AMANAH di Kelantan jangan ‘buat bodoh’ dan melihatnya sebagai tidak penting.
Ini kerana ancaman gejala ini membabitkan generasi muda
yang sangat menakutkan.
Pertengahan Februari lalu, ada laporan media menyebut
kejadian ketagihan dadah berlaku seawal usia 12 tahun di negeri itu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menyatakan
kebimbangannua dengan peningkatan bilangan penagih dadah melibatkan golongan
remaja yang berusia antara 13 dan 19 tahun.
Apakah amaran oleh KDN dan Timbalan Ketua Pengarah
(Pengurusan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Azizan Ariffin mengenai gejala
dadah di Kelantan diambil perhatian berat?
Malah AADK turut mendapati bilangan wanita yang terjebak
dengan gejala dadah di Kelantan juga semakin meningkat.
Sehingga Februari lalu, seramai 55 penagih wanita direkod tahun lepas berbanding 44 orang pada 2014.
Sudah pasti ini satu ancaman dan masalah sosial yang serius yang tidak boleh dibiarkan merebak kepada golongan berkenaan.
Sehingga Februari lalu, seramai 55 penagih wanita direkod tahun lepas berbanding 44 orang pada 2014.
Sudah pasti ini satu ancaman dan masalah sosial yang serius yang tidak boleh dibiarkan merebak kepada golongan berkenaan.
Sehingga Februari lalu jumlah keseluruhan kes
penyalahgunaan dadah yang sedang menjalani pengawasan adalah seramai 3,656
orang.
Daripada jumlah tersebut, seramai 2,726 orang (74.6
peratus) merupakan penagih baharu manakala 930 orang adalah penagih berulang
(25.4 peratus).
Daripada jumlah tersebut juga, seramai 2,685 orang
menggunakan dadah jenis pil kuda diikuti morfin seramai 231 orang dan heroin
sebanyak 79 orang manakala dari segi jantina, 98.3 peratus adalah lelaki dan
1.7 peratus wanita.
Apa faktor sekalipun, peningkatan penagih dadah di negeri
itu membuktikan kemiskinan tegar dan masalah dalam pembelajaran kini mengancam
golongan muda.
Berikutan pendedahan itu, pada 15 Mac 2016, Kementerian
Dalam Negeri (KDN) mengumumkan akan melakukan operasi secara besar-besaran
membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di Kelantan tahun ini.
Malah dikenal pasti bahawa pil kuda (Methamphetamine)
adalah paling banyak digunakan di negeri ini iaitu hampir 80 peratus berbanding
dadah jenis lain. Ini kerana ia mudah didapati daripada aktiviti penyeludupan
melalui sempadan Malaysia-Thailand selain harganya yang murah.
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja
Malaysia (PDRM) serta agensi penguat kuasa yang lain akan digerakkan dalam
operasi secara bersepadu dan lebih terancang.
Tahun lalu, AADK melaksanakan 374 operasi bersepadu
bersama agensi penguat kuasa lain dan sebanyak 4,270 ujian saringan dilakukan
ke atas 4,270 orang yang disyaki penagih dadah dan 1,157 orang didapati positif
dadah.
Pengumuman oleh Polis Kelantan baru-baru ini untuk
melaksanakan pendekatan lebih agresif bagi memerangi dadah di seluruh negeri
ini termasuk melaksanakan operasi ‘kampung ke kampung’ bagi mengesan aktiviti
pengedaran dadah sewajarnya disambut dengan kerjasama sepenuhnya.
Ketua Polis negeri, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail, tumpuan
akan diberi terhadap kira-kira 1,000 kampung di sekitar daerah ini, Pasir Mas
dan Bachok yang dikenal pasti sebagai ‘kawasan hitam’.
“Kita akan gembleng tenaga dengan penduduk seperti Skim
Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk bantu kesan
aktiviti ini. Kita mahu penduduk sendiri terlibat sama dalam usaha membersihkan
kampung masing-masing.
“Kalau masalah dadah terus menjadi-jadi di negeri ini,
kita rancang mahu lakukan operasi rumah ke rumah pula,” katanya.
Dr Abdulk Rahman memberi amaran bahawa Polis Kelantan betul-betul serius mahu menangani kes dadah di
negeri itu.
Ini dibuktikan apabila laporan Utusan Malaysia apabila
pada 25 September lepas, Polis Kelantan merampas 62,000 biji pil kuda bernilai
RM1.24 juta serta menahan seorang lelaki selepas menyerbu dua buah rumah di
Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat pada Khamis 22 September.
Polis menahan suspek yang berusia 24 tahun ketika dia
berada dalam kereta berhampiran rumahnya. Hasil pemeriksaan pihaknya menemukan
6,000 pil kuda dianggarkan berjumlah RM120,000 di dalam sebuah beg kain jeans
berwarna biru di atas kerusi bahagian hadapan tempat duduk penumpang.
Lelaki itu kemudian membawa anggota polis ke sebuah rumah
yang terletak kira-kira lapan kilometer dari tempat dia diberkas dan membawa
kepada penemuan satu bekas plastik merah mengandungi sembilan bungkusan berwarna
kuning mengandungi 56,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1.12 juta.
Suspek mempunyai rekod jenayah berkait dengan kes rogol
pada 2011 dan merupakan penganggur. Dia direman selama tujuh hari bagi membantu
siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya.
Amat nyata dengan kedudukan pengambilan dan pengedaran
dadah yang begitu membimbangkan di Kelantan ketika ini memerlukan pemimpin
politik, kerajaan nigari dan juga pihak berkuasa tempatan memberikan kerjasama
sepenuhnya kepada usaha Polis Kelantan.
Dengan kata lain, jangan anggap isu politik sahaja yang
penting.
Masa hadapan generasi muda perlu diberikan perhatian
mendalam. Mereka adalah penggerak kepemimpinan, pentadbiran dan ekonomi masa
hadapan Kelantan.