Friday, July 29, 2016

RUU 355 - PAS Hairan MPM Ambil Pendirian Bercanggahan Amat Ketara


Oleh DATUK TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah meneliti kenyataan yang telah dibuat oleh Ketua Biro Undang-Undang dan Perlembagaan , Majlis Perundingan Melayu (MPM),Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman pada 25 Julai 2016 bertajuk “MPM- Usah Dibelakangkan Punca Kuasa”.

2. PAS tidak bersetuju dengan pandangan MPM bahawa Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 diluluskan oleh Parlimen mengikut *Perkara 76A, Perlembagaan Persekutuan* .

Perkara 76A adalah peruntukan yang bertajuk *”Kuasa Parlimen untuk memperluaskan kuasa perundangan Negeri”* di mana Parlimen boleh membuat undang-undang untuk membenarkan Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang mengenai perkara yang tersenarai dalam Senarai Persekutuan .

3. Kami berpandangan Parlimen meluluskan Akta 355 pada tahun 1965 dengan mengambil *punca kuasa* daripada *Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan*. Secara khususnya bahagian yang relevan adalah *Butiran 1* iaitu:

_”…..keanggotaan , susunan dan tatacara mahkamah syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam Dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, *tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan ;…. “*

4. Berdasarkan peruntukan di atas dan selaras dengan kedudukan Akta 355 sebagai *Akta Persekutuan*, maka tiada tempat lain melainkan Parlimen sahaja yang boleh membuat sebarang pindaan kepadanya .

*Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat (Standing Order) Dewan Rakyat* jelas memperuntukkan kaedah sesuatu RUU dikemukakan untuk meminda sesuatu undang-undang yang sedia ada bolehlah dibuat sama ada melalui *tindakan pihak Kerajaan* mahupun melalui *Rang Undang-undang daripada Ahli Bukan Kerajaan* (Peraturan 49) .

Daripada blog OhSedapnya
5. Oleh itu usul yang dikemukakan oleh *YB. Marang* yang bertujuan untuk meminda Akta 355 dan diizinkan oleh Speaker untuk dibentangkan ke Dewan Rakyat pada *26 Mei 2016* adalah *mengikut dan menepati Peraturan 49* tadi serta peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan dengannya. Dengan itu RUU tersebut adalah mengikut peraturan dan *bukanlah suatu yang tidak berperlembagaan (unconstitutional)* seperti yang didakwa oleh MPM.

6. Adalah juga jelas berdasarkan Peraturan Majlis Mesyuarat ini, *TIDAKLAH DISYARATKAN* Usul untuk *membawa RUU* (termasuk Akta 355) oleh *Ahli Bukan Kerajaan memerlukan perkenan daripada Sultan ataupun Majlis Agama* seperti yang didakwa oleh MPM.

7. Sukalah juga ditarik perhatian bahawa langkah meminda Akta 355 adalah bertujuan *memperkasakan lnstitusi Mahkamah Syariah* di semua negeri­ negeri di seluruh negara dengan *mempertingkatkan Bidangkuasa Jenayah* daripada yang sedia ada ke tahap yang lebih sesuai dengan perkembangan semasa . Langkah ini juga selaras dengan *Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung* semasa

*lstiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas* pada *7 Mac 2016* yang lalu yang amat wajar dipatuhi, iaitu:

_”Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama­-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini. *Beta berharap langkah-langkah ke arah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah dapat disegerakan* ….”

8. PAS agak hairan kenapa dalam suasana majoriti umat Islam secara peribadi mahupun organisasi menyokong hasrat meminda Akta 355 dengan tujuannya yang amat jelas ini, MPM mengambil pendirian yang amat ketara bercanggahan dengannya .

 Sepatutnya MPM menjadi antara ejen bagi memperjelaskan perkara ini dalam masyarakat terutamanya orang-orang Melayu.

9. Oleh itu PAS menyeru MPM dan semua pihak yang merasa berkepentingan dengan cadangan Pindaan Akta 355 ini supaya membuat kajian terperinci mengenainya.

PAS juga sedia berdialog dan mengadakan konsultasi dengan mana-mana pihak dalam hal ini demi mencapai persefahaman positif di samping mengelakkan polemik di kalangan masyarakat yang merugikan semua pihak.

Bertarikh: 26 Julai, 2016.