Sunday, March 14, 2010

MEB - NAJIB, KABINET, BN JANGAN GELOJOH

Oleh Hambali Abdul Latiff (www.hambali1.blogspot.com)

Jangan ulangi seperti 1Malaysia.

Selepas diumumkan, macam-macam cakap politik dan paling memburukkan keadaan, sehingga hari ini 1Malaysia dijadi bahan ketawa atau sindiran, termasuk dfi kalangan ahli akademik dan professional.

Kenapa demikian? Kerana kurang penjelasan dan maklumat tepat gagasan ketika mula dilancarkan.

Dalam konteks Model Ekonomi Baru (MEB) ini, kajiannya biarlah secara menyeluruh dan mendalam. Minta pandangan dahulu.

Tidak guna tergesa-gesa mengumumkannya tetapi dengan kelemahan yang bertimbun.
Kenapa siapa MEB ditujukan?

Jika 1Malaysia dirasakan tidak begitu menguntungkan orang Melayu dan Bumiputera sebaliknya lebih kepada menambat hati bukan Melayu, apakah perkara yang sama akan berlaku?

Saya tidak mengatakan 1Malaysia tidak baik tetapi sehingga kini rata-rata masih ramai yang terkial-kial memahaminya secara mendalam. Yang menjadi fokus hanya perpaduan.

Pemimpin kerajaan pun banyak merujuk 1Malaysia kepada perpaduan. Sedangkan perkara lain lebih penting – menjadikan Malaysia bertaraf global serta pencapaian yang dikagumi – tenggelam begitu saya.

Malah pengumuman kerajaan mengenai pelbagai kebajikan tidak dilihat dalam konteks 1Malaysia, sebaliknya dianggap sebagai tujuan kerajaan ‘memancing undi’.

Kenapa demikian? Di mana kelemahannya?

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengatakan MEB peringkat pertama akan diumumkan pada 30 Mac.

Kemudian, MED peringkat kedua akan diumumkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10).

"Kita akan umumkan (mengenai MEB itu) tetapi ia akan berdasarkan dua peringkat. Peringkat kedua akan menjadi sebahagian daripada RMK10 dan tidak lama selepas itu, yang bergantung kepada prosesnya."

"Ini ialah kerana kita mahu mendapatkan padangan semua pihak yang berkepentingan," katanya selepas menerima secara rasmi Laporan Tahunan 2009 PEMUDAH dan melancarkan Buku Garis Panduan Pendaftaran Hartanah di Malaysia.

Jika demikian keadaannya, kenapa tidak umum sahaja pada pembentangan RMK10 nanti. Bukan sahaja waktu mengkaji, mendalami serta mendapatkan pandangan banyak pihak mempunyai masa yang agak panjang tetapi dengan mengumumkannya secara sekaligus akan menjadikan kritik dan polimik lebih menyeluruh.

Apakah kerajaan bersedia berdepan dengan pandangan dan reaksi dalam dua suasana dan ketika?

Apakah kerajaan benar-benar bersedia untuk menghadapi kritikan-kritikan dalam dua tempoh yang berterusan?

Kita faham niat baik kerajaan untuk menjadikan MEB lebih ampuh untuk melonjakkan negara bagi mencapai status negara maju dan menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Tetapi kelemahan-kelemahan pasti aka nada dan Najib sendiri mengakui bahawa kenapa MEB dalam dua fasa “...ialah kerana kita mahu mendapatkan padangan semua pihak yang berkepentingan."

Bagi saya, jika tergesa-gesa mengumumkan MEB tanpa perbahasan – khususnya di Dewan Rakyat – ia akan dianggap sebagai dasar sebelah pihak, bukan yang diluluskan oleh rakyat.

Jika kerajaan sukar mempertahankannya akibat pengumuman yang dilihat terdesak, ia boleh mendatangkan ‘bencana’ kepada kerajaan. Jika ‘bencana sudah dilakukan’, ia sukar untuk memperbaiki dan niat baik kerajaan akan dilanda badai besar.

Kerana itu, kaji dan bentang untuk perbahasan. Bukan sahaja cara ini lebih mendatangkan input dan hasil yang lebih memuaskan tetapi juga lebih demokratik.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.baru-baru ini berkata MEB akan memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada kaum Bumiputera.

Pertimbangan itu sejajar dengan dasar yang telah digunakan sebelum ini khususnya Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Beliau turut mengakui badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang mewakili pelbagai sektor dan industri telah menyampaikan rasa bimbang bahawa model ini yang begitu terbuka sehingga mengurangkan peluang kepada pengusaha-pengusaha bumiputera.

Pemimpin kerajaan selalunya memberikan jaminan bahawa MEB akan dilaksanakan berteraskan perlembagaan negara.

Benar apa yang dikatakan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali bahawa MEB perlu diperhalusi sepenuhnya agar kepentingan Melayu dan Bumiputera terus terbela selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan perlu memastikan setiap dasar yang ditetapkan di dalam MEB adalah berteraskan kepada peruntukan tersebut agar tidak menimbulkan kemarahan di kalangan orang Melayu hingga menjadi isu politik.

Namun, berapa ramaikah daripada kita sedar bahawa Perlembagaan yang diasaskan kepada Perjanjian 1948 itu sudah lebih 50 tahun dan mungkin banyak kelemahan yang terdapat khususnya perkara-perkara membabitkan kepentingan dan hak Melayu dan Bumiputera.

Jangan sampai perkara-perkara dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan akan dicabar apabila MEB dilancarkan khususnya apabila bukan Bumiputera turut merasakan hak mereka ‘dirampas’.

Jika DEB dikritik hebat dan pelan-pelan lain termasuk pelan pembangunan nasional dirasakan ‘memihak kepada Melayu dan Bumiputera’, saya tidak Nampak MEB akan terlepas begitu sahaja.

Jika bukan Melayu dan Bumiputera merasakan mereka terancam, bagaimana dengan status 30 peratus diperuntukkan kepada Melayu dan Bumiputera?

Apakah peruntukan 30 peratus itu menggambarkan keadilan dan saksama untuk rakyat Bumiputera?

Apakah ia mencerminkan rakyat (Bumiputera) didahulukan melalui MEB ini pada ketika kedudukan kemunduran, kemiskinan dan tertinggalnya mereka jauh lebih besar berbanding bukan Bumiputera?

Najib jangan lupa beliau datang dari sokongan UMNO dan melaluinya membolehkan beliau menjadi Presiden UMNO yang secara automatik menjadi Perdana Menteri.

Sebarang kesilapan dalam MEB akan menggugat Barisan Nasional (BN) yang turut dianggotai oleh bukan Melayu.

Kerana itu perlu ada pertimbangan adil dan sewajarnya bagi prinsip dan perlaksanaan MEB.
Cabaran Najib ialah memuaskan hati penyokong partinya terlebih dahulu sebelum beliau berdepan dengan sungutan dan tuntutan parti komponen BN.

Jika melepasi cabaran ini, Najib akan mudah berdepan pembangkang. Jika tidak, MEB akan mengalami nasib lebih buruk daripada DEB yang sehingga kini tidak menunjukkan pencapaian yang sewajarnya walaupun kuotanya hanya 30 peratus.