Sunday, May 8, 2016

Wan Rahim Undur Diri, Husam DiLantik Pengerusi Amanah Kelantan?


Daripada gaya percakapan, nampaknya  Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa masih sayangkan PAS.

Bagaimanapun,  perkembangan terakhir beliau sedang ditunggu-tunggu.

Husam pun belum menyatakan pendiriannya yang jelas mengenai kedudukannya terkini selepas dipecat oleh PAS.

Menariknya, Parti Amanah Negara (Amanah) sekali lagi menawarkan jawatan pengerusi parti itu di peringkat negeri kepada Husam.

Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata beliau sedia berundur daripada jawatan itu bagi memberi laluan kepada Husam untuk menerajui parti itu di peringkat negeri.

"Amanah Kelantan bukan setakat mengalu-alukan kehadiran Husam sebagai anggota amanah, bahkan seperti yang saya sebut dahulu, saya pegang jawatan itu untuk Husam.

"Jadi sebaik sahaja dia (Husam) hadir (sertai Amanah) saya akan memberikan kepimpinan Amanah Kelantan kepada beliau," katanya pada satu majlis partiitu yang turut dihadiri Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad di Kota Bharu, semalam..

Mahukah Husam?

Februari lepas, Wan Abdul Rahim dipetik sebagai berkata beliau akan memberi laluan kepada Husam untuk menjawat jawatan Pengerusi Amanah Kelantan jika Husam dipecat daripada PAS.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib PAS mengesahkan memecat Husam setelah meneliti aduan salah laku terhadap bekas naib presiden parti itu dan mendapati beliau telah melakukan tindakan serta perbuatan yang menyalahi Fasal 82(1)(b), (c),(d),(e) dan (f), Perlembagaan PAS.

Husam sebelum ini dilihat lantang menyerang parti dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terutamanya dalam isu dakwaan kerjasama antara PAS dan UMNO.

Ditanya mengenai dakwaan 10 wakil rakyat PAS akan menyertai parti itu selepas Husam dipecat, Wan Abdul Rahim berkata: "Insya-Allah, tapi belum masa lagi lah."

Sementara itu, Khalid berkata pemecatan Husam daripada PAS mencerminkan parti itu kini telah banyak berubah, sekali gus menunjukkan PAS tidak mengkaji suasana politik semasa serta kesannya terhadap parti itu sendiri.

"Saya rasa dengan sikap mereka memecat Husam ini merupakan satu bukti bahawa sebenarnya keadaan dalam PAS taklah seperti dahulu.

"Ini akan mendatangkan kesedaran dalam kalangan rakyat Kelantan bahawa suasana (politik sedang) berubah dan saya yakin rakyat Kelantan akan mendesak supaya Amanah berperanan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk halang kemenangan Barisan Nasional (BN) (di negeri ini)," katanya.