Tuesday, August 24, 2010

HIDUNG TAK MANCUNG, SERBAN TERSORONG-SORONG...

Doakahlah supaya Karpal, Kit Siang, Anwar boleh terima Hudud. Kalau tidak, baik fikir dua kali...

Mana Datuk Nik Abdukl Aziz Nik Mat Nak Letak Muka...

Ha...peluk, puji dan pujilah pemimpin DAP kononnya faham Islam dan boleh jadi rakan pemerintahan Islam.

Nik Aziz ni bagai tak reti-reti dan sesuai dengan pepatah ‘hidung tak mancung, serban tersorong-sorong’.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh, semalam menafikan dakwaan Menteri Besar Kelantan itu bahawa beliau bersendirian dalam pendiriannya menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam yang dicadangkan PAS.

Karpal Singh berkata, penasihat DAP, Lim Kit Siang, juga telah menyatakan pendiriannya bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular dan pengenalan hukum hudud di negara ini dan pewujudan sebuah negara Islam bukan dasar pakatan pembangkang.

"Kenyataan oleh Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, itu menunjukkan bahawa saya bersendirian dalam DAP yang menentang hudud dan negara Islam," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Karpal Singh mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz dua hari lalu bahawa beliau berpendapat kenyataan pemimpin DAP itu yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud dan negara Islam adalah pandangan peribadi beliau.

"Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu adalah pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti," kata Mursyidul Am PAS itu.

Karpal Singh juga menyambut baik kenyataan pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad, bahawa hukum hudud adalah tidak sesuai dilaksanakan, berkata:

"PAS patut menerima hakikat bahawa mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam adalah langkah sia-sia dan tidak akan dapat dicapai. Langkah itu bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan."

Sehubungan itu, Karpal berharap PAS akan mempertimbangkan pendiriannya mengenai hukum hudud dan negara Islam.

Wahai ‘Tok Guru’, suara Nik Nazmi tu suara siapa? Suara Anwarlah tu (Anwar Ibrahim, Penasihat PKR) yang dok ikut sembahyang di belakang ‘Tok Guru’ tu....

DUA KENDERAAN DIBAKAR DIPERCAYAI PERBUATAN KHIANAT

Sebuah keluarga di Kampung Jelawat, di Bachok, dikejutkan dengan bunyi letupan pada awal pagi kelmarin daripada dua buah kereta yang terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.

Api yang marak daripada kenderaan itu turut menyebabkan dinding hadapan rumah dan garaj kereta itu terbakar.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika tujuh anggota keluarga itu sedang tidur.

"Saya terkejut kerana tiba-tiba terdengar satu bunyi letupan yang agak kuat lalu bangun untuk melihat apa yang berlaku di luar rumah...sebuah Toyota Wish dan Perodua Myvi milik ahli keluarga saya sedang hangus terbakar," kata seorang anggota keluarga itu, Siti Nor Farhana Ahmad Fatani.

Siti Nor Farhana, 23, berkata dia kemudian bergegas mengejutkan kesemua anggota keluarganya termasuk suaminya kerana bimbang api itu merebak ke rumah.

Beberapa penduduk kampung turut keluar melihat keadaan itu dan mereka yang menghubungi bomba, katanya semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal keluarganya di kawasan rumah itu menemui bekas petrol dan satu bekas plastik.

Katanya mengesyaki bahawa kejadian itu mungkin perbuatan khianat, mereka membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Yahya Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan.

MUSTAPA ZIARAH 23 RUMAH, JENGAH RAKYAT

Mustapa berbual dengan Mohamad,75 pada ziarahnya.

Barakah kedatangan Ramadhan Al-Mubarak tahun ini sentiasa di isi dengan pengisian ziarah Ahli Parlimen Jeli, Dato Seri Mustapa Mohamed.

Ziarah Ramadhannya di parlimen Jeli pada 22 Ogos, kelmarin memberi peluang kepadanya menziarahi 23 buah rumah di sekitar kampung Gemang, Lakota dan Kampung Baru Jalan Malaysia.

Ziarahnya bermula sembahyang Subuh bersama penduduk di Madrasah As-Safa bermula 5.30 pagi itu memberikanya masa untuk bersama rakyat membabitkan golongan warga emas,orang sakit selain meninjau projek-projek pembangunan di Jeli.

Biarpun masa terhad, Mustapa tidak pernah mengabaikan parlimennya sejak mula bertapak di sini sebaliknya terus mengalas tanggungjawab dan amanah diberikan rakyat Jeli yang memilihnya sebagai pemimpin di kawasan itu.

Selain itu, Mustapa turut meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Shahidam Mohamed Yusoff,15,pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli yang maut dalam kemalangan baru -baru ini di kawasan rehat dan rawat Gemang.

Beliau bertanyakan keadaan Mohd Yusoff dan Semah.

Kunjungan Mustapa disambut dengan penuh senyuman oleh ayah Allahyarham, Mohd Yusoff Ismail, 58 dan ibunya Semah Mamat,56.

Kesempatan menziarahi keluarga Allahyarham sempena bulan Ramadhan ini mengeratkan lagi ukhuwah antara kedua-dua pihak apabila keluarga Allahyarham turut berasal dari Bachok dan mempunyai keluarga di sana.

Dalam kejadian sebelum ini, Allahyarham Shahidam dikatakan dalam perjalanan membeli buah kurma di Bazar Ramadhan seblum terlibat dalam kemalangan tersebut.

Shahidam dikatakan membuat pusingan ‘U’ secara mengejut di hadapan hentian Rehat dan Rawat (RR) Gemang dekat sini sebelum motosikal ditungganginya merempuh treler dari arah bertentangan menyebabkan mangsa diseret beberapa meter.

Turut sama dalam ziarah itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Gemang, Abd.Razak Ismail.

KOMITED TINGKATKAN EKONOMI IBU TUNGGAL DI KELANTAN

Sebahagian daripada 150 wanita membuat persiapan menunaikan solat sunat tasbih sempena program Nur Ramadan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Kelantan di Pengkalan Chepa, semalam. - Utusan

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) terus komited membantu meningkatkan status ekonomi wanita dan ibu tunggal di negeri ini dengan menyediakan kursus kemahiran percuma kepada mereka.

Pengarah JPW negeri, Asiah Puteh berkata, setakat ini, dua kursus iaitu Inkubator Keusahawanan Wanita (I-Kenita) dan Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-Kit) telah dilaksanakan melibatkan 60 wanita dan ibu tunggal.

Katanya, penganjuran kursus I-Kenita merangkumi pendedahan mengenai teknik dan cara berniaga, penjahit pakaian dan langsir, merupakan sebahagian daripada usaha JPW untuk memperkasakan ekonomi golongan berkenaan.

"I-Kit pula melibatkan kursus membuat roti, pastri dan makanan sejuk beku dan tempuh kursus antara 10 hingga 17 hari," katanya ketika ditemui selepas Program Nur Ramadan di Rumah Nur di Pengkalan Chepa semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) negeri, Datin Bi Samihah Mohd. Salleh.

Menurut Asiah, pelaksanaan kedua-dua kursus itu akan disambung semula selepas Ramadan ini melibatkan penyertaan lebih ramai wanita dan ibu tunggal yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

Selain itu, katanya, JPW juga akan menganjurkan 'Program Imarah Rumah Nur' sepanjang tahun bagi memberi peluang lebih luas kepada golongan berkenaan mendapatkan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang.

"Di bawah program berkenaan, wanita yang mendaftar dengan jabatan berpeluang menyertai kursus jangka pendek seperti jahitan baju wanita, langsir, sulaman, manik dan kraftangan," katanya.

Asiah berkata, selain diberikan kemahiran, peserta juga turut diajar bidang pemasaran bagi membolehkan mereka menjual barangan yang dihasilkan.

Katanya, wanita dan ibu tunggal yang berminat untuk menyertai kursus kemahiran anjuran JPW itu boleh menghubungi Nur Hannani Emran atau Nur Hanini Zawani di talian 7741005 pada waktu pejabat untuk butiran lanjut.

Utusan

LAGI KES MERCUN...KANAK-KANAK PRASEKOLAH HAMPIR BUTA

Seorang kanak-kanak prasekolah nyaris buta apabila mercun bola yang dinyalakannya meletup di hadapan matanya dalam satu kejadian, di Kampung Banggu di sini Isnin.

Raja Afzan Raja Zakaria, 6, yang menemui mercun itu berhampiran rumahnya dikatakan ingin tahu bagaimana mercun itu berfungsi sebelum membakar sumbu mercun tersebut.

"Katanya lepas dia (Raja Afzan) jumpa (mercun), dia cucuh api kemudian duduk dan tengok sahaja mercun tu dari jarak dekat tanpa membalingnya, sebab itulah dia cedera teruk," kata abang saudara mangsa, Edi Safwan Li, 21, ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab Dua, di sini.

Katanya Raja Afzan bernasib baik kerana doktor mengesahkan bahawa mata kanak-kanak itu tidak cedera dan hanya bahagian kelopak sahaja yang terbakar.

Kejadian hari ini adalah yang ketiga direkodkan di Kelantan setakat ini.

Semalam seorang murid Tahun Dua cedera ringan di mata, muka dan tangan kiri selepas mercun bola yang dijumpainya meletup, manakala dalam kejadian Selasa lepas, seorang kanak-kanak berusia empat tahun cedera parah di tangan kanannya selepas mercun jenis sama meletup dalam genggaman.

LKIMA BOT NELAYAN DITAHAN DALAM BULAN PUASA

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima buah bot nelayan Vietnam bersama 58 awak-awak dalam empat operasi di perairan Terengganu dan Kelantan sejak awal puasa hingga Isnin.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Timur Komander Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata tiga buah daripada bot itu dengan 37 kru ditahan di Terengganu manakala dua lagi bersama 21 kru ditahan di Kelantan.

"Dengan tangkapan ini membuktikan kita (maritim) beroperasi seperti biasa sama seperti bulan lain," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Beliau memberi jaminan kepada komuniti maritim supaya tidak takut keluar ke laut kerana APMM menjalankan operasi menyeluruh meliputi kawasan maritim Wilayah Timur.

Dalam pada itu, Syed Mohd Fuzi meminta nelayan tempatan khususnya nelayan laut dalam segera melaporkan kepada APMM sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai pencerobohan nelayan asing.

Beliau juga mengingatkan nelayan kelas B dan C supaya mematuhi syarat lesen dan tidak menceroboh kawasan nelayan pantai kerana kini pihaknya banyak menerima aduan tentang pencerbohan bot kelas itu di tempat berkenaan.

Di MELAKA, APMM yang berpangkalan di Kuala Linggi, Alor Gajah, menahan dua buah kapal sedang melombong pasir laut tanpa permit berhampiran Pulau Upeh dekat sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim daerah Kuala Linggi, Kapten Ibrahim Mohamed berkata kedua-dua buah kapal jenis Sand Pump Barge ditahan ketika melombong pasir di posisi 3 batu nautika dari Pulau Upeh, pada pukul 2.30 pagi.

Setelah pemeriksaan dibuat oleh anggota APMM, kedua-dua kapal itu tidak mempunyai dokumen dan permit kelulusan untuk melombong pasir laut, katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata permit syarikat tersebut telah tamat pada bulan lepas dan melombong di tempat yang tidak dibenarkan.

Katanya kapal yang bernama Cathay SP 1 dan Cathay SP 2 adalah milik sebuah syarikat yang terlibat dalam kerja penambakan pantai di Klebang.

Kedua-dua kapten kapal tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Akta Pelantar Benua 1966 (semakan 1972) dan kes akan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Melaka untuk tindakan lanjut.

BERMESRA DENGAN SEGENAP LAPISAN...

TENGKU Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra (dua,kiri) beramah mesra dengan Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias (kiri) pada majlis berbuka puasa di Pengkalan Chepa, kelmarin. - BERNAMA

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra meneruskan aktiviti baginda beramah mesra dengan segenap rakyat di negeri ini sepanjang bulan Ramadan.

Kelmarin, baginda bukan sahaja berbuka puasa bersama anggota Rejimen 506 di Kem 8 Briged, Pengkalan Chepa tetapi turut menunaikan solat tarawih bersama kira-kira 300 jemaah di Surau al-Hikmah sambil diimamkan Pegawai Agama markas tersebut, Mejar Muhammad Shukor Said.

Ketibaan baginda turut disambut oleh Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud dan Panglima 8 Briged, Brigadier Jeneral Abd. Rahim Abdul Mutalib.

Selepas menunaikan solat tarawih, baginda turut meluangkan masa selama kira-kira 15 minit berbual-bual dan beramah mesra dengan para jemaah yang ada.

Utusan