Thursday, May 12, 2016

K Devan Tinggalkan Kelantan Berkuatkuasa Serta Merta Semalam


Ribut tiada, angin pun tiada. Tiba-tiba kem Kelantan dikejutkan berita peletakan jawatan ketua jurulatih mereka, K Devan sekali gus meletakkan pasukan itu dalam situasi sukar bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Jodoh Devan bersama Kelantan nyata tidak panjang apabila pengendali berusia 54 tahun itu akhirnya melepaskan jawatan yang disandangnya sejak lima bulan lalu berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Devan berkata, dia melepaskan jawatan ketua jurulatih skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors atas faktor peribadi, namun enggan mengulas lanjut berhubung tindakan mengejutnya itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan), Tan Sri Annuar Musa dan pengurusan persatuan itu kerana memberi peluang kepada saya melatih pasukan Kelantan pada musim ini.

“Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan, pemain dan penyokong The Red Warriors di atas kerjasama diberikan. Selain itu, saya juga mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan ini untuk menghadapi saingan Liga Super dan kempen Piala Malaysia nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Bekas jurulatih Negeri Sembilan itu dipilih oleh Kafa bagi menggantikan pemangku jurulatih ketika itu, Zahasmi Ismail, awal Disember tahun lalu, selepas pengurusan bola sepak Kelantan itu gagal membawa masuk dua nama besar iaitu V Sundramoorthy dan B Satiananthan.

Sepanjang mengendalikan pasukan Kelantan pada musim ini, Devan sekadar membawa skuad pantai timur itu mara ke pusingan ketiga kempen Piala FA sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Kedah.


Selain itu, bekas juara tiga piala musim 2012 itu turut menampilkan prestasi tidak konsisten apabila sekadar menghuni tangga keenam dalam saingan Liga Super hasil tiga kemenangan, tiga seri dan empat kali tewas dalam 10 perlawanan.

Ketika ditanya sama ada keputusannya melepaskan kerusi panas dalam pasukan Kelantan itu mendapat restu daripada pengurusan tertinggi Kafa, Devan sekadar memberitahu sudah tiba masanya dia berbuat demikian.

“Saya dah letak jawatan, saya rasa sudah sampai masanya saya berbuat demikian...... Saya akan maklumkan (peletakan jawatan itu) kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar (Musa) sekejap lagi,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/logger/p.gif?a=1.519832&d=/2.657/2.667

Dihubungi Berita Harian, semalam beliau berkata sudah memaklumkan keputusannya  untuk meletak jawatan semalam  dan tindakannya direstui pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

"Saya letak jawatan atas sebab peribadi dan tidak dipaksa sesiapa pun. Petang tadi saya sudah maklumkan dan pengurusan Kafa restu," katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Kafa,  Datuk Ismail Md Noor berkata, masih belum menerima surat rasmi peletakan jawatan Devan sebagai ketua jurulatih.

Beliau sendiri terkejut apabila dimaklumkan perkara itu dan akan mendapatkan penjelasan lanjut Devan.

"Saya tak tahu beliau meletak jawatan dan tidak terima apa-apa surat letak jawatan. Sepatutnya hanya Setiausaha Agung dan Presiden sahaja yang berhak menerima surat itu.

"Tapi sehingga hari ini saya tidak terima dan mustahil jika ia diserahkan kepada Presiden.

"Saya sedang usaha mendapatkan penjelasan daripada beliau," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu.


Beliau berkata, Devan tidak memaklumkan hasrat itu kepadanya, malah pertemuan mereka kelmarin banyak membincangkan hala tuju pasukan Kelantan tanpa menyentuh isu letak jawatan.

Sindiket Seludup PATI Semakin Agresif, Baling Objek Berbahaya - AKSEM

Air Sungai Golok cetek ketika ini.
Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) kini bertindak lebih agresif termasuk membaling objek berbahaya kepada kenderaan penguat kuasa bagi menggelakkan daripada ditahan.

Dalam kejadian kelmarin (10 Mei), seorang anggota sindiket dalam sebuah kenderaan jenis Honda Stream yang membawa lapan PATI warga Myanmar bertindak membaling peralatan membaiki kenderaan termasuk spanar ke arah kenderaan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan yang mengejar mereka.

Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata dalam kejadian itu, kenderaan dinaiki empat anggota AKSEM Cawangan Bukit Bunga, Tanah Merah nyaris terbabas akibat dibaling objek berbahaya ketika mengejar kenderaan sindiket yang dilaporkan membawa PATI.

"Dalam kejadian pukul 3.50 petang itu, anggota sindiket terbabit akhirnya memberhentikan kenderaan di tepi jalan berdekatan Kampung Kubang Kuar, Pasir Mas sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di Kota Bharu kelmarin.

Mohd Asri berkata pemeriksaan yang dilakukan mendapati lapan PATI warga Myanmar berada dalam kenderaan itu yang dipercayai cuba dibawa ke pangkalan haram di tebing Sungai Golok, iaitu sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Beliau berkata kesemua lima lelaki dan tiga wanita warga Myanmar yang berusia antara 23 dan 55 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut.

"Hasil maklumat yang diperoleh, kumpulan PATI itu kemungkinan dari negeri Pantai Barat Semenanjung dan mahu kembali negara mereka.

"Kemungkinan mereka sudah berpakat dengan sindiket untuk membawa mereka ke pangkalan haram di sempadan sebelum menyeberang ke negara jiran," katanya.

Beliau berkata kumpulan PATI itu kemungkinan juga mengambil kesempatan menyeberangi Sungai Golok di kawasan yang paras airnya cetek berikutan fenomena El-Nino ketika ini.

"Sebelum menyeberang sempadan, mereka ini kemungkinan ditempatkan di rumah yang dijadikan transit sementara menunggu waktu yang sesuai menyeberangi sempadan," katanya.

Sementara itu, AKSEM Kelantan mahu anggotanya yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sentiasa berhubung dengan penduduk di kawasan sempadan itu bagi mendapatkan maklumat dalam misi membanteras kegiatan penyeludupan.

Komandernya, Asri Yahya berkata anggota yang ditempatkan di sempadan biasanya akan membuat rondaan menggunakan motosikal dan mereka akan berjumpa dengan penduduk untuk mendapatkan maklumat terbaharu berkaitan kegiatan di sempadan.

"AKSEM sentiasa berhubung dengan penduduk tempatan khususnya di Rantau Panjang (Pasir Mas), Pengkalan Kubor (Tumpat) dan Bukit Bunga (Tanah Merah).

"Melalui kaedah ini kita dapat mengetahui di mana biasanya berlaku kegiatan penyeludupan serta kewujudan lorong-lorong tikus," katanya ketika ditemui di sini, Selasa.

Asri berkata ekoran air Sungai Golok yang kian cetek akibat fenomena El Nino, anggota AKSEM tidak ketinggalan dalam melakukan pemantauan lebih kerap bagi mengelakkan kawasan sempadan terlibat dibolosi penjenayah.

Beliau berkata terdapat beberapa kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai di tebing Sungai Golok untuk bermain air dan AKSEM turut melakukan rondaan kerana bimbang ada penyeludup mengambil kesempatan.

"Buat masa ini kawasan tebing sungai itu iaitu di antara Kampung Bagus, Rantau Panjang dan Kampung Burin, Thailand kini diawasi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Bagaimana pun, AKSEM akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam memastikan kawasan di sempadan tidak bolos," katanya.

Dalam perkembangan lain, Asri berkata AKSEM Kelantan berjaya merampas sebanyak lapan tan metrik beras Siam serta sebuah lori, bernilai RM118,000 semalam.

Katanya rampasan itu dilakukan selepas sepasukan anggotanya yang menerima maklumat berjaya memintas dan menahan sebuah lori di Kampung Bechah, Pasir Mas.

"Dalam kejadian pukul 7 malam itu, pemandu dan kelindan lori berkenaan berjaya melarikan diri sambil meninggalkan lori di tepi jalan.

Pemeriksaan yang dilakukan mendapati ada 160 guni beras yang kesemuanya seberat 8,000 kilogram. Kita percaya beras itu diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan di sini," katanya.

Katanya kes diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Cawangan Kelantan untuk tindakan lanjut.