Monday, February 21, 2011

Orang Asli Dakwa Hilang Pendapatan Akibat 'Ladang Rakyat'

Penduduk Orang Asli di Pos Balar dekat sini berkata mereka kehilangan punca pendapatan setelah ladang getah seluas 100 hektar didakwa ditebang oleh syarikat yang dilantik oleh kerajaan PAS Kelantan bagi membangunkan "Ladang Rakyat".

Sugi Alang, 26, berkata kebanyakan tanah yang diusahakan oleh penduduk Orang Asli sejak 20 tahun lepas ditanam dengan getah dan tanaman lain tetapi syarikat yang membangunkan Ladang Rakyat telah menebang pokok getah mereka.

Beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya campur tangan menyelesaikan isu tanah di situ daripada mengutamakan kepentingan syarikat asing.

Seorang lagi penduduk, Samri Talib, 30, berkata beliau bimbang kerana kawasan tadahan air bukit di situ musnah selepas kesemua hutan ditebang untuk tujuan berkenaan.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Galas, Abdul Aziz Yusoff, berkata beliau menerima banyak aduan daripada Orang Asli mengenai kejadian serupa di kawasan Lojing, Pos Brooke, Bihai, Pulat, Pasik dan Kuala Betis.

Katanya beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat Umno bahagian supaya Tengku Razaleigh Hamzah selaku ketuanya boleh mengambil tindakan seterusnya.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pengambilan tanah itu berlaku disebabkan tidak ada batu sempadan dan kerajaan negeri pula meluluskan permohonan syarikat berkenaan kerana beranggapan tanah itu tidak mempunyai pemilik.

Kerajaan Kelantan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat masalah yang berlaku, katanya.

Ketua Eksekutif Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi, pula berkata projek Ladang Rakyat yang dijalankan di Gua Musang tidak melibatkan kawasan penempatan Orang Asli.

Tabung Darah Semua Hospital di Kelantan Kritikal

Orang ramai termasuk pelbagai badan sukarela perlu tampil menderma darah bagi mengisi tabung darah di semua hospital di Kelantan yang dalam keadaan kritikal kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusoff berkata, keperluan itu penting bagi menyelamatkan nyawa mereka yang menghidapi penyakit kronik dan memerlukan bekalan darah.

Beliau mahu setiap penduduk mengambil perhatian serius terhadap keperluan tabung darah kerana bimbang sekiranya tidak mencukupi akan memudaratkan mereka yang memerlukan.

“Mereka yang menderma juga tidak perlu bimbang dengan kesihatan diri kerana mereka akan bertambah sihat,” katanya pada majlis Kempen Kesihatan dan Menderma Darah mengisi Tabung Darah Hospital Kuala Krai (HKK) di Kesedar Inn, kelamrin.

Pada majlis itu, Ab Aziz turut menderma darah sebagai menggalakkan orang ramai yang berkunjung ke situ berbuat demikian untuk kebaikan pesakit.

Bagaimanapun, menurut Ab Aziz, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada mereka yang berulang kali menderma darah hingga ada yang melebihi 40 kali.

Beliau berkata, mereka yang sudah biasa menderma darah itu sudah tentu rasa sihat selepas berbuat demikian dan kadang kala tidak sabar menderma hingga sanggup datang ke mana-mana hospital.

“Amalan seumpama itu yang kita mahu kerana mereka yang menderma sudah tentu mendapat ganjaran dari Allah berikutan darahnya digunakan bagi menyelamatkan nyawa Manusia yang menghidap penyakit kronik,” katanya.

Penurunan Undi Melayu Kepada Pas Kerana Manipulasi Media - Nik Aziz

Pas mendakwa penurunan undi kaum Melayu terhadap parti itu sejak beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang lalu berpunca daripada manipulasi dan laporan berat sebelah media yang dikuasai UMNO-Barisan Nasional (BN).

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pembangkang di negara ini tidak mendapat tempat untuk menjelaskan sesuatu isu di media arus perdana, sekali gus menyebabkan rakyat tidak memperoleh maklumat yang tepat.

Menurutnya, sekatan tersebut menyebabkan Pas terjejas kerana konon-kononnya media terbabit mempengaruhi minda orang Melayu dengan menonjolkan berita bahawa kuasa politik Melayu terhakis jika menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, ia adalah tidak adil kepada PR kerana sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar demokrasi, kerajaan BN seharusnya tidak menyalahgunakan media perdana, sebaliknya memberi peluang kepada pembangkang menjelaskan isu-isu tertentu.

“Pas menyeru orang Melayu, sokonglah PR tidak kira calon dari PKR atau DAP kerana dalam PR itu ada Pas, ada Islam.

“Pada zaman Nabi Muhammad SAW, baginda membawa agama kepada seluruh umat manusia, baginda bukan bawa ideologi kebangsaan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Selain itu, Nik Aziz turut menegur sebuah akhbar bahasa Melayu semalam yang menunjukkan laporan muka depan bertajuk ‘Nik Aziz Ubah Nada’ yang didakwa sebagai satu usaha menjejaskan kredibilitinya.

“Saya tidak pernah ubah nada saya, ini adalah bohong. Apa yang saya cuba sampaikan adalah orang Melayu perlu diutamakan dalam agenda Pas kerana Melayu adalah kaum pertama di Tanah Melayu yang memeluk Islam.

“Kalau Pas mahu memperjuangkan Islam, siapa yang perlu diutamakan jika tidak orang Melayu yang juga kaum majoriti di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan Pas sekarang sudah mula mengutamakan perjuangan Melayu berbanding Islam, Nik Aziz menegaskan bahawa Pas akan tetap melebihkan Islam daripada perkara lain.

“Tugas menjaga orang Melayu memang perlu bukan sahaja kepada UMNO, tetapi kepada Pas dan semua parti lain di negara ini,” katanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut menegur Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (Bebas), Zulkifli Nordin yang meminta beliau kembali kepada ajaran Rasulullah SAW dalam mengutamakan orang Islam.

“Zulkifli orang yang sudah tidak siuman. Beliau mengkhianati pengundi di kawasannya dan sekarang beliau mengkhianati saya pula,” katanya.

Dalam blognya, Zulkifli menceritakan bagaimana Rasulullah SAW dalam Surah ‘Abasa ditegur Allah SWT kerana berpaling muka dan bermasam muka terhadap orang Muslim lain.

Antara Nik Aziz dan Tun Mahathir

Seperti mana Pas juga yang dicipta dan diasaskan oleh manusia yang 'kecewa dan marah' pada 1951, sudah tentu pemimpin dan penyokong Pas juga tidak terkecuali melakukan perbagai kesilapan. Namun jika UMNO boleh mengakuinya kenapa Pas pula tidak boleh? Maksum sangatkah Pas hingga penyokongnya sendiri takut untuk menegur kepimpinan. Sedangkan Saidina Umar pun minta ditegur apabila dilantik sebagai khalifah.

Oleh HJ. LUKMAN BIN MOIDIN(Penceramah, Motivasi & Kaunselor, KEDAH)
Utusan Malaysia (Forum) 18 Feb 2011


Saya tertarik mengulas jawapan balas Mursidul Am Pas, Datuk Nik Aziz dalam akhbar Harakah bil 1612 tentang Isu Nasionalisme: Jawapan saya untuk Tun Mahathir. Jawapan balas dan persoalan ini saya kemukakan bagi penilaian kita atau sesiapa sahaja yang masih mahu berfikir secara rasional berasaskan fakta.

Seperti biasa Nik Aziz begitu 'berdendam' dan banyak mempersoalkan 'keIslaman' UMNO dan Tun Mahathir. Antara ayat yang mungkin menarik perhatian ialah beliau (Nik Aziz) telah 'bertanggungjawab menyebarkan Islam' melalui Pas dan menganggap di hari kebangkitan beliau akan 'berasa selamat' di hadapan Allah SWT dengan mengatakan tugas tarbiah terhadap UMNO dan Tun Mahahir telah beliau laksanakan dan akhirnya UMNO dan Tun Mahathir tetap menolak Islam yang dibawa oleh Pas.

Beliau lupa bahawa parti yang beliau 'anuti' itu ditubuhkan pada tahun 1951 melalui 'kelulusan' kerajaan Nasrani British. Tentunya ketika UMNO sudah wujud sebagai parti penyatu umat Islam Melayu, golongan Yahudi dan Nasrani yang mempelopori sistem demokrasi mencari kaedah paling halus dan licik untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam adalah membenarkan Pas ditubuhkan.

Apakah benar Islam itu Pas, dan Pas itu Islam? Persoalan ini perlu difikirkan oleh kita kerana ketika Nik Aziz menjadi ahli Pas, Nik Aziz atau mungkin ayah beliau masih tidak mengenali atau menganut fahaman Pas. Apakah pula jawapan Nik Aziz di hari kebangkitan jika kaum keluarga Nik Aziz juga tidak menganuti fahaman Pas?

Malah ramai dari kita khususnya yang bukan dilahirkan di Kelantan belajar dan faham agama dari sekolah-sekolah yang diasaskan oleh UMNO/BN. Ramai dari kita hanya sedar kewujudan Pas apabila DSAI dipecat.

Ketika itu berduyun-duyun orang Islam mulai mendapat 'hidayah' dan menyokong Pas termasuklah penulis. Apakah nasib-nasib kami yang pernah menyokong Pas dan akhirnya 'keluar' atau 'murtad' dari menyokong Pas. Bagaimana pula hukuman Nik Aziz terhadap Ketua Umum PKR dan kepimpinan PKR yang tidak menyertai Pas?

Saya tidak menganggap UMNO itu betul 100 peratus kerana ia adalah parti ciptaan manusia dan diuruskan oleh manusia. Seperti mana dakwaan Nik Aziz bahawa 'banyak kepincangan' dilakukan oleh UMNO (sebenarnya pemimpin UMNO). Begitu juga yang dilihat berlaku dalam Pas.

Seperti mana Pas juga yang dicipta dan diasaskan oleh manusia yang 'kecewa dan marah' pada 1951, sudah tentu pemimpin dan penyokong Pas juga tidak terkecuali melakukan perbagai kesilapan.

Namun jika UMNO boleh mengakuinya kenapa Pas pula tidak boleh? Maksum sangatkah Pas hingga penyokongnya sendiri takut untuk menegur kepimpinan. Sedangkan Saidina Umar pun minta ditegur apabila dilantik sebagai khalifah.

Besar sangatkah dosa UMNO dan besar sangatkah jasa Nik Aziz kepada Kelantan sepanjang 20 tahun mentadbir? Jika Nik Aziz mengatakan Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam, maka izinkan saya memetik kuliah mingguan beliau di Kota Bharu yang mengatakan kebanggaan beliau terhadap sistem kewangan Islam. Memetik kata-kata beliau seperti yang dilaporkan "Begitu juga kewangan Islam, dahulu orang kata mana boleh berniaga tanpa riba, zaman sekarang kewangan Islam, bank Islam jadi rebutan, orang Barat pun pakai".

Ia merupakan fakta yang terlalu jelas, usaha mewujudkan sistem kewangan Islam seperti perbankan Islam, takaful, pajak gadai Islam, pinjaman Islam dan sebagainya adalah idea dan kehendak Tun Mahathir yang juga Presiden UMNO ketika itu (1982) untuk membawa perubahan dan kejayaan ekonomi kepada negara kita.

Mahathir melihat keperluan ini kerana tahu bahawa hanya negara yang 'kaya' dan 'kuat kuasa ekonominya' sahaja akan digeruni oleh lawan. Paling hampir yang terkesan dengan apa yang kita lakukan ialah Singapura. Kerana itu mereka 'mendekati' Nik Aziz dan menggunakan DAP bagi memusnahkan sistem kewangan ini apabila peluang ini diperolehi.

Janganlah Nik Aziz lupa bahawa sistem kewangan Islam yang diasaskan oleh pimpinan UMNO inilah yang menyelamatkan ekonomi negara serta dijadikan model oleh negara Barat hari ini seperti yang diakui oleh Nik Aziz. Justeru kita patut bertanya, besar mana sumbangan idea Nik Aziz dalam sistem kewangan Islam sejak beliau mentadbir Kelantan?

Siapakah pula yang telah membuka idea penggunaan Dinar Emas yang tidak pernah difikir atau dibahaskan oleh mana-mana pemimpin negara Islam tetapi akhirnya mula membuka mata masyarakat dunia kalau bukan Tun Mahathir.

Lucunya sempat pula Nik Aziz 'menceduk' idea 'syiling emas' untuk mendapatkan 'laba' politik tanpa merancang penggunaanya dengan bijaksana.

Besar sungguh jasa Nik Aziz yang menyebabkan penghijrahan rakyat Kelantan ke merata tempat seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan negeri ditadbir BN untuk mencari rezeki yang halal.

Bodoh sangatkah kita untuk melihat jutaan pendatang asing yang turut masuk secara sah atau haram mencari rezeki di negara ini atas kebijaksanaan pentadbiran UMNO dan BN ketika era Tun Mahathir ?

Nik Aziz juga sempat meminta Tun Mahathir menyatakan 'kesalahan' beliau sebagai MB Kelantan jika ada. Tanpa perlu Tun Mahathir membuang masa biar penulis sebutkan di sini beberapa perkara yang boleh dinilaikan:

* Banyak manakah 'berhala besar' yang lebih tinggi dan besar dari menara masjid atau kubah didirikan sepanjang Nik Aziz menjadi Menteri Besar.

* Tidak malukah Nik Aziz mengisytihar Kelantan sebagai 'Serambi Mekah' sedangkan ketika Nabi Ibrahim dilantik sebagai Rasul, baginda telah memecahkan semua patung berhala di sekitar Kaabah.

* Jika Nik Aziz pertikai kesungguhan UMNO/BN mendirikan masjid kita mahu pula melihat kesungguhan Pas dalam isu pembinaan masjid baru selama 20 tahun memegang kuasa.

* Pengalaman berkunjung ke Kelantan pada Disember 2010 selama tiga hari membuktikan kepada penulis tentang 'tong kosong' yang dipalu oleh Pas Kelantan. Sudah terang lagi bersuluh, kebersihan yang menjadi asas keimanan pun tidak mampu dijaga oleh Nik Aziz sebagai pemimpin Islam, maka usahkan bercerita perkara lebih besar dari itu seperti hudud yang entah hilang laungannya.

* Semasa berada di Kota Bharu, penulis sempat solat subuh, Jumaat, maghrib dan isyak di beberapa masjid. Pemandangannya hampir sama seperti mana kita melihat jemaah di masjid-masjid di negeri yang ditadbir BN. Malah semasa solat Jumaat di Masjid Muhammadi, masih ramai yang merokok dan berbual hingga ketika solat hendak didirikan.

* Penulis turut 'melawat' setiap tandas masjid yang hampir kesemuanya cukup jijik dan kotor.

Malah di sebuah masjid yang tersergam indah di Kubang Kerian, tandasnya juga amat kotor dan tidak terurus.

Besar sangatkah jasa Nik Aziz hingga asas keimanan tentang kebersihan ini pun tidak mampu diserapkan kepada rakyat di bawah kepimpinan ulamak selama 20 tahun.

Mungkin segelintir kita tidak memahami dan dapat membaca pemikiran Islam Tun Mahathir kerana 'kesilapan' beliau yang belajar dalam 'bidang kedoktoran' dan bukannya 'bidang keagamaan', juga Tun tidak memakai kupiah atau jubah dan tidak bercakap isu hudud sepanjang mentadbir negara.

Nik Aziz Anggaup Zulkifli Noordin Pengkhianat

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak saranan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang memintanya merujuk Surah Abasa berhubung kerjasama antara Islam dengan bukan Islam.

Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya menyifatkan Zulkifli sebagai seorang pengkhianat dan tidak layak memintanya berbuat demikian.

"Kalau saranan itu daripada orang lain, saya mungkin boleh terima tetapi bukan Zulkifli yang hanya pandai membuat kacau-bilau termasuklah kepada kawasannya. Dia juga khianat kepada saya.

"Oleh itu, dia bukanlah Yang Berhormat kerana mengikut pepatah Mesir, orang seperti Zulkifli itu mempunyai ulat dalam otaknya," katanya pada sidang akhbar di Rumah Sri Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.

Nik Abdul Aziz mengulas saranan Zulkifli yang mahukan Menteri Besar Kelantan itu merujuk surah tersebut terlebih dahulu yang meminta supaya mendahulukan seorang Muslim berbanding penganut agama lain dalam kerjasama.

Nik Abdul Aziz berkata, saranan Zulkifli itu boleh menjejaskan sokongan bukan Islam terhadap perjuangan Pas selama ini.

"Saya bimbang sokongan bukan Islam terhadap Pas akan merosot apatah lagi kami kini mempunyai kelab penyokong daripada mereka.

"Kenyataan sebenar saya adalah orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana mereka merupakan bangsa terawal di Tanah Melayu yang menerima Islam," katanya.

Mengulas kemungkinan Pas akan mengalami kekalahan kali keempat berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau bulan depan, beliau berkata:

"Saya meminta orang Melayu sokong pembangkang kerana dalamnya ada Pas yang berjuang untuk Islam.

"Jika Pas hilang sokongan orang Melayu, ini adalah kerana UMNO yang menyalahgunakan demokrasi," katanya.

Menurutnya, pembangkang hanya berpeluang mengadakan kempen sewaktu pilihan raya sedangkan UMNO mendominasi media setiap hari dan tindakan itu tidak adil.

"UMNO salah dunia dan akhirat kerana mereka menyalahgunakan demokrasi dan tidak mustahil apa yang menimpa Mesir akan berlaku di Malaysia ekoran perbuatan UMNO ," katanya.

Sumbangan RM100,000 Kerajaan Pusat Untuk Kuil Ladang Kerilla

Lebih 2,000 penduduk kaum India di Ladang Kerilla, dekat Tanah Merah, gembira dengan peruntukan RM100,000 daripada Kerajaan Pusat bagi membesarkan dewan kuil Sri Maha Mariamman demi memenuhi keperluan jumlah pengunjung yang meningkat setiap tahun.

Setiausaha Kerja Persatuan Integrasi Belia, G. Maran berkata kuil itu dibina sejak 1926 ketika penempatan awal masyarakat India di situ.

Beliau berkata sejak kuil berkenaan dibina, ramai penganut agama Hindu mengunjunginya bagi perayaan khas setiap bulan Jun dan pada tahun lepas seramai 15,000 orang dari seluruh negara datang ke kuil itu.

"Kuil itu siap dibina lebih awal daripada ladang getah yang dibuka pada 1932. Pada awal penempatan, Ladang Kerilla hanyalah sebuah perkampungan kecil yang mengusahakan tanaman getah. Kini ladang kami adalah penempatan kaum India terbesar di Kelantan," katanya kepada Bernama.

Maran berkata disebabkan kuil itu tidak lagi mampu menampung jumlah pengunjung, pihaknya menyerahkan surat meminta peruntukan ketika lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Tanah Merah tahun lepas.

Maran, 37, berkata usaha mendapatkan peruntukan itu dibantu Ketua Umno Bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

"Sumbangan itu merupakan jumlah terbesar diterima penduduk Ladang Kerilla sejak merdeka. Kami sangat berterima kasih," kata anak kelahiran Ladang Kerilla generasi keempat itu.

Beliau berkata pemberian peruntukan itu membuktikan kerajaan pusat memberi perhatian terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan menghormati kebebasan amalan beragama kaum lain biarpun agama rasmi negara adalah Islam.

Katanya satu majlis penyerahan cek akan diadakan pada Sabtu ini, di Ladang Kerilla oleh Ikmal Hisham kepada masyarakat India.