Monday, February 15, 2010

RAJA DINISTA HANYA KERANA TIDAK DAPAT JADI MB

(http://teganukini.blogspot.com)

Keputusan Mahkamah Persekutuan 5-0 mengekalkan keputusan Sultan Perak yang telah melantik Dr. Zambry sebagai Menteri Besar Perak, mengesahkan kuasa Sultan yang sebelum ini dijelaskan oleh Dato' Seri Utama Rais Yatim.

Tindakan membawa kes ini ke Mahkamah jelas satu penderhakaan kepada Sultan Perak kerana perlantikan Menteri Besar merupakan kuasa Sultan dan bukannya kuasa Mahkamah. Undang-Undang Negeri amat jelas apabila memperuntukan Sultan boleh mengenepikan mana-mana peruntukan perlembagaan sekiranya menghalang baginda daripada melantik seorang ADUN yang baginda perkenan.

Amalan ini jelas, bukan sahaja berlaku di Perak, malah berlaku di Perlis dan Terengganu. Manakala di Johor, Tuanku Sultan menitahkan Perdana Menteri mencalonkan orang yang baginda perkenan bagi dilantik sebagai Menteri Besar sebagai calon ADUN dalam pilihanraya.

Berikut ulasan Hambali Abdul Latif dalam blognya Rakyat Malaysia:

Selepas mendengar keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan minggu lalu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan keputusan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak boleh membawa kepada 'sistem pemerintahan beraja mutlak'.

Beliau juga mendakwa keputusan berkenaan merupakan petanda 'hitam' dalam sejarah Malaysia serta memberikan gambaran bahawa institusi kehakiman masih lagi belum terlepas dan bebas daripada apa-apa pengaruh.

Beliau menyifatkan keputusan berkenaan seolah-olah telah mengetepikan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. "Ia akan memberikan ruang supaya demokrasi di Malaysia jauh lebih kusut kerana ia seolah-olah menjurus kepada absolute monarchy.”

Dengan kata lain Mohd Nizar beranggapan kita tak perlu adakan pilihan raya, tak perlu ada Parlimen oleh kerana monarki boleh menetapkan siapa menjadi pemimpin sesebuah negari ataupun negara.

Sesuaikah kenyataan sebegini dibuat oleh seorang rakyat yang bernaung di bawah Perlembagaan yang menetapkan kuasa raja sedemikian.

Juga persoalan apakah benar Tun Dr Mahathir Mohamad dan UMNO yang melucutkan kuasa raja?

Benarkah kata-kata bahawa selepas krisis Perlembagaan yang diakibatkan oleh haramnya UMNO pada 1988 menyebabkan terhakisnya kuasa raja?

Kemarahan Mohd Nizar dan mereka yang menentang keputusan Mahkamah Persekutuan, selain istana melantik Menteri Besar di Perlis dan Terengganu semata-mata kerana mereka gagal mendapat jawatan.

Dengan kata lain kegagalan Tan Sri Shahidan Kassim, Datuk Seri Idris Jusoh serta juga Mohd Nizar untuk kembali menjadi Menteri Besar menyebabkan penyokong mereka mengkritik, malah ada yang sampai mencerca Raja.

Baru-baru ini, panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Mohammad Nizar daripada pakatan DAP-PAS-PKR setelah berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mempunyai kelebihan undi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Mohd Nizar menyifatkan keputusan berkenaan merupakan petanda 'hitam' dalam sejarah Malaysia kerana beliau mendakwa institusi kehakiman di negara ini masih belum bebas daripada sebarang pengaruh."Ini merupakan satu petanda yang amat hitam dalam sejarah Malaysia kerana kita merasakan bahawa rakyat mahu melihat bahawa intitusi kehakiman di beri ruang sebebas-bebasnya untuk membuat keputusan. Tapi keputusan ini seolah-oleh memberikan gambaran bahawa institusi kehakiman masih lagi belum terlepas dan bebas daripada apa-apa pengaruh," katanya.

Jelasnya kemelut politik di Perak tidak akan selesai sehingga rakyat diberikan hak untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan.

Bagi saya, tiada siapa yang mampu mempertikaikan bahawa pilihan raya semula akan menentukan siapa akan berkuasa sama ada di Perak, Terengganu atau juga Perlis.

Cumanya, di Perak adalah kes straightforward apabila Barisan Nasional (BN) akan berdepan pembangkang.

Bagaimana di Terengganu dan Perlis?

Rasanya kedua-dua negeri ini bukan sahaja akan BN akan berdepan pembangkang tetapi juga sabotaj daripada ahli UMNO sendiri.

Di Terengganu, pada pilihan raya kali ini dijangkakan akan ada permainan cah keting khususnya di kalangan yang belum-belum puashati dengan Datuk Ahmad Said dan Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Antara perkara-perkara yang dijangka akan menyebabkan berlakunya kejadian berkenaan termasuklah siapa calon yang akan bertanding. Calon yang dipilih akan mencerminkan kehendak parti dan kepimpinan negeri.

Persoalannya apakah wakil rakyat yang menentang kepimpinan negeri sekarang akan dipilih semula atau akan digantikan?

Juga siapakah penentu calon nanti? Apakah Ketua-ketua Bahagian mempunyai kuasa melantik atau semata-mata ditentukan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri?

Apakah Ahmad Said akan dicalonkan semula atau digugurkan seperti berlaku sebelum pilihan raya 2008? Apakah aka nada bantahan-bantahan terhadap calon yang akan dipilih?

Di Perlis, soal pemilihan calon dan apakah menteri besar sekarang akan dikekalkan juga menjadi persoalan. Beberapa akhbar mingguan sedang memainkan cerita kononnya menteri besar akan ditukar dalam tempoh terdekat.

Seperti Ahmad Said juga, kedudukan mereka sering dipersoal dan tempoh berapa lama akan menjawat jawatan berkenaan sering diperkatakan.

Persoalan di sini ialah apakah pemimpin UMNO dan sekumpulan yang menentang kepimpinan negeri ketika ini sanggup berdepan dan ‘mempersoalkan’ keputusan istana dalam melantik mereka itu?

Bagaimana kita mengharapkan kaum lain menghormati Raja-Raja Melayu sendiri jika pemimpin Melayu sendiri mempertikaikan keputusan Raja?

Saya juga hairan bagaimana orang seperti Mohd Nizar serta kumpulan yang menyokong pihak tertentu di Terengganu dan Perlis yang menganggap dirinya Melayu tetapi terus menerus mempersoalkan keputusan Sultan Perak.

Apakah hanya kerana bos mereka tidak dapat menjadi Menteri Besar dan sebab-sebab politik sanggup terus mencerca dan mempersoalkan keputusan Raja Melayu?

Lebih menyedihkan ketiga-tiga yang dinista itu adalah dua bekas Yang DiPertuan Agong dan Sultan Mizan Zainal Abidin ketika ini adalah masih Yang DiPertuan Agong.

Jenis Melayu apakah mereka ini?