Mudahnya memaafkan.
Kalau beginilah, baik duduk luar UMNO dan hentam UMNOI betul-betul. Nampak memang anti-UMNO habis.
Lepas itu hentam pembangkang habis-habis, nampak hero UMNO.
Kalau diterima UMNO, akan dapat tempat. Setidak-tidaknya kalau tidak jadi Menteri, boleh berceramah dengan orang penting UMNO.
Kita lihat bagaimana orang yang pernah menyumpah dan mencaci UMNO hari ini menjadi Menteri.
Benar pendapat Pemuda Umno Gua Musang apabila menolak cadangan supaya Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, diundang menyertai semula Umno, sebaliknya pergerakan itu mahu beliau kekal sebagai anggota Bebas.
Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Bazlan Baharuddin, berkata, pengalaman lepas apabila Ibrahim menentang calon Barisan Nasional pada satu pilihan raya kecil pada 2005 menunjukkan beliau sanggup menentang pucuk pimpinan Umno.
"Kalau dia akur dengan keputusan Presiden dan Timbalan Presiden sebelum ini,dia tidak bertanding sebagai calon bebas menentang calon BN," katanya.
Bazlan berharap pucuk pimpinan Umno tidak mudah tertarik dengan cadangan mana-mana pihak supaya Ibrahim menyertai semula Umno sebaliknya mereka perlu belajar daripada kesilapan lampau.
Kijang hairan kenapa si Alwi – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri – tiba-tiba sahaja berkata UMNO sedia terima Ibrahim.
Pada 23 Februari lalu, Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Alwi Che Ahmad berkata Umno Kelantan sedia menerima Ibrahim sekiranya Anggota Parlimen Pasir Mas itu mahu kembali kepada parti itu.
Alwi berkata kini terpulang kepada satu-satunya Anggota Parlimen Bebas itu sama ada mahu bersama-sama Barisan Nasional (BN) selepas gesaan PAS supaya Ibrahim meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen.
Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya seumur hidup dalam UMNO kerana bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-11, Mei 2004.
Beliau bagaimanapun tewas kepada calon Pas, Ismail Noh.
Peranan Ibrahim pada pilihan raya lalu jelas menentang BN kerana di Pasir Mas, calon-calon BN pada kerusi Parlimen Pasir Mas dan tiga kerusi DUN – Tendong, Pengkalan Pasir dan Chetok – kalah kerana peranan Ibrahim.
Malah pada pemilihan UMNO Bahagian pun, Ibrahim dikatakan memainkan peranannya dengan menaja bekas ADUN Tendong, Fauzi Mohamad, yang pada pilihan raya umum lalu adalah calon BN yang kalah di Tendong, untuk menentang Hanafi Mamat.
Ia bukan rahsia kerana Fauzi adalah bekas anak buah Ibrahim. Semua orang Tendong tahu dan semua orang Pasir Mas tahu.
Setidak-tidaknya Alwi tanya dan tinjau pendapat orang Pasir Mas dulu jangan pakai hentam saja.
Perangai Alwi tidak ubah bosnya, Tan Sri Annuar Musa – melakukan perbuatan lebih kurang sama apabila mengumumkan calon Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum 2008. Akhirnya calon diumumkan tidak muncul dan calon yang diketengahkan sebagai ganti tidak sesuai.
Dengan peranan Ibrahim, seluruh Pasir Mas lingkup walaupun Hanafi berusaha memenuhi semua manifesto pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.
Jelas dalam isu Ibrahim ini, walaupun orang luar melihat Ibrahim kuat tetapi ia ‘naik semula’ kerana PAS.
Tanpa jentera PAS atau dengan mengharapkan jenteranya sahaja, Ibrahim tidak mungkin jadi wakil rakyat.
Dan dengan kenyataan Ibrahim bahawa beliau tidak minat pun masuk UMNO, lupakan Ibrahim kerana kelak ia akan jadi ‘liabiliti’ kepada UMNO Kelantan.