Friday, July 23, 2010

MB & EXCO KELANTAN BIADAP - TENGKU FAKHRY

Kenapa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas laporan bahawa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dukacita dan kecewa kerana beliau serta barisan Exco tidak menyambut kepulangan baginda selepas menerima rawatan susulan dari Singapura, semalam?

Apakah Menteri Besar itu tidak menganggap Tuanku Ismail sebagai penting dan tidak lagi Sultan Kelantan?

Nik Aziz yang ditemui selepas majlis perasmian CNMC Goldmine Limited di Sokor dekat Tanah Merahi hanya mengangkat tangan sebelum berlalu pergi sebaik sahaja soalan mengenai isu tersebut diajukan.

Tindakan itu jelas menunjukkan beliau mengambil sikap berdiam diri seperti mana kenyataan yang dibuatnya pada 8 Mei lalu bahawa 'senyap adalah nasihat' ketika diasak Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali kerana kegagalannya memberikan nasihat sehingga menyebabkan krisis Istana Kelantan berlarutan.

Murysidul Am Pas itu dilaporkan berkata, sikap berdiam diri itu diambil kerana berpendapat kemelut yang melanda institusi diraja adalah masalah keluarga yang tidak melibatkan urusan kerajaan negeri.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Tuanku Ismail menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan sikap Nik Abdul Aziz, barisan Exco serta pegawai tertinggi kerajaan negeri kerana tidak menyambut keberangkatan pulang baginda daripada menjalani rawatan susulan di Singapura semalam.

Rasa dukacita Tuanku Ismail itu dinyatakan oleh anakanda baginda, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media lewat petang semalam.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, ia merupakan satu tindakan biadab yang ditunjukkan pembesar negeri ini ketika baginda berangkat pulang.

Dalam pada itu, Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad ketika dihubungi berkata, Istana Kelantan akan mengeluarkan kenyataan rasmi esok, berhubung 'nasihat' Tuanku Ismail supaya beliau tidak mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan kesihatan baginda bagi mengelakkan kekeliruan rakyat.

"Saya akan mempersembahkan kenyataan tersebut kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra terlebih dahulu sebelum ia diedarkan kepada media esok," katanya.

Semalam, doktor peribadi Sultan Kelantan, Kolonel Dr. Amir Ramli dilaporkan berkata, baginda menitahkan kepadanya supaya menasihati Abdul Halim agar tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kesihatan dan rawatan baginda di Singapura bagi mengelak kekeliruan di kalangan rakyat

Tuanku Ismail selamat pulang ke Kelantan semalam selepas menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak 15 Julai lalu.

Kastam Tahan Seorang Rakyat India, Rampas Dadah RM1.25 Juta

Pengarah Kastam negeri Kelantan, Salleh Mohamed (dua, kiri) menunjukkan bahan kristal jernih yang disyaki dadah dijumpai di dalam dua periuk nasi, yang dirampas di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada sidang media di Kota Bharu, hari ini. Seorang penumpang warga India ditahan kerana disyaki membawa dadah jenis syabu sebanyak 5.02 kg yang dianggarkan bernilai RM 1.25 juta. Foto BERNAMA

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya mengagalkan cubaan menyeludup dadah yang dipercayai syabu seberat 5.02 kilogram bernilai RM1.25 juta, selepas menahan seorang lelaki warga India di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, dekat Pengkalan Chepa, semalam..

Pengarah KDRM Kelantan, Salleh Mohamed berkata lelaki berumur 26 tahun yang berasal dari daerah Banggala itu kini ditahan di ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah bagi membantu siasatan.

Beliau berkata seorang pegawai kastam yang bertugas di lapangan terbang berkenaan menemui kristal jernih yang disyaki syabu itu disembunyikan dalam dua periuk nasi yang dibawa lelaki itu, yang dimuatkan dalam beg perjalanannya pada kira-kira pukul 11.20 pagi.

"Selepas pemeriksaan teliti dibuat, periuk yang ditebuk pada bahagian tepi dan bawah itu didapati menyimpan dua bungkusan plastik yang mengandungi bahan kristal jernih dipercayai syabu. Pihak kami terus merampas bahan itu," katanya pada satu persidangan media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata rampasan itu merupakan kes penyeludupan dadah kedua yang berjaya dikesan pihaknya minggu ini, selepas Pegawai Narkotik dari ibu pejabat Kastam menemui 32 ketul ganja mampat bernilai RM75,000 di Pengkalan Kubur, Rabu lepas.

"Dalam kes itu ganja seberat 29.89 kilogram itu yang cuba diseludup ditemui tersembunyi dalam tayar ganti yang dimuatkan dalam but kereta yang dipandu oleh lelaki warga negara Thailand. Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.