Tuesday, October 19, 2010

USAHA BANGUNKAN PINTU MASUK NEGARA DI RANTAU PANJANG

Pelbagai usaha dibuat untuk membangunkan pintu masuk Malaysia-Thailand di Rantau Panjang agar setanding dengan pembangunan di pintu masuk negara yang lain, Dewan Rakyat diberitahu Selasa.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata antaranya mengecat semula bangunan sedia ada, membaikpulih tandas awam, menaiktaraf landskap kawasan persekitaran, membina siarkaki dan menaiktaraf laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan sekitar Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

"Selain itu, kita juga mengambil inisiatif membina tiga tingkat Kompleks Bazaar Rantau Panjang yang dijangka siap akhir tahun ini untuk menggantikan pasar lama yang sangat uzur dan berkeadaan teruk," katanya pada sesi soal jawab di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang ingin tahu rancangan pembangunan kawasan itu serta perancangan penambahbaikan untuk menarik pelancong dan meningkatkan imej negara dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

Ng berkata sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan dalam RMK10 untuk menaiktaraf Zon Bebas Cukai Rantau Panjang itu bagi membolehkannya beroperasi pada waktu malam berbanding sehingga pukul 6 petang sekarang.

Beliau berharap majlis daerah dapat terus menyelenggara kawasan itu dengan baik selepas projek yang dilaksana kementerian itu diserah kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

"Ini kerana zon itu merupakan salah satu daripada 10 ikon pelancongan di negeri Kelantan dan sejak tahun 2006, kemasukan pelancong asing melalui Rantau Panjang juga meningkat dengan kadar purata seramai 370,000 pelancong setahun," katanya.