Monday, September 19, 2016

Husam Buat Tuduhan Menyimpang, ‘Berniat Jahat’ Terhadap Kerajaan Kelantan?


Pejabat Menteri Besar Kelantan menafikan apa yang dikatakan tuduhan Datuk Husam Musa bahawa 1000 hektar kawasan hutan simpan diluluskan untuk projek tanaman durian kunyit dan seluruh kawasan Kampung Laut terlibat dengan projek kampung warisan.

"Kerajaan Negeri Kelantan hanya meluluskan sebanyak 100 hektar sahaja bagi tujuan projek durian kunyit manakala kawasan yang terlibat bagi menjalankan projek Kampung Warisan Kampung Laut hanyalah 2.334 Ekar ataupun 4.2 % daripada jumlah keseluruhan Kampung Laut," kata Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, perkara ini merujuk kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Husam Musa dalam satu sesi ceramah yang telah diadakan pada 16 September 2016.

"Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang telah dilemparkan oleh YB Dato’ Haji Husam Musa terutamanya berkaitan pembalakan dan pengambilan tanah Kampung Laut sepertimana disebut

"Dakwaan kononnya Menteri Besar Kelantan telah meluluskan banyak kawasan pembalakan secara tebang habis untuk dijadikan ladang getah klon balak (TLC) adalah tidak benar.

Orang ramai mendengar ceramah Husam.
Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, semenjak YDatuk Ahmad Bin Yakob mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, tidak terdapat kelulusan bagi projek ladang TLC atau ladang-ladang yang lain dalam hutan simpan kekal dan hanya meneruskan aktiviti pembalakan biasa sepertimana yang telah diluluskan pada pentadbiran yang lepas," katanya.

Beliau menganggap tuduhan Husam dengan mengatakan kawasan hutan simpan ditebang dan ditanam dengan tanaman Durian Kunyit sebanyak 1000 hektar juga merupakan satu kenyataan yang menyimpang dan berniat jahat.

"Kerajaan Negeri Kelantan hanya meluluskan sebanyak 100 hektar sahaja bagi tujuan tersebut dengan dikenakan syarat-syarat yang sangat ketat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

"Jika dilihat kepada angka ini, ia jelas berbeza dengan dakwaan YB Dato’ Haji Husam Musa iaitu sebanyak 1000 hektar.

"Perlu dimaklumi bahawa dibawah Enakmen Perhutanan Negeri Kelantan, durian diklasifikasikan sebagai tumbuhan hutan dan digalakkan untuk dijadikan sebagai spesis pokok bagi tujuan penanaman semula bagi kawasan hutan yang terjejas," katanya.

Berkaitan dakwaan Husam yang mengatakan bahawa keseluruhan tanah Kampung Laut, Tumpat sudah habis diambil oleh Kerajaan Negeri, beliau memberi penjelasan bahawa keluasan bagi keseluruhan
Kampung Laut adalah sebanyak 55 Ekar.

Manakala kawasan yang terlibat bagi menjalankan projek Kampung Warisan Kampung Laut hanyalah 2.334 Ekar ataupun 4.2 % daripada jumlah keseluruhan Kampung Laut.

"Hanya 1.312 Ekar daripada keluasan tersebut melibatkan pengambilan tanah yang terdapat kediaman penduduk.

"Di samping bayaran pampasan pengambilan tanah, Kerajaan Negeri Kelantan juga telah menyediakan lot-lot tanah beserta unit kediaman kepada penduduk yang terlibat sebagai tapak pemindahan," katanya.


Beliau berharap melalui penjelasan ini dapat memberikan pencerahan terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.