Sekalipun ‘cakap-cakap tidak puas hati’ terhadap kerajaan
negeri Kelantan pimpinan PAS sedang menular, namun bagi bekas Ahli Parlimen
Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, UMNO-BN tidak mampu merampas negeri itu pada
pilihan raya umum akan datang.
Ibrahim yang pernah menang kerusi berkenaan atas tiket UMNO
dan juga sebagai calon BEBAS tetapi melalui sokongan PAS, berkata, meskipun
rakyat semakin gelisah dengan tindak tanduk pentadbiran PAS, namun mereka telah
sebati dengan PAS serta menolak UMNO.
"Rata-rata cakap tak puas hati dengan PAS tetapi
orang Kelantan majoriti yang juga atas pagar terutama yang merantau dari Kuala
Lumpur balik tetap mengundi PAS, sebab mereka pemikiran tak nak UMNO, tak
terima kepimpinan UMNO.
"Jadi, walaupun keadaan (tak puas hati) ini wujud di
Kelantan, rakyat tak senang hati dengan PAS di kelantan, tetapi tidak mudah
untuk UMNO untuk merampasnya dari PAS," kata Ibrahim pada sidang media di
ibu pejabat PERKASA, Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa sebelum ini
berkata UMNO Kelantan tidak perlu berada dalam kedudukan selesa walaupun
terdapat pihak membayangkan BN mempunyai peluang cerah untuk kembali mentadbir
negeri itu.
Beliau berkata, UMNO Kelantan sepatutnya perlu membuat
persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya ke-14 yang mesti diadakan sebelum
pertengahan tahun depan.
Selain Annuar, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh
Hamzah turut membayangkan BN mempunyai peluang paling cerah untuk menamatkan
penguasaan 27 tahun kerajaan PAS Kelantan.
Presiden PERKASA itu berkata, rakyat Kelantan adalah unik
di mana mereka tidak pernah kisah dengan kegagalan pentadbiran PAS dalam
membangunkan negeri itu khususnya ekonomi.
“Rakyat ada satu sifat ulat dalam batu pun boleh hidup,
cakaplah soal pembangunan, cakap apa pun mereka undi PAS," kata Ibrahim.
Bagi sesetengah penganalisis dengan ketiadaan bekas
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang telah berkhidmat sebagai menteri
besar Kelantan selama 23 tahun, pilihan raya akan datang adalah peluang terbaik
bagi UMNO merampas semula negeri itu.
Ibrahim pada awal tahun ini mendedahkan dirinya akan
bertanding sekali lagi di kerusi Parlimen Pasir Mas dalam
PRU14.
Beliau juga mengumumkan jika ada tawaran daripada
mana-mana parti, beliau sedia mempertimbangkannya.