Monday, October 23, 2017

BN Atau HARAPAN - PAS Tiada Peluang Di Kelantan


PAS tidak ada peluang di Kelantan.

Harapan PAS untuk kekalkan kerajaan yang sedia akan berkecai kerana akan berlaku tsunami politik di ngeri berkenaan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali meramalkan tsunami politik tidak mustahil bakal melanda Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ibrahim menjelaskan, berdasarkan senario semasa pemerintahan Kelantan,  ia sudah bertapak lama dan kini tiada impak atau perubahan besar ditunjukkan.

Keadaan itu katanya mungkin mendatangkan rasa cemuh kepada rakyat.

"Tok guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun dah tak ada dan orang pun dah mula bercakap sejak PAS memerintah selama lebih suku abad, tak ada apa (di Kelantan).
"Pendapatan kerajaan negeri tak bertambah, asyik tebang balak saja. Pekerjaan kurang, rakyat Kelantan ramai berhijrah ke luar," katanya.

Beliau mengatakannya pada sidang media selepas program ramah mersa dan agihan sumbangan kepada penduduk di Kampun Hutan Chengal Tendong, Pasir Mas, semalam.

"Kalau rakyat rimas sekarang, saya tidak tolak kemungkinan mereka akan balik pada BN. Begitu juga dengan (peluang) HARAPAN, tapi bukan pada PAS, " tegasnya yang berkecimpung dengan politik Kelantan sejak 1974.


Di sebalik itu sejarah membuktikan PAS cukup kuat di Kelantan namun akhirnya tumbang dalam PRU kelima yang diadakan pada 1978.

"Itulah tsunami politik yang boleh berlaku pada bila-bila masa jika rakyat mahukannya.

"Begitulah pada 1990 apabila BN tumbang di Kelantan," katanya merujuk kepada detik PAS kembali mentadbir negeri itu.

Beliau yang dikenali sebagai ‘Tok Him’ berkata tsunami itu kemungkinan berlaku  selepas negeri itu diperintah PAS sejak 27 tahun lalu.

Bagi beliau, tsunami berkenaan hanya akan berpihak sama ada kepada BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN).

Walaupun tsunami dijangka berlaku kali ini, bekas timbalan menteri itu menegaskan, PAS tidak akan mendapat manfaat daripadanya.

Ibrahim adalah bekas anggota UMNO  yang pernah menjadi wakil rakyat bagi Pasir Mas pada PRU ke-12 lalu.

Ibrahim bertanding menggunakan tiket PAS ketika menyertai pilihan raya pada 2008. Ia berikutan pendiriannya yang tidak merestui cara kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau kemudian menubuhkan PERKASA.


Ibrahim gagal mempertahankan kerusi Pasir Mas pada PRU ke-13 lalu selepas kecundang kepada Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan majoriti 8,047 undi.

Mengambil kira sejarah politik di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Ibrahim menegaskan BN pula sudah lama tidak mentadbir Kelantan, dan harus diingat rakyat juga pernah selesa dengan parti berkenaan.

"Dulu BN pernah menang di Kelantan dan memerintah hampir 18 tahun. Rakyat tahu keupayaan parti BN.

Untuk rekod PAS berjaya merampas Kelantan pada PRU ke-8 dengan bantuan Parti Semangat 46 yang diketuai Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ibrahim sendiri adalah salah seorang pemimpin utama parti berkenaan.

Menurut Ibrahim semua perkembangan politik Kelantan yang disebutnya itu berlaku ketika beliau terlibat dalam politik.

Sementara itu mengulas pengamatan melalui faktor atas kertas, Ibrahim berkata, kemungkinan besar wujudnya pertandingan tiga penjuru pada PRU ke-14 dan ia bakal menguntungkan BN.

"Saya bagi contoh mudah. Sekarang ini BN ada lima parlimen iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Ketereh dan Machang.

"Di Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin kalah 200 undi sebelum ini.

Maknanya kalau tiga penjuru nanti, undi PAS akan pergi pada HARAPAN dan BN akan menang," katanya sambil menyifatkan PAS mungkin hanya berjaya mempertahankan beberapa kawasan yang memang kubu kuat mereka saja.

(Sumber- Malaysiakini - Tajuk asal – ‘Tok Him ramal tsunami landa Kelantan lagi’)