Tuesday, February 9, 2010

ANWAR KAKI PENIPU?

Daripada hambali.blogspot.com

Benarkah Anwar Ibrahim kaki penipu atau kelentong?

“Ya...” kata Ezam Mohd Nor. Bukan orang lain yang kata Anwar kaki kelentong. Bekas orang kuatnya.

Sudah berapa lama Anwar kaki penipu?

Apabila Ezam Mohd Nor mengatakan ‘Anwar jangan tipu rakyat lagi’, apakah bermaksud selama ini Anwar kaki penipu?

“Dulu saya merupakan orang yang berada di barisan hadapan menyokong dan membela beliau.
Tetapi hari ini, ramai yang semakin sedar, nampak kebenaran dan tahu siapa sebenarnya Anwar.

Anwar adalah seorang pemimpin yang meletakkan cita-cita dan masalah peribadinya, mengatasi cita-cita, wawasan dan masalah Negara.”

Demikian tegas Ezam. Apakah juga bermakna mereka yang ‘melarikan atau menjauhkan diri” daripada Anwar kerana tidak mahu bersubahat menipu rakyat?

Semalam, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diberi nasihat agar tidak terus menipu atau mengheret rakyat ke dalam masalah peribadi beliau hingga menyusahkan mereka.

Siapa yang memberikan nasihat?

Beliau ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) sendiri.

Ezam berkata, ramai rakyat yang tertipu dengan helah Anwar sebelum ini termasuklah dirinya sendiri sehingga mempercayai segala pembohongannya.

Beliau mengulas mengenai kurangnya sokongan rakyat terhadap siri demonstrasi yang diadakan sebagai bantahan terhadap pertuduhan liwat yang dikenakan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu berbanding sewaktu Ezam mengetuai demonstrasi pada tahun 1998.

Menurut Ezam, Anwar mungkin seorang yang hebat berpidato sehingga mampu meyakinkan rakyat untuk berdemonstrasi tetapi tindakannya itu hanya untuk memenuhi kepentingan peribadinya semata-mata.

Ezam mengingatkan rakyat Malaysia supaya membiarkan masalah peribadi Anwar diselesaikan oleh beliau sendiri.

“Jangan kita rosakkan dan musnahkan masa depan hanya kerana membela pemimpin yang tidak ada ciri kenegarawan dan mempunyai moral yang tidak baik seperti itu,” katanya.

“Saya nasihatkan Anwar, jangan heret rakyat lagi. Masalah peribadi beliau, selesaikanlah sendiri. Mengapa perlu pengaruh rakyat untuk turun berdemonstrasi. Ia akhirnya akan menyusahkan rakyat.

“Apabila ditangkap, (rakyat) perlu bayar wang ikat jamin, bahkan ada yang kehilangan kerja sehingga ke hari ini sedangkan Anwar bersenang-lenang. Anwar harus hentikan semua ini,” katanya di Pelabuhan Kelang semalam.

Sebelum ini Ezam meminta umat Islam dan rakyat negara ini supaya tidak terperangkap dengan permainan politik Anwar dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katolik.

Beliau mendakwa, pendirian semasa Penasihat PKR itu berhubung isu itu disebabkan beliau semakin terdesak dengan tarikh perbicaraan kes tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Dalam masa sama, dakwa beliau, Anwar juga mahu menggunakan isu itu untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijangka tidak lama lagi.

"Saya menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia tidak terperangkap dalam permainan politik Anwar yang semakin terdesak. Anwar yang terdesak kerana tuduhan meliwat itu akan melakukan apa saja untuk merosakkan keharmonian negara serta mengalihkan perhatian rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pada 5 Januari 2010, Anwar melalui laman blognya anwaribrahimblog.com menyiarkan kenyataan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr. Muhd. Nur Manuty yang mewakili pendirian parti itu dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Menurut kenyataan itu, PKR berpendirian keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah perkembangan positif dan perlu diterima secara terbuka dan tidak perlu pihak tertentu mengambil kesempatan menjadikannya agenda politik untuk menampakkan merekalah jaguh dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Sementara itu, Ezam mendakwa agenda jahat Anwar itu boleh dilihat melalui kecaman Penasihat PKR itu terhadap negara Islam yang didakwanya menzalimi kelompok minoriti pada awal Disember 2009 di Australia.

Dakwa Ezam, kecaman Anwar itu disiarkan dalam media Australia termasuk The Age pada 6 Disember lalu.

HALAL BUKAN ISU REMEH

SESEKALI masyarakat Islam di negara ini digemparkan dengan dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya, dan mereka akan menjadi begitu cemas serta menjadi berhati-hati dalam membuat pembelian makanan atau produk berkaitan.

Tidak kurang juga yang menjadi jaguh debat, pantas menuding jari kepada pelbagai pihak yang dipertanggungjawabkan dengan penguatkuasaan halal.

Pihak ini bagaimanapun gagal menuding jari kepada diri sendiri, gagal melihat kepada kelemahan dalam membuat penilaian dan pemilihan sebelum membuat transaksi pembelian.

Daripada roti kepada sosej, ubat gigi dan pinggan mangkuk, itu ialah antara produk yang dikaitkan dengan isu halal beberapa ketika dulu.

Terdapat juga laporan mengenai beberapa produk kesihatan yang diuji dan didapati tidak halal kerana mengunakan kapsul gelatin daripada babi.

Cuma apabila 'ribut' berakhir, sesetengah pengguna Islam kembali ke takuk lama. Soal keliru atau terpedaya tidak lagi menjadi polemik menghiasai ruangan berita atau surat pembaca.

Keprihatinan mereka tentang halal tidak ubah seperti 'ribut di dalam cangkir'!

TIDAK PERSOAL

Mereka tidak lagi memberatkan status halal haram dan kembali makan apa sahaja yang sedap pada tekak meskipun di premis yang tidak memaparkan logo atau sijil halal.

Mereka juga membeli apa yang menarik perhatian tanpa ada rasa tanggung jawab untuk meluangkan masa, membaca label produk, meneliti kandungan ramuan mahu pun memeriksa nama atau identiti pengilang!

"Masa belajar di luar negara, saya memang teliti kalau nak membeli barang makanan. Balik ke Malaysia, saya beli apa sahaja, lagi pun produk buatan Malaysia tak mungkin tak halal," Nor, seorang pekerja swasta memberitahu penulis apabila ditanya pandangannya tentang isu halal.

"Ada tulis halal, mesti halalkan?" soal seorang makcik peniaga yang rata-rata barang yang dijualnya makanan ringan dan pembelinya kebanyakan kanak-kanak sekolah.

Satu daripada produk yang begitu laris dijual ialah serbuk pelbagai warna perasa yoghurt yang diisi di dalam sampul plastik panjang. Produk dari Filipina ini mempunyai perkataan 'halal'.

Sikap Nor dan peniaga ini mungkin juga dikongsi sebahagian besar masyarakat pengguna Muslim di negara ini. Antara tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu, ramai yang akhirnya dikhuatiri terpedaya dan tertipu!

PANDANG REMEH

Menurut Saimah Mukhtar, Pengarah Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), meskipun perkataan halal itu sendiri tidak wajar dipandang remeh tetapi keadaan itulah yang banyak berlaku sekarang.

"Di premis makanan bukan Islam, letak sahaja perkataan halal atau lihat juruwang atau pelayan bertudung, ramai orang Islam yang masuk makan.

"Begitu juga jika penjual itu pakai kopiah putih, terus buat andaian orang Muslim dan beli apa yang dijualnya.

"Inilah sikap sesetengah orang Islam kita yang pandang ringan soal halal," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau turut menarik perhatian kepada sesetengah pengguna Islam yang sanggup berkunjung ke sesebuah premis makanan bukan Islam hanya kerana ia mempamerkan perkataan "bebas babi" atau "bebas alkohol".

"Ini amat mengelirukan. Tak ada babi atau tak ada alkohol tak bermakna halal," tegas Saimah.
Beliau menegaskan sesetengah pengguna Islam juga tidak memberatkan aspek 'thoyiban' yang boleh dikaitkan dengan semua aspek positif seperti berzat, bersih, berkualiti, selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada manusia.

Dalam sesetengah kes, ada juga orang Islam yang sanggup berkunjung ke premis makanan bukan Islam meskipun tiada jaminan halal hanya kerana makanan yang dijual sedap.

Amri Abdullah, Penolong Pengarah, Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Hub Halal Jakim memberitahu Bernama, beliau pernah mengajukan soalan kepada pelanggan Islam ketika membuat operasi di sebuah premis makanan.

Pelanggan berkenaan, katanya dengan wajah yang selamba menjawab "makanan sedap ustaz" meskipun beliau maklum pengusaha restoran tersebut bukan orang Islam.

DALIL HALAL

Di samping gaya hidup yang sihat, makanan sering dikaitkan sebagai faktor penting yang menentukan tahap kesihatan dan kesejahteraan minda serta tubuh badan seseorang individu.
Bagi masyarakat Islam, pemilihan makanan sewajarnya bukan sahaja mengutamakan kandungan khasiat atau zat.

Ini kerana Islam mempunyai piawaian atau standard tersendiri iaitu 'halalan thoyiban' (halal, baik dan selamat) dalam soal makanan dan pemakanan.

Perkara ini banyak ditekankan melalui firman-firman Allah SWT serta hadis Rasulullah SAW.
Antara firman Allah SWT ialah dalam surah Al Baqarah ayat 168 yang bermaksud "Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu."
Di dalam surah al-Nahl ayat 114-115 pula Allah berfirman, antaranya bermaksud "Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal dan bersyukurlah akan nikmat Allah jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka sesiapa yang di dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja di dalam mencarinya, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang."

PENGARUH HALAL KEPADA PERIBADI

Kehalalan makanan mengikut syariat agama mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan serta perkembangan peribadi seseorang Muslim.

Seperti yang disabdakan Rasulullah (Hadis riwayat at-Tarmizi)yang bermaksud "Setiap daging yang tumbuh daripada benda atau makanan yang haram maka nerakalah yang lebih utama baginya."

Ini bermakna setiap makanan yang tidak halal yang dimakan oleh seseorang Muslim akan menjadi menjadi darah daging dan akan memberi kesan kepada pembentukan serta perkembangan peribadinya.

Justeru, mulia atau buruknya peribadi serta pekerti seseorang Muslim itu ternyata bersandar kuat kepada halal atau haram makanan yang masuk ke dalam perutnya. Jika haram makanan yang dimakan, ia bukan sahaja akan menjejaskan ketakwaan dan nilai ibadat seseorang individu Muslim itu tetapi juga akan mengakibatkannya dicampak ke dalam api neraka sebagaimana sabda Rasululullah di atas.

Rasululullah juga bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya perkara yang halal itu terang dan jelas dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga terang dan jelas dan antara kedua-duanya ada perkara-perkara syubhat (sesuatu yang hukumnya tidak diketahui dengan jelas hukum halal haramnya). "Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesunggunya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya."

MAKSUD HALAL

Halal berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna 'dibenarkan' atau 'dibolehkan' oleh Hukum Syarak. Jakim menggariskan 'Hukum Syarak' bermakna undang-undang Islam dalam Mazhab Syafie atau dalam mana-mana Mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang telah mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Undang-undang itu juga telah dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh Raja bagi mana-mana Negeri dikuatkuasakan di dalam Negeri berkenaan.

Konsep Halalan Thoyiban juga bukan hanya terbatas kepada bersih dan suci daripada babi atau najis tetapi juga mengambil kira aspek yang lebih meluas untuk apa sahaja yang hendak dimakan, diminum atau digunakan.

Antaranya halal dalam cara memperolehnya yang tidak melalui cara haram seperti mencuri, merompak atau rasuah dan piawaian ketat Islam ini juga mencakupi cara pemprosesan serta penyimpanan. Bermula dari ladang sampai ke meja.

TAKRIF DI BAWAH AKTA PERIHAL DAGANGAN

Di samping itu, takrif 'Halal' juga diperjelas di dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan "Halal") 1975, takrif 'Halal' bukan terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang orang Islam dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak.

Ia juga bermaksud tidak mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak.

Ia juga tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengkut Hukum Syarak.

IMPAK PERBAHASAAN

Perintah tersebut juga menggariskan peraturan membabitkan penyediaan pemprosesan serta penyimpanan yang tidak bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak di atas atau apa-apa benda yang dihukum najis mengikut Hukum Syarak.

Takrif 'Halal' di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan)mempunyai implikasi yang mungkin tidak disedari pengguna lebih-lebih lagi pengilang. Menurut Saimah, ia mempunyai kesan yang cukup besar meskipun tidak ada akta setakat ini yang mewajibkan produk atau industri menggunakan perkataan halal sama ada dalam bentuk logo atau perkataan.

Beliau memberi contoh 'perbahasaan' termasuk perkataan halal (Rumi atau Jawi), ayat Quran, perkataan Allah, Muhammad atau Bismillah, gambar Kaabah, perempuan bertudung, lelaki bersongkok yang boleh ditafsirkan sebagai halal.

"Apabila pihak industri atau premis atau apa mana-mana pihak menggunakan perbahasaan itu, terbukti tidak halal, atau sebaliknya, tindakan boleh di ambil di mana denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan.

"Peranan Jakim ialah sebagai badan pensijilan yang memberi pengesahan halal melalui sijil logo, sementara tindakan boleh diambil sama ada oleh KPDNKK atau Kementerian Dalam Negeri," jelas Saimah.

Rencana BERNAMA