Ikan Baung bubu Sungai Golok berumpankan daging babi?
Kesian pengguna di Kelantan jika terbeli dan termakan ikan berkenaan.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
(Perhilitan) Kelantan mengesahkan tulang yang ditemui penduduk di Sungai Golok
di Pasir Mas baru-baru ini adalah milik dua ekor babi kampung.
Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Khairi Ahmad berkata
tulang itu berkemungkinan terdampar di tebing Sungai Golok selepas ada penduduk
negara jiran yang membuangnya ke dalam sungai dan hanyut sehingga ke Kampung
Kubang Rambutan, Rantau Panjang.
Mohamad Khairi berkata sebelum ini tulang babi tersebut
tidak kelihatan namun ia semakin jelas kelihatan selepas air sungai semakin
cetek.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan, penduduk di Kampung
Kubang Rambutan mendakwa, daging babi dijadikan umpan menangkap ikan di Sungai
Golok dekat Pengkalan Rambai, sejak lima tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
Persekutuan (JKKKP) Telaga Mas, Che Husain Ismail berkata, bahagian babi
dipotong kepada saiz lebih kecil kemudian dimasukkan ke dalam bubu untuk
menangkap ikan sungai.
Menurutnya, teknik menangkap ikan baung ini, biasanya
dilakukan penduduk bukan beragama Islam membabitkan rakyat Malaysia dan negara
berjiran.
Walaupun ia berlaku sejak lima tahun lalu, Che Husain
berkata, ia tidak mendapat perhatian umum kerana lokasinya agak terpencil dan
jauh dari kawasan penempatan.
“Ia tidak dapat dikesan kerana paras air dalam, sekarang
bila air dah surut barulah orang sedar betapa banyaknya tulang berselerak di
beting Sungai Golok,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Mohd Che Daud, 48 berkata,
ekoran kejadian itu, penduduk di kampung ini tidak lagi membeli ikan sungai
yang ditangkap di kawasan ini.
Namun katanya, penduduk dari mukim lain mungkin menjadi
mangsa kerana membeli ikan sungai yang menggunakan daging babi sebagai umpan.
“Saya kasihan dengan penduduk di Rantau Panjang yang
menggunakan air sungai ini untuk keperluan harian.
“Begitu juga dengan penduduk yang mandi dan beriadah di
kawasan cetek dekat Pekan Rantau Panjang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT)
Lubok Stol, Ab Aziz Seman mendakwa, ada penduduk melapah daging babi untuk
pasaran luar negara di kawasan itu.
Malah menurutnya, individu berkenaan mengambil langkah
mudah membuang tulang sisa ke dalam sungai sedangkan sepatutnya ia ditanam.
“Selepas daging habis, tulang dibuang ke dalam sungai
kemudian hanyut dalam sungai ini, sepanjang empat kilometer.
“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi
kerajaan turun padang serta berusaha menyelesaikan masalah ini dengan segera,”
katanya.
Sebelum ini, Sinar
Harian turut melaporkan, penduduk di Sungai Golok gempar dengan penemuan tulang
haiwan berselerak di sungai berkenaan.
Tulang berkenaan cuma disedari penduduk akibat paras air
cetek akibat fenomena El Nino dialami kini.
Sementara itu, Jabatan Perhilitan Kelantan telah
menghantar sepasukan tiga kakitangan ke kawasan berkenaan selepas menerima
laporan daripada penduduk yang mengesyaki tulang yang ditemui adalah tulang
babi.
"Siasatan yang dilakukan mendapati memang benar
tulang itu adalah tulang babi kampung yang dipelihara penduduk negara jiran dan
dibuang ke dalam sungai selepas binatang itu mati," katanya ketika ditemui
di Pasir Mas, semalam.
Penduduk di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang
sebelum ini mendakwa menemui sisa tulang babi di tebing Sungai Golok.
Penduduk kampung tersebut menjadikan air Sungai Golok
sebagai sumber utama untuk mandi dan membasuh pakaian berikutan gangguan
bekalan air.
Air dari situ turut mengalir di Kampung Bagus yang kini
menjadi tempat perkelahan baharu di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di
Kelantan kerana paras air sungai yang cetek.
Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Kesihatan
Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata pihaknya akan menghantar
sepasukan kakitangan Bahagian Air dan Kebersihan Alam Sekitar (Bakas) ke
kawasan yang dilaporkan.
Beliau berkata sampel air di sungai tersebut akan diambil
untuk dikaji memandangkan ia digunakan oleh ramai penduduk.