Wednesday, March 12, 2014

Nelayan Laut Dalam Kelantan Diminta Terus Bantu Pencarian Pesawat MAS


PASIR PUTEH (12 Mac 2014) - Dua ratus nelayan laut dalam di Kelantan diminta terus membantu mencari pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Datuk Muhamad Mat Saman berkata nelayan terbabit menangkap ikan di Laut China Selatan, kira-kira 100 batu nautika dari pantai negeri ini.

"Mereka (nelayan) telah diarah melaporkan segera jika menjumpai sebarang objek yang mencurigakan yang berkemungkinan ada kaitan dengan kehilangan pesawat tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Pasukan Pemantau Perikanan di Kampung Tok Ajang di hari ini.

Penerbangan Kuala Lumpur-Beijing itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dilapor hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi.

Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Sementara itu, Muhamad berkata setakat ini, Pasukan Pemantau Perikanan telah ditubuhkan di Dabong, Kuala Krai dan Pasir Puteh bagi membantu jabatan itu membanteras kegiatan menuba ikan di beberapa sungai di negeri ini.

Semalam, Polis Kelantan menerima empat laporan daripada orang awam berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata laporan tersebut dibuat dari 9 Mac hingga semalam yang mendakwa mereka ternampak sebuah pesawat melalui beberapa lokasi, disyaki pesawat berkenaan.

"Kita menyiasat kes ini mengikut Seksyen 112 Akta Keterangan 1950 dan memanggil mereka untuk menunjukkan lokasi, serta membuat beberapa ujian untuk mendapatkan fakta yang boleh menyokong laporan mereka," katanya.

Jalaluddin bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan kesemua laporan polis itu untuk siasatan lanjut kepada Pengurus Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Kelantan Saudi Yusof di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu.

Sementara itu, Ketua-Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Mohad Khazin Hamzah meminta nelayan yang melihat objek ganjil di kawasan perairan negara, supaya terus melaporkan kepada pihak berkuasa.

Sehingga kini terdapat sebanyak 1,788 bot nelayan kelas C dan C2 dari kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.
 

Di Kota Bhaeu, hari ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengajak rakyat terus berdoa agar pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang Sabtu lepas, segera ditemui.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama Anggota Perkhidmatan Awam Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim Ahmad berkata, pihaknya telah mengarahkan semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat.

"Dewan Ulama Pas Pusat juga telah memutuskan untuk mengadakan Solat Hajat Perdana di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA pada esok hari," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Mengulas mengenai Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pangkalan Chepa di sini, Ahmad berkata, lapangan terbang itu perlu dinaik taraf kepada lapangan terbang antarabangsa, bagi memudahkan kegunaan terutama ketika berlaku kecemasan.

"Jika berlaku apa-apa kecemasan di lautan dalam laluan Kuala Lumpur-Bangkok, Kuala Lumpur-Beijing, dan Kuala Lumpur-Vietnam, lapangan terbang ini yang terdekat untuk (pesawat) membuat pendaratan cemas," katanya.