Monday, June 21, 2010

DR ASRI SEMAKIN HAMPIR SERTAI UMNO

Beberapa pemimpin Umno dikatakan telah menemui Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagi melamar bekas mufti Perlis itu bagi menyertai parti mereka.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengannya, pertemuan melibatkan beberapa pemimpin kanan Umno itu telah beberapa kali berlangsung.

"Beberapa lagi siri pertemuan akan diadakan selepas ini," kata sumber-sumber yang maklum tentang usaha Umno itu.

Sabtu lalu, akhbar web Umno Online melaporkan Dr Mohd Asri bersama 100 ulama berkelulusan tinggi, termasuk PhD akan menyertai Umno Jumaat ini.

Memetik setiausaha kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusof, Dr Mohd Asri dilaporkan akan menyertai Umno menerusi cawangan dataran Merdeka dalam bahagian Bukit Bintang.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abd. Rauf Yusof ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini berkata: "Ya, tunggulah Jumaat ini."

Sebelum itu, beliau berkata, barisan ulama berkenaan akan menyertai parti menerusi Cawangan Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

"Perkembangan itu akan menyemarakkan keyakinan Melayu kepada Umno. Kita akan menuju Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan Umno yang lebih cemerlang,” katanya ketika berucap pada mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang semalam.

Memetik laman web rasmi parti, Umno Online, Ab Rauf yang juga Ketua Bahagian Umno Bukit Bintang berkata, kemasukan ulama itu akan menjadikan Umno lebih segar, “dibajai dengan ilmu-ilmu Islam dan seterusnya membantu kepimpinan negara membangunkan Malaysia.”
Menulis dalam blognya selepas itu Dr Mohd Asri bagaimanapun menjelaskan belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung pertemuan itu.

Buat masa ini, tambahnya, belum jelas status rundingan itu sama ada Dr Mohd Asri benar-benar akan menyertai parti Melayu itu pada Jumaat ini.

Difahamkan juga, selain bantahan bertubi-tubi terhadap ura-ura penyertaan Dr Mohd Asri itu, ulama muda itu turut menerima sokongan daripada sebahagian penyokongnya yang ingin turut sama mengikuti jejak-langkahnya.

Jika perkara tersebut benar-benar menjadi kenyataan, penyertaan ulama kontroversi itu bakal memberikan tamparan hebat kepada pembangkang yang sebelum ini turut berusaha melamar beliau.

BAIAH POLITIK PARTI PEMBANGKANG

Keshvinder Singh ADUN Malim Nawar yang mengumumkan keluar daripada DAP menyebabkan terbongkar perjanjian ganti rugi RM5 juta jika wakil rakyat PKR melompat parti.

TIDAK berapa dahulu kita didedahkan mengenai bagaimana wujudnya amalan baiah cerai talak tiga dalam Pas bagi memastikan tidak ada wakil rakyatnya melompat parti.

Pendedahan itu mengejutkan banyak pihak kerana sebagai sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam adalah tidak wajar baiah yang menuntut cerai taklik dilakukan.
Walaupun tidak semua wakil rakyat Pas melakukan baiah tersebut tetapi apa yang pasti ia diakui dilaksanakan.

Malahan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu mempunyai rahsia tersendiri dalam menyekat wakil rakyatnya daripada melompat parti.

Hujah Abdul Hadi, rahsia tersebut ialah baiah yang merupakan akuan bersumpah di hadapan Allah SWT dan kepimpinan dalam parti ketika dilantik menjadi calon.

‘‘Perbezaan kekuatan Ahli Dewan Undangan Negeri Pas ialah baiah berjanji dengan Allah SWT jika kami menipu, khianat dan menyeleweng kami akan dilaknat oleh Allah SWT, oleh malaikat dan segala yang melaknat,’’ katanya.

Rupa-rupanya selain Pas, rakan baiknya, DAP juga akan mewujudkan perjanjian bagi menghalang wakil rakyatnya melompat parti.

Jika Pas melibatkan sumpah, DAP Perak pula melibatkan soal kewangan apabila akan mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu.

Menurut Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, semua wakil rakyat DAP sebelum ini telah menandatangani perjanjian tersebut selepas Pilihan Raya Umum 2008, bagaimanapun ia tidak dikuatkuasakan.

Persoalannya, apakah wajar Pas dan DAP mewujudkan baiah sedemikian hanya semata-mata untuk menghalang mereka kehilangan kerusi apabila wakil rakyatnya melompat parti?

Yang manakah lebih utama, terus berada di dalam parti tanpa melakukan apa-apa yang diamanahkan atau dijanjikan kepada rakyat atau keluar parti bagi membolehkan nasib rakyat dibela?

Kalau dikaji, kesemua wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar parti adalah disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti dan merasakan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan berkesan selagi berada dalam pembangkang.

Sebelum ini mereka bertindak menjadi calon kepada pembangkang kerana merasakan parti mereka akan menjadi lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Tetapi setelah memenangi kerusi dalam pilihan raya ternyata mereka mendapati kepimpinan parti mereka lebih banyak mahu berpolitiking dan mengabaikan harapan rakyat.

Oleh itu daripada terus dilihat mengkhianati amanah rakyat adalah lebih baik mereka mencari laluan supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
Apakah hasrat seperti ini dilihat salah sehingga perlu ‘dihukum’ RM5 juta atau dianggap akan dilaknat akibat melompat parti?

Dalam Islam yang manakah lebih berdosa, terus menikmati segala keistimewaan sebagai wakil rakyat tanpa melakukan apa-apa untuk kesejahteraan rakyat serta bersekongkol dengan kepimpinan yang lemah atau keluar parti untuk demi memastikan nasib rakyat terbela?

Apa yang dilakukan oleh Pas dan DAP dalam soal baiah ini adalah jelas demi kepentingan dan survival politik mereka sahaja. Walaupun mereka tahu bahawa mereka tidak mampu memberikan peruntukan yang mencukupi bagi membolehkan wakil rakyat mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan tetapi itu tidak penting.

Apa yang lebih mustahak bagi mereka ialah memiliki kerusi sama ada di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, soal wakil rakyat mereka membuat kerja untuk rakyat atau tidak, ia soal kedua.

Lebih malang lagi, sebahagian pemimpin pembangkang tidak pula menganggap ia satu pengkhianatan atau dilaknat jika ada wakil rakyat BN ingin menyertai pembangkang.

Ada antara pemimpin utama mereka berhujah bahawa tindakan itu tidak salah dari sisi Islam kerana kononnya keluar dari perjuangan yang tidak baik bagi menyertai perjuangan yang baik.
Malahan ketika Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menguar-uarkan rancangan 16 September, hampir kesemua pemimpin pembangkang menyokongnya.

Ketika itu semuanya ghairah untuk melihat pembangkang menguasaikerajaan pusat melalui pintu belakang.

Tetapi apabila rancangan itu gagal dan menyaksikan semakin ramai wakil rakyat pembangkang menjadi wakil rakyat bebas, maka keluarlah pelbagai hujah bagi mengutuk tindakan tersebut.

Inilah permainan politik yang ada kepada pembangkang di negara kita sekarang. Apa sahaja yang menguntungkan mereka tidak apa tetapi kalau merugikan mereka tidak boleh.

Justeru adalah lebih baik jika pemimpin-pemimpin pembangkang berfikiran terbuka dalam soal melompat parti ini. Kita bukanlah menyokong perbuatan melompat parti tetapi dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh membiarkan sahaja mana-mana wakil rakyat dituduh ‘makan gaji dan elaun buta’ .

Apabila rakyat mengundi seorang calon, mereka menaruh harapan bahawa wakil rakyat yang dipilih itu mampu membela nasib mereka. Tetapi apabila keadaan sebaliknya berlaku, sudah tentu wakil rakyat yang benar-benar ikhlas berjuang untuk rakyat tidak mahu duduk diam.

Mereka menjadi wakil rakyat bukan semata-mata untuk mencari kuasa politik tetapi hendak berkhidmat untuk rakyat.

Bagi kepimpinan Pas dan DAP tidak apa kalau wakil rakyat mereka tidak buat kerja atau tidak menunaikan janji untuk rakyat yang penting jangan lompat parti.

Ia kerana jika perbuatan itu dilakukan maka ia akan mengurangkan kuasa politik mereka. Ertinya, apa sahaja yang hendak dilakukan oleh parti pembangkang bukanlah semata-mata untuk rakyat tetapi segalanya melibatkan kuasa politik dan merebut kuasa.

Justeru daripada Pas dan DAP membuat baiah atau perjanjian yang bukan-bukan adalah lebih baik mereka memperbaiki kelemahan yang ada pada mereka.

ZULKIFLEE BAKAR (pengarang@utusan.com.my)