Kejayaan Pro Mahasiswa, kumpulan yang menyokong pembangkang yang dikatakan ingin perubahan kini mendominasi kampus universiti utama negara.
Persoalannya apakah yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Naib Canselor universiti-universiti berkenaan bagi menjamin pilihan raya itu bukan untuk pro itu atau pro ini?
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Idris Haron berkata baru-baru ini Perwakilan Pelajar sesebuah Institusi Pengajian Tinggi yang dipilih menerusi pilihan raya kampus hendaklahlah mewakili kepentingan pelajar universiti berkenaan dan tidak seharusnya memperjuangkan agenda sesebuah parti politik.
Ia tidak timbul soal pelabelan perwakilan sebagai yang pro aspirasi atau pro siswa.
Bagi Kijang amat memalukan, pada 17 Oktober lalu, lebih 100 mahasiswa daripada empat universiti mengadakan demonstrasi selepas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melancarkan Karnival Kerjaya Kebangsaan 2008 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.
Mereka terdiri daripada penuntut empat buah universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).
Sambil memegang kain rentang yang bertulis Mahasiswa Menuntut Pilihan Raya Kampus Yang Telus dan Adil dan Membantah E-Voting, kumpulan pelajar berkenaan turut bersorak mahukan pilihan raya kampus yang bebas.
Kumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka Solidariti Mahasiswa Malaysia berdiri di hadapan Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM dan mula bersorak apabila Mohamed Khaled berjalan masuk ke dalam dewan untuk meninjau pameran karnival kerjaya dari khemah pelancaran.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hafizuddin Abirerah yang merupakan seorang mahasiswa UM berkata, pihaknya membantah pilihan raya kampus kali ini yang tidak dijalankan serentak di semua universiti seluruh negara.
Universiti Sains Malaysia (USM) menangguhkan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2008/2009 yang dijadualkan bulan ini ditangguhkan ke satu tarikh baru yang akan ditentukan kelak.
Naib Canselor UTM, Tan Sri Prof. Dzulkifli Abdul Razak berkata, tindakan tersebut diambil berikutan universiti tersebut kini sedang menjalani proses perubahan status kepada universiti Apex yang pertama di negara ini.
Suara Keadilan hari ini melaporkan tsunami politik tanah air yang melanda negara pada pada pilihanraya ke 12, Mac lalu memberikan petunjuk kepada para mahasiswa untuk turut melakukan perubahan sepanjang pilihanraya kampus yang kini telah tiba musimnya.
Ianya dibuktikan dengan beberapa kemenangan di dua Universiti yang dilihat sebagai sarang Aspirasi yang dikatakan pro kepada kerajaan, dan ianya dijangka akan turut membawa perubahan di beberapa universiti utama di Lembah Kelang.
Jika menurut apa yang dikatakan oleh Idris, pihak kerajaan akan menerima sesiapa sahaja wakil kepada pelajar yang mewakili suara pelajar dan bukan suara pelajar yang mewakili mana-mana parti politik di negara ini.
“Tiada pro aspirasi dan pro siswa. Kementerian akan mendengar dan mengiktiraf suara semua perwakilan yang mewakili pelajar dan bukan perwakilan yang mewakili parti-parti politik termasuk Umno.”
Apa pun kata Timbalan Menteri berkenaan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Pro Mahasiswa berjaya menawan lapan kerusi yang mana tiga daripadanya merupakan kerusi umum daripada 11 kerusi yang ditandingi.
Manakala di Universiti Malaysia Sarawak pula, kumpulan ini telah menang tujuh kerusi daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.
Menurut Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, Norazali Zainuddin kejayaan di dua Universiti terbabit adalah satu permulaan yang baik bagi musim pilihanraya kali ini.
“UPSI dan beberapa universiti yang lain kita nampak ada perubahan. Dulu tak pernah menang, kali ini kita sudah ada kerusi,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Walaubagaimanapun, menurut Norazali, kemaraan tsunami politik ini akan terserlah sekiranya pilihanraya kampus diadakan serentak suluruh negara.
“Kita akan terselah dab ada impak yang lebih besar sekiranya ianya dilaksanakan seperti tahun lalu dimana ianya diadakan dengan serentak di seluruh negara termasuk juga universiti-universiti utama,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, walaubagaimanapun, kemenangan yang diperoleh di UPSI adalah untuk memberi signal kepada Pro-Mahasiswa daripada kampus yang lain supaya bekerja keras untuk memastikan kemenangan pilihanraya kali ini berpihak kepada kita.
“Kami yakin Pro Mahasiswa boleh menembusi universiti-universiti di Lembah Klang dan paling kurangpun kami mampu memberi saingan sengit kepada lawan,”jelasnya lagi.
Norazali turut mengingatkan kepada calon Pro-Mahasiswa yang telah menang dalam pilihanraya kampus baru-baru ini, bahawa kemenangan yang diberikan bukanlah untuk dijadikan kebanggaan dan juga mengejar populariti.
“Tugas berat yang dihadapi oleh kita ialah kini bagaimana untuk mengisi kemenangan dan menyakinkan bahawa undi mahasiswa kepada Pro-Mahasiswa kali ini adalah berbaloi” ujar Norazali lagi.
Seorang lagi tokoh mahasiswa, Hafizuddin Razak yang juga Pengerusi Solidari Mahasiswa Malaysia (SMM), beliau mengkritik beberapa universiti yang memonopoli pentadbiran kempimpinan mahasiswa.
Kataya lagi, adanya unsur-unsur menopoli dari pentadbiran untuk mengawal kabinet pelajar dimana ada calon Pro Mahasiswa tidak dilantik.
“Kita masih melihat adanya unsur-unsur manopoli dari pihak pentadbiran. Seperti di kabinet UPSI, calon pro mahasiswa turut memenangi dengan jumlah yang besar walaubagaimanun yang dilantik semuanya dikalangan aspirasi,” menurutnya.
Beliau menambah, perubahan kali ini juga dilihat sebagai keberanian para mahasiswa untuk memilih calon-calon luar dari aspirasi serta mereka turut mengikuti perkembangan arus.
“Kita jangkakan ada perubahan yang besar pada pilihanraya kampus kali ini dimana para mahasiswa telah berani memilih calon-calon dari Pro Mahasiswa,” katanya lagi.
Kijang melihat begini, jika Suara Keadilan beria-ia melaporkan perkembangan itu, jelas sekali kata-kata Idrus Harun itu tidak menggambarkan suasana sebenar mengenai pilihan raya berkenaan.
Atau Idris diberikan maklumat salah mengenai suasana sebenar di kampus-kampus university utama Malaysia?