Wednesday, July 13, 2016

Baju Berlengan Panjang, Pekerja, Pemilik & Pengusaha Tidak Ada Masalah?


"KFC yang mempunyai 20 cawangan di Kelantan, termasuk 10 daripadanya di Kota Bharu menunjukkan contoh dengan mula memperkenalkan pakaian seragam baru itu sejak April lalu. Ia dibuat selepas perbincangan dengan kerajaan negeri."

Ada benar dan tidak benar apa yang diperkatakan oleh bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim mengenai langkah kerajaan Kelantan mewajibkan pekerja wanita Islam di restoran makanan segera dan pasar malam memakai baju berlengan panjang.

Bagi  Zaid, yang juga bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional Kota Bharu, langkah itu  menunjukkan pentadbiran PAS di negeri itu dalam keadaan terdesak.

Ada persoalan ialah,  apakah majikan dan pengusaha sudah bersedia dengan syarat itu kerana ia membabitkan kos dan menukar budaya berpakaian.


Bagaimana pula dengan syarat terhadap restoran-restoran milik orang Cina dan ‘restoran tom yam’ yang begitu banyak di Kelantan?

Menurut Zaid, kerajaan PAS Kelantan hanya tahu jaga tepikain wanita dan menyelar pembuat dasar di bawah pentadbiran PAS Kelantan yang tidak tahu masalah dihadapi pekerja wanita.

Peraturan itu tidak adil memandangkan ada pekerja wanita yang terpaksa berlengan pendek.

“Mereka (kerajaan negeri) hanya tahu duduk atas kerusi dan keluarkan peraturan. Apa yang mereka tahu? Mereka lebih tertumpu kepada usaha memastikan wanita tutup semuanya.

“Dulu, isu ini tidak menjadi masalah,” katanya, mengulas langkah yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia Dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Abdul Fatah berkata, kerajaan negeri akan menguatkuasakan peraturan pemakaian sopan dan menutup aurat di restoran-restoran makanan segera di negeri ini berkuatkuasa Januari 2017 nanti.


Menurutnya,  perbincangan dengan pemilik pasar raya dan pemilik perniagaan di negeri ini sudah dilakukan.

Bagi pekerja bukan Muslim, ada syarat khas selagi mana ia menjaga kesopanan dan kesantunan, tidak terlalu seksi sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pelanggan. Tukang masak misalnya, mempunyai pakaian yang sesuai untuk kerja-kerja di dapur.

Beliau berkata, peniaga di pasar-pasar malam juga akan dibudayakan dengan satu pakaian yang walaupun bukan uniform, tetapi menarik sebagai satu tarikan baharu kepada pelanggan.

“Penguatkuasaan ini akan melibatkan KFC, Mc Donalds, Marry Brown dan restoran makanan segera lain di negeri ini. Di bawah PBT, kita sudah adakan perbincangan agar peniaga mengenakan uniform yang sesuai dengan negeri Kelantan.

“Setakat ini, restoran makanan segera KFC sudah melakukan perubahan itu tahun ini, walaupun belum menyeluruh,” katanya kepada media selepas majlis hari raya bersama mahasiswa Kelantan di JKR 10 di Kota Bharu, 10 Julai lalu.
  
KFC sudah mula mewajibkan pekerja wanitanya memakai baju seragam berlengan panjang di cawangan Kelantan sebagai mematuhi peraturan menutup aurat yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri itu tahun depan.

New Straits Times melaporkan KFC yang mempunyai 20 cawangan di Kelantan, termasuk 10 daripadanya di Kota Bharu menunjukkan contoh dengan mula memperkenalkan pakaian seragam baru itu sejak April lalu.


“Syarikat kami tiada masalah mematuhi peraturan kerajaan negeri Kelantan itu dan kami akan memastikan pekerja wanita memakai baju seragam itu sepanjang masa,” kata seorang jurucakap KFC kepada akhbar terbabit.

Abdul Fattah berkata, yang ditakrifkan dengan pemakaian sopan ialah uniform dikenakan menutup aurat patuh syariah menutup bahagian lengan dan labuh di bawah paras punggung.

 “Kita dalam proses mendapatkan penaja untuk menaja apron kepada peniaga-peniaga pasar malam di negeri ini. Ada yang bersetuju kerana secara tidak langsung ia turut mempromosikan mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Kelantan dengan menyertai kunjung Inspektor Kesihatan (IK) ke gerai-gerai makan untuk memastikan makanan yang dijual bersih.

Zaid pula berkata rakyat Kelantan harus membantah peraturan yang hanya menyusahkan mereka.

Menurutnya, PAS merupakan parti terdesak tanpa apa-apa perancangan. Suka membuat peraturan. Mereka sanggup melakukan apa-apa supaya kekal relevan.

Apapun, Zaid menyerahkan  kepada rakyat Kelantan sekiranya mereka masih memilih PAS.