Tuesday, July 20, 2010

PAS SANGGUP 'MELACUR' DEMI DAP

Aiii...Tok Guru kena pulas tangan kat Karpal ke?

Saya sangat tertarik dengan ulasan Kickdefella mengenai kedudukan PAS yang disifatkan oleh beliau amat tertekan. Ia bagaikan amaran beliau kepada PAS!

Apa yang dilihat olehnya sebagai tertekan? Ia berlandaskan kepada kenyataan Ahli Parlimen PAS Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bertentangan di antara satu sama lain.

Kenyataan itu berkaitan sasaran untuk merebut kerusi Parlimen bagi menjadikan PAS sebagai sebuah parti dominan.

Firdaus menyatakan PAS mensasarkan 60 kerusi Parlimen, supaya ia akan muncul sebagai Parti yang dominan di dalam Pakatan Rakyat. Lebih dari itu, PAS akan muncul sebagai Parti Politik teras orang-orang Melayu.

Pada pandangan Kickdefella, pada ketika memperolehi 55 peratus undi Melayu pun PAS hanya mendapat 27 kerusi Parlimen. Malah, berdasarkan rumusan daripada keseluruhan pilihanraya kecil yang telah PAS lalui, undi Melayu terhadap PAS telah mencatatkan kemerosotan.

Selain itu, ulasan Kickdefella juga mengatakan berasaskan undi bukan Melayu terhadap PAS telah meningkat dengan mendadak dan di dalam PRU Bukit Gantang (ada pihak di dalam PAS mengakui PAS menerima hampir 84 peratus undi Cina), PAS mensasarkan untuk memperolehi 60 kerusi Parlimen dengan melacurkan PAS kepada pengundi bukan Melayu.

Kata Kickdefella, 'Melacurkan’ adalah suatu perkataan yang keras buat sebuah Parti Islam.

Tetapi itulah hakikatnya yang cuba dibuat oleh segelintir pimpinan di dalam PAS dan itulah sebabnya sebahagian besar ulama di dalam PAS berasa tidak selesa dan mahukan PAS bersatu dengan UMNO.”

Kickdefella mendedahkan sebahagian besar ulamak di dalam PAS mempertikaikan konsesi yang terlalu banyak diberikan kepada DAP ini. Mengapa mereka harus bersama DAP dan berkorban begitu banyak, jika mereka ada pilihan untuk bersama UMNO dan menekankan perlaksanaan apa yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengangkat Islam sebagai Agama Persekutuan?” tanya beliau.

Berikutan itu Kickdefella mencadangkan: “Di dalam kata lain, kalau PAS sanggup gugurkan tuntutan menubuhkan Negara Islam kerana DAP, mengapa tidak boleh PAS terus berjuang ke arah menubuhkan Negara Islam dengan UMNO? Negara Islam yang progresif. Asalkan bukan Islam ala Taliban, sudah pasti UMNO juga mahu menuju ke arah itu.”

Untuk lebih jelas baca ulasan Kickdefella berikut (saya mohon maaf kepada Kickdefella kerana memetik tanpa menghubungi beliau terlebih dahulu).

‘Tergamakkah PAS Anjakkan Lagi Pintu Gol Mereka? dalam http://kickdefella.wordpress.com

TIMBALAN PRESIDEN FAM - ANNUAR JANJI FOKUS TIGA AGENDA

Salah seorang calon timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa menggariskan tiga agenda utama sekiranya beliau dipilih menjawat posisi tersebut pada kongres FAM ke-47 pada 31 Julai ini.

Beliau yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata tiga agenda utama yang perlu diperkemaskan FAM ialah menyusun semula program pembangunan skuad kebangsaan, penelitian terhadap penganjuran bola sepak tempatan dan yang paling penting adalah membina lebih keyakinan di kalangan penaja untuk terlibat dalam Liga Malaysia.

"Terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diperbaiki secepat mungkin dalam FAM, terutamanya perkara yang membabitkan tiga agenda tersebut," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.


Annuar berkata sebenarnya bukanlah menjadi hasrat utama beliau untuk bersaing atau mencabar mana-mana calon dengan mengutarakan idea tersebut sebaliknya beliau percaya setiap individu mempunyai kelebihan yang tersendiri yang mampu disumbangkan kepada FAM.

"Kalau FAM lemah kita juga akan turut terjejas secara langsung...kalau FAM tidak punyai hubungan baik dengan badan gabungan, tiada perancangan yang baik, tiada dana dan sebagainya ianya akan memberi kesan negatif kepada kita juga akhirnya.

"Kita tidak boleh hanya duduk sahaja sebaliknya perlu bersedia untuk tawarkan diri bagi membantu FAM," katanya.

Beliau menyindir sikap setengah pihak yang cenderung mengkritik struktur pentadbiran FAM namun tidak mahu bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan tersebut.

"FAM dan ahli gabungan saling memerlukan antara satu sama lain dalam memperjuangkan pembangunan bola sepak negara," katanya.

Annuar adalah salah seorang daripada enam calon yang tersenarai bertanding untuk merebut jawatan timbalan presiden FAM bagi penggal 2010-2015.

Lima lagi nama yang dicalonkan untuk jawatan tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Datuk Seri Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad, Datuk Che Mat Jusoh, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

ORANG ASLI POS PASIK HADAPI BEKALAN AIR BERLUMPUR

Dua ratus keluarga Orang Asli di Pos Pasik di Gua Musang kini menghadapi masalah bekalan air tadahan bukit berlumpur akibat kegiatan pembalakan dan pembukaan ladang rakyat secara meluas di sekitar penempatan mereka.

Mereka berdepan risiko penyakit kronik apabila terpaksa menggunakan air
berlumpur bagi keperluan harian sejak tiga bulan lalu.

Menurut seorang penduduk, Asuk Alang, 48, kegiatan yang tidak terkawal itu tanpa menghiraukan kawasan tadahan air bukit yang dahulunya bersih boleh mengakibatkan kerosakan dan pencemaran serius.

"Kami terpaksa menggunakan keperluan air tadahan bukit yang disediakan Jabatan Kesihatan Kelantan setiap hari walaupun tercemar kerana tidak ada pilihan lain.

"Sekarang air sungai juga berselut punca daripada kegiatan sama," katanya.

"Sebelum ini penduduk kampung marah dan keadaan kecoh sehingga hampir mencetuskan pergaduhan dengan syarikat pembalakan dan pengusaha ladang rakyat.

"Namun, tidak dapat buat apa-apa kerana syarikat itu mendapat kebenaran kerajaan negeri," kata Asuk kepada Bernama.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini berkata, kerajaan negeri sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menjalankan siasatan berhubung pencemaran alam ekoran daripada aktiviti terbabit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pencemaran di kawasan tadahan air di Hulu Kelantan kini semakin serius ekoran daripada aktiviti yang tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar.

Pada 21 Okt tahun lepas, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kerajaan negeri meluluskan 2,200 hektar kawasan hutan simpan kekal dengan ketinggian melebihi 1,000 meter untuk aktiviti pembalakan kepada sebuah syarikat swasta.

Kawasan itu sepatutnya diwartakan sebagai Hutan Perlindungan Sepenuhnya.

KELANTAN HANYA 'MAHU', TIDAK AKAN 'BERI'

Membaca kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Ahmad Yaacob, jelas Kerajaan PAS Kelantan hanya tahu meminta tetapi tidak akan memberi.

Mereka ternyata kedekut dan mahukan daripada Kerajaan Pusat semata-mata dan hanya mementingkan keuntungan politik mereka.

Semalam Ahmad Yaacob berkata Kerajaan Kelantan pimpinan PAS hanya bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi pembangunan negeri termasuk merealisasikan cadangan pembinaan lebuh raya empat lorong yang menghubungkan Kuala Lumpur-Kota Baharu.


Timbalan Menteri Besar itu berkata kerajaan negeri bersedia berunding mengenai cadangan itu pada bila-bila masa.

"Saya harap cadangan itu diterima oleh kerajaan pusat memandangkan Kelantan mengeluarkan ramai modal insan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Koperasi Pembangunan Ladang Rakyat Kelantan, di sini pada Ahad.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kerajaan PAS Kelantan hanya mahu bekerjasama dengan kerajaan pusat jika ianya membabitkan kepentingan rakyat, dan bukan parti.

Sebelum ini, Nik Aziz menegaskan Kerajaan Kelantan memberi kebenaran kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk membangunkan tanah kerajaan di daerah Galas dan daerah Ciku di Gua Musang sebagai Projek Agropolitan Kelantan Selatan.

Nik Aziz berkata kelulusan yang diberi kepada ECERDC itu telah secara tidak langsung membatalkan permohonan daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sebelum ini untuk memiliki tanah seluas 600 hektar di kawasan berkenaan.

Amat jelas Kerajaan Kelantan melihat semua perkara dalam konteks kepentingannya sedangkan sebelum ini Kesedar ada membuat permohonan untuk memiliki dan membangunkan tanah di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun mengambil kira beberapa faktor melalui hasil perbincangan, Nik Aziz memilih memilih untuk membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu berbanding Kesedar.

Nik Aziz mahukan supaya tanah-tanah yang dibangunkan itu kekal sebagai tanah kerajaan negeri kerana ECERDC hanya bertanggungjawab membangunkan tanah berkenaan.

Nik Aziz berkata keputusan membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu bermakna bahawa apabila projek berkenaan siap, sebarang keputusan seperti contoh memindah hak milik tanah kepada golongan miskin, dapat dilakukan secara terus oleh kerajaan negeri tanpa melalui banyak pihak.

"Apabila projek ini siap, sebarang keputusan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri lebih mudah, jika tanah berkenaan diberi kepada Kesedar dan Kesedar memberi kepada ECERDC untuk dibangunkan, ianya akan membebankan kerana melibatkan banyak pihak," katanya.

Nik Aziz berkata projek berkenaan yang merangkumi pembinaan pelbagai komponen antaranya kediaman, ruang perniagaan dan utiliti itu telah bermula pada Mei lalu dengan pembinaan 350 unit rumah.

Bagi Ahmad Yaacob pula, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata kerjasama politik sukar dilakukan kerana dasar parti masing-masing yang berbeza.

"Kalau kerjasama untuk kebaikan rakyat antara kerajaan dengan kerajaan, kita sedia pada bila-bila masa. Kalau kerjasama parti biar dulu," katanya.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno menyatakan parti itu sedia bekerjasama dengan PAS demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

TERKILAN TINDAKAN NIK AZIZ

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD (pengarang@utusan.com.my)

Isu kerjasama antara UMNO dan Pas timbul semula dan kali ini ia telah diminta oleh golongan agama, pemimpin-pemimpin Melayu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan Islam dan Melayu.

Antara mereka yang lantang dan mahu syor itu dilaksanakan segera adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan beberapa golongan agama lain seperti Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohd Yusoff Hussein.

Malah Harussani selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak 2010 Sabtu lalu mengingatkan kepada UMNO dan Pas bahawa kegagalan dua parti Melayu itu bersatu akan menyebabkan orang Melayu kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Ingatan Harussani tersebut jika diamati dan diteliti amat menakutkan jika ia benar-benar berlaku. Hakikatnya itulah yang akan terjadi sekiranya persengketaan antara UMNO dan Pas tidak ditamatkan segera.

Berbalik kepada gesaan awal pihak terbabit selepas ia dicetuskan oleh seorang panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam dalam satu forum di Kelantan, pihak UMNO dan Pas pada mulanya dilihat komited untuk menjayakan pertemuan itu.

Seperti mana biasa UMNO ketika ditanya mengenai cadangan itu bersedia bertemu Pas bagi membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan ummah dan dalam masa sama Pas dilihat mengikut rentak UMNO.

Komitmen UMNO itu dinyatakan dengan jelas oleh Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu tidak mempunyai masalah untuk bertemu dengan Pas atas nama Islam dan ummah.

Muhyiddin berkata, UMNO tidak akan menolak cadangan untuk mempertemukan parti itu dengan Pas kerana beliau yakin kerjasama antara dua parti tersebut akan memberi kesan yang baik kepada perpaduan umat Islam di negara ini sekali gus menyumbang ke arah keamanan sejagat di negara ini.

Bagi pihak Pas pula, Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di peringkat awal mengaku bahawa UMNO dan Pas perlu bersatu dalam memperjuangkan Islam di negara ini.

Kemudian Nik Abdul Aziz ketika bercakap kepada pemberita telah menyatakan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin ketika Timbalan Perdana Menteri itu melawat Kelantan, Jumaat lalu.

Ramai pihak percaya isyarat positif yang diberikan oleh Nik Abdul Aziz itu amat menggembirakan umat Islam kerana impian itu sangat ditunggu-tunggukan selama ini.

Dalam keadaan kedudukan umat Islam yang semakin kritikal dan di kala terdapat pihak-pihak yang semakin berani mempersoalkan keistimewaan kedudukan Islam dan orang Melayu termasuk institusi raja, sudah tentu isyarat awal Nik Abdul Aziz itu disambut rasa syukur oleh semua umat Islam.

Seperti mana kata Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, persetujuan tok guru Nik Abdul Aziz berhubung kerjasama UMNO dan Pas memperjuangkan Islam merupakan pemangkin ke arah tercetusnya gelombang penyatuan umat Islam yang lebih jitu.

Bagaimanapun sebaik sahaja Nik Abdul Aziz menyatakan bahawa kesediaannya bertemu Muhyiddin hanyalah untuk membincangkan isu royalti minyak dan bukan menjurus kepada perpaduan antara Pas dan UMNO, ia sebenarnya meremukkan banyak hati dan perasaan orang Melayu Islam di negara ini.

Nik Abdul Aziz yang dianggap seorang ulama telah menghancurkan impian umat Islam yang selama ini berharapkan UMNO dan Pas boleh duduk semeja membincangkan isu yang ada kepentingan dengan umat Islam.

Mana salahnya atau mana silapnya banyak pihak tertanya-tanya. Adalah mustahil sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan agama yang cukup tinggi, Nik Abdul Aziz tidak faham mengenai perpaduan yang merupakan satu tuntutan di dalam Islam.

Adalah mustahil juga Nik Abdul Aziz tidak mengerti mengenai ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepada junjungan besar Rasulullah (SAW) lebih 1,400 tahun lalu menuntut umat Islam bersatu padu seperti mana dalam ayat 103 surah al-Imran dan ayat 9 serta 10 surah al-Hujurat.

Nik Abdul Aziz harus bertanggungjawab tentang perbuatannya itu kerana beliau merupakan seorang ulama yang mempunyai mungkin jutaan pengikut.

Sebagai insan yang terlalu kerdil mungkin apa yang dibangkitkan oleh penulis akan disanggah oleh Nik Abdul Aziz dan pengikut-pengikutnya kerana tahap keilmuannya yang begitu tinggi sesuai dengan tarafnya sebagai seorang ulama.

Bagaimanapun perlu diakui bahawa tahap tanggungan golongan ulama ketika berhadapan dengan Allah pada masa berlakunya Hari Kebangkitan adalah lebih berat daripada orang awam.

Ini kerana mereka mempunyai kelebihan berbanding orang lain iaitu berdasarkan kepada tahap keilmuan yang dimiliki, selain kemampuan mempengaruhi manusia sama ada untuk menuju ke arah kebaikan atau keburukan.

Pada satu firman Allah ayat 54 surah Yasin telah menyatakan, maksudnya: "Maka pada hari itu tidak ada seseorang pun yang akan dianiaya sedikit pun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan."

Sudah tentu Nik Abdul Aziz tidak ada masalah untuk menafsirkan serta menghuraikan ayat di atas.

Bukan hendak mengajar Nik Abdul Aziz tetapi hanya sekadar mengingatkan kerana beliau tidak perlu diajar atas statusnya sebagai ulama.

Teringat kata-kata Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab yang mana kedua-dua khalifah besar Islam itu sering meminta rakyat di bawah kepimpinan mereka membuat teguran sekiranya ada di antara mereka tergelincir.

Sebagai penulis buku-buku sejarah Islam, mustahil juga Nik Abdul Aziz tidak tahu mengenai perkara ini. Sudah tentu beliau menguasai sejarah perjuangan Rasulullah serta perjuangan sahabat-sahabat besar iaitu antara intipati dalam setiap sejarah berkenaan ialah perpaduan.

Dalam pada itu penulis pernah mendengar kata-kata daripada seorang rakan Pas bahawa hidup Mursyidul Am Pas itu hanya bersandar Islam semata-mata.

Namun persoalan yang timbul realiti pemikiran Menteri Besar Kelantan itu khususnya dalam isu perpaduan Islam sejagat tidak mencerminkan begitu. Beliau seolah-olah tidak mahu orang Islam di negara ini bersatu padu.

Adakah itu merupakan satu tuntutan dalam Islam?

Mungkin dalam isu UMNO-Pas Nik Abdul Aziz terbawa-bawa sejarah lampau hingga ke peringkat sanggup menghancurkan impian semua umat Islam.

Dari satu segi Nik Abdul Aziz harus juga sentiasa menghormati pandangan yang dikeluarkan oleh ulama lain seperti Harussani seperti mana hormatnya Imam Shafie terhadap Imam Maliki, Hanafi dan Hanbali.

Mustahil juga Nik Abdul Aziz tidak tahu mengenai sejarah keempat-empat imam mazhab tersebut yang sarat dengan kisah hubungan, rasa hormat menghormati antara satu sama lain walaupun terdapat khilaf khususnya dalam hukum serta cara beribadat.

Walaupun bukan ahli Pas, pandangan Harussani serta ulama-ulama lain wajar dihormati oleh Nik Abdul Aziz serta pengikut-pengikutnya kerana mereka juga golongan yang berilmu.

Penulis menyedari tulisan ini tidak akan mengubah apa-apa khususnya pendirian Nik Abdul Aziz serta para pengikutnya tetapi ia semata-mata bertujuan mengelakkan Islam berdepan kehancuran.

Jika ini yang berlaku pada masa akan datang, siapa harus dipersalahkan.

Orang Melayu harus sedar bahawa Islam itu bukan Pas dan Pas bukan Islam. Islam adalah agama paling suci yang diturunkan oleh Allah untuk menyelamatkan umat manusia manakala Pas hanyalah sekadar sebuah parti politik.

RM10.8j BAGI PEMBAIKAN ELEKTRIK DI KELANTAN

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan memperuntukkan RM10.8 juta bagi melaksanakan beberapa projek pembaikan sistem elektrik di seluruh negeri tahun ini.

Pengurus Besar TNB negeri Datuk Zulkffli Abdul Rahaman berkata antara projek yang dijalankan ialah pembesaran dan penukaran kabel lama, pembinaan pencawang baru di kawasan yang kerap mengalami gangguan elektrik dan memasang peralatan mengesan kerosakan.

"Antara projek pembaikan yang sedang dan akan kita jalankan ialah projek talian ABC (Area Bundle Label) di Jelawang, pembinaan pencawang pembahagian utama (PPU) dan meningkatkan keupayaan Alatubah PPU Kota Sri Mutiara di Kota Baharu, PPU Beris di Bachok dan PPU Machang," katanya kelmarin.


Beliau berkata pihaknya juga turut menambah pemasangan peralatan mengesan masalah elektrik bagi membolehkan pembaikian dilakukan segera.

"Antaranya pihak kita memasang alat yang dikenali sebagai EFI (Earth Fault Indicator) bagi mengesan kabel elektrik di bawah tanah dan LFI (Line Fault Indicator) bagi mengesan elektrik di bahagian luaran iaitu pada wayar elektrik yang dipasang di kawasan penempatan dan sebagainya," katanya.

Zulkffli berkata kedua-dua sistem itu akan memastikan TNB menerima isyarat jika berlaku kerosakan dan menjejaskan bekalan elektrik kepada pengguna.

PENUNTUT UNIVERSITI DARI LIMA NEGARA SERTAI PROGRAM KEMASYARAKATAN DI TUMPAT

Seramai 15 penuntut universiti dari lima buah negara akan berkampung di daerah ini selama dua minggu dari Rabu ini untuk menjayakan program kemasyarakatan anjuran bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan University of St. Gallen, Switzerland.

Ketua Jawatankuasa Pelaksanaan Program Social Enterprise For Economic Development (SEED), Prof Dr Farok Zakaria berkata program kemasyarakatan itu diwujudkan khusus untuk disertai penuntut universiti ASEAN dalam usaha membangunkan perusahaan desa di sesebuah perkampungan.

Katanya penuntut antarabangsa dalam program itu adalah dari University Of St. Gallen dan ETH Zurich di Switzerland, Singapore Management University, Banking University of Ho Chi Minh City, Vietnam, Prince of Songkla University, Thailand dan Universiti Brunei Darussalam.

"Seramai 35 pelajar UMK akan turut serta dalam program itu yang akan bermula pada 21 Julai ini sehingga 3 Ogos depan dan mereka akan bekerjasama membentuk dan melaksanakan pelan perniagaan bersama peserta-peserta antarabangsa bagi membangunkan aktiviti perusahaan desa di tujuh buah perkampungan di daerah Tumpat," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Dr Farok yang juga Pengarah Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK, berkata tujuh buah kampung yang terlibat ialah Kampung Tujuh Tengah, Kampung Sungai Tapang, Kampung Belukar Neting, Kampung Tujuh, Kampung Tujuh Masjid, Kampung Pak Kerau Hulu dan Kampung Pak Kerau Hilir.

"Antara projek pembangunan perusahaan desa yang akan dilaksanakan dalam program SEED ini ialah penternakan kambing, tanaman kulat, tanaman lada secara berkelompok, penternakan ikan sangkar dan ikan kering serta perusahaan keropok," katanya.

Beliau berkata kumpulan fokus untuk proram berkenaan ialah 200 penduduk kampung yang terdiri daripada kalangan miskin tegar, miskin dan mudah miskin.

"Antara objektif program ini adalah menggalakkan pembangunan ekonomi di sesebuah perkampungan, menggalakkan pembangunan dan pembelajaran merentasi budaya dalam konteks kehidupan sebenar masyarakat Asia dan kerjasama serta sumbangan berterusan kepada keusahawaanan sosial," katanya.

Katanya program itu pada kali ini turut mendapat kerjasama daripada Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia.

Menurutnya, program itu bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kemahiran insaniah generasi muda malah mereka bersama penduduk kampung dapat mencari kaedah penyelesaian yang mapan demi pembangunan ekonomi dan perubahan sosial.

Katanya program itu yang dilaksanakan di Kampung Cisondari dan Bandung, Jawa Barat di Indonesia pada tahun lalu dijangka dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang merupakan Menteri Mentor UMK pada 1 Ogos di Kampus UMK, Taman Bendahara, Pengkalan Chepa.

KELANTAN HAPUS CUKAI 5 TAHUN???? Hahahahahahahaaaa..!!!!

Daripada Duke Of UMNO

Aku hanya senyum sinis bila terbaca satu entry di Kedah Lanie yang bertajuk "Tu dia tawaran dari PR.. Hapus cukai 5 tahun.. Ada berani ka BN?". Hati aku gelak besar bila terbaca "tawaran" dari PR itu. Husam Musa pulak tu! Alaaa.."pakar ekonomi Kelantan" tu...

"Hapus cukai 5 tahun"? Awat 5 tahun je? Alaa...cakap la 10 tahun ka, 20 tahun ka, hapus cukai sampai bila-bila ka? Awat? Tak berani ka? Hahahahahaaa...

Pandai sungguh PR "temberang" rakyat. Hehehehe..dan rakyat yang macam kat Kedah Lanie tu pun "termakan"lah "gula-gula" dari PR tu. Depa tak sedar "gula-gula" tu hanya "racun" belaka...hehehehe.

Pulak tu, awat nak hapuskan cukai tu lepas PR menang PRU 13? Err...boleh menang ka? Confident ka buleh "menang"? Awat Husam tak hapuskan cukai kat Kelantan tu dulu? Dah lebih 20 tahun PAS perintah Kelantan. Sepatutnya ekonomi Kelantan yang dipacu hebat oleh "pakar ekonomi" seperti Husam ni dah berkembang maju melebihi dari kemajuan ekonomi di Selangor! Jadi, awat tak laksana dulu kat Kelantan, wahai Husam?

Jangan jadikan alasan bahawa ekonomi Kelantan tak berapa "mengizinkan"! Takkanlah "pakar ekonomi" PAS Kelantan ni gagal kot? Haaa? Royalti minyak? Hari tu orang nak kasi "wang ehsan", hangpa "eksyen"! Padahal "wang ehsan" tu sebenarnya "royalti minyak" yang telah ditukar nama. Itu pun tak reti nak paham ke? Tun M dulu dah bagi bantuan secukupnya pada Kelantan untuk memacu ekonominya sendiri. Nik Aziz jumpa Tun M mintak urus air Kelantan sendiri, Tun M "approved", Mintak bantuan duit lebih, Federal bagi. Apa lagi nak? Semua dah bagi, malah Kelantan dapat peruntukan lebih dari beberapa negeri-negeri BN. Itu pun masih gagal nak naikkan ekonomi Kelantan?

Alih-alih nak hapuskan cukai 5 tahun jika perintah Federal? Hahahahaha...cermin la diri tu sikit!

PR ni macam-macam depa janji. Contohnya kat Kedah ni. Cuba ingat balik manifesto PAS masa PRU 12 yang lalu. Macam-macam depa janji. Elaun itu ini, pengecualian itu ini, nak bagi itu ini. Tapi lepas 2 tahun perintah Kedah, Ustaz Azizan kata "Kita baru tahu bahawa tak semua benda yang kita sebut dalam manifesto tu tak mampu kita tunaikan..."! Kepala hotak hangpa la...

Kalau takat lagu tu, aku pun buleh janji dan buat manifesto! Aku pun buleh janji macam-macam!

Aku pun buleh tubuh parti cap ki"PAS". Lepas tu aku buat manifesto. "Kalau diberi kesempatan mentadbir Kedah, maka aku akan bagi kereta sorang sebiji kepada semua rakyat yang undi aku. Lepas tu dapat rumah sorang sebiji untuk orang yang dah kahwin. Lepas tu tanah 10 relung untuk sebuah keluarga. Lepas tu aku nak hapuskan cukai kat Kedah untuk selama-lamanya. Aku akan bagi "parking free". Then, semua saman dimansuhkan. Ayaq api free kerajaan negeri tanggung. Lepas tu aku bagi makanan free untuk rakyat miskin. Lepas tu aku bagi duit elaun kepada semua anak Kedah". Pergggghhh...gerenti menang punya! Lepas aku menang jadi MB, aku cakap kat rakyat Kedah "saya baru tau bahawa apa yang saya janji tu tak mampu saya tunaikan"! Hehehe..hangpa agak-agak, apa yang akan dapat time tu? Hahahahaha...

Lagu ni la Husam & Kedah Lanie...realistik la sikit bila nak cakap apa-apa tu! Jangan la dok gebang besaq! Kelantan pun tak mampu nak hapuskan cukai, nak cakap besaq kononnnn! Pooddaah laaa.

Mana hangpa nak cekau duit untuk tampung belanja Kerajaan kalau hangpa hapuskan cukai? Haaa??? Nak mintak kat Foundation for the Future tu ka? US dah tau dah "boss" hangpa tu "kapoq" duit depa. IRS dah ngamuk cari "sesumpah" tu. Wolfowitz pun dah "bisu" dah pasai kes kantoi "awek" dia tu...hahahahaha...lagi mau "muhong" rakyat ka? Budusssss...

Sedaq la sikit! Akal tu biaq la berguna sikit. Dok pikiaq pakai kepala lutut tu sapa suruh? Hapus cukai 5 tahun? Hahahahahaha...gila ka apa? Tu nak pancing undi la tu! Sapa yang "budussss" saja yang akan tertipu! Ternyata Husam dah "hina" hangpa secara tak langsung. Err..hangpa tak perasan ka yang Husam ingat hangpa tu "budus" untuk diper"budus"kan? Hahahahahaha...baik hangpa "celik" cepat sebelum terlambat...

Hahahahahhaha....

HARGAILAH SUMBANGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN - RAMZI

Rakyat Kelantan harus berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana terus menerus menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan projek pembangunan untuk kebaikan mereka walaupun Kelantan diperintah oleh pembangkang.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman berkata, peranan membangun dan memajukan Kelantan sepanjang negeri itu berada di bawah pemerintahan parti pembangkang dilaksanakan dengan baik oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

“Rakyat Kelantan kena berterima kasih kerana walaupun diperintah orang lain (pembangkang), Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang diterajui UMNO tidak putus-putus menghulurkan bantuan.

“Kalau tak ada agensi kerajaan BN (Barisan Nasional) seperti JPP, saya tak tahu apa akan jadi pada negeri ini kerana sekarang pun kita (Kelantan) sudah jauh ketinggalan terutama dari segi pembangunan,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada penduduk Mukim Bedal, kelmarin.

Pada majlis itu, lebih 40 orang terdiri dalam kalangan warga emas, orang kurang upaya (OKU), guru al-Quran, bekas pemimpin masyarakat dan veteran UMNO dari beberapa kampung dalam Mukim Bedal menerima sumbangan berkenaan.

Ramzi berkata, usaha membangun dan memajukan Kelantan bagaimana pun akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik jika BN mempunyai kuasa politik atau dengan kata lain, memerintah negeri ini.

Menurutnya, jika BN diberi peluang memerintah, beliau yakin dan percaya Kelantan mampu menjadi sebuah negeri maju dan setanding dengan negeri-negeri lain terutama dengan adanya kerjasama dan sokongan daripada Kerajaan Pusat.

Justeru katanya, dia berharap rakyat Kelantan dapat memberi kepercayaan kepada UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti jika mereka ingin melihat perubahan besar yang bakal dinikmati negeri ini.

“Untuk kebaikan bersama, saya merayu tolonglah beri peluang dan kepercayaan, walaupun satu kali kepada BN pada pilihan raya umum nanti dan kita pakat-pakat tengok sejauh mana BN boleh lakukan untuk rakyat Kelantan.

“Ini bukan ‘cakap kosong’ kerana kita (BN) sudah ada sejarah dari 1978 hingga 1990 dan juga ‘trek-rekod’ dalam membangunkan Kelantan, walaupun pada waktu ketika kita tidak ada wakil rakyat,” kata Ramzi.

PENDUDUK PERALLA BERSYUKUR DAPAT PERUNTUKAN RM2.5j

Penduduk Peralla bersyukur apabila isu bekalan air bersih di kawasan perkampungan mereka kini, selesai setelah mendapat peruntukan sebanyak RM2.5 juta yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Peruntukan berkenaan diluluskan Muhyiddin ketika kunjungan beliau ke Tanah Merah bersempena dengan mesyuarat Perwakilan UMNO dan Karnival Rakyat baru-baru ini.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (PJKKKP) Peralla, Zamzuri Ariffin berkata, peruntukan itu memberi kelegaan kepada 2,500 penduduk di situ yang mengalami masalah tidak menerima bekalan air bersih sejak berpuluh tahun lalu.

“Saat ini amat dinantikan kerana kebanyakan penduduk di sini, mendapatkan sumber bekalan air melalui punca air bukit serta air bawah tanah dan tidak pernah mendapat bekalan air yang sempurna dari air paip,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia berterima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz, di atas bantuan beliau dalam memanjangkan usul ini kepada pihak atasan termasuk kepada Kementerian bagi membantu golongan masyarakat khususnya di jajahan Tanah Merah.

“Ini menunjukkan keprihatinan pihak beliau terhadap penduduk di jajahan ini, amat ditekankan dalam usaha membela nasib masyarakat setempat,” katanya.

UMNO JELI SUMBANG RM1J UNTUK DAKWAH

UMNO Jeli Jumaat lalu menyalurkan RM1 juta bagi mengembangkan dakwah Islam khusus dalam kalangan masyarakat di Jeli melalui pembinaan Pondok Dakwah Jeli di Jedok.

Mudir pondok itu, Ismail Jusoh berkata, usaha UMNO Jeli menyalurkan peruntukan besar itu menunjukkan keikhlasan dan komitmen Anggota Parlimen Jeli dan Ketua UMNO bahagian Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Ia untuk membantu rakyat mendapatkan pendidikan menerusi pondok itu yang menganjurkan aktiviti seperti Program Tafsir al-Quran dan menjadi tempat pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menjayakan kem kecemerlangan.
Ismail berkata pembinaan pondok moden itu merupakan antara janji Mustapa pada pilihan raya Umum 2004 di kawasan Jedok untuk manfaat penduduk setempat menimba ilmu terutama membabitkan pelajar bagi melahirkan modal insan yang mementingkan dunia dan akhirat.

Pondok itu diwujudkan pada 2008 di tapak seluas 1.6 hektar yang menempatkan surau, asrama untuk lelaki dan perempuan, dewan kuliah serta kemudahan riadah.

Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam lawatan sehari ke Kelantan, berkata kewujudan pondok berkenaan yang lebih dikenali sebagai Pondok Moden merupakan satu inisiatif yang wajar dicontohi semua peringkat dalam UMNO dan Barisan Nasional dalam usaha memenuhi kehendak rakyat.