Sunday, February 16, 2014

Kerajaan Kelantan Abai Pesawah Hadapi Musim Kemarau Di Kelantan?


"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangka kira-kira 8,000 pesawah di Kelantan akan mengalami kerugian RM90 juta jika masalah penyaluran air ke kawasan sawah mereka tidak diselesaikan segera."

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Kerajaan negeri Kelantan diminta supaya bersama-sama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membantu pesawah yang dilihat bakal terjejas teruk akibat musim kemarau sekarang.

Katanya, kemarau yang berlaku sejak tiga bulan lepas akan menjejaskan musim penanaman padi berikutan bekalan air yang tidak mencukupi.

"Kita harap suatu tindakan diambil untuk menyelamatkan suatu hasil besar yang terancam akibat daripada kekurangan air," katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada pemberita semasa menziarah Rezamawati Che Mat Bidin, 37, yang cedera parah sementara anak lelakinya yang berusia tiga tahun meninggal akibat diserang gajah di Ayer Lanas, Sabtu.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangka kira-kira 8,000 pesawah di Kelantan akan mengalami kerugian RM90 juta jika masalah penyaluran air ke kawasan sawah mereka tidak diselesaikan segera.

Sementara itu Kerajaan Negeri disaran tubuh Zon Penanaman Padi di Kelantan apabila kawasan padi semakin mengecut di negeri itu.

Ketika ini keluasan tanaman padi di negeri itu ialah kira-kira 29,000 hektar berbanding 37,000 pada tahun 1972.

Pada tahun 2020 Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menyasarkan kira-kira 350,000 tan metrik pengeluaran padi dapat dihasilkan di Kelantan.

Berikutan itu, Pengerusinya Datuk Md Alwi Che Ahmad (kiri) menyarankan kerajaan Kelantan supaya menyediakan zon khas bagi penanaman padi di negeri ini untuk mengelakkan berlaku pengurangan hasil pada setiap tahun.

Ini ekoran pertukaran status tanah sawah padi kepada tanah perumahan yang tidak terkawal.

"Kerajaan Kelantan perlu membuat kajian mendalam dan mengehadkan kelulusan untuk membina perumahan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Kok Lanas, kelmarin.

"Seandainya kerajaan Kelantan boleh buat apa yang saya cadangkan ini, kita boleh capai sasaran tersebut," katanya. Sementara itu, beliau berkata paras air sungai yang rendah berikutan aktiviti menyedut pasir dan penerokaan tanah di pedalaman Kelantan merupakan punca Kada tidak dapat menyalurkan air ke sawah.

"Tahun lepas sahaja kita mengalami kerugian kira-kira 72,336 tan metrik padi akibat masalah tersebut dan ia telah menjejaskan pengeluaran padi serta beras untuk negara," katanya.

Katanya, Kada menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah kekurangan bekalan air di negeri ini.

Beliau berkata selain kerugian kira-kira RM90 juta oleh 8,000 petani di bawah Kada, ia juga telah menjejaskan sejumlah 4.4 peratus pengeluaran padi pada tahun 2013.