Thursday, March 12, 2009

AZALINA TERLIBAT POLITIK WANG?

Sukar mempercayainya. Apa dah jadi jadi ni?

SPRM 'serbu' pejabat Azalina kerana dakwaan politik wang.

Apakah beliau terlibat? Lebih baik tunggu sehingga selesai siasatan.

Yang pasti, selepas seminggu menahan setiausaha politik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 'menyerbu' pejabat Menteri Pelancongan di ibu negara pagi semalam.

Tiga pegawai SPRM menghabiskan hampir tiga jam untuk mendapatkan bukti susulan dipercayai berhubung amalan politik wang menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini.

Laporan Berita Harian menyebut, SPRM dijangka memanggil Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu.

Ini berikutan serbuan pegawai SPRM ke pejabat Kementerian Pelancongan di Tingkat 36, Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur semalam.

Dalam pemeriksaan oleh dua pasukan itu, SPRM turut merampas sejumlah dokumen dan menyoal siasat beberapa pegawai.

Utusan Malaysia melaporkan, lapan pegawai kanan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Rabu lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan satu kes rasuah.

Semalam sahaja, dua pegawai kanan menteri telah diambil keterangan kira-kira sejam oleh tiga pegawai SPRM yang datang ke pejabat kementerian tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 11.30 pagi.

Kesemua mereka yang disoal siasat telah memberi kerjasama sepenuhnya termasuk mengemukakan segala dokumen.

Difahamkan ketika soal siasat dijalankan menteri terlibat tiada di dalam pejabat.
“Setakat ini tiada serbuan, rampasan atau pun penahanan dilakukan. Semua pegawai terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya,” menurut sumber rapat kementerian itu di sini hari ini.
Pada 6 Mac lalu, setiausaha politik kepada seorang menteri Kabinet ditahan di sebuah restoran di sini kelmarin kerana dipercayai menerima suapan lebih RM70,000.

Penahanan lelaki berusia dalam 40-an tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota SPRM setelah menjalankan intipan ketika menerima suapan kira-kira pukul 10.30 malam.

Menurut sumber, pegawai-pegawai SPRM keluar dari pejabat menteri berkenaan dengan membawa keluar beberapa dokumen.

Dua fail berkaitan dengan perwakilan Umno Wilayah Persekutuan dipercayai dibawa keluar ekoran kunjungan tersebut.

Malah mereka juga menemu bual dua pegawai kanan di pejabat Datuk Azalina Othman yang terletak di Menawa Dato Onn, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun pegawai pejabat Azalina, SPRM tidak merampas apa-apa dokumen dari pejabat mereka.

Rabu lalu, SPRM menahan pegawai tersebut - setiausaha politik, didapati membawa bersama wang tunai RM75,000 dalam keretanya.

Setiausaha Politik itu dan menterinya turut layak untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi.
Dia telah dibebaskan awal Khamis lalu selepas kenyataannya diambil.

Dalam pada itu, pegawai-pegawai Azalina menafikan kunjungan MACC ada kaitan dengan isu wang tunai tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pejabat Menteri Pelancongan berkata, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepdada SPRM berhubung isu tersebut.

"Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap MACC dan yakin bahawa kami akan dibersihkan menerusi siasatan mereka," katanya.

SPRM tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta SPRM menyegerakan siasatan terhadap setiausaha politik berkenaan.

Sehubungan itu kata Perdana Menteri, pegawai kanan tersebut harus dibebaskan jika tidak bersalah.

Beliau berpendapat kes tersebut kemungkinan menjejaskan peluang setiausaha politik berkenaan jika bertanding dalam pemilihan Umno pada 26 Mac ini.

"Jika dia tidak melakukan apa-apa kesalahan termasuk dakwaan politik wang, saya berharap dia akan dibebaskan dengan secepat mungkin.
"Kemungkinan dia bertanding... jadi jangan tangguhkan (siasatan)," kata beliau.