Sunday, November 29, 2015

Kerajaan Kelantan Perlu Tegas Laksanakan Saranan Dalam Laporan Audit - Mustapa


Kerajaan Kelantan pimpinan PAS perlu tegas dalam melaksanakan saranan dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3 yang dikeluarkan baru-baru ini bagi mengelak banjir lebih buruk berlaku pada masa depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata langkah pembetulan perlu diambil dari sekarang kerana banjir yang berlaku pada tahun lepas telah memberi kesan negatif terhadap pelbagai pihak.

"Kita kena ambil tindakan serius dengan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara. Pembetulan dan tindakan secepat mungkin perlu diambil supaya perkara yang disebut itu tak berlaku.

"Maknanya sebelum perkara itu berlaku perlu dicegah dari peringkat sumbernya dan harus kita bendung dari awal-awal lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) peringkat Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli di Jelai, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Hamzah Mohamad Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed dan Pengarah Kampus UMK Jeli Datuk Dr Ibrahim Che Omar.

Mustapa mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3 yang menyebut penebangan hutan dan perlombongan pasir merupakan antara punca banjir besar di Kelantan, tahun lepas.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Mentor UMK turut mencadangkan Fakulti Sains Bumi UMK mewujudkan sebuah pangkalan data berkaitan sumber semulajadi yang terdapat di negeri ini.

"Jika pangkalan data berkenaan dapat dikemas kini pada setiap tahun baharulah kita boleh buat perbandingan mengenai pencemaran dan kemusnahan sumber semulajadi yang berlaku di sesuatu kawasan," katanya.


Bernama

Mustapa Yakin UMNO Boleh Rampas Kelantan Pada PRU14


UMNO Kelantan yakin mampu merampas kembali negeri ini dari tangan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata ia berdasarkan beberapa faktor utama
antaranya ketiadaan bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan masalah perpecahan dalam Pas.

Selain itu, katanya, faktor perpaduan dalam kalangan pemimpin UMNO yang kukuh mencerahkan lagi peluang tersebut.

‘‘PRU-14 merupakan peluang terbaik UMNO kembali merampas Kelantan. Sebelum ini dengan adanya Tok Guru yang merupakan tokoh hebat selain berjaya menya­tupadukan pemimpin dan ahli Pas menyukarkan UMNO di negeri ini.

"Hari ini kita dapati ada anggota PAS yang nak bersama-sama dengan DAP sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan ada yang masih setia dengan parti itu.

"Selain itu, kita sedia maklum ada beberapa isu nasional yang turut pengaruhi UMNO, namun dengan usaha-usaha yang diambil kita yakin isu-isu berkenaan dapat diselesaikan pada tahun hadapan," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen UMNO 2015 di Kota Bharu, semalam.

Konvensyen selama dua hari yang bermula semalam menghimpunkan lebih 2,000 perwakilan UMNO Kelantan.

Tambah Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, seluruh ahli UMNO di negeri ini telah bersiap sedia lebih awal dalam menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, seluruh kepemimpinan dan ahli parti itu juga menunjukkan semangat perpaduan yang cukup baik.

‘‘Kita akan mengatur pelan-pelan tindakan lebih awal dan momentum kemenangan itu akan diteruskan sehingga pilihan raya akan datang.

‘‘Pada masa sama, kita juga akan menyelesaikan isu-isu berbangkit yang mempengaruhi senario politik di Kelantan dan dijangka dapat ditangani menjelang awal tahun depan,’’ katanya.


Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Hanafi Mamat serta Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Mengulas mengenai konvensyen berkenaan, Mustapa berkata Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan meneliti beberapa usul yang dicadangkan oleh perwakilan sebagai persiapan menghadapi PRU14 nanti.

"Apa yang penting pelan tindakan (pada masa depan). Ada perwakilan yang memberi teguran mengenai cara kita bawa diri, ada yang cadangkan ditubuhkan sebuah institut pemikiran untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda.

"Insya-Allah kita akan perhalusi dan laksanakan cadangan-cadangan berkenaan. Namun apa yang lebih penting, ia menunjukkan UMNO Kelantan masih lagi bersatu," katanya.