Wednesday, January 11, 2017

UMK Sedia 7,000 Tempat Pengajian Tanpa Had Umur

Mortaza (dua dari kiri) beramah mesra bersama Profesor Emeritus Gary J. Confessore dari Universiti Columbia (tiga dari kanan) dan Profesor Choi Donmin (kiri) pada Persidangan EAFAE di UMK, Kampus Kota, Pengkalan Chepa.
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan 7,000 tempat bagi pelajar tanpa had umur untuk pengambilan bulan Februari dan September ini menerusi program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kendaliannya.

Naib Canselornya, Datuk Dr Mortaza Mohamed, berkata calon PSH akan mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana, sarjana dan doktor falsafah bidang keusahawanan, perdagangan, penternakan dan pertanian di UMK selain turut mendapat bimbingan Persekutuan Asia Timur Pembelajaran Dewasa (EAFAE) yang diasaskan Korea Selatan.

"Program bukan konvensional ini memberi peluang kepada masyarakat mendapat pendidikan di peringkat lebih tinggi, menambah kemahiran dan sekali gus meningkatkan sosio ekonomi dan kualiti hidup mereka melalui pendidikan," katanya ketika ditemui pada Persidangan EAFAE di Kota Bharu semalam.

Turut hadir, Presiden EAFAE, Prof Choi Donmin dan Pengarah Program EAFAE UMK, Prof Dr Ng Siew Foen. Katanya, peluang tawaran pengajian itu wajar direbut oleh pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan individu yang ingin memperbaiki taraf hidup.   

Bagi Donmini, penyertaan Malaysia sebagai ahli EAFAE sejak 2012 adalah tepat bagi menggalakkan rakyat meneruskan pembelajaran tanpa menjadikan umur sebagai penghalang.

"Program PSH sangat penting bagi mengubah negara ke arah lebih baik dan maju melalui kesedaran pendidikan, seperti di Korea Selatan, kita dapati hanya tiga peratus daripada rakyat yang tidak tahu membaca yang terdiri daripada warga emas," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya program PSH golongan berkenaan dapat dibantu sekali gus taraf hidup menjadi lebih baik.


Sementara itu, persidangan julung kali diadakan di Malaysia ini berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini dengan penyertaan 16 delegasi daripada negara Asia termasuk Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Jepun dan Thailand serta 60 peserta tempatan.